Sunday 31 December 2017

Pulangnya ke Rahmatullah, YB Dato’ Mohd Shohaimi Jusoh (1962 – 2017)

“Rutin Arwah untuk keluar berjumpa orangramai setiap 9 pagi, pulang ke rumah lewat petang dan sekali lagi keluar pada sebelah malam untuk berjumpa sesiapa sahaja yang mahu bertemunya,  kata Dato Sri Abdul Manan.

ARWAH, SEORANG YANG PERAMAH SERTA BAIK BUDI-BAHASANYA... Semoga Allah merahmati rohnya.   


MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, PERKAMPUNGAN SUNGAI ISAP, KUANTAN – Wakil Rakyat Negeri, Dato’ Mohd Shohaimi Jusoh (BN – Lepar) telah pulang ke Rahmatullah pada awal pagi Ahad, 31 Disember di kediamannya di Nombor 18, Lorong Sungai Isap Damai 32 dekat sini.

Arwah meninggal dunia pada usia 55 tahun, kira-kira 4.15 pagi. Arwah yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Paya Besar ialah wakil rakyat sejak 2008, meninggalkan isteri – Datin Rohaizan Yatim, 52, serta enam (6) anak berusia antara 15 dan 26 tahun.
 
Menurut anak keduanya, Mohd Irwan Afendi, 25, Arwah yang menghidap penyakit kencing manis, hanya demam sejak seminggu lepas tetapi semakin pulih dan kelihatan ceria semalam.

“Pada pukul 4 pagi, Emak memanggil saya dan tiga adik yang berada di rumah untuk membantu mengangkat Ayah yang lemah di tandas. Kami membawanya ke bilik dan menghubungi ambulans. Waktu itu nafas ayah begitu laju.

“Pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan Ayah sudah tiada, selepas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR),” katanya sepertimana dilaporkan oleh BERNAMA.

DALAM MENUNAIKAN SOLAT JENAZAH BUAT ARWAH... KDYMM Pemangku Raja sedang menunaikan Solat Jenazah yang diimamkan oleh Dato' Sri Abdul Rahman.

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Syed Ibrahim, Dato' Dr Ahmad Shukri (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan) dan Dato' Ahmad Nazri (kiri sekali).  


KEBERANGKATAN KDYMM PEMANGKU RAJA

Jenazah Arwah telah dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Hj Ahmad Shah ini, sebelum dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Fajar, Jalan Kuantan-Gambang kira-kira 20 km dari sini.

KDYMM Pemangku Raja Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puang Pahang, telah berkenan mencemar duli berangkat serta menyertai jemaah kira-kira 1,000 orang menunaikan Solat Jenazah.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif, Dato’ Sri Abu Bakar Harun, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad;

Mufti Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Osman; Ahli Parlimen, Dato’ Sri Abdul Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat-wakil rakyat Negeri – Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah (BN – Sungai Lembing), Dato' Mohd Zaili Besar (BN - Panching), Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka), Dato’ Mohamed Ariffin Awang Ismail (BN – Chenor), Dato’ Dr Ahmad Shukri Ismail (BN – Pulau Tawar);

serta Ketua-ketua Jabatan – Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Ahmad Nazri Abu Bakar, Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri, Dato’ Rosdi Ismail, Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Zaliza Zulkipli dan Pegawai Daerah Maran, Dato’ Ahmad Fuad Yahya.

SAMA-SAMA MENDOAKAN... 


TETAP TURUN PADANG WALAUPUN TIDAK SIHAT

Dato’ Sri Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar memberitahu wartawan yang beliau telah kehilangan seorang rakan dan seorang wakil rakyat yang sangat komited untuk membantu rakyat.

Menurutnya, Arwah tetap meluangkan masa mengikuti program-program sekitar Parlimen Paya Besar sungguhpun dalam keadaan tidak sihat, termasuk program penyampaian sumbangan Khamis lepas yang merupakan pertemuan terakhir mereka.

“Rutin Arwah untuk keluar berjumpa orangramai setiap 9 pagi, pulang ke rumah lewat petang dan sekali lagi keluar pada sebelah malam untuk berjumpa sesiapa sahaja yang mahu bertemunya.

“Masa Arwah lebih banyak diluangkan di luar berbanding (bersama dengan) keluarga. Begitu komitednya Arwah dalam bekerja. Arwah juga sepatutnya menghadiri satu majlis di Sekolah Kebangsaan Cina di sini, pagi ini,”
kata Dato’ Sri Abdul Manan. – BERNAMA/Khabar




Thursday 7 December 2017

PRU-14 - Penentu survival bangsa, masa depan rakyat & negara, kata Dato’ Sri Mohd Najib


“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi,” tegasnya

DALAM AKSI PENUH BERSEMANGAT... 

DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC), KUALA LUMPUR – Dato’ Sri Mohd Najib hari ini menegaskan betapa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mempunyai misi amat besar dalam menentukan survival bangsa, masa depan rakyat serta negara keseluruhannya, yang bukan hanya demi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana PRU-14 akan meletakkan rakyat di satu persimpangan pemutus lagi ‘monumental’, yang akan menjadi penentu kepada nasib negara ini, kata Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi,” tegasnya semasa menyampaikan ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 pagi Khamis, 7 Disember di sini.

Ucapan dasar bertajuk ‘UMNO : Pelaksana Wasiat Pusaka, Harapan Sejati Kesejahteraan Negara Bangsa’ itu disampaikannya selama kira-kira sejam 31-minit, bermula pada 10.23 pagi dan berakhir pada 11.54 pagi.

Dengan penuh bersemangat, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, UMNO telah terbukti sebagai satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan orang Melayu Bumiputera serta rakyat, selain kekal sebagai petunjang utama kepada BN.

DARI SISI LAIN... 


NASIB BURUK BAKAL TIMPA JIKA GAGAL PERTAHANKAN KERAJAAN

Beliau turut menggambarkan mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa jika UMNO dan BN gagal mempertahankan kerajaan sedia ada pada PRU-14 yang dikatakan sudah semakin hampir.

“Pertamanya, sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan syiarnya diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini?” tanya Dato’ Sri Mohd Najib sepertimana laporan berita BERNAMA.  

“Keduanya, tergamakkah kita melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia bahkan akan didurhakai, manakala institusi-institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti MARA, FELDA serta Tabung Haji serta-merta pula nanti akan disisihkan?” beliau bertanya lagi.

Beliau turut membayangkan nasib institusi kebanggaan UMNO dan Bumiputera seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sudah pasti akan digagalkan objektifnya begitu sahaja jika pembangkang pula memerintah.

Manakala penjawat awam yang menjadi tukang belakang kerajaan ketika ini katanya lagi, akan dikurangkan jumlahnya.

MEMENUHI ACARA TRADISI, MENAIKKAN PANJI PARTI - SANG SAKA BANGSA... Selain Dato' Sri Mohd Najib, yang turut kelihatan ialah Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Dato' Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi;

 Naib Presiden, Dato' Sri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Dato' Sri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Setiausaha Kerja, Dato' Sri Ab Rauf Yusoh. 
   

AKAN TERGADAI KEINDUKAN

“Dan sudah tentu sekali kesumat pihak lawan sejak sekian lama terhadap keistimewaan orang Melayu Bumiputera sebagai leluhur jati di pertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka; akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukannya.

“Bahkan, lebih buruk dari itu akan merempat, dicelakakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri,”
katanya lagi.

Beliau seterusnya mengajak kesemua anggota UMNO membayangkan sama ada mereka masih berpeluang berkumpul di Dewan Merdeka yang penuh keramat ini jika UMNO dan BN tumpas ke tangan lawan.

“Masih terdengarkah lagi gemanya selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang kita kasihi. Mungkinkah dibenar berkumandangnya lagi lagu-lagu patriotik UMNO lambang bangsa bertuah ini? Bolehkah panji-panji UMNO terus berkibar?

“Mampukah kita menahan rasa sebak dan sedih di dada apabila kita tidak lagi bisa berkumpul seperti ini dalam satu keluarga besar sebagai adik beradik UMNO,”
beliau menambah kata.

AMPUNKAN, AMPUNKANLAH

Hanya ketika itu menurutnya, barulah anggota parti sedar mengenai nikmatnya sebuah kesatuan dan mulianya hidup dalam perjuangan di bawah rimbunnya payungan UMNO, namun semuanya sudah tidak bererti.

“Pada waktu itulah, apabila cucu-cicit keturunan kita bertanya, kenapakah kita kecundang dan membiarkan semua ini berlaku?

“Jawapannya… hanyalah dengan raut wajah sejuta penyesalan,sambil berlinang air mata, kita hanya mampu berkata kepada mereka, ‘Wahai anak cucuku, ampunkan, ampunkanlah dosa-dosa kami ini,”
menurut Dato’ Sri Mohd Najib lagi. – BERNAMA/Khabar


Tuesday 5 December 2017

Patuhilah nasihat Presiden, pinta Dato’ Sri DiRaja Adnan

“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi insyaAllah, kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah, kita akan peroleh kemenangan,” tegasnya.

BERSATU KITA BERSATU, DENGAN SETIA BERGANDING BAHU... Perhimpunan Agung UMNO menjelma lagi dan yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum Ke-14.  


PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta kesemua ahli UMNO supaya mematuhi nasihat Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang dengannya, akan membolehkan parti menang pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi,” katanya, dan menambah, “… insyaAllah, kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah, kita akan peroleh kemenangan”.  

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian kepada wartawan TV3 ketika ditemui selepas hadir pada Taklimat Presiden petang Selasa, 5 Disember, di sini.

Taklimat Presiden ialah satu daripada acara yang telah diatur bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 selama lima (5) hari yang bermula hari ini, dan berakhir pada Sabtu, 9 Disember.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau telah ‘puluhan tahun’ hadir pada perhimpunan seperti ini serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Presiden parti tetapi apa yang telah disampaikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib hari ini, ialah yang terbaik atau ‘excellent’.

'FLASHBACK' SEMASA KONVENSYEN UMNO PAHANG PADA NOVEMBER 2016... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Naib Presiden, Dato' Sri Hishammudin Hussein; ialah tokoh veteran UMNO kita, Dato' Sri Abdul Jabbar Ibrahim. 


TAKLIMAT PRESIDEN YANG TERBAIK, ‘EXCELLENT’

Berikut ialah apa yang telah dikatakan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dan disiarkan secara ‘verbatim’;

“Saya telah menghadiri Taklimat Presiden ini, puluhan tahun. Pada hari ini saya berpendapat, Presiden telah menyampaikan taklimat yang terbaik, ‘excellent’.

“Beliau telah menyeru supaya ahli parti bersatu padu dan bekerja untuk menghadapi pilihanraya. PRU ke-14 ini sangat penting untuk parti bagi menentukan kesinambungan Kerajaan dan masa depan negara.

“Beliau telah meminta supaya kita melupakan pemilihan parti tetapi menumpukan kepada Piliharaya Umum.

“Beliau juga telah meminta supaya kita mengurangkan sengketa sesama kita, melupakan segala-galanya dan hanya selepas Pilihanraya nanti barulah kita menumpukan kepada perkara-perkara lain. Buat masa ini beliau mengharapkan supaya kita menumpukan kepada Pilihanraya Umum.


“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi insyaAllah kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah kita akan peroleh kemenangan”. – Khabar

Sunday 3 December 2017

Encik Zamri – daripada pegawai ‘procurement’ kepada pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar negara

POSE ENCIK ZAMRI DI DEPAN MERCU TANDA LADANGNYA...   



NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel mengenai Zamri Agro Farm hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar Pahang dengan pemiliknya, Encik Zamri Othman pada Khamis, 26 Oktober lepas. 

Artikel ini ialah untuk siaran dalam ruangan Tekad, Kudrat & Iradat majalah Khabar Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada hujung bulan/tahun ini.

Sama-samalah kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya, insyaAllah.  


ZAMRI AGRO FARM, KAMPUNG PADANG FREE, PAMAH RAWAS, MUKIM HULU DONG, RAUB – Siapa sangka? Daripada seorang pegawai ‘procurement’ atau pemerolehan di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor, kini ialah pengusaha dan pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar di negara ini. 

Jumlah pengeluaran kini ialah 30,000 anak benih yang mahu ditingkatkan menjadi 120,000 anak benih atau lebih empat (4) kali ganda daripada asal, pada tahun depan (2018). 

Dan anak benih-anak benih ini telah diiktiraf oleh Jabatan Pertanian sebagai yang asli – klon D197 atau Musang King atau dulunya lebih dikenali sebagai Raja Kunyit; hasil cantuman antara pokok induk klon sama dengan durian kampung. 

Inilah orangnya, Encik Zamri Othman, anak tempatan berusia 42 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti e Asia (AeU), Kuala Lumpur, yang sanggup tinggal di sini berjauhan daripada isteri di Shah Alam, demi menjayakan pengusahaannya. 

Dan atas tekad dan kudratnya itu serta beberapa lagi usaha pertaniannya, beliau telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Peladang Jaya Lelaki sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri 2017 pada Mei lepas.

ANAK BENIH MUSANG KING...


KELUAR WANG SIMPANAN BELI TANAH

“Sejak berhenti kerja tahun 2014 (selepas 20 tahun berkhidmat dengan syarikat berkenaan), di sinilah tempat saya,” kata Encik Zamri pada temubual dengan penulis pada tengah hari Khamis, 26 Oktober di sini. 

Setahun sebelum itu lagi (2013), Encik Zamri sudah menunjukkan hasratnya ke arah itu dengan mengeluarkan RM80,000 wang simpanannya, membeli tanah tiga-setengah (3 ½) ekar bersebelahan tanah 3 ½ ekar lagi milik keluarga, menjadikan keluasan keseluruhannya, tujuh (7) ekar, di sini. 

Matlamat utamanya ketika itu ialah untuk menanam pokok durian Musang King, sejajar dengan kesesuaian tanah di sini apatah pula daerah Raub memang sudah terkenal dengan penghasilan buah durian klon tersebut. 

Beliaupun membeli kira-kira 200 anak pokok durian, RM70 seanak pokok – 197 daripadanya sahaja merupakan klon Musang King manakala selebihnya, satu (1) klon IOI dan dua (2) lagi klon Duri Hitam; kemudian menanamnya.

Kepada anak muda lepasan pengajian pengurusan yang pernah pula terlibat dengan kerja-kerja pemerolehan di tempat kerjanya sebelum ini; membeli dan menanam mungkin satu perkara yang boleh dikatakan tidak susah, tetapi; 

TANDA PENGESAHAN OLEH JABATAN PERTANIAN... Inilah pokok Musang King yang daripadanya dicantumkan bagi menghasilkan anak benih Musang King yang sejati.  

TAK BOLEH AMALKAN 3T – TEBANG, TEBAS, TINGGAL

“… untuk menjaganya, satu perkara lain. Ia perlukan pengetahaun serta penjagaan yang baik khususnya membaja. Kita tak boleh amalkan 3T – tebang, tebas, tinggal,” kata Encik Zamri tentang pengalaman awalnya menanam dan menjagai anak pokok durian ini. 

Oleh kerana kegigihan dan menerusi katanya, ‘penjagaan cantik dan rapi’, hanya selepas tiga (3) tahun lima (5) bulan, pokok-pokok duriannya ini telahpun mengeluarkan hasil yang diharap-harapkan. 

Dalam pada itupun, sepertimana beliau gigih mempelajari secara ‘informal’ kaedah-kaedah terbaik menanam dan menjagai pokok durian, Encik Zamri cuba melakukan yang sama untuk menghasilkan anak-anak benihnya pula. 

Di sinilah beliau menghadapi cabaran besar – lokek ilmu! Hampir tidak ada sesiapapun yang mempunyai ilmu tersebut khususnya dalam kalangan pengusaha anak benih-anak benih durian Musang King yang ditemui, sanggup berkongsi ilmu tersebut dengannya. 

“Terpaksalah saya gagahkan diri, cuba hasilkan anak benih-anak benih ini menerusi ‘trial and error’,” katanya. Maka, banyak kalilah, tanpa jemu atau putus asa, beliau mencuba, gagal, dan mencuba lagi. 

JERNIHNYA SUMBER AIR DI SINI, YANG DIPEROLEHI DARI HUTAN SIMPAN BERSEBELAHAN... Yang menerusi paip kira-kira 7 KM daripada puncanya telah dialirkan ke sini.  

CANTUM ‘MATA TUNAS’ DENGAN ‘POKOK PENANTI’

Sehinggalah beliau menemui kaedah sendiri dengan mencantumkan ‘mata tunas’ daripada daun pokok induk Musang King, dengan ‘pokok penanti’, yang asalnya daripada tunas biji durian baka kampung.

‘Pokok penanti’ ini, fungsinya sekadar sebagai pokok tumpang yang berupaya menyerap segala zat daripada tanah, sementara tunas daripada cantuman dapat tumbuh dan membesar.

Apabila sahaja tunas sudah membesar dan berupaya dengan sendiri menyerap zat-zat yang diperlukan terus dari tanah, maka ‘pokok penanti’pun hilang fungsinya lalu boleh ditanggalkan dengan mudah daripada tunas yang sudahpun membesar itu. 

Sejak itulah, Encik Zamri tidak menoleh ke belakang lagi. Satu anak benih ke satu anak benih Musang King dihasilkannya, yang dalam pada itu, beliau mendapatkan Jabatan Pertanian untuk mengesahkan kaedah percantumannya.

Mempelajari daripada pengalaman buruk yang silam, Encik Zamri tidak mahu menjadi seorang yang lokek ilmu. Dia senang sahaja menurunkan ilmunya itu kepada penduduk setempat maka terlahirlah kini, 20 pencantum dalam kalangan mereka. 

ANTARA POKOK MUSANG KING YANG TURUT DITANAM DI LERENG BUKIT DAN DUA (2) KOLAM IKANNYA...


BELI BIJI DURIAN KAMPUNG RM1 SEKILOGRAM

Selain itu, beliau juga menawarkan peluang pendapatan apabila – daripada biji buah durian kampung yang dibuang begitu sahaja, beliau membelinya pada harga RM1 sekilogram. 

Yang daripada biji-biji buah durian kampung inilah, beliau bajakannya lalu tumbuh tunas yang kemudian menjadi ‘pokok penanti’, dicantumkan dengan  ‘mata tunas’ daun durian Musang King untuk melahirkan anak benih-anak benih Musang King berkenaan.

“Ini adalah satu lagi kepuasan kepada saya. Selain melahirkan pencantum-pencantum baru, saya juga memberi peluang buat duit kepada penduduk kampung daripada melihat biji-biji buah durian dibuang begitu sahaja,” katanya. 

Bermula dengan memasarkan anak benih-anak benih ini untuk permintaan tempatan dengan harga jualan RM15 seanak benih setinggi antara empat (4) inci dan lapan (8) inci yang dikira murah berbanding kira-kira RM25 seanak benih di pasaran; 

Khabar tentang pengeluar anak benih ini oleh anak muda Melayu apatah lagi kerana ‘originality’ klon Musang Kingnya, kemudian segera tersebar hingga melampaui bukan setakat sempadan mukim, malah daerah dan negeri. 

MAHU HASILKAN 120,000 ANAK BENIH TAHUN DEPAN

Dan beliau amat profesional dalam penjualannya. “Pernah ada pembeli dari Pulau Pinang yang beli 100 anak benih dan tanam di kebunnya,” kata Encik Zamri, “… yang kemudian dapati, ada dua (2) tidak tumbuh seperti sepatutnya (maka) saya gantikan kedua-duanya secara percuma”.

Dijangka dapat menghabiskan jualan keseluruhan 30,000 anak benihnya (dengan nilai jualan RM450,000) pada hujung tahun ini, Encik Zamri sudahpun merancang untuk menghasilkan ‘batch’ baharu dengan jangkaan kira-kira 120,000 anak benih pada tahun depan (2018). 

Dengan bantuan pencantum-pencantum yang telah dilahirkannya, beliau percaya, sasarannya itu akan tercapai, seterusnya dapat memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadap anak benih-anak benih klon Musang King ini. 

Bagaimanapun, untuk ‘batch’ terbaharu ini, beliau tidak dapat lagi menawarkan harga RM15 seanak benih, sebaliknya akan menjual pada harga antara RM18 dan RM22 seanak benih dengan jangkaan nilai jualan antara RM2.16 juta dan RM2.64 juta. 

Bukan kerana hendak maraih keuntungan berlipat kali ganda tetapi menurutnya, cuma bagi menampung secara sewajarnya, kos penghasilannya yang semakin meningkat sekarang. 

JUGA TERNAK IKAN KELAH DALAM KOLAM

Namun beliau percaya, harga baharu itu nanti masih rendah jika dibandingkan dengan harga yang turut akan meningkat lebih tinggi lagi (malah, ada yang menjualnya sehingga RM40 seanak benih) di pasaran tempatan. 

Sungguhpun penghasilan dan pengeluaran anak benih Musang King ialah ‘core business’nya di ladang seluas tujuh (7) ekar ini, Encik Zamri juga turut mengusahakan jenis pertanian lain termasuklah penternakan ikan kelah! 

Kepada sesetengah orang, mungkin tidak pernah tahu tentang penternakan ikan itu melainkan kehidupan secara liar ikan yang terlalu sensitif terhadap alam sekitar tersebut di kawasan-kawasan yang tidak tercemar seperti di santuari ikan kelah di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut. 

Tetapi di sini, di dalam satu daripada dua (2) kolam, dengan keluasan 160 kaki X 150 kaki dan kedalaman sembilan (9) kaki, telahpun terdapat kira-kira 5,000 ekor atau kira-kira empat (4) tan atau 4,000 kg ikan tersebut. 

Setiap seekor kini katanya, telahpun mencapai berat antara 500 gm dan 2 kg. Dengan harga sekilogram ikan tersebut ialah RM400, dikalikan dengan 4 tan atau 4,000 kg yang bersamaan dengan RM1.6 juta. 

AIR BERSIH, JERNIH DARI HUTAN SIMPAN GUNUNG BENUM

“Sekarang, saya tunggu masa yang sesuai sahaja untuk ‘harvest’ dan jual,” katanya. 
Sepertimana tidak lokek ilmu, Encik Zamri juga tidak berahsia tentang kejayaannya menternak ikan kelah yang sangat sensitif ini iaitu, mengisi kolamnya dengan air bersih lagi jernih. 

Air ini diperolehi dari sungai dalam Hutan Simpan Gunung Benum bersebelahan, dialir ke sini dengan kuasa graviti sejauh kira-kira tujuh (7) KM menerusi ‘polypipe’ yang berdiameter kira-kira empat (4) inci.

Begitu jugalah, air yang sama digunakan bagi mengisi satu lagi kolam seluas 180 kaki X 180 kaki, berkedalaman sembilan (9) kaki juga, yang diternaknya pula ikan tilapia yang kini jumlahnya ialah kira-kira 6,000 ekor. 

Setiap ekor kini sudahpun mencecah kira-kira 2 kg yang dikalikan dengan 6,000 ekor bersamaan dengan 12,000 kg. Harga sekilogram ikan tilapia kini ialah RM70 X 12,000 kg bersamaan dengan RM840,000 nilai jualan keseluruhan. 

KEKAL ‘MODEST’, MAHU ‘SLOW DOWN’ UMUR 45 TAHUN

Sungguhpun dengan kejayaan-kejayaannya ini, Encik Zamri dilihat tetap kekal ‘modest’ atau bersederhana termasuklah dalam menentukan jumlah pendapatan bulanannya. “Saya tak ambil banyak (sebagai pendapatan tetap bulanan). 

“Malah, untung yang dapatpun dibahagi menurut bahagian tertentu kepada anak-anak buah saya,” katanya. 

Dengan sikap sebegini serta dengan kegigihan beliau yang menurutnya akan mula ‘slow down’ pada usia 45 tahun; adalah dijangkakan Encik Zamri akan dapat menempuh lebih kejayaan, insyaAllah. – Khabar