Thursday 30 April 2015

Hampir 80 peratus peneroka Felda di Pahang sudah terima suratan hakmilik tanah!


… bersamaan 36,567 peneroka daripada 43,124 peneroka di seluruh Pahang, yang telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing.

“Kalau nak menipu ni, dulu lagi Kerajaan menipu dah. Sebagai contoh, (fitnah yang mendakwa) geran tak akan keluar, Felda tipu peneroka. Tak… bila masa keluar, kita keluar juga,” kata Menteri Besar.

SESI BERGAMBAR BERSAMA MENTERI BESAR, CALON BN DAN PENEROKA... Dato' Sri DiRaja Adnan serta calon BN kita, Dato' Hasan, tidak menghampakan permintaan para peneroka untuk sesi bergambar bersama-sama. 


RANCANGAN TANAH FELDA KERATONG 10, MUADZAM SHAH, ROMPIN – Disebalik Pahang mempunyai kawasan Rancangan Tanah Felda paling luas – 319,145 hektar, dengan jumlah peneroka terbesar, 43,124 orang; kira-kira 80 peratus daripadanya sudahpun memperolehi suratan hakmilik tanah setakat ini.

“Daripada 43,124 peneroka di Pahang, seramai 36,567 peneroka telah menerima hakmilik, yang bersamaan dengan 79 peratus.

“Makna kita boleh bercakap, negeri Pahang ini, dari bilangan peneroka yang begitu ramai, 80 peratus sudah menerima hakmilik,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 308 peneroka Rancangan Tanah Felda Keratong 10 pada petang Khamis, 29 April di sini.

Dalam tempoh empat (4) bulan bagi tahun 2015 ini juga katanya, selain di sini, suratan hakmilik tanah juga telah diberikan kepada para peneroka di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Krau 1, 179 orang; dan Felda Lepar Hilir, 2, 359 orang.

PENEROKA INDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan, Tan Sri Isa, Dato' Hasan dan Dato' Sri Maznah kelihatan bergambar bersama-sama satu-satunya peneroka bukan Melayu di Rancangan Tanah Felda Keratong 10 ini iaitu Encik Muniandy a/l Punampalam yang diiringi isteri, Puan Lachimy a/p Vadivaloo. 


65 PERATUS PENEROKA DI PAHANG BERASAL DARI LUAR PAHANG

“Yang akan diberikan hakmilik pada bulan Mei ini (pula nanti) ialah di (Rancangan Tanah-Rancangan Tanah) Lepar Hilir 3, 220 orang; Tembangau 1, 279 orang; Tembangau 2, 253 orang; Rentam, 430 orang; Mengkuang, 99 orang.

“(Ke)lima-lima rancangan ini bukannya di Rompin. Maknanya, kita sampaikan suratan hakmilik hari ini bukan sebab pilihanraya. Memang (dah) jadual Felda untuk menyampaikan suratan hakmilik,” tegasnya.

Beliau juga berkata betapa jumlah peneroka luar Pahang mengatasi jumlah peneroka anak kelahiran Pahang sendiri di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda di negeri ini. Peneroka anak Pahang hanyalah 35 peratus.  

Yang lain, atau 65 peratus lagi katanya ialah – peneroka dari negeri-negeri Kedah, 15 peratus; Perak, 13.2 peratus; Selangor, 11.3 peratus; Kelantan, 9.2 peratus; Terengganu, 5.5 peratus; Johor, empat (4) peratus; Pulau Pinang, 2.6 peratus; Melaka, 1.9 peratus; Perlis, 1.2 peratus; dan, Negeri Sembilan, 1.1 peratus.

Kepada soalan wartawan yang membangkitkan tentang dakyah pembangkang kononnya Kerajaan dan Felda akan terus menipu para peneroka dalam aspek pemberian suratan hakmilik tanah ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan;  

KEMESRAAN PEMIMPIN KITA... 'A picture is worth a thousand words'. Sepertimana foto ini yang menggambarkan sikap mesra-rakyatnya pemimpin nombor 1 negeri kita.


BN BUKANLAH 100 PERATUS TIADA CACAT-CELA, TAPI…

“Kalau nak menipu ni, dulu lagi Kerajaan menipu dah. Sebagai contoh, (fitnah yang mendakwa) geran tak akan keluar, Felda tipu peneroka. Tak… bila masa keluar, kita keluar juga.

“Mengeluarkan geran ni banyak pihak terlibat. Pejabat Tanah, Pejabat Felda, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, banyak…

“Lepas tu berbagai-bagai juga yang kita perlukan. Peralatan hendak pergi meneropong tanah tu, nak buat sempadan, bawa alat-alat mengukur tanah tu... Sebab, bila kita keluar suratan hakmilik tanah, kita tak boleh keluar berdasar pelan yang sedia ada. Kita perlu siasat di atas tanah tu,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya merayu kepada para peneroka agar dapat menggunakan akal fikiran dan budi bicara serta, mempertimbangkan semasak-masaknya dalam memikirkan masa depan mereka.

“Saya telah cuba meyakinkan mereka bahawa, walaupun Kerajaan Barisan Nasional ini bukanlah 100 peratus tak ada cacat-cela, tetapi, kelemahan kita itu sebenarnya tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan kekuatan kita selama ini.

DIRAI MESRA SEMASA KETIBAAN... Sementara menuju ke pantas sesudah tiba, Dato' Sri DiRaja Adnan disusuli Tan Sri Isa, telah bersalaman dengan para peneroka sekelian yang ternyata sangat gembira berada dalam dewan sekolah pada majlis petang Khamis ini.  


MASIH, BN PILIHAN TERBAIK

“Saya masih beranggapan, masih yakin, Barisan Nasional adalah pilihan terbaik. Walaupun  kita bukan yang sempurna, tapi kita bukanlah teruk sangat. Kita tak menipu peneroka, kita tak menipu rakyat. Mana boleh kita bantu, kita bantu,” katanya.

Beliau seterusnya menyebut tentang betapa jelasnya penerangan yang telah diberikan mengenai konglomerat Felda Global Ventures (FGV) oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah tadi.

Biasalah berlaku turun-naik dalam perniagaan katanya, sepertimana turut dialami oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri yang disenaraikan di Bursa Saham seperti Pasdec dan Mentiga.  

Dan Kerajaan Negeri menurutnya, mempunyai lima (5) peratus sahamnya dalam FGV dengan harga asal belian ialah RM4.50 sen sesaham, jatuh kepada RM2.18 pada satu ketika dan kini, jatuh lagi kepada RM2.10 sesaham.

Dengan pemilikan saham lima (5) peratus itu, Kerajaan Negeri katanya, memiliki 182,407,575 unit yang bernilai RM829,954,466 semasa mula saham FGV diniagakan. “Dekat RM1 bilion tahu,” katanya, dan menambah, “Tapi kita tunggulah,” sehingga harga saham itu melonjak kembali.

Selain Tan Sri Isa, yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; wakil rakyat setempat, Dato’ Sri Maznah Mazlan; calon BN bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin, Dato’ Hasan Arifin; serta, Ketua Pengarah Felda, Dato’ Hanafi Syuhada. 

PARA PENEROKA, DALAM DEWAN MENANTIKAN PENERIMAAN SURATAN HAKMILIK TANAH... – Khabar         

Wednesday 29 April 2015

Tabik buat orang Rompin yang 'peace-loving'

... yang ekoran itulah Menteri Besar sebut, kempen bagi PRK Parlimen kawasan Rompin berlangsung secara sederhana.


SEDANG MENEKANKAN SESUATU... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menekankan sesuatu semasa ditemubual secara langsung menerusi program RTM1 - Dialog, yang dihoskan oleh pengacara terkemuka, Syed Munawar.

Program ini boleh diikuti menerusi saluran RTM1 pada Rabu, 29 April antara 9.10 malam dan 10 malam. 'Venue'nya ialah di perkarangan Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan. 


 BERADA DALAM SET LOKASI...


MENGIKUTI DENGAN PENUH MINAT... Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Sri Muhammad Safian Ismail turut hadir sebagai audien, pada program Dialog ini. Kelihatan, dengan Pengurus Besar Encik Mahmud Nawawi di sisi, mereka sama-sama mengikuti penuh minat akan apa yang diperkatakan khususnya oleh Dato' Sri DiRaja Adnan pada program ini. 


POSE BERSAMA KRU PENERBITAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Syed Munawar; yang turut turut serta dala sesi berfoto ini ialah Penerbit, Puan Norisa, dan, penolongnya, Encik Shahrin. 


GAH DAN BERGEMERLAPAN... Peranan besar Yayasan Pahang turut disentuh secara jelas oleh Dato' Sri DiRaja Adnan pada program ini. - Khabar

Tuesday 28 April 2015

Kempen tahap sederhana asaskan nilai sosio-budaya yang berbeza


“Saya perhatikan, kempen di Rompin ini saya anggap pada tahap sederhana kerana nilai sosio-budaya masyarakat Pahang dan Rompin ini berbeza sedikit dengan di bandar,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MERAIKAN KETIBAAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diiring masuki Dewan oleh Encik Gandesan serta yang lain. Sungguhpun tempoh berkempen sudah separuh jalan, kecergasan dan keceriaan Menteri Besar terus terserlah seperti terpancar pada foto ini.


SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA (SJKC) ROMPIN, KUALA ROMPIN – Sesudah memasuki hari ketujuh atau separuh daripada tempoh 13-hari berkempen bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin ini;

Kempen yang dijalankan sama ada oleh Barisan Nasional (BN) mahupun lawannya PAS, masih pada tahap sederhana sepertimana pemerhatian oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Ia sedemikian rupa kerana faktor nilai sosio-budaya yang ketara antara masyarakat Pahang termasuk di Rompin ini, dengan di kawasan-kawasan bandar seperti di pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Saya perhatikan, kempen di Rompin ini saya anggap pada tahap sederhana kerana nilai sosio-budaya masyarakat Pahang dan Rompin ini berbeza sedikit dengan di bandar.

“Kita ini, kalau guna perkataan Bahasa Inggeris – ‘Peace Loving People’. Kita ini bukan ‘violent’, bukan kasar. Jadi kempen kita kita jalan macam biasa,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, BN Negeri.  

SEPERTIMANA LAZIM, DATO' SRI DIRAJA ADNAN SANGAT BERSAHAJA DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 19-MINITNYA...


“JADI UNTUK ITU, BARISAN NASIONALLAH”

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas hadir merasmikan Minggu Perpaduan Negeri Pahang 2015 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional malam Selasa, 28 April di sini.

Sepertimana juga dengan BN katanya yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, PAS turut menjalankan kempen rumah ke rumah selain daripada penganjuran ceramah-ceramah secara yang kecil-kecilan sahaja.

Bagaimanapun, daripada segi kelicinan jentera antara kedua-duanya menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, jentera pilihanraya BN agak lebih licin berbanding saingannya itu, PAS.

“Tapi saya yakin dan percaya, seperti yang saya berucap sebentar tadi – saya tidak memaksa mereka (para hadirin) mengundi tapi menggunakan akal fikiran untuk memilih kestabilan dan juga keharmonian.

“Jadi untuk itu, Barisan Nasionallah,” katanya lagi.

SIJIL BUAT PENERIMA... 


TERUS CUBA TERANGKAN, CUBA ‘RATIONALISE’KAN

Beliau seterusnya mengakui betapa isu yang dibangkitkan dalam tempoh seminggu yang lepas ini, memang banyak yang memerlukan jentera BN menanganinya menerusi penjelasan dan penerangan yang terus diberikan.

Beliau memberikan contoh isu Felda termasuk yang berkaitan kebajikan generasi kedua, yang berdasarkan pemerhatian katanya, pihak-pihak berkenaan telah memberikan penerangan yang baik sehingga boleh diterima oleh rakyat.

“Begitu juga soal GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)… Kita di mana-mana (sahaja), cuba menerangkan dan kita cuba ‘rationalise’kan dengan orangramai.

“Yang pentingnya, kita minta mereka (rakyat) berfikir. Kita tak boleh paksa mereka tapi kita minta mereka berfikir untuk memilih manakah alternatif yang paling baik – Barisan Nasional ataupun PAS,” katanya lagi.

Beliau turut ditanya tentang jangkaannya kini terhadap sokongan masyarakat Cina kepada BN yang menurutnya, hanya boleh diketahui sebenar-benarnya pada hari pengundian kelak.

SEBAHAGIAN HADIRIN PADA MALAM SELASA INI... 


REAKSI PENGUNDI CINA AGAK BAIK

Sungguhpun begitu, “Reaksi (masyarakat Cina) nampak agak baik. Mereka juga hanya ingin dihargai dengan cara mereka didekati, kita mendengar masalah mereka. Ini juga saya perhatikan di sini, majlis yang dianjurkan juga (terima sambutan) agak baik.

“Sebentar lagi saya akan ke Bilik Gerakan MCA Bahagian Rompin untuk menengok persiapan. Saya nampak baiklah (reaksi terhadap BN),” katanya.

Kepada soalan mengenai kemungkinan Kerajaan Negeri mengisytiharkan Hari Pengundian PRK ini pada Selasa, 5 Mei sebagai cuti umum katanya, perkara tersebut akan dibawa berbincang dan diputuskan pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pagi esok, Rabu, 29 April.

“Memang kita ada, kita katakan pemikiran ke arah itu (mengisytiharkan cuti peristiwa pada tareikh tersebut). Kita akan bincangkan, kita akan putuskan esok,” katanya ringkas.

Antara yang turut hadir pada majlis perasmian Minggu Perpaduan Negeri Pahang 2015 ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Muhamad; ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Mohd Johari Hussain yang juga wakil rakyat setempat (BN _ Tioman); 

Ketua Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Encik Gandesan Letchumanan; serta, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar




Monday 27 April 2015

UMP atas landasan kukuh untuk jadi institusi terbilang!



… kata Menteri Besar sempena Malam Anugerah Cendekia Bitara 2014

SIJIL PENGHARGAAN BUAT PEMENANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada pemenang bagi sati daripada kategori yang dipertandingkan. 

Selain Prof Dato' Dr Daeng Nasir; yang turut memerhatikan ialah Prof Dr Mashitah (kanan sekali) dan Prof Dato' Dr Yusserie. 

                            
HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pujian tinggi Kerajaan Negeri apabila Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri mengakui betapa ia berada pada landasan kukuh untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi terbilang di Negara ini.

“Berdasarkan pelbagai pencapaian dan kejayaan yang dilaporkan dalam ucapan Naib Canselor sebentar tadi,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 13-minitnya pada Malam Anugerah Cendekia Bitara 2014, Isnin, 27 April di sini;

“Maka dapatlah dirumuskan bahawa ump kini berada pada landasan yang kukuh untuk bergerak cemerlang sebagai sebuah institusi terbilang,” katanya yang berucap selepas ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Daeng Nasir Ibrahim.

Ke arah meneruskan kecemerlangan, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengingatkan tentang perlunya UMP memiliki kepimpinan yang terus unggul, yang berupaya menekuni realiti dunia dan mendepani cabaran semasa.

Yang seterusnya pula katanya, berupaya untuk diterjemahkan dalam bentuk aspirasi strategik universiti dengan secara efisien dan efektif.

SESI BERGAMBAR DENGAN PARA PEMENANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersesi gambar dengan pemenang - Dr Mohamed Ariff Ameedeen (kategori Sains Gunaan) dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Software; dan, Dr Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi (kategori Seni dan Sains Gunaan) dari Pusat Bahasa Modern dan Sains Kemanusiaan.
  

TUMPUAN SERIUS KEPADA AGENDA KECEMERLANGAN

“Sukalah saya menyeru kesemua yang terlibat dengan UMP – daripada peringkat  pengurusan atasan, akademia, birokrat dan mahasiswa; supaya memberikan perhatian yang serius kepada agenda kecemerlangan sebagaimana yang telah digariskan dalam Pelan Strategik UMP 2011-2015,” tegasnya.

Beliau juga berkata betapa selain UMP menetapkan kerangka governan yang distruktur dengan kukuh berdasarkan keperluan semasanya, tumpuan besar perlu terus dihalakan kepada pemerkasaan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C); penerbitan: dan, perundingan dalam kalangan warga akademia universiti ini.

“Melepasi tahun ke-13 usia penubuhannya pada 16 Februari lepas, UMP sepatutnya berupaya mendakap pendekatan yang lebih progresif, di luar perimeter konvensional dalam pelbagai aspek R&D&C, penerbitan dan perundingan;

“Sekaligus, menyerlahkan jenama unik universiti ini. Pra-syarat utama kepada keupayaan tersebut ialah pembudayaan kreativiti dan inovasi secara menyeluruh di UMP.

“Oleh itu, saya amat sukacita kerana pihak pengurusan UMP telah berjaya mengekalkan penganjuran Malam Anugerah Cendekia Bitara ini secara berterusan untuk tahun keenam berturut-turut.

LAGI SESI BERGAMBAR BERKUMPULAN... 
 

MENGAKAR-UMBIKAN BUDAYA KREATIVITI, INOVASI

“Malah, saya juga amat sukacita kerana usaha pembudayaan kreativiti dan inovasi telah turut diakar-umbikan secara serius dalam kalangan mahasiswa UMP melalui penganjuran Creativity, Innovation,Technology & Research Exposition (CITREX) sejak tahun 2012,” katanya lagi.

Selain Prof Dato’ Dr Daing sendiri, serta ahli-ahli Lembaga Pengarah UMP, antara yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin;

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr Mashitah Mohd Yusoff; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Anugerah Cendekia Bitara 2014, Prof Dr Jasni Mohamad Zain. – Khabar

Sunday 26 April 2015

Tiga (3) projek PR1MA Negeri di Rompin sahaja!



… dengan kos kesemuanya, RM192.24 juta, bakal bina 680 unit di tiga (3) lokasi di Sungai Puteri, Pontian dan Muadzam Shah

“… kita akan rasmikan 4 hari bulan (Mei). Ini bukan sebab pilihanraya, tidak. Ini semua dah berjalan tapi sebab ada pilihanraya ini, kita ambil kesempatan untuk mengumumkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

KEMESRAAN PEMIMPIN PERSEKUTUAN DAN NEGERI KITA... Dengan hubungan mesra sebeginilah yang terus menjamin kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi membangunkan negara dan negeri demi kesejahteraan rakyat-jelata. 

Yang turut kelihatan tersenyum girang ialah wakil rakyat setempat, Dato' Sri Maznah Mazlan (BN - Muadzam Shah).

Foto ini dirakam semasa Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri dengan warga pendidik daerah Rompin pada petang Ahad, 26 April di Auditorium, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Muadzam Shah, Rompin. 
 
                                    
SMK SUNGAI PUTERI, KUALA ROMPIN, ROMPIN – Kerajaan Negeri akan melaksanakan tiga (3) projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri di daerah Rompin ini, dengan kos RM192.24 juta bagi membina 680 unit rumah yang dijual pada harga RM150,000 sebuah.

Ketiga-tiga projek ini ialah – pertama, di Sungai Puteri ini, yang akan dimajukan oleh Capaian Kencana Sdn Bhd di atas tanah seluas 16.65 hektar dengan kos RM64.27 juta bagi membina 260 unit;    

Kedua, di Pontian, yang akan dimajukan oleh Genuang Mineral Resources Sdn Bhd di atas tanah seluas 18.7 hektar dengan kos RM54.37 juta bagi membina 160 unit.

Dan ketiga, di Muadzam Shah, yang akan dimajukan oleh Geofound Sdn Bhd di atas tanah seluas 24.3 hektar dengan kos RM73.6 juta bagi membina 260 unit juga.

“… kita akan rasmikan (pada) 4 hari bulan (Mei). Ini bukan sebab pilihanraya (kecil Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei ini), tidak. Ini semua dah berjalan (sejak sekian lama) tapi sebab ada pilihanraya ini, kita ambil kesempatan untuk mengumumkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

MEMANDU UJI '3-SEATER BUGGY'... Tan Sri Muhyiddin kelihatan sedang memandu-uji kenderaan yang direka khas oleh pelajar-pelajar kejuruteraan Uniten. Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan gembira mengangkat tanda bagus ialah calon PRK Parlimen kawasan Rompin, Dato' Hasan. 

RM1.1 JUTA UNTUK ATASI MASALAH AIR DI SUNGAI PUTERI
      
Beliau berkata demikian pada penghujung ucapan luar teks 14-minitnya sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) & Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) anjuran Yayasan Pahang (YP) pagi Ahad, 26 April di sini.

Beliau juga berkata betapa pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, masalah bekalan air di kawasan perumahan Sungai Puteri ini telah dibangkit dan dibincangkan, yang berpunca daripada tekanan air rendah.

“Saya telah minta PAIP - Pengurusan Air Negeri Pahang Bhd untuk pergi semak, Rupanya, paip semuanya lama-lama. Jadi kita setuju untuk buat baharu.

“Kita akan keluarkan peruntukan RM1.1 juta untuk membaiki sistem paip air ini di perumahan Sungai Puteri dan ianya akan siap dalam tempoh enam (6) bulan lagi, in-sya-Allah,” katanya.

Sempena kehadirannya pada majlis anjuran YP yang mana beliau juga ialah Pengerusi, Lembaga Pengarahnya, sebahagian besar ucapan luar teksnya semestinyalah berkisar mengenai YP serta peranan besarnya selama ini.

MERAI DAN MENGHARGAI KEHADIRAN 'BATIN NAN'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang diraikan kehadirannya oleh gadis-gadis Orang Asli ini, semasa tiba petang Ahad, 26 April di padang bolasepak Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik bagi menyampaikan hadiah sempena Pertandingan Bolasepak Piala JAKOA 2015. 

Menyusul di belakangnya ialah Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dato' Hasnan Hassan (berbaju korporat biru-putih).  

BANTUAN PENDIDIKAN MENINGKAT KEPADA RM80 JUTA SEKARANG

Ketika mula-mula YP ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Menteri Besar yang juga Pengurus Besar YP ketika itu, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak katanya, peruntukan yang disediakan untuk bantuan-bantuan pendidikan hanyalah bernilai RM1.5 juta.

Nilai itu kemudian ditingkatkan kepada RM30 juta semasa Dato’ Sri Mohd Khalil Yaakob – kini Tun, Yang Dipertua Negeri Melaka; ialah Menteri Besar sekaligus Pengerusi YP.

“Sekarang ini, untuk belanja (bantuan) pendidikan sahaja -- beri pinjaman, biasiswa sebagainya; RM80 juta (daripada) bajet keseluruhan Yayasan Pahang, RM200 juta,” katanya yang juga Pengerusi YP selepas Dato’ Sri Mohd Khalil.

Sebelum ini katanya lagi, punca pendapatan YP ialah menerusi penjualan kepada penender-penender tertinggi bagi kawasan-kawasan balak yang diberikan kepadanya oleh Kerajaan Negeri; selain Kerajaan Negeri turut menyuntik dana RM6 juta setahun kepadanya.

“Tapi sekarang ini, sudah tujuh tahun, lapan tahun, Kerajaan Negeri tak bagi satu senpun kepada Yayasan Pahang. (Kawasan) balakpun dah tak ada lagi dah (diberikan kepadanya).

FOTO BERKUMPULAN BERSAMA-SAMA JUARA 9-SEBELAH, 'BLACK MAMBANG'... Yang turut sama dalam sesi bergambar ini selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Hasnan ialah Dato' Mohamad Jaafar (kanan sekali); Ahli Exco Kerajaan Negeri Dato' Wan Rosdy Wan Ismail; wakil Orang Asli di Parlimen Dato' Muhamad Olian Abdullah; Dato' Sri Maznah; dan, Pengarah, JAKOA Negeri, Encik Isa  Hamid (Berdiri, dua dari kiri).


PUNCA PENDAPATAN YP BAHARU – HASIL KELAPA SAWIT

“(Jadi), dari mana datangnya duit Yayasan Pahang (sekarang)? Sekarang ini, Yayasan Pahang mendapat kewangannya dari hasil ladang kelapa sawit, lebih kurang 75,000 ekar ladang kelapa sawit Yayasan Pahang telahpun membuahkan hasil dan dari sinilah datangnya duit kita berikan kepada anak-anak kita,” katanya lagi.

Kejayaan oleh YP ini menurutnya, adalah hasil kesepakatan dalam pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang dengannya jugalah, hal-hal berkaitan kebajikan dan pendidikan rakyat sentiasa terpelihara.

“… apapun orang bercakap tentang Kerajaan – buruk-buruk, busuk-busukpun Kerajaan Barisan Nasional, kita masih fikirkan tentang rakyat. Itu yang mustahak,” katanya yang secara spontan para hadirin bertepuk tangan tanda sokongan.

“Setiap kali – tanyalah Encik Mahmud (Nawawi, Pengurus Besar YP); Dato’ Munir (Yaakob), Dato’ (Ahmad) Munawar (Abdul Jalil) ahli Lembaga (Pengarah YP), tiap kali mesyuarat Lembaga (Pengarah), kita bincangkan hal anak-anak kita, pelajaran anak-anak kita.

“Sebab, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, tidak ada apa lagi Kerajaan dapat bekalkan kepada anak-anak kita melainkan bidang pelajaran. Bukan semua negara tumpukan soal pelajaran kepada rakyat tetapi kita di Malaysia (beri tumpuan itu).

HADIRIN ORANG ASLI YANG SETIA... 

SEMISKIN MANAPUN, AKAN TETAP DAPAT PELAJARAN

“Maknanya, semiskin manapun orang di Malaysia ini, dia akan tetap dapat pelajaran sebab banyak agensi (Kerajaan) yang membantu. Kerajaan Persekutuan kita ada PTPTN, ada MARA, ada bebagai-bagai lagi.

“Di Pahang ini kita ada Kerajaan Negeri, ada Yayasan Pahang untuk membantu. Sebab, Kerajaan yakin dan percaya, hanya melalui pelajaran sahaja maka setiap anak-anak akan punyai peluang untuk meneruskan kehidupan dalam dunia ini. Kalau tidak ada pelajaran, anak-anak akan tertinggal,” katanya.

Selain Encik Mahmud; Dato’ Munir; dan, Dato’ Ahmad Munawar; yang turut hadir pada majlis melibatkan 22 pelajar penerima HPC, dan, 348 pelajar penerima BSM bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Tioman ini ialah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar;

Wakil rakyat setempat (BN – Tioman) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Kapt (B) Mohd Johari Hussain; calon BN bagi PRK Parlimen kawasan Rompin ini, Dato’ Hasan Arifin; dan, Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Encik Rosdi Ismail. – Khabar