Friday 21 December 2018

Yayasan Pahang (YP) peruntuk RM3.48 juta bagi program Bantuan Khas Sekolah Rendah Menteri Besar


Setiap murid akan dapat tunai RM150 untuk belanja persiapan awal persekolahan baharu, dimanfaati oleh 23,200 murid  

PERALATAN PERSEKOLAHAN UNTUK MURID-MURID SEKOLAH RENDAH KITA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menyerahkan peralatan berkenaan termasuk pakaian dan beg sekolah kepada murid-murid ini. 

Antara yang turut kelihatan ialah Cik Rozianis (tiga dari kanan), Encik Asyhar Amin (separuh terlindung di belakang Dato' Sri Wan Rosdy) dan Encik Mustafa (dua dari kiri).   


DEWAN ORANG RAMAI, KAMPUNG KUALA MEDANG, LIPIS – Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), telah memperuntukkan RM3.48 juta bagi menjayakan program Bantuan Khas Sekolah Rendah Menteri Besar (BKSRMB) 2019.

Di bawah program ini, setiap murid yang layak akan menerima tunai RM150 seorang untuk digunakan bagi membeli peralatan persekolahan yang diperlukan demi menghadapi sesi persekolahan baharu Januari depan.

“Kita akan bagi sebelum buka sekolah, insyaAllah. Paling lewat minggu pertama, paling-paling lewat minggu kedua bulan Januari kita akan bagi kepada semua pelajar yang difikirkan layak menerima.

“Dan jumlah keseluruhannya ialah RM3.48 juta,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada wartawan yang ditemuinya pada program ‘Back To School’ anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB) pagi Jumaat, 21 Disember di sini.

Adalah difahamkan, dengan peruntukan RM3.48 juta dan pula setiap murid akan memperolehi RM150 seorang bermakna, kira-kira 23,200 murid seluruh Pahang akan memanfaati program BKSRMB ini kelak.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Cik Rozianis; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Datin Sri Burhah (sebelah kanan Dato' Sri Wan Rosdy). 


SARANAN BUAT IBUBAPA  

Kajian telah dilakukan yang menunjukkan kata Dato’ Sri Wan Rosdy, keperluan seorang murid untuk peralatan persekolahan termasuk pakaian sekolah ialah puratanya antara RM130 dan RM150 seorang.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan seorang pelajar RM150 dalam bentuk tunai. Hal ini disebabkan agak sukar bagi Yayasan Pahang untuk memberi pakaian, kasut sekolah terutamanya daripada segi saiz.

“Eloklah kita bagi wang tunai dan ibubapa boleh bawa anak-anak mereka ke kedai untuk membeli peralatan persekolahan mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar ibubapa kepada murid-murid berkenaan supaya dapat menggunakan peruntukan yang disedikan tersebut untuk membeli peralatan persekolaahan anak-anak mereka.

“Dan ini sedikit-sebanyak saya percaya, ia boleh meringankan beban dan tanggung jawab ibubapa,” katanya.

POSE BERSAMA KALENDAR 2019 TERBITAN PEJABAT MENTERI BESAR... 


KESUNGGUHAN TNB UNTUK BANTU

Mengenai program anjuran TNB dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Negeri Jelai hari ini, beliau berterima kasih kepada TNB khususnya TNB Pahang, yang telah menjayakan tanggung jawab sosial korporatnya.

Menurutnya, seramai 300 murid termasuk anak-anak Orang Asli menerima manfaat daripada program ini dengan setiap seorang menerima peralatan persekolahan masing-masing  bernilai RM200.

Difahamkan, 300 murid ini ialah masing-masing 100 murid dari Sekolah Kebangsaan-Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Medang di sini dan Tanjung Gahai - kedua-duanya di bawah Dewan Negeri Jelai; dan, masing-masing 50 murid dari SK-SK Mensun dan Telanuk - di bawah Dewan Negeri Tanah Rata yang berjiranan.

“Dan ini satu usaha yang begitu baik dan kita nampak kesungguhan Tenaga Nasional Bhd untuk memenuhi tanggungjawab sosial (korporat) mereka,” katanya lagi yang juga wakil rakyat negeri kawasan ini (BN – Jelai).

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya tentang perkembangan terkini tentang Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah tetapkan tarikh penamaan calon pada 12 Januari, undian pos pada 22 Januari dan pengundian biasa pada 26 Januari depan.

POSTER MENGENAI PROGRAM BKSRMB... 


SERAH KEPADA RAKYAT UNTUK NILAI PRESTASI BN

“Bagi pihak Barisan Nasional Pahang khususnya Barisan Nasional Cameron Highlands sepertimana telah saya nyatakan sebelum ini, kita bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya kecil.

“Kita akur dengan keputusan Mahkamah (Pilihanraya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen BN kawasan tersebut, Dato’ C.Sivarraajh), dan sekarang kita serah kembali kepada rakyat untuk menilai prestasi kita di Cameron Highlands.

“Saya percaya, rakyat akan buat keputusan yang bijak dan mereka akan dapat melihat dengan sendiri apa yang telah berlaku semenjak 9 haribulan Mei yang lalu (Pilihanraya Umum ke-14) sehingga ke hari ini.

“Dan perkara ini semua orang dapat tahu – kita boleh lihat daripada media cetak, media elektronik dan mungkin dalam ‘group’ WhatsApp masing-masing dan sebagainya…

“Saya fikir rakyat bijak menilailah untuk buat keputusan pada akhir Januari nanti,” katanya yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Barisan Nasional (BN) Negeri dan Badan Perhubungan UMNO Negeri.

SIAPA KANAN DIA NAIK

Mengenai calon BN kali ini katanya, ia belum muktamad dan pula terlalu awal untuknya mengulas tetapi akur betapa kerusi atau kuota di Parlimen kawasan Cameron Highlands adalah milik parti komponen BN iaitu MIC.

Beliau turut ditanya tentang berita kenaikan pangkat pemimpin dari Pahang – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO yang menurutnya adalah sesuai memandangkan beliau ialah Naib Presiden paling kanan.

“… memang sesuailah tempat itu. Itu memang formula kita, sifir kita – siapa kanan dia akan naiklah,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah isteri beliau, Datin Sri Burhah Mohammed; wakil khas beliau di Dewan Negeri Jelai ini, Dato’ Zailaluddin Zainol; Ketua Perkhidmatan Pelanggan, TNB Negeri, Cik Rozianis Mohd Noor;

Penghulu Mukim Jelai, Encik Asyhar Amin Ahmad; dan, Pengurus Besar, Stesen Janaelektrik TNB Cameron Highlands, Encik Mustafa Hashim. – Khabar       

Monday 17 December 2018

Kerajaan Negeri teruskan pendekatan ‘people-centric’nya


“Sejak hari pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),”  kata Menteri Besar

DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN 24-MINITNYA... Yang turut kelihatan di belakang ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri - Dato' Sri Norol Azali Sulaiman (kanan sekali); Dato' Abd Aziz Mat Kiram; dan, Encik Abdul Rahim Muda (kiri sekali). 


DEWAN SUK, BLOK C, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sekali lagi menyatakan penekanannya kepada  pendekatan yang memusat atau mengutamakan rakyat atau ‘people-centric’, dalam mentadbir negeri ini.

Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan 24-minitnya sempena program Perhimpunan Pagi YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri pagi Isnin, 17 Disember di sini.

“Sejak hari pertama lagi saya dilantik (sebagai Menteri Besar) pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’),” katanya.

Lanjutan itu, beliau telah menyebut antara inisiatif yang telah diperkenalkannya termasuk yang dilaksanakan dalam tempoh 100-hari, dan juga tujuh (7) bulan kini beliau menduduki pejabat utama di Wisma Sri Pahang.

Antara inisiatif itu ialah penurunan kuasa kelulusan kebenaran (consent) pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah khususnya di daerah-daerah.

MENGHADAPI KHALAYAK DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM NEGERI... 


ADUANWANROSDY.COM

Selain itu ialah pengwujudan saluran aduan rakyat terus kepada Menteri Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’ yang menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat mengemukakan aduan secara terus kepadanya.

Begitu juga dengan penubuhan Tabung Perumahan Rakyat yang mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah kos sederhana rendah, perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang akan digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.

Berikut disiarkan sepenuhnya ucapan Menteri Besar tersebut;

Penjawat awam di semua peringkat pentadbiran sama ada diperingkat negeri, daerah mahupun mukim merupakan tonggak utama atau tiang seri kepada kelangsungan sistem pentadbiran negeri.

Penjawat awam memainkan peranan yang sangat penting dan menjadi faktor penentu sama ada satu-satu kerajaan itu mampu menjadi kerajaan yang berkesan dan berjaya atau sebaliknya.

PERANAN PENTING PENJAWAT AWAM

Tuan-tuan dan puan-puan selaku penjawat awam, perlu sedar bahawa peranan dan tanggungjawab yang tuan-tuan dan puan-puan laksana dan tunaikan begitu penting kepada kelangsungan dan kejayaan Kerajaan ini.

Sebagai ketua kerajaan negeri, saya mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk melihat kerajaan negeri yang ada pada hari ini, mampu menjadi kerajaan yang berjaya, berkesan, dan memuaskan hati rakyat.

Tahun 2018 merupakan tahun pertama saya berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang.

Sejak hari pertama lagi saya dilantik pada 15 Mei 2018, saya telah menekankan bahawa penting bagi Kerajaan ini untuk menjadi Kerajaan yang memberi fokus kepada pencapaian yang menjurus kepada pendekatan berpusatkan rakyat (‘people-centric’).

Bagi mencapai hasrat tersebut, dalam tempoh enam (6) bulan pertama ini, beberapa inisiatif dan dasar telah diperkenalkan oleh pentadbiran ini seperti ;

PEROLEHI ‘CONSENT’ DALAM TEMPOH 1, 2 HARI

# Penurunan kuasa kelulusan kebenaran (consent) pindah milik dan gadaian tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar, kepada pentadbir tanah.

Melalui langkah ini, kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh antara satu (1) dan dua (2) hari sahaja bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan juga waris qadim.

Langkah ini telah memberi impak yang sangat besar kepada perkhidmatan Kerajaan untuk rakyat kerana sebelum ini, proses kelulusan kebenaran tersebut memakan masa sehingga enam (6) bulan, dan ada yang memakan masa sehingga setahun.

Sehingga bulan November 2018, 566 permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian telah diterima dan diluluskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya pegawai dan kakitangan yang terlibat di Bahagian Pendaftaran, Pejabat Tanah dan Galian Pahang, serta di setiap Pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri ini.

KEJAYAAN PR1MA PAHANG & RUMAH MAKMUR

# Mewujudkan saluran aduan rakyat terus kepada Menteri Besar melalui laman sosial ‘aduanwanrosdy.com’. Menerusinya, semua lapisan masyarakat dapat mengemukakan aduan secara terus kepada saya, dan terdapat pasukan yang telah ditugaskan untuk meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar terhadapnya.

# Meneruskan legasi projek perumahan mampu milik negeri Pahang yang dikenali sebagai ‘PR1MA Pahang’ dan juga ‘Rumah Makmur’ yang kini telah terbukti antara projek perumahan yang mampu menjual rumah berkualiti pada harga yang sangat mampu dimiliki oleh golongan sasar.

Sehingga November 2018, 14 projek ‘Rumah Makmur’ telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri, melibatkan 5,506 unit rumah.

Manakala, 118 projek PR1MA Pahang telah diluluskan, melibatkan 37,389 unit rumah yang daripada jumlah itu, 2,770 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya disiapkan dan telah diduduki.

# Menubuhkan Tabung Perumahan Rakyat yang mensyaratkan setiap pemaju perumahan yang disyaratkan untuk membina rumah kos sederhana rendah perlu menyumbang sejumlah wang kepada Tabung ini yang akan digunakan untuk membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah.

SASARAN KUTIPAN HASIL TANAH MESTI 90 PERATUS

Penetapan sasaran kutipan hasil tanah sebanyak 90 peratus antara perkara yang menjadi fokus utama saya pada tahun 2019.

Ia adalah untuk terus meningkatkan hasil Kerajaan Negeri terutamanya kutipan hasil tanah yang masih merupakan sumber hasil utama Kerajaan Negeri.

Walaupun kita terus berusaha untuk mengenal pasti sumber hasil baharu, sumber hasil tradisional seperti kutipan hasil tanah, tetap terus diberikan penekanan untuk ditingkatkan.

Dalam pembentangan Bajet Negeri 2019 baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran kutipan hasil tanah untuk tahun 2019 sebanyak RM 388.88 juta.

Sehubungan itu, saya telah menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI; Key Performance index)  bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus.

KPI LIBATKAN DARIPADA SS KEPADA ADO

Sasaran ini akan menjadi KPI bagi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan tanah – daripada Penolong Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Saya melihat, masih banyak ruang dan peluang penambah baikan yang boleh kita laksanakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kadar kutipan hasil tanah di negeri Pahang.

Bagi mencapai sasaran ini, saya menggesa pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri tentang apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan lagi pencapaian kutipan hasil tanah kita.

Penetapan sasaran kutipan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga ialah sebanyak 90 peratus, maka, saya juga berharap agar semua pbt di negeri pahang memberi penekanan kepada aspek kutipan hasil ini.

Saya kira inilah masa yang paling sesuai untuk kita mengembling usaha dan pendekatan bagi memastikan kita dapat mengutip hasil semaksima yang mungkin.

KUTIPAN HASIL OLEH PBT TAK SAMPAI 66 PERATUS SETAKAT OKTOBER

Berdasarkan pencapaian tahun 2018, secara puratanya, pencapaian kutipan hasil PBT di Pahang sehingga Oktober lepas masih berada pada tahap 65.95 peratus.

Saya kira kadar peratus ini amat rendah dan masih banyak lagi ruang yang boleh dibuat penambah baikan bagi meningkatkan lagi kadar kutipan hasil.

Saya amat berharap pihak PBT dapat memastikan kutipan hasil ini ditingkatkan kepada 90 peratus pada tahun depan (2019).

Untuk menjadi sebuah Kerajaan yang berkesan, saya percaya kita perlu mendengar pandangan dan cadangan rakyat yang merupakan pelanggan kita.

Kita tidak lagi berada dalam era ‘government is always right’ ataupun tindakan Kerajaan sentiasa betul. Kita perlu juga mengambil pendekatan ‘bottom-up’, dengan mengambil pandangan, idea atau cadangan daripada rakyat.

PERLU ADA ‘ENGANGEMENT’ – BOS DAN ANAK BUAH

Sama juga dalam jabatan atau organisasi, ketua jabatan atau bos bukan tahu segala perkara. Kita perlu mengadakan ‘engagement’ dengan kakitangan dan juga pihak-pihak yang ada kepentingan untuk mendapatkan maklum balas dan juga idea-idea baharu dan segar untuk diaplikasikan dalam organisasi.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, saya akan melancarkan saluran cadanganwanrosdy.com yang akan menjadi satu platform untuk semua lapisan rakyat memberi sebarang cadangan, idea dan juga pandangan secara terus kepada saya.

Semua cadangan, idea dan pandangan ini kita akan nilai dan kaji. Sekiranya ada antaranya yang boleh kita laksanakan, insyaAllah kita akan cuba laksanakan demi kebaikan dan kemakmuran negeri Pahang yang kita cintai.

Berkaitan dengan ini juga, saya berhasrat untuk mengadakan sesi dialog atau ‘engagement’ dengan pegawai-pegawai muda yang berkhidmat di negeri Pahang ini.

Saya percaya, mereka ini ada banyak idea yang boleh dikongsikan bersama yang selama ini mungkin terperap sahaja ataupun tiada forum yang sesuai untuk disuarakan kepada pengurusan atasan.

Saya akan meminta pejabat saya untuk mengaturkan sesi ini pada tahun depan.  

SEKTOR PERUMAHN TERUS JADI FOKUS

Sektor perumahan akan terus menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri untuk tahun 2019. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembinaan projek-projek perumahan di bawah program PR1MA Pahang dan Rumah Makmur.

Bagi tahun 2019, untuk projek PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran untuk menyiapkan lagi 1,000 unit rumah. Manakala bagi projek Rumah Makmur, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya dua (2) projek yang mengandungi 746 unit rumah yang mesti dimulakan pembinaannya pada tahun 2019. 

Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) adalah sebahagian daripada jentera kerajaan yang penting dalam mencapai kemajuan pembangunan dan aktiviti ekonomi negeri.

Pada tahun 2017, S-GLC telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM 2,600 juta (RM 2.6 billion) dengan keuntungan dicatatkan sebanyak RM 565 juta.

Mulai tahun 2018, Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlu dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.

S-GLC JUGA MESTI SUMBANG KEPADA HASIL NEGERI

Mengambil kira faktor tahun kewangan dan keperluan audit tahunan setiap S-GLC, kutipan bagi sebahagian keuntungan tahun 2018 akan dibuat mulai Mac 2019 dan akan direkodkan sebagai sebahagian daripada hasil Kerajaan bagi tahun 2019.

Ini adalah satu pendekatan baharu yang kita akan laksanakan pada tahun depan (2019). Kita mahu operasi dan tadbir urus setiap S-GLC di negeri Pahang ditambah baik supaya boleh menjana keuntungan, dan sebahagian daripada keuntungan tersebut wajar dipulangkan kepada Kerajaan Negeri.

Bagi maksud penambah baikan kepada tadbir urus S-GLC, Kerajaan Negeri akan menubuhkan ‘Pahang Investment Corporation (PIC) sebagai satu langkah strategik untuk penstrukturan dan mengawal selia prestasi serta perkembangan S-GLC.

Dengan meletakkan S-GLC ini di bawah satu bumbung, ia dapat memudahkan Kerajaan Negeri memantau prestasi berdasarkan KPI yang ditetapkan disamping memberi khidmat nasihat kepada S-GLC untuk membuat pelaburan yang betul dengan pulangan yang menjanjikan keuntungan.

Selaras dengan ‘tagline’ saya iaitu Maju Terus Pahang, saya amat berharap agar semua sasaran dan perancangan yang saya gariskan tadi untuk tahun 2019 dapat dihayati dan dikongsi bersama oleh semua pegawai dan kakitangan awam sekalian.

BANTUAN KHAS RM 500 UNTUK PENJAWAT AWAM

Seperti yang telah saya umumkan dalam ucapan Bajet Negeri Pahang 2019 di Dewan Negeri tempoh hari – sebagai menghargai jasa dan pengorbanan semua pegawai dan kakitangan awam negeri Pahang, pemberian bantuan khas sebanyak RM 500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah.

Saya difahamkan, bayaran ini akan dibuat pada hari esok, Selasa, 18 disember 2018. Gunalah wang tersebut untuk tujuan kebaikan seperti membeli persiapan persekolahan anak dan lain-lain. – Khabar


Wakil rakyat-wakil rakyat Negeri dan Parlimen BN masih beri sokongan kuat kepada BN, kata Menteri Besar


MARI KITA BER'WE-FIE'... Dato' Sri Wan Rosdy masih sempat melayani permintaan para penjawat awam dalam kalangan 'srikandi' kita ini; untuk ber'wefie'. Begitulah 'sempoi'nya (meminjam kata-kata anak muda sekarang) ketua eksekutif negeri kita.  


PERKARANGAN, DEWAN SUK, BLOK C, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tegas menyatakan keyakinan yang wakil rakyat-wakil rakyat Negeri dan Parlimen Barisan Negeri (BN) di Pahang tetap menyokong kuat komponen parti berkenaan.

Dalam pada itupun, beliau tetap mengambil perhatian kepada amaran Pengerusi BN Pusat, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang adanya gerakan untuk membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri bagi berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri ini.

“Saya yakin, ADUN-ADUN, Ahli-ahli Parlimen masih memberi sokongan yang kuat kepada Barisan Nasional,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy tentang 25 wakil rakyat Negeri (24 UMNO, 1MCA) serta sembilan (9) wakil rakyat Parlimen (8 UMNO, 1 MIC - yang dibatalkan kedudukannya oleh Mahkamah Pilihanraya baru-baru ini).

“Kita akan beri perhatian atas pandangan Dato’ Sri Zahid tu dan sepertimana saya katakan tadi, ADUN BN dan juga Ahli Parlimen, masih lagi setia dengan BN dan UMNO,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan-wartawan Berita Harian dan Sinar Harian semasa hendak beredar daripada program Perhimpunan Pagi YAB Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri pagi Isnin, 17 Disember di sini.

ADA GUNTING DALAM LIPATAN?

Wartawan-wartawan berkenaan meminta beliau mengulas laporan oleh portal berita milik UMNO Malaysia – UMNO Online, yang kemudian dipetik dalam beberapa lagi portal berita dan juga akhbar-akhbar arus perdana mengenai amaran Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid itu.   

“Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati,” kata Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid sepertimana dilaporkan oleh portal berita tersebut.

“Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan ADUN di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tidak memaklumkan nama)…

“Saya Menteri yang pernah jaga polis., askar… Saya beritahu ini… Jadi saya ingin ingatkan kita perlu hati-hati. Usaha sudah dibuat, perjumpaanpun telah buat, saksi dalam perjumpaan itupun ada.

“Maka kita perlu pertahankan agar mereka ini kekal dengan BN,” beliau dilaporkan berkata ketika berucap pada program ‘retreat’ UMNO Bahagian Temerloh yang sepatutnya diadakan secara tertutup, pada malam Ahad, 16 Disember di Bukit Fraser.

Sebelum ‘nasi menjadi bubur’, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid turut dilaporkan mengingatkan kepimpinan UMNO Pahang agar melakukan sesuatu kerana ‘mereka di sebelah sana’ sangat licik. – Khabar


Friday 14 December 2018

Saksama kepada semua;

Majoriti yang ketinggalan dibantu, yang minoriti tidak diabaikan 

MAJLIS BERSEMPENA 33-TAHUN GABUNGAN PERSATUAN CINA (HUAZONG) PAHANG... Dan Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy ialah tetamu utama mereka. Yang turut kelihatan ialah Presiden gabungan tersebut, Tan Sri Pheng Yin Huah (sebelah kiri Dato' Sri Wan Rosdy). 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Saksama kepada semua; majoriti yang ketinggalan dibantu, yang minoriti tidak diabaikan. Inilah yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyatnya.

Sepertimana kita sedia maklum, majoriti kaum di Pahang ialah Melayu/Bumiputera seramai 1.126 juta orang atau kira-kira 75 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini yang seramai 1.5 juta orang.

(Peratusan ini [75 peratus] jika hendak diturutkan, ialah lebih tinggi daripada peratusan di peringkat nasional kira-kira 69 peratus daripada 30 juta penduduk negara).

Kaum-kaum yang lain ialah kira-kira 230,800 orang atau 15.4 peratus Cina; kira-kira 63,065 orang atau 4.2 peratus India; kira-kira 6,159 orang atau 0.4 peratus lain-lain; dan, kira-kira 74,608 orang atau lima (5) peratus bukan warganegara.

Sungguhpun Melayu/Bumiputera ialah yang majoriti, tetapi daripada segi pendapatan atau kekayaan, mereka masih ketinggalan terutamanya daripada segi ekonomi khususnya pendapatan.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


PENDAPATAN ISI RUMAH PURATA MELAYU/BUMIPUTERA MASIH RENDAH

Misalnya, berdasarkan pendapatan isi rumah purata menurut kaum untuk seluruh Pahang sepertimana bancian tahun 2016 yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Negera menunjukkan, Melayu/Bumiputera masih rendah berbanding Cina.

Pendapatan isi rumah purata Melayu/Bumiputera ialah RM 5,019 berbanding Cina, RM 5,101. Bagi India pula ialah RM 4,610.

Angka-angka terbaharu ini bagaimanapun menunjukkan lonjakan yang agak ketara juga berbanding bancian pada dua (2) tahun sebelumnya pada tahun 2014 dengan pendapatan isi rumah purata ketika itu ialah –

Melayu/Bumiputera sebanyak RM 4,334; Cina sebanyak RM 4,510; dan India sebanyak RM3,806. Berbanding tahun 2016, lonjakan ini ialah masing-masing 15.8 peratus bagi Melayu/Bumiputera; 13.15 peratus bagi Cina; dan, 21.1 peratus bagi India.

Lonjakan-lonjakan yang lebih besar yang berlaku kepada Melayu/Bumiputera dan India, tentulah ekoran langkah-langkah ‘affirmative’ (‘affirmative actions’) yang telah Kerajaan lakukan selama ini.

KEMESRAANNYA... 


LONJAKAN BUKAN SEBAB ‘ROB PETER TO PAY PAUL’

Dan lonjakan-lonjakan ini berlaku dimungkinkan oleh ‘kek ekonomi’ yang lebih besar yang dengan itu tidak perlu apa-apa tindakan negatif seumpama ‘rob Peter to pay Paul’ atau amalan Robin Hood dengan merompak yang kaya untuk membantu yang miskin.

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri tidak sekali-kali menidakkan kepentingan kaum Cina yang mana, sungguhpun mereka penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara dan negeri tetapi ada dalam kalangan mereka juga memerlukan bantuan.

Oleh sebab itulah kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya pada malam ini, Jumaat, 14 Disember sempena Makan Malam Ulang Tahun ke-33 Gabungan Persatuan Cina (Huazong) Pahang di sebuah hotel di bandar Kuantan;

Telah menyatakan betapa hanya dua (2) hari sebelumnya pada pagi Rabu, 12 Disember lepas, bertempat di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di Tanah Rata;

Seramai 51 pekebun sayur dan bunga serta pemilik kolam takungan air, termasuk 46 pekebun kecil Cina telah beliau sampaikan permit penggunaan dalam kawasan Hutan Simpan Kekal daerah tersebut, yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

TETAP LAYANI SUNGGUHPUN DI MEJA MAKAN... Tentu ada sesuatu yang penting yang dibawa ke pengetahuan Menteri Besar dan beliau kelihatan masih sudi melayani.  


PENGELUARAN PERMIT AMBIL MASA UNTUK LAKSANAKAN

Apakah makna ini? Jika ia tidak lain menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat rasional dan bukanlah bersikap perkauman seperti yang didakwa oleh segelintir pihak yang tidak bertanggung jawab.

Sebelum majlis penyampaian ini, sudah tentu satu jangka masa tertentu diperlukan bagi melakukan segala persediaan yang diperlukan untuk menjadikan majlis pagi Rabu itu satu realiti.

Maka, tak timbul soal kononnya ia hanya diadakan sekarang memandangkan kemungkinan berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Cameron Highlands ekoran keputusan Mahkmah Pilihanraya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Dato’ C.Sivarraajh.    

Dengan permit atau kebenaran yang diberikan itu memberi peluang kepada mereka - pekebun kecil, untuk meneruskan aktiviti pertanian berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Kebanyakkan pekebun kecil ini pula – secara purata sudah lebih 10 tahun (ada yang lebih 30 tahun juga) mengusahakan projek pertanian dalam kawasan HSK Cameron Highlands secara haram.

DALAM UCAPANNYA... 


URUSKAN KEBUN DENGAN SISTEMATIK

Dengan permit yang diberikan ini akan memberi peluang kepada pekebun kecil untuk meneruskan aktiviti pertanian tanpa rasa bimbang dan takut dikenakan tindakan undang-undang pihak berkuasa.

Sehubungan itu, pekebun-pekebun kecil ini dinasihatkan agar mereka mengusahakan projek pertanian dalam hutan simpan tersebut dengan sentiasa menjaga dan memelihara alam sekitar.

Mereka juga diminta supaya menguruskan kebun masing-masing dengan lebih sistematik, selain dapat mematuhi setiap peraturan pihak berkuasa termasuk dalam penggunaan racun perosak yang dibenarkan.

Bagi Kerajaan Negeri, pemberian permit penggunaan kawasan hutan simpan kekal diharap dapat membendung aktiviti penerokaan tanah untuk pertanian di daerah Cameron Highlands;

Selain dapat mengurangkan ketirisan hasil pertanian yang diusahakan dalam hutan simpan kekal khususnya yang di bawah kategori pengeluaran (bukan perlindungan, yang langsung tidak boleh diterokai).

Dengan amalan dan tindakan yang saksama inilah diharapkan, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal mendapat kepercayaan rakyat sepertimana kepercayaan terus-menerus diperolehinya selama lebih enam (6) dekad kini. – Khabar





Menteri Besar mohon mangsa banjir berpindah jika diarahkan.


“Kita tak boleh berkompromi sebab ini melibatkan masalah nyawa dan keselamatan,” katanya semasa melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan di SK Cherating.

BERTANYA KHABAR... Dato' Sri Wan Rosdy sedang berbual dengan sebuah keluarga di pusat pemindahan banjir di SK Cherating ini. 


SEKOLAH KEBANGSAAN CHERATING, KUANTAN – Mangsa-mangsa banjir sekali lagi diingatkan supaya mematuhi arahan oleh Pihak Berkuasa terutamanya berkaitan dengan perpindahan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang ada.

“Saya minta mereka mendengar arahanlah. Sekiranya diarahkan untuk berpindah, mereka kena berpindah,” nasihat Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui wartawan semasa lawatannya petang Jumaat, 14 Disember ke pusat pemindahan banjir di sini.

“Kita tak boleh berkompromi sebab ini melibatkan masalah nyawa dan keselamatan. Sekiranya berlaku apa-apa, tidak pindah; usaha-usaha menyelamat menjadi amat sukar. Jadi, lebih baik patuh kepada arahan,” katanya lagi.

Pusat pemindahan banjir ini – menempatkan 33 keluarga dengan 122 mangsa (setakat lawatan petang Jumaat ini) yang menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, mula dipindahkan ke sini sejak 3 pagi tadi ekoran hujan lebat berterusan sejak siang sebelumnya, hingga membanjiri kawasan rumah mereka.

Menurutnya lagi, beliau mendapatinya (pusat pemindahan ini) berada dalam keadaan teratur dan selesa buat mangsa-mangsa terlibat sepertimana kata beberapa mangsa yang ditemuinya.

PERSEPAKATAN DEMI RAKYAT... Di pusat pemindahan SK Sungai Ular yang turut dijengahi oleh Menteri Besar petang Jumaat itu, wakil rakyat setempat (PAS - Beserah), Encik Andansura Rabu turut menyertainya.
 

PERSIAPAN AWAL HADAPI BANJIR

“Sebab memang kita membuat persiapan awal untuk menghadapi banjir,” katanya.

“Jadi saya ucapkan syabas, tahniah kepada NADMA, yang bertanggung jawab mengurus mangsa-mangsa banjir ini. JKM juga tampil ke hadapan memberi bantuan yang sepatutnya,” katanya.

NADMA yang dimaksudkan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (National Disaster Management Agency) yang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). JKM pula ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dato’ Sri Wan Rosdy seterusnya menjangkakan mangsa-mangsa ini akan dapat kembali ke rumah masing-masing pada esok atau lusa, jika cuaca cerah sepertimana hari ini berterusan.  

Kepada soalan wartawan Astro Awani kot-kot berlaku ‘gelombong kedua’ bencana banjir selepas ini katanya, persediaan untuk kemungkinan tersebut adalah sepertimana tahun-tahun sebelumnya juga.

KEBAJIKAN RAKYAT/MANGSA BANJIR SENTIASA MENJADI KEUTAMAANNYA... Kelihatan di belakang ialah khemah khas yang dapat menjamin 'privacy' serta keselesaan mangsa banjir yang disediakan oleh NADMA.  


LULUS PERUNTUKAN

“Cuma, kalau ada kelemahan, kita akan pertingkatkanlah, sekiranya ada. Tapi, keadaan (persiapan menghadapi banjir sehingga kini) nampak cukup baik, cukup bagus,” katanya lagi sambil turut memuji beberapa lagi agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan RELA.

Beliau juga berkata yang beliau telahpun meluluskan peruntukan kepada permintaan kedua-dua Ketua Kampung dan Guru Besar sekolah, untuk kerja-kerja penambah baikan kepada kemudahan yang ada di sini. 


'MASAK NASI GORENG'... Dato' Sri Wan Rosdy telah turut menjengah ke dapur lalu membantu untuk menumis ramuan bagi membuat nasi goreng sebagai hidangan petang untuk mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di SK Sungai Karang pula. 

Yang turut  kelihatan di sebelahnya ialah Pengarah JKM Negeri, Encik Zulkhari Zainol  Abidin. – Khabar

    
         

“… kita akan serah balik kepada rakyat,” kata Menteri Besar.


“Dan saya yakin, rakyat akan buat pilihan yang bijak untuk mereka menilai, siapa yang mereka harus pilih sebagai ahli parlimen,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ C.Sivarraajh untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihanraya yang membatalkan kemenangannya, yang dengan itu memerlukan Pilihanraya Kecil (PRK) diadakan.

'FREE STYLE'... Dato' Sri Wan Rosdy, para kenamaan dan Pengerusi-pengerusi MPKK. Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail (depan, tiga dari kanan); antara yang turut kelihatan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri; 

Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad (depan, sebelah kanan Dato' Sri Wan Rosdy); wakil rakyat negeri (BN - Padang Tengku) Dato' Mustapa Long (depan, tiga dari kiri); dan, Pegawai Daerah Lipis, Dato' Mohd Hafizi Ibrahim (depan, dua dari kanan).   


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUALA LIPIS – Serahkan semula kepada rakyat untuk menentukan siapa pilihan mereka selaku Ahli Parlimen Cameron Highlands, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“… kita akan serah balik kepada rakyat dan saya yakin, rakyat akan buat pilihan yang bijak untuk mereka menilai, siapa yang mereka harus pilih sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada penghujung Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan 542 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pagi Jumaat, 14 Disember di sini.

Kata-katanya itu sebagai reaksi kepada keputusan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Dato’ C.Sivarraajh untuk tidak membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Pilihanraya yang membatalkan kemenangannya pada Pilihanraya Umum (PRU)-14 yang lepas.

Dengan tidak membuat rayuan itu bermakna keputusan Mahkamah Pilihanraya tersebut terus terpakai, yang dengan itu memerlukan Pilihanraya Kecil (PRK) diadakan yang akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kelak.

MENYAMBUT KETIBAAN... 


TUJUH BULAN DATO’ SIVARRAAJH YANG BERKIDMAT-BAKTI

Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Negeri menambah kata betapa dalam tempoh tujuh (7) bulan Dato’ Sivarraajh sebagai Ahli Parlimen sejak PRU-14 pada Mei lepas, rakyat telah mengenalinya menerusi khidmat-bakti yang telah dicurahkannya di kawasan tanahtinggi tersebut.

“Banyak perkara, khidmat-bakti beliau yang telah beliau (lakukan semasa) turun ke Cameron Highlands, (termasuk ke Dewan Negeri kawasan-kawasan) Jelai, Tanah Rata dan banyak perkara-perkara yang beliau (telah) bantu penduduk di sana,” katanya lagi.

Kepada soalan sama ada Dato’ Sivarraajh akan dipilih semula mewakili BN pada PRK ini katanya, besar kemungkinan begitu namun masih terserah kepada Pengerusi BN Pusat dan Presiden MIC untuk memuktamadkannya. 

“Barisan Nasional, kita memang bersiap sedialah,” katanya sebagai reaksi kepada satu lagi soalan oleh wartawan mengenai perediaan BN untuk mengahadapi PRK ini kelak.

“Kerja-kerja awalan telahpun mula, telahpun ada persediaan kerana kita menjangkakan – walaupun peringkat awalannya Ahli Parlimen bercadang untuk membuat rayuan tetapi di saat-saat akhir, beliau telah memilih untuk menyerah kembali kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Saya fikir itu cara yang paling baiklah. Jadi, biar rakyat yang menilaikan,” katanya lagi. 


PARA HADIRIN SEKALIAN... – Khabar  




Wednesday 12 December 2018

Ahli-ahli Majlis PBT perlu ‘engage’, dekati rakyat, kata Menteri Besar

GAYA BERSAHAJA... Dato' Sri Wan Rosdy dalam menyampaikan ucapan luar teks 12-minitnya.


HOTEL COPTHORNE, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya sentiasa mendekati rakyat setempat.

“Perkhidmatan sebagai Ahli Majlis hendaklah sentiasa ‘engage’ dan dekat dengan rakyat, dan tanggungjawab yang dipikul ini bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

“Sesungguhnya, kesejahteraan dan keselesaan rakyat perlu dilihat sebagai outcome yang dinilai melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) Ahli Majlis, disamping membolehkan rakyat mengerti justifikasi seseorang Ahli Majlis itu dipilih.

“Justeru, Ahli Majlis perlulah komited dan memberikan cerminan yang baik kepada rakyat. Jadikan integriti dengan menggabungkan nilai peribadi yang tinggi sebagai teras utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan 12-minit pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis PBT Negeri – tiga (3) Majlis Perbandaran dan lapan (8) Majlis Daerah di Pahang petang Rabu, 12 Disember di sini.

SATU UNTUK ALBUM KITA BERSAMA... 


TEMPOH PERKHIDMATAN 2 TAHUN

Seramai 232 Ahli Majlis yang dalam kalangan penjawat awam, ahli politik, profesional dan wakil dari badan bukan kerajaan (NGO), telah mengangkat sumpah serta menerima watikah pelantikan masing-masing.

Tempoh perkhidmatan mereka ialah selama dua (2) tahun bermula 1 November lepas (2018) sehingga 31 Oktober 2020.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan oleh Ahli Majlis semakin tinggi yang pastinya cabaran yang dihadapi juga semakin bertambah.

Sungguhpun begitu katanya, ia bukanlah sepatutnya menjadi penghalang untuk para Ahli Majlis terus berusaha untuk melakar kejayaan yang diharapkan.

“Bersama-samalah kita memperbaharui azam dan tekad supaya tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan tidak menyeleweng daripada prinsip memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat,” katanya.

CENDERAMATA BUAT AHLI MAJLIS... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali); yang turut kelihatan ialah Encik Abd Rahim (tiga dari kanan).


BERTERASKAN DASAR TEKNOLOGI HIJAU NEGARA

Kerajaan Negeri pula katanya, telahpun menggariskan beberapa fokus rasional yang perlu diberi perhatian dalam usaha untuk mencapai aspirasi memajukan negeri dan Negara.

Antara yang utama ialah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan berkualiti, membangunkan gunatanah tanah yang lebih inovatif dan efisyen, mengadakan kepelbagaian jenis perumahan mampu milik, dan menggalakkan pembangunan setempat berteraskan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN).

“Saya mengharapkan agar Ahli Majlis yang dilantik di kesemua 11 PBT di negeri ini, dapat menyokong agenda pembangunan negeri demi mencapai aspirasi Wawasan 2020,” katanya lagi.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatyankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Encik Abd Rahim Muda;

Beberapa lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ C.Sivarraajh; dan, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ishak Md Napis. 


PARA AHLI MAJLIS SEKALIAN... – Khabar