Wednesday 31 January 2018

Kempen #UndiRosak – Usaha hendak mensabotaj BN


“Sebenarnya, ini satu cara untuk mereka sabotaj. Sebab mereka takut – walaupun mereka kata orang muda belum tentu menyokong Barisan Nasional, tetapi ramai juga (orang muda) yang menyokong…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

BAYI 5-BULAN DALAM DUKUNGAN... Sambil mendukung bayi - Adik Muhammad Fahim Zayyan, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang membetulkan kedudukan ayah Adik ini - Insp Mohd Zulkefli Ariffin, sebelum sesi berfoto. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Roslan, serta Ibu kepada Adik Muhammad Fahim Zayyan, Puan Nur Halawati Mat Zaki. 

Sempena lawatan kerja seharian ke Markas Briged Tenggara ini, Dato' Sri DiRaja Adnan turut meluangkan masa menziarahi Adik Muhammad Fahim Zayyan, 5-bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang. Sambil itu, bantuan kewangan turut dihulurkan kepada keluarga ini. 


DEWAN SRI KELISA 1, MARKAS BRIGED TENGGARA, PASUKAN GERAKAN AM (PGA), BUKIT GALING, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyifatkan kempen #UndiRosak ialah satu cara oleh pihak yang mengusahakannya, untuk mensabotaj Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya, ini satu cara untuk mereka sabotaj. Sebab mereka takut – walaupun mereka kata orang muda belum tentu menyokong Barisan Nasional, tetapi ramai juga (orang muda) yang menyokong…

“Dengan membuat kempen rosakkan undi ini, mereka berharap sokongan kepada Barisan Nasional akan merosot. Ini menunjukkan bahawa mereka (pembangkang terutamanya) tidak yakin dengan kekuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan yang menemuinya pada akhir lawatan kerja seharian beliau ke Markas Briged Tenggara PGA ini, petang Rabu, 31 Januari di sini.  

“Yang penting kepada UMNO dan Barisan (Nasional),” katanya, “… jangan peduli kelemahan orang, pertelingkahan orang lain (sebaliknya) kita kuatkan jentera kita. Wakil rakyat teruskan kerja wakil rakyat mereka sampai habis.


ISTERI KEPADA PRA YANG SAKIT JUGA DIJENGAHI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mencatatkan sesuatu tentang pesakit ini - Puan Yaumai @ Yaumi Othman, 53 - isteri kepada Pekerja Rendah Am (PRA) di Markas ini, Encik Halim Ali. 

Puan Yaumai mengalami sakit saraf. Yang turut kelihatan selain Dato' Roslan ialah Dato' Mazlan (menunduk). 

                                                                                                                     
YANG PENTING, KITA BEKERJA

“Begitu juga (UMNO) Bahagian – teruskan kerja-kerja untuk membantu masyarakat seperti pasukan yang pergi ke kampung-kampung memberikan bantuan. Ini (perlu di)teruskan. Jangan pedulilah pembangkang.

“Yang pentingnya kita bekerja. Apa orang cakap, cakaplah,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Mengulas tentang kunjungan ke kawasan-kawawan luar bandar misalnya, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, bantuan barangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan hendaklah yang berpatutan.

“Janganlah bawa (sekadar) sekampit kecil garam, gula, beras (hanya) dua (2) kg, tak payahlah. Bawa (barangan keperluan harian itu hendaklah jumlahnya untuk) kita tolong orang, tolong berbalaoi,” katanya.

“(Yang ber)makna; bila kita tolong (orang yang memerlukan itu), dia (orang yang ditolong itu) boleh gunakan seminggu-dua barang makanan tu. Jangan setakat untuk kita hendak tunjuk sahaja, tak boleh…,” katanya lagi.  

MENURUNI TANGGA KUARTERS... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Roslan, yang turut kelihatan menyusul di belakang setelah selesai menziarahi penghuni di kuarters ini ialah Dato' Indera Mustaffar Kamal dan Dato' Abdul Rahim (kedua-duanya berbaju biru).  


MESEJ PENTING

“Jadi apa yang penting sekarang ini,” katanya dan menambah, “… Barisan (Nasional), UMNO bekerja dengan ikhlas, tunjukkan kita komited untuk menolong orang. Kalau orangramai suka kita, makna mereka suka parti kita (maka) parti kita boleh menang dengan mudah”.

Beliau seterusnya mendedahkan betapa dengan usaha Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak baru-baru ini – yang menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis pada sebelah pagi, telah mendorong kepada kenyataan yang Menteri itu keluarkan kemudian tentang Perancis tidak akan memulaukan pengeksportan minyak sawit Malaysia ke sana.

Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini, telah membuat keputusan untuk mengenakan larangan pengimporatan minyak sawit ke pasaran negara-negara Eropah itu menjelang tahun 2021.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Perancis itu – Puan Florence Parly, telah dilaporkan berkata betapa negaranya tidak akan mendiskriminasi minyak sawit dan, sungguhpun sebagai antara negara pengasas EU, Perancis mempunyai pendiriannya tersendiri berhubung isu tersebut.

“Orang tak tahu apa yang Perdana Menteri buat, apa yang telah Perdana Menteri sampaikan kepada Menteri Pertahanan Perancis, mesej yang penting (pada pertemuan sebelah pagi itu).

BERFOTO KUMPULAN... Sempena lawatan kerja ini, mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) turut diadakan di sini dan sesi foto berkumpulan ini adalah sebagai tanda kenang-kenangan. 


KESAN BESAR KEPADA 680,000 PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT

“(Pada sebelah) petang itu kita lihat, keluar (‘crawling news’ dalam stesen televisyen tempatan dengan laporan berita) ‘Perancis tidak akan boikot minyak sawit’,” katanya lagi.

Dan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri serta kenyataan positif yang Menteri Pertahanan Perancis tersebut katanya, boleh memberi kesan serta faedah besar kepada para pekebun kecil termasuk peneroka Felda di negara ini khususnya yang menanam kelapa sawit.

Menurut statistik, terdapat kira-kira 680,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini yang jika dikalikan dengan empat (4) orang ahli keluarga bagi setiap seorang pekebun kecil tersebut bermakna, kira-kira 2.72 juta orang yang bergantung nafkah kepada industri kelapa sawit ini.

Jumlah peneroka Felda di negara ini pula ialah 112,635 orang yang daripadanya, 90,511 orang atau 80.36 peratus ialah peneroka tanaman kelapa sawit manakala bakinya, 22,124 orang atau cuma 19.64 peratus ialah peneroka tanaman getah.

Bilangan peneroka Felda di Pahang pula ialah 43,123 orang yang daripadanya, 40,500 orang atau 93.92 peratus ialah peneroka tanaman kelapa sawit manakala bakinya, 2,623 atau sekadar 6.08 peratus ialah peneroka tanaman getah.

PENEGASAN, DALAM UCAPAN LUAR TEKS 40-MINITNYA... Yang dalam ucapan inilah juga, beliau mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk Markas Briged Tenggara ini, yang turut melibatkan ketiga-tiga batalion - 7, 8 dan 9; di bawahnya.   


SELIDIK DULU, JANGAN TERUS PERCAYA 

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas tentang berita-berita palsu yang sering disalurkan menerusi media sosial dan menurutnya, rakyat tidak harus terperangkap dengan mereka yang hanya gemar untuk mensensasikan satu-satu perkara.

“Yang penting,” tegasnya, rakyat mestilah, “… kena guna akal, otak dan fikiran – baca, selidik dulu, jangan terus percaya… Nanti esok, (apabila) kita buat keputusan berdasarkan kepada pembohongan, kita akan menyesal”.

Mengenai lawatan kerja ke Markas Briged Tenggara ini katanya, ia merupakan gerak kerja berterusannya yang sebelum inipun, beliau telahpun melakukan lawatan kerja yang sama ke sini serta ke tempat-tempat lain termasuk ke Stesen Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Markas 4 Briged Mekanis dekat sini.

Selain Komander, Markas Briged Tenggara PGA, Dato  Roslan Ahmad; antara yang turut hadir pada lawatan kerja ini ialah kesemua Ahli Exco Kerajaan Negeri; Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Ab Rahman;

serta, Setiausaha, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Abdul Rahim Abas; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; dan Timbalannya, Dato’ Mazlan Mat Rashid. 


HADIRIN SEKELIAN... Yang turut kelihatan ialah Dato' Dr Johan Mat Sah - doktor perubatan klinik swasta yang juga Pengerusi, Biro Kesihatan, Kebajikan dan NGO, UMNO Bahagian Indera Mahkota (berbaju merah). 


BERTEMU MEDIA... Sungguhpun kesuntukan masa, Dato' Sri DiRaja Adnan masih mahu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan media sambil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.  – Khabar

   

  


Wednesday 24 January 2018

Manifesto realistik!

… ciri utama Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini.

“Realistik, yang boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan apa yang kita boleh capai (laksanakan),” tegas Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri.  

BERMOTOSIKAL DALAM KAWASAN KAMPUNG... Kaedah pengangkutan yang paling praktikal dalam kawasan kampung. Sebagai Menteri Besar yang sentiasa berjiwa kampung, beliau tidak kekok untuk menunggang motosikal milik Penghulu Mukim Pahang Tua, Encik Rohaizad (tak kelihatan, tapi yang membonceng) ini. 


PADANG AWAM, KAMPUNG PAHANG TUA, PEKAN – Dalam pada usaha me‘refine-tune’kan lagi penyediaan dan penyiapan Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa ciri utama Manifesto ini kelak ialah yang realistik, yang mampu dilaksanakan oleh Kerajaan BN demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Realistik, yang boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan apa yang kita boleh capai (laksanakan),” katanya pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Jelapang Padi IADA Pekan tengah hari Rabu, 24 Januari di sini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan mengenai persiapan BN Negeri bagi menghadapi PRU berkenaan, termasuk tentang manifesto serta calon-calon yang bakal diketengahkan.                  

“Manifesto ini sebenarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… kita siap sudah lama tapi saya minta – ada satu pasukan saya, untuk menyusun dengan lebih kemas lagi.

MELAYANI SOALAN-SOALAN WARTAWAN KHUSUSNYA TENTANG PERSIAPAN BN NEGERI BAGI HADAPI PRU-14... 


TAK JANJI APA YANG TAK BOLEH TUNAIKAN

“Sebab kitapun tak boleh hendak tawarkan banyak… Kalau tawar banyak nanti susahlah. Katalah saya tawarkan, air percuma… Tanah duduklah tak payah bayar (premium tanah)… ‘Assessment’, ‘free’…

“Memang (boleh) menang pilihanraya tapi nak memerintah macam mana? Duit tak ada (yang boleh dikutip daripada pengenaan kadar-kadar tertentu daripada perkhidmatan pembekalan air dan tanah tersebut). Kita kena realistik,” tegasnya.

“Kita kena janji apa yang kita boleh buat, apa yang kita boleh tunaikan. Kalau kita tak boleh tunaikan, kita tak buat janji, walaupun janji itu (yang) cantik(-cantik),” katanya lagi.
Dan manifesto kali ini sepertimana yang sudah-sudah katanya, akan ‘covers all’ atau meliputi semua – tentang hal-hal pelajaran, kebajikan masyarakat, kerajaan tempatan, ugama Islam dan ugama bukan Islam, pertanian dan belia.

Mengenai calon khususnya yang melibatkan dari parti UMNO di negeri ini katanya, senarainya telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

PRESIDEN PARTI BUAT KAJIAN TENTANG CALON

“Presiden parti akan buat kajian melalui berbagai-bagai rangkaian yang beliau ada. Terpulanglah. Tapi saya tak percaya kalau wakil rakyat kerja kuat, boleh menang; akan diketepikan,” katanya.

“Saya telahpun beritahu Presiden MIC, Presiden MCA – kita mesti pilih calon siapa yang orang mahu, bukan kita pilih calon yang Presiden mahu. Kalau kita pilih calon siapa yang orang mahu, insyaAllah kita boleh menang.

“Kalau ibarat kata kampung itu, kawasan itu dia (rakyat/pengundi) nakkan tokoh ugama, kita letak tokoh ugama. Kalau dia nakkan profesional, kita letak profesional (sebagai calon BN untuk bertanding di kawasan berkenaan),” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata betapa pada keseluruhannya, negara ini telah ditadbir dan diurus dengan baik maka rakyat dimintanya, tidak terpengaruh dengan segala dakyah yang disebarkan oleh pihak pembangkang.

“Jangan dengar dakyah-dakyah. Namanya(pun) dakyah, bukan fakta (tetapi) dakyah, propaganda.

BOHONG YANG DIULANG-ULANG, ORANG AKAN AKHIRNYA PERCAYA

“Propaganda dengan dakyah ini tak betul. Itu sebab zaman (Adolf) Hitler dia panggil propaganda. Menteri Propaganda dia, (Joseph) Goebbels yang menyatakan – pembohongan ini kalau diulang banyak-banyak kali orang akan percaya.

“Ha, ini yang dibuat oleh pembangkang ini. Ulang, ulang, ulang, ulang (dakyah-dakyah berkenaan supaya rakyat akhirnya percaya dan terpengaruh),” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberi contoh isu 1MDB yang masih dimainkan oleh pihak pembangkang sedangkan langkah-langkah pembetulan telahpun diambil termasuk dalam menstruktur semula hutang-hutangnya serta mengganti ahli-ahli lembaga pengarahnya.

“Perdana Menteripun,” katanya, “… telah menyatakan ada sikit kelemahan sana-sini. Ini Perdana Menteri yang baik, jujur-ikhlas menerangkan. Jadi, janganlah pula (pihak pembangkang) mengambil kesempatan”. – Khabar


Usaha naik-taraf sistem pengairan jelapang padi Pahang Tua/Langgar

… seterusnya, dapat tingkatkan hasil pengeluaran padi daripada purata 2.5 tan sehektar setahun kepada kira-kira sembilan (9) tan sehektar setahun.

MAJLIS PENYERAHAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Sh Mohmed Puzi (kiri sekali). 


PADANG AWAM, KAMPUNG PAHANG TUA, PEKAN – Kerajaan menerusi agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, sedang berusaha menaikkan taraf sistem pengairan kawasan jelapang padi Kampung Pahang Tua/Kampung Langgar, di sini.

Berkeluasan 1,275 hektar yang melibatkan 548 pesawah, Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM32 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 – 2020) ke arah menjadikannya sebagai Jelapang Padi Negara bagi daerah Pekan.

Menurut maklumat yang diperolehi, kawasan jelapang padi Kampung Pahang Tua/Kampung Langgar ini ialah yang tertua di negeri ini, bermula tahun 1926 dengan keluasan cuma 566 hektar.

Matlamatnya kini ialah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada cuma 2.5 tan sehektar setahun kepada kira-kira 9 tan sehektar setahun, sekaligus dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan pesawah terlibat.

Antara kerja-kerja yang sedang dilaksanakan ke arah menaik-taraf sistem pengairan ini ialah pembinaan taliair sekunder dan taliair tertier serta struktur kawalan system pengairan dan salirannya.

DALAM PENYAMPAIAN UCAPAN BERSAHAJA 36-MINITNYA... 


‘TECHNICAL KNOW-HOW’ ORANG JANDA BAIK

Selain itu, menurut maklumat yang sama, kerja-kerja perataan sawah secara besar-besaran juga akan dilakukan bagi memastikan operasi pembekalan air ke sawah yang lebih cekap.

“Hari ini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Jelapang Padi IADA Pekan tengah hari Rabu, 24 Januari di sini;

“…  yang hendak saya ketengahkan ialah masalah pengairan sawah di Kampung Pahang Tua(/Langgar) ini. Pahang Tua(/Langgar) ini sebenarnya Jelapang Padi (Negara bagi daerah) Pekan,” katanya lagi.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya membangkitkan tentang ‘technical know-how’ tentang pengairan di kampung asalnya di Janda Baik, Bentong, yang mungkin boleh turut dikongsi bagi pelaksanaan di sini.

“Sebab di kampung saya dulu, kampung nombor dua di Janda baik dulu; sungai di bawah, sawah di atas, tanpa sokongan – maklumlah tahun 60-an, mana ada jurutera-jurutera…

SIDANG HADIRIN SEKELIAN... 


ORANG PAHANG TUA PENYOKONG TEGAR PERDANA MENTERI

“Orang kampung pakat sendiri, dia orang boleh naikkan (salirkan) air dari sungai di bawah itu naik ke atas, ke sawah. Dan dia orang boleh ‘control’ – bila sawah (nak) ada air, bila sawah tak (perlu) ada air. Ha ini saya nak bincang dengan pihak teknikal di sini,” katanya lagi.

Menurutnya, IADA Pekan akan dilibatkan dalam perbincangan berkenaan yang termasuk kemungkinan menjemput empat atau lima orang wakil dari Kampung Janda Baik, untuk memberikan penjelasan tentang teknik sistem pengairan mereka di sana.

Beliau seterusnya berkata betapa, “Masalah penduduk di sini tak ada sangat. Mereka adalah yang ikhlas, yang menyokong tegar Perdana Menteri (Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan) dan Barisan (Nasional).

“Ada perkara sikit-sikit ini (tentang sistem pengairan jelapang padi Pahang Tua/Langgar), kita perlu beri layanan sewajarlah…,” katanya lagi.

Selain wakil rakyat setempat – Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN – Peramu Jaya); yang turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Luar Bandar dan Pertanian Negeri, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; serta, wakil rakyat-wakil rakyat di bawah Parlimen Pekan – Dato’ Sri Abu Bakar Harun (BN – Chini), Dato’ Khairuddin Mahmud (BN – Pulau Manis) dan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (BN – Bebar). 

ANTARA MAKLUMAT YANG DISEDIAKAN... – Khabar  


Friday 19 January 2018

Minta maaflah tanpa syarat


… saran Menteri Besar terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar.

“Jangan lepas minta maaf, salahkan orang sana, salahkan orang sini,” tegasnya.

LAWATAN KE NEWSROOM... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memasuki ruang terbuka bahagian editorial sambil diiringi Dato' Aziz. Yang turut kelihatan menyusul di belakang ialah Dato' Zulkifli (berkot hitam) dan Encik Kamarul Iskandar (berbaju kemeja biru).


IBU PEJABAT, UTUSAN MELAYU (M) BHD, JALAN UTUSAN OFF JALAN CHAN SOW LIN, KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar permintaan maaf Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar berhubung ceramahnya mengaitkan soal kesihatan KDYMM Sultan Pahang, seharusnya dilakukan tanpa syarat.

“Sebenarnya, asas kena betul…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditanyakan mengenai hal Dato’ Mahfuz ketika ditemui pada penghujung lawatan santainya pagi Jumaat, 19 Januari ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd ini.

Ekoran bantahan-bantahan demi bantahan terhadap pati ceramahnya yang dianggap menghina KDYMM Sultan Pahang maka pada Rabu lepas, 17 Januari, Dato’ Mahfuz telah memohon maaf terhadap Baginda Tuanku.

Bagaimanapun, pada sidang akhbarnya di Alor Setar semalam, Khamis, 18 Januari, Ahli Parlimen pembangkang itu telah menyalahkan pula Pergerakan Pemuda UMNO yang beliau dakwa, telah ‘pusing cerita’ kepada ceramahnya itu.

“Kita (jika) bercakap, berucap,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “kepentingan, hal-hal Raja-raja jangan disentuh. Dato’ Mahfuz telah minta maaf, minta maaf tanpa syaratlah. Jangan lepas minta maaf, salahkan orang sana, salahkan orang sini”.

DALAM SESI PERBINCANGAN... Dato' Aziz kelihatan sedang memberikan penerangan tentang operasi Kumpulan Utusan serta cabaran yang dihadapi dalam menangani kepopularan media sosial atau media baharu. 

Selain Dato' Zulkifli, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Othman (sebelah kiri Dato' Aziz). 


SEBAB PULUT SANTAN BINASA…

“Itu sebab kita, sebelum mengeluarkan kata-kata; fikir dulu. ‘Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’. Dia sepatutnya tidak menyentuh sikitpun. Baik ke, buruk ke, tidak menyentuh hal Raja-raja. Itu lebih selamat,” katanya lagi.

Kepada soalan jika pada Pilihanraya Umum kelak, isu mengenai Dato’ Mahfuz ini dimainkan katanya, Barisan Nasional (BN) perlu sedia menghadapi dengan terutamanya memastikan rakyat terus didekati serta menerangkan perkara sebenar.

“Dalam pilihanraya kita kena hadapi semualah – yang tak isu, jadi isu; ini perkara biasa. Yang pentingnya, rakyat itu kita kena dekati, kita kena terangkan apa-apa perkara yang berlaku dari A sampai Z, setiap apa sahaja.

“Apa yang rakyat tanya kita cerita dengan jelas,” katanya dan menambah betapa kegagalan menerangkan sesuatu isu dengan jelaslah yang akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kepemimpinan BN.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan tentang titah KDYMM Pemangku Raja Pahang berkaitan dengan selebriti yang menerima darjah kebesaran negeri tetapi terjebak dengan gejala negatif yang Baginda sifatkan sebagai yang tidak menghormati darjah kebesaran tersebut.

MEMBERI PENUH PERHATIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberi penuh perhatian kepada skrin yang dipaparkan tentang tingginya hit - hingga lebih 30 juta sehari, bagi satu daripada segmen media baharu yang turut diceburi oleh Kumpulan Utusan. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Abdul Wahab (dua dari kanan) serta Encik Kamarul Iskandar (kanan sekali). 
  

TITAH DIPLOMASI PEMANGKU RAJA

“Itu titah diplomasi Pemangku Raja Pahang (yang) menggambarkan Pemangku Raja Pahang seorang Raja yang baik hati, diplomasi. Baginda menitahkan, kalau pulang(kan darjah kebesaran tersebut) lebih baik,” katanya.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri boleh ambil balik, boleh tarik balik. Dengan perkenan Raja, boleh tarik balik. Tapi Pemangku Raja lebih suka untuk bertitah secara diplomasi,” katanya lagi.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan tiba di perkarangan Ibu Pejabat ini tepat 10.30 pagi disambut oleh Ketua Pengarang, Kumpulan Utusan, Dato’ Aziz Ishak dan Timbalannya, Dato’ Othman Mohamad serta Pengarang, Utusan Malaysia, Dato’ Zulkifli Hamzah dan Pengarang, Kosmo, Dato’ Baharom Mahussin.

Beliau dibawa melawat ke Dewan Utama di Tingkat Bawah sebelum ke Bilik Mesyuarat di Tingkat 5 untuk menghadiri perjumpaan tertutup sambil bertukar-tukar pandangan dengan kepimpinan Editorial, Kumpulan Utusan ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian dibawa ke Bilik Makan bagi menjamah jamuan ringan yang disediakan, sebelum dibawa pula ke Tingkat Empat untuk meninjau ruang ‘newsroom’ yang luas, kemudian ke Tingkat Tiga pula untuk meninjau bahagian Editorial Kosmo.

Antara yang turut bersama-sama Dato’ Sri DiRaja Adnan pada lawatan santai yang berakhir pada kira-kira 12.45 tengah hari Jumaat ini ialah Setiausaha Sulit Kanannya, Encik Kamarul Iskandar Nordin dan Setiausaha Akhbarnya, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali. – Khabar  



Monday 15 January 2018

KDYMM Sultan Pahang sihat


“Sebenarnya Tuanku bukan tak sihat, Tuanku bukan gering, bukan... Tuanku saya bukannya gering.

“Daripada segi perubatannya, ‘vital sign, systemic finding’ Tuanku, ‘excellent’. Macam orang muda. Buah pinggang ok, jantung ok, paru-paru ok,” tegas Menteri Besar.

FILE PHOTO - TEMUBUAL EKSKLUSIF PENULIS BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU... Foto ini dirakamkan lebih 20 tahun lepas pada malam 20 Februari 1994, semasa penulis yang ketika itu ialah Ketua Biro BERNAMA Pahang, diperkenan untuk menemubual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. 

Temubual ini ialah susulan kesempatan yang diberikan kepada penulis untuk pertama kali melihat anakanda Baginda yang baharu diputerakan pada 10 Februari - YAM Tengku Abdul Fahd Muhamad Muaadzam di Wad DiRaja, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.   


PERKARANGAN DEWAN, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG – KDYMM Sultan Pahang sihat, bukan sepertimana yang digambarkan sebaliknya khususnya menerusi penularan video pendek dalam media sosial serta komentar negatif seorang Ahli Parlimen pembangkang tentangnya.

“… saya nak meng(kh)abarkan, Tuanku Sultan Pahang, sihat,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjawab soalan wartawan pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Anak Pahang (BAP) tengah hari Isnin, 15 Januari di sini.

“Ini nak membetulkan cakap orang kata Tuanku… Sebenarnya Tuanku bukan tak sihat, Tuanku bukan gering, bukan... Tuanku saya bukannya gering,” tegasnya.

“Daripada segi perubatannya, ‘vital sign, systemic finding’ Tuanku, ‘excellent’. Macam orang muda. Buah pinggang ok, jantung ok, paru-paru ok,” katanya dan menambah, KDYMM Tuanku kadang-kadang menggunakan kerusi roda dan ada masanya pula Baginda berjalan sendiri tanpanya.  

“Tinggal lagi (disebabkan oleh) faktor usia… Tuanku lebih suka naik ‘wheelchair’, Tuanku lebih suka beristirehat sahaja.

“Jadi tugas-tugas ini (selaku Raja Pemerintah) diberi kepada anakanda; Tengku Mahkota dilantik sebagai Pemangku Raja, untuk beri peluang Tengku Mahkota mengalami pengalaman mengendalikan negeri,” katanya lagi. – Khabar  



‘Pilih siapa yang orangramai hendak, bukan siapa yang kita mahu’


Cadangan memilih calon Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 ini.  

“Dan saya telah beritahu Presiden MIC, MCA, Gerakan; kita pilih calon yang orangramai suka, bukan pilih calon (yang) kita mahu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

UCAPAN KHAS BUAT ANAK-ANAK MURID DAN PELAJAR PENERIMA BAP KITA... Dalam pertengahan ucapan luar teks 20-minitnya, Dato' Sri DiRaja Adnan yang asalnya berucap dari atas pentas di dalam Dewan, telah secara spontan keluar ke sisi kiri Dewan di mana ditempatkan kesemua 1,000 pelajar/penerima untuk berucap 'direct' dengan mereka yang kelihatan sangat dialu-alukan oleh semua. 


PERKARANGAN DEWAN, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mencadangkan agar pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 dilakukan berdasarkan kehendak orangramai bukannya kemahuan kepemimpinan parti.

Yang dengan itu sahajalah menurutnya yang juga Menteri Besar serta Pengerusi, BN Negeri dan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri; boleh memberi kemenangan kepada calon seterusnya BN.

“Saya mencadangkan – tak kira muka baru, muka lama, kita pilih siapa orang(ramai) hendak, bukan siapa kita mahu.

“Dan saya telah beritahu Presiden MIC, MCA, Gerakan; kita pilih calon yang orangramai suka, bukan pilih calon (yang) kita mahu,” katanya menjawab soalan wartawan pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Bantuan Anak Pahang (BAP) tengah hari Isnin, 15 Januari di sini.

Menurutnya, senarai nama calon BN di negeri ini telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri yang beliau percaya, mempunyai mekanisme sendiri untuk menjalankan semakan ke atas senarai tersebut.

LAGI KEMESRAAN DENGAN ANAK-ANAK MURID/PELAJAR/PENERIMA YANG DITUNJUKKAN OLEH PEMIMPIN NPOMBOR SATU KITA... 


IKUT TRADISI TENTUKAN KERUSI PARTI KOMPONEN

“Ha itu biarlah… keputusan muktamad (tentang senarai calon BN, terpulang) kepada pucuk pimpinan,” katanya lagi.  

Beliau juga memberitahu betapa di negeri ini, turut mengambil kira-kira beberapa lagi pertimbangan lain termasuk daripada segi pengagihan kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti komponen BN yang akan terus menurut tradisi.  

“… kalau kerusi itu untuk parti komponen (lain), UMNO tak minta. Kita ikut tradisi.

“Walaupun kerusi itu macam (hendak) kalah kalau ditandingi oleh parti komponen (selain UMNO) tapi sudah hak dia, kita kena kerja kuat (untuk) pastikan parti komponen itu menang. Sebab kita menjaga tradisi tadi,” katanya.

“Sebab kita kena fikir yer. Kata misalan sebagai contoh, Cameron Highlands – ia kuota MIC (secara tradisi). Kalau kita tak bagi kepada MIC (pada PRU ini), berasa hati orang India.

KEMESRAAN TERSERLAH ANTARA PEMIMPIN NEGERI DENGAN PEGAWAI AGENSI NEGERINYA... Tentu ada yang melucukan yang diperkatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hinggakan Dato' Sri Mohamad (dua dari kiri) dan Encik Airulamri (kiri sekali) tertawa-riang. 


PASTIKAN KAWASAN MENANG TAK KALAH  

“Bukan orang India Camerons sahaja, orang India di seluruh Malaysia (juga berasa hati) yang akan beri kesan kepada kerusi-kerusi lain. Di Pelangai, ramai orang India, Lanchang, ramai orang India, Benta ramai orang India. Contoh,” katanya lagi.

Fokus parti-parti komponen BN di Pahang sekarang menurutnya, untuk memastikan kemenangan terus diperolehi di kawasan-kawasan yang ia telah sedia menanganinya pada PRU lepas.

“… kita pastikan kawasan yang telah menang tu tak kalah. Itu yang mustahak. Dalam keadaan politik yang bercelaru sekarang ini, fokus kita kena betul,” tegasnya.

Beliau seterusnya berkata, beliau selaku Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri telahpun meminta kesemua Bahagian UMNO supaya memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pilihanraya dengan terutamanya mendekati rakyat sambil membantu mana yang boleh.

Mengenai Majlis Penyampaian BAP pada hari ini, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pahang berkata, bantuan berbentuk sumbangan RM200 tunai adalah mengganti kaedah sebelum ini dalam bentuk sumbangan barangan bantuan persekolahan seperti baju dan beg sekolah bernilai Cuma RM100.

IBUBAPA YANG BERADA DI DALAM DEWAN... 

1,000 ORANG TERIMA RM200 SEORANG

“… ini kali pertama kita bagi duit. Yayasan (Pahang) mencadangkan RM100 (tapi) saya cadangkan RM200. Dan orang yang mendapat faedah, 20,000 orang X RM200, RM4 juta (yang YP belanjakan),” katanya lagi.

Pada majlis hari ini, kira-kira 1,000 orang menerima BAP masing-masing. Antara yang turut hadir pada majlis meriah dan penuh keceriaan ini ialah Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar;

Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Mohd Shahid Ismail; Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad; dan Pengurus Kanan Bahagian Operasi, Yayasan Pahang, Encik Airulamri Amran. 


PARA PENERIMA DENGAN SAMPUL WANG RM200 MASING-MASING... – Khabar    

Thursday 11 January 2018

Teruslah hormati dan dukungi institusi Kesultanan Melayu, titah KDYMM Pemangku Raja Pahang


“Berilah penghormatan sewajarnya kepada pihak Institusi DiRaja, kerana kalau kita orang Melayu tidak mengambil berat, tidak memberi penghormatan; siapa lagi?” titah Baginda.

DALAM MENYEMPURNAKAN MAJLIS PELANCARAN... 


ARAS 1, PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR – KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah menitahkan agar pemimpin dan orang Melayu khususnya, terus menghormati dan mendukung institusi Kesultanan Melayu di negara ini.

Menurut laporan berita Harian Metro, Baginda menitahkan demikian memandangkan ada pihak cuba mengambil peluang, menyalah guna serta menyalah tafsir akan keakraban Institusi Kesultanan dengan orang Melayu sendiri.

Oleh kerana tindakan segelintir minoriti terbabit menurut laporan berita yang sama, ia telah menjejaskan nama baik Institusi Kesultanan Melayu yang sudah lama bertapak di negeri dan negara ini.

“Berilah penghormatan sewajarnya kepada pihak Institusi DiRaja, kerana kalau kita orang Melayu tidak mengambil berat, tidak memberi penghormatan; siapa lagi?” titah-tanya Baginda.

“Ya, saya tahu ada lagi kaum lain yang sudahpun nampak hendak berapat-rapat mengeratkan silaturahim, tetapi tunjang Raja-raja Melayu ialah orang Melayu sendiri. Janganlah kita cepat melatah menjejaskan keharmonian, keakraban antara Insitusi DiRaja bersama orang Melayu.

ANTARA HALAMAN-HALAMAN YANG MENARIK... KDYMM Pemangku Raja Pahang kelihatan girang melihat foto Baginda dalam buku berkenaan, sambil dikongsi bersama oleh para kenamaan dan hadirin sekelian. 


PERLU LONJAKAN BESAR

“Saya sentiasa berdoa dan mengharapkan pemimpin daripada institusi Melayu – apa nama sekalipun, apa warnanya; akan kembali mendukung Institusi Kesultanan DiRaja,” titah Baginda lagi sepertimana laporan akhbar yang sama.

Baginda bertitah demikian bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran – Buku Istana Pahang: The Palace Of Pahang, dan, acara ‘Revisit Pahang Year 2018’ petang Khamis, 11 Januari di sini.

Yang turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nazri Aziz; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Menyentuh tentang acara ‘Revisit Pahang Year 2018’ pula, KDYMM Tuanku bertitah betapa satu lonjakan besar perlu dilakukan demi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Pahang.

“Kalau kita dapat memberi fokus kepada satu (1) atau dua (2) kawasan sebagai tarikan yang cukup berlainan, mungkin ini akan menjadi tempat yang menjadi buah mulut kepada pelancong,” titah Baginda.

KEMESRAAN YANG TERUS-MENERUS TERJALIN ANTARA SESAMA UMARA’ - NEGERI DAN PERSEKUTUAN...


DATANG MELAWAT DAN BANTU KAWASAN BANJIR  

Baginda turut menitah-sentuh tentang kawasan-kawasan yang dilanda banjir di negeri itu yang mungkin boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

“Mungkin kita boleh jadikan kawasan banjir sebagai satu tarikan. Kepada mereka yang berada dalam negara kita, bolehlah datang melawat kawasan banjir dan membantu. Ini boleh juga menjadi satu tarikan kalau dibuat dengan sebaik mungkin,” titah Baginda lagi.

Buku Istana Pahang: The Palace of Pahang adalah terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) Press yang ditulis bersama oleh Dato’ Setia Amar Segara Pahang, Dato’ Sri Halim Ibrahim dan Pensyarah Penganjian Pendidikan UPM, Prof Madya Datuk Dr Norhasni Zainal Abidin. 

BERSAHAJA... Tentu sesuatu yang menarik yang berlaku di pentas sana hingga KDYMM Tuanku merakamkannya menggunakan telefon pintar Baginda. – HarianMetro/Khabar