Monday 30 July 2012

Terawih di Surau Al-Muhajirin


RUANG UTAMA SURAU AL-MUHAJIRIN... Jemaah sedang menanti untuk bersembahyang Isya' seterusnya menunaikan solat sunat Terawih pada malam Ahad, 29 Julai. 
  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak seperti kunjungan sebelum ini bagi menunaikan solat sunat Terawih di Surau Al-Muhajirin – surau batu yang sederhana besar untuk kariah di sini dan persekitarannya;

Kunjungan penulis bagi menunaikan solat yang sama di surau berkenaan malam tadi, Ahad, 29 Julai atau 9 Ramadan, lebih menyelesakan ekoran jemaahnya tidaklah sepadat seperti sebelumnya.

Sebaik-baik mendengar azan dilaungkan menandakan masuknya waktu Isya’, penulis sekeluarga segera berkereta menuju ke sana sungguhpun jaraknya tidak sampaipun 100 meter dari kediaman ini.

Dengan hanya membuat tiga (3) belokan melalui deretan rumah sebuah-sebuah penduduk maka sampailah ke perkarangan surau. Tidak seperti sebelumnya bila kereta harus diletak kira-kira 10 meter jarak ke depan, kali ini, betul-betul berdepan pintu masuk surau.

Tidak seperti sebelumnya bila penulis sekadar dapat tempat di bahagian ‘varandah’ surau itupun saf hampir terkebelakang, nyaris tercantum dengan saf untuk Muslimat,  tetapi kali ini, dapat memasuki ruang solat utama berhawa dingin campur kipas siling dipasang ligat.

INDAHNYA SURAU KAMI... Bersempena Ramadan Al-Mubarak ini, surau ini dinyalakan lampu warna-warninya sebagai menyambut kehadiran jemaah menunaikan solat di dalamnya. 


SURAU PARA PENGHIJRAH

Lalu, berselesalah penulis menunaikan solat Isya’ disusuli solat sunat Terawih berjemaah yang diimamkan oleh anak muda yang lancar bacaannya, sungguhpun tidaklah berlagu sepertimana oleh imam di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebelum ini.

Dalam tempoh tak sampai setengah jam, sempurnalah sudah lapan (8) rakaat manakala imam dan jemaah lain (tinggal tak sampaipun dua (2) saf), meneruskan solat hingga mencukupkan 20 rakaat, tambah tiga (3) rakaat solat Witir.

Mengenai surau ini, penulis tertarik pada namanya – Al-Muhajirin. Muhajirin bermaksud penghijrah maka ia tentunya tepat sekali kerana sepertimana penulis yang baharu berhijrah ke sini sejak awal tahun lepas, begitulah juga dengan kesemua penduduknya.

Pengerusi Persatuan Penduduk di sini sendiri, yang juga ialah Pengerusi, Jawatankuasa Surau, Dato’ Ibrahim Taib; setahu penulis berasal dari sama ada Kampung Tengah atau Kampung Jawa, dekat sini.

Dan, asalnya Indera Mahkota ini ialah apa yang disebut Atabara dengan sebahagian besar kawasan ini ditanami pokok-pokok kelapa sawit hinggalah ia dibangunkan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) – PASDEC.

'LANDMARK' TERBAHARU DI INDERA MAHKOTA... Dengan penghuni semakin ramai dan pula 'purchasing power' yang boleh dikatakan tinggi juga, tidak menghairankanlah apabila syarikat pemilik francais restoran makanan segera Mc Donald di Malaysia, Golden Archess Sdn Bhd telah membuka restoran terbaharunya di sini. 


DAHULU RM6.50 KINI RM26 SEKAKI PERSEGI

Ketika itu ialah awal tahun 1980-an semasa penulis, seorang kelahiran negeri Perak, baharu berpindah-kerja ke Kuantan dari Kuala Lumpur dengan menyewa sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Jalan Beserah.

Penulis mengenali Dato’ Ibrahimpun ketika itu lagi, dalam pada penulis menjalankan tugas sebagai wartawan manakala Dato’ Ibrahim ialah orang kuat Pesatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) selaku Naib Presiden.

Memandangkan kawasan di Indera Mahkota ini dilihat strategik, penulispun membeli tanah di sini dengan nilai cuma RM6.50 sekaki persegi yang menurut kawan-kawan, nilai semasanya kini (selepas kira-kira 30 tahun) telah melonjak kepada RM26 sekaki persegi!

Apa yang berlaku selepas itu khususnya dengan penulis mengambil pinjaman Kerajaan untuk membina rumah kediaman ini kira-kira dua (2) dekad kemudian kata orang, ialah sejarah.

Penulis percaya, begitulah proses yang ditempuhi oleh penduduk lain di sini maka darpada segi itu, mereka juga ialah penghijrah sepertimana penulis. Maka, amat tepatlah apabila surau ini dinamakan Al-Muhajirin.

Sungghpun seorang penghijrah, penulis tidak pernah lupa untuk sentiasa akur sepenuhnya kepada peribahasa Melayu kita, ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Begiutlah juga dengan para penghijrah lain di sini. – Khabar   
       

MATA KE MATA;

*** Mengenai surau ini, penulis tertarik pada namanya – Al-Muhajirin. Muhajirin bermaksud penghijrah maka ia tentunya tepat sekali kerana sepertimana penulis yang baharu berhijrah ke sini sejak awal tahun lepas, begitulah juga dengan kesemua penduduknya.

*** Dan, asalnya Indera Mahkota ini ialah apa yang disebut Atabara dengan sebahagian besar kawasan ini ditanami pokok-pokok kelapa sawit hinggalah ia dibangunkan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) – PASDEC Sdn Bhd.

*** Memandangkan kawasan di Indera Mahkota ini dilihat strategik, penulispun membeli tanah di sini dengan nilai cuma RM6.50 sekaki persegi yang menurut kawan-kawan, nilai semasanya (selepas kira-kira 30 tahun) telah melonjak kepada RM26 sekaki persegi!

*** Sungghpun seorang penghijrah, penulis tidak pernah lupa untuk sentiasa akur sepenuhnya kepada peribahasa Melayu kita, ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Begiutlah juga dengan para penghijrah lain di sini.  

Saturday 28 July 2012

Tazkirah, belon 'Boboy dan 'Angry bird' serta berbuka di padang


USTAZ AZHARI DENGAN TAZKIRAHNYA...


PADANG MPK 1, KUANTAN – Perubahan yang baik. Bermula Rabu, 25 Julai bersamaan 5 Ramadan lepas, umat Islam yang datang ke padang ini untuk berbuka puasa mula disajikan dengan program ‘Haflatul Quran & Tazkirah Ramadan’ anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menerusi program ini, qari dan penceramah jemputan diberi ruang mendengarkan bacaan al-Quran dan tazkirah mereka sambil-sambil pengunjung menghadap juadah berbuka sementara menunggu azan Maghrib dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bersebelahan, tanda waktu berbuka.

Penulis berkesempatan menyertai mereka pada petang Sabtu, 28 Julai bersamaan 8 Ramadan. Sambil duduk atas hamparan tikar plastik yang baharu dibeli RM20 dari gerai penjaja berhampiran, tumpuan kini ialah kepada program tersebut.

Yang mengacarakan program ialah penceramah terkenal yang juga pegawai JAIP, Ustaz Badli Shah Alauddin. Beliau ada mengingatkan umat Islam yang hadir tentang tiga (3) perkara yang penulis simpulkan seperti berikut;

Jaga kebersihan padang, dengan membuang bekas-bekas juadah ke dalam tong-tong sampah yang disediakan oleh syarikat konsesi, Alam Flora – kira-kira 50 buah kesemuanya, yang ditempatkan dalam jarak ‘boleh-capai’ oleh pengunjung.

BEBRBUKA ALA-BERKELAH, BERLATARKAN MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1...


JAGA KEBERSIHAN, JAGA SOLAT, JAGA KESELAMATAN

Jaga solat, dengan segera ke Masjid Negeri berdekatan agar tidak terlepas daripada menunaikan solat Maghrib yang tempohnya singkat, kira-kira sejam lebih sedikit sahaja sebelum tiba waktu Isya’.

Jaga keselamatan terutamanya anak-anak yang dibawa bersama oleh ibubapa mereka.

Menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Azhari Daud – sepertimana diperkenalkan oleh Ustaz Badli Shah, pengunjung diingatkan agar bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman sejahtera dalam negara kita.

Beliau membandingkan keadaan ini dengan umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang mengalami penindasan yang teruk, antaranya, 22 masjid dibakar manakala kira-kira 50,000 nyawa melayang di bumi negara Indo China itu.

Program ringkas sebegini kepada penulis adalah baik. Ia menandakan keseriusan JAIP dalam memasyarakatkan lagi kaedah pendakwahan mereka – daripada mengharapkan umat Islam pergi kepadanya kini JAIP pergi kepada mereka;

MENJELANG WAKTU BERBUKA... Mereka yang nun di sana, tak mungkin dapat mendengar apa yang ditazkirahkan ekoran sistem siaraya yang tidak mencukupi yang lebih tertumpu di kawasan sekitar pentas di sebelah kanan foto ini (tidak kelihatan).


Lihatlah juga kepada anak-anak dengan belon watak animasi tempatan 'Boboy' mereka.  


‘SPEAKER’ TAK CUKUP

Manakala para pegunjung pula, yang komposisinya pelbagai – daripada yang bujang lelaki-perempuan, hinggalah sekeluarga termasuk datuk dan nenek, akan dapat memenuhi masa luang sementara menunggu waktu berbuka, dengan aktiviti berfaedah.

Bagaimanapun, kelemahan yang nyata daripada program yang julung-julung kali dianjurkan pada tahun ini ialah, alat siaraya yang kurang bertenaga lalu yang boleh mendengar apa yang dibaca dan ditazkirahkan cuma di sekitar pentas yang didirikan sahaja.

Sementara itu, solat sunat Terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang turut penulis sertai pada malam yang sama, masih menunjukkan kehadiran jemaah yang ramai sungguhpun bilangan itu mengecil secara mendadak selepas rakaat kelapan.

Sepertimana tahun sudah-sudah, senario ini dijangka berkekalan hinggalah menjelang 10 hari terakhir Ramadan apabila bilangan jemaah semakin berkurangan mungkin kerana sebahagian besarnya perlu pulang ke kampong halaman untuk berHari Raya. 

RAKAAT KE-9 & KE-10?... Inilah sebahagian daripada jemaah (penulis tidak terkecuali) yang meninggalkan masjid selepas menunaikan solat sunat Terawih setakat lapan (8) rakaat, serta Witir tiga (3) rakaat, yang dilakukan secara sendirian. – Khabar        


MATA KE MATA;

*** Menerusi program ini, qari dan penceramah jemputan diberi ruang mendengarkan bacaan al-Quran dan tazkirah mereka sambil-sambil pengunjung menghadap juadah berbuka sementara menunggu azan Maghrib dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bersebelahan, tanda waktu berbuka.
  
*** Menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Azhari Daud – sepertimana diperkenalkan oleh Ustaz Badlishah, pengunjung diingatkan agar bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman sejahtera dalam negara kita.

*** Beliau membandingkan keadaan ini dengan umat Islam Rohingya di Myanmar yang sedang mengalami penindasan yang teruk, antaranya, 22 masjid dibakar manakala kira-kira 50,000 nyawa melayang di bumi negara Indo China itu.

*** Program ringkas sebegini kepada penulis adalah baik. Ia menandakan keseriusan JAIP dalam memasyarakatkan lagi kaedah pendakwahan mereka – daripada mengharapkan umat Islam pergi kepadanya kini JAIP pergi kepada mereka. 

Thursday 26 July 2012

Kasihan dan simpati kepada negara pasca bahana 'Arab Spring' Mesir yang daif;



hanya mampu bekalkan pakaian sukan jenama tiruan untuk atletnya ke Sukan Olimpik London 2012

ATLET WANITA MESIR DENGAN PAKAIAN SUKAN JENAMA TIRUAN...


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kasihan dan simpati kita kepada negara pasca bahana ‘Arab Spring’ – Mesir. Oleh kerana kedaifannya, ia hanya mampu menyediakan pakaian sukan jenama tiruan Nike kepada 112 atletnya ke Sukan Olimpik London 2012 yang secara rasminya bermula hari ini, Jumaat, 27 Julai.

Itupun, sepertimana kata Presiden, Jawatankuasa Olimpik Mesir (EOC), Lt Jen Mahmoud Ahmed Ali dalam laporan oleh agensi berita Associated Press (AP), sudah cukup bagus (ENG: Good enough).

“Kami menandatangani (perjanjian bagi pembelian ‘tracksuit’ dan beg jenama tiruan tersebut) dengan pembekal negara China ekoran keadaan semasa ekonomi Mesir,” katanya.

Untuk mendapatkan jenama tulen katanya, adalah cukup mahal bagi negara yang terjejas teruk ekonominya lalu mendorong beliau untuk memilih dan membekalkan atletnya dengan jenama tiruan tersebut.

Dengan memilih jenama tulen, negara tersebut perlu menampung antara US300 (RM950) dan US500 (RM1,580) untuk setiap atlet X 112 orang atau bersamaan antara US33,600 (RM106,400) dan US56,000 (RM176,960).

ATLET KEBANGGAAN KITA... 


BANDINGKAN DENGAN NASIB 30 ATLET KITA

“Ini melibatkan kewangan yang besar apatah lagi dengan jumlah 112 atlet, campur pula lagi dengan jurulatih, pegawai dan doktor yang turut serta (dalam kontinjen Mesir),” katanya.

Bagaimana jika pemilik jenama itu – Nike, tahu dan tidak berpuas hati mengenainya? “…, ia (Nike) kenalah berunding terus dengan pembekal China yang menjualnya kepada kami,” Lt Jen Mahmoud dilaporkan sebagai berkata lagi.

Jika apa yang dilaporkan ini mengasihankan, yang turut dalam darjah perasaan yang serupa ialah laporan berita yang sama menyebut betapa atlet negara itu dalam acara renang berirama, terpaksa mengeluarkan wang sebanyak US300 (RM950) untuk membeli sendiri pakaian sukan yang lebih berkualiti.

Atlet wanita itu – Yomna Khallaf dilaporkan berkata; “Adalah sangat mengecewakan apabila kami perlu membayar tambahan 2,000 paun (Mesir) untuk mendapatkan pakaian yang lebih sesuai supaya kami kelihatan o.k”.

Bandingkan apa yang dihadapi oleh atlet-atlet Mesir ini dengan atlet-atlet negara lain termasuk dengan 30 atlet negara kita. Jauh bezakan? Dan ini tentunya mendatangkan kesyukuran kepada semua. – Khabar     


MATA KE MATA;

*** Untuk mendapatkan jenama tulen katanya, adalah cukup mahal bagi negara yang terjejas teruk ekonominya lalu mendorong beliau untuk memilih dan membekalkan atletnya dengan jenama tiruan tersebut.
   
*** Dengan memilih jenama tulen, negara tersebut perlu menampung antara US300 (RM950) dan US500 (RM1,580) untuk setiap atlet X 112 orang atau bersamaan antara US33,600 (RM106,400) dan US56,000 (RM176,960).

*** Jika apa yang dilaporkan ini mengasihankan, yang turut dalam darjah perasaan yang serupa ialah laporan berita yang sama menyebut betapa atlet negara itu dalam acara renang berirama, terpaksa mengeluarkan wang sebanyak US300 (RM950) untuk membeli sendiri pakaian sukan yang lebih berkualiti.

*** Bandingkan apa yang dihadapi oleh atlet-atlet Mesir ini dengan atlet-atlet negara lain termasuk dengan 30 atlet negara kita. Jauh bezakan? Dan ini tentunya mendatangkan kesyukuran kepada semua.

Tuesday 24 July 2012

Mampukah berpuasa tanpa berbuka dan bersahur sepertimana di Somalia?


KANAK-KANAK SOMALIA; KELAPARAN DAN KEBULURAN IALAH PERKARA BIASA... Dan kita di negara yang aman dan makmur ini, tentulah amat bersyukur atas segala nikmat yang diperolehi.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dalam pada kita berbelanja sama ada kecil, sederhana apatah lagi secara besar di Bazar-bazar Ramadan yang terdapat hampir di semua kawasan tumpuan orangramai.

Dalam pada kita memenuhi jemputan berbuka puasa di hotel-hotel lima bintang yang menawarkan hidangan yang pelbagai dengan harga paling rendah di Kuantan ini, antara RM65 dan RM75 seorang.

Dalam pada kita selesa menunaikan solat Isya’ disusuli sunat Terawih kebanyakannya setakat lapan (8) rakaat, di surau-surau berhawa dingin mahupun di masjid dan surau yang ligat kipasnya benar-benar menyejukkan.

Dalam pada kita bangun sahur jam 4.30 pagi  – solat Tahajjud kemudian Hajat, seterusnya menikmati juadah sahur dengan keluarga sambil-sambil mendengar alunan muzik dan lagu-lagu ‘oldies’ siaran stesen radio swasta LiteFM.

Berita tentang kesengsaraan dan kemeranaan umat Islam di luar negara khususnya di Somalia, tentulah telah sedikit-sebanyak menyentak perasaan serta segala kegembiraan kita dalam meraikan bulan puasa Ramadan Al-Mubarak ini.

Lalu, kesyukuran segera mendatangi. Dan kita sesungguhnya, amat bersyukur dengan segala nikmat yang sedang dikecapi dalam sebuah negara yang aman lagi makmur di bawah pentadbiran cekap dan berkesan Kerajaan yang ada.

Alhamdulillah.  – Khabar


Saturday 21 July 2012

Meriahnya hari pertama Ramadan


MERIAH TETAPI PANAS DI BAWAH KHEMAH BESAR 'HALF-MOON'... Inilah suasana terbaharu di Bazar Ramadan depan Masjid Negeri.   


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Meriah! Inilah yang dapat digambarkan hari pertama bulan Ramadan hari ini, Sabtu, 21 Julai khususnya –
sepertimana saban tahun, apabila ke Bazar Ramadan berdepan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dekat sini.  

Sebelum tiba ke tapak bazaar ini, kemeriahan sudahpun terasa dengan kesesakan lalulintas yang harus ditempuhi ketika melalui Jalan Bukit Ubi, kemudian masuk ke Jalan Mahkota yang berhampiran dengan bazar.

Jangan haraplah untuk mendapat petak letak kereta di bahu jalan ini. Ia bukan sahaja penuh malah ada pemandu yang tidak berhemah, sanggup melakukan ‘double-parking’ hingga mengurangkan lagi ruang laluan jalan tersebut lalu menyesakkan lagi.

Kehadiran anggota polis trafik di situpun seakan-akan tidak dihiraukan. (Penulis dapat bayangkan akan ketidak selesaan dan ketegangan yang boleh berlaku antara pemandu-pemandu terlibat, apabila kenderaan yang diletak dalam petak sebenar tidak dapat mengundurkan kenderaan kerana disekat oleh kenderaan dibelakang yang melakukan gejala ‘double-parking’ itu).

Melalui Jalan Mahkota ini juga perlu berhati-hati kerana bimbang terlanggar bahagian belakang kenderaan yang bergerak secara terkemut-kemut di depan, ataupun untuk mengelak terlanggar orangramai yang melintas tanpa melalui lintasan khas untuk pejalan kaki yang disediakan berdepan Mahkota Square.

KHEMAH BESAR ‘HALF-MOON’

Dari Jalan Mahkota, melepasi bangunan pejabat Telekom Malaysia (TM) Pahang dan Hongkong and Shanghai Bank, penulis membelok ke kiri memasuki Jalan Bank dan selang beberapa petak letak kereta yang ber‘penghuni’, menjumpai seterusnya memasuki petak letak kereta kosong di situ.

Dari petak letak kereta ini penulis berjalan kaki – memasuki perkarangan Masjid Negeri di bahagian belakangnya, berjalan melepasi Klinik Al-Amin lalu masuklah ke tapak gerai-gerai Bazar Ramadan.

Tidak seperti tahun sudah-sudah, kali ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan dua (2) unit khemah besar ‘half-moon’ yang memanjang secara selari dari kawasan ‘pasar buluh’ lama hingga ke Taman Kerang.

Di bawah khemah besar inilah para penjaja dibahagi-bahagikan petak-petak ruang niaga masing-masing lalu menjajalah mereka dengan seaneka jenis makanan daripada lauk-pauk hinggalah ke kuih-muih, minuman serta buah-buahan.

Namun, baharu sahaja memasuki khemah besar ini, sudahpun terasa ketidakselesaan, bukan sangat kerana orangramai bersesak-sesak di dalamnya tetapi lebih kerana sistem pengudaraan yang tidak baik diakibatkan oleh ketiadaan kipas.

PANAS, PANAS! MANA KIPASNYA???

Maka tidak hairanlah, dalam kalangan penjaja mahupun orangrami, kelihatan percikan peluh pada dahi-dahi mereka.

Kepada penulis, idea mendirikan khemah-khemah ‘half-moon’ ini mungkin baik khususnya jika berlaku cuaca buruk seperti hujan tetapi, dalam keadaan biasa ini, mungkin lebih wajar menyediakan kipas.

DAMAI DALAM MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, UIAM KUANTAN... Inilah suasana yang sempat dirakamkan pada malam Sabtu, 21 Julai sebelum menunaikan solat Isya' disusuli terawih dalam masjid yang serba baharu ini.


Di Masjid Sultan Hj Ahmad Shah dalam perkarangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di Indera Mahkota 8 dekat sini pula, penulis sekeluarga berkesempatan menunaikan solat Isya’ disusuli sunat terawih pada malam yang sama.

Ini kali kedua penulis menjejak kaki ke dalam masjid bernilai RM15 juta, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Sultan Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Mahkota Pahang serta dengan kehadiran Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada 6 Mei lepas.

Kali pertama ialah pada Jumaat, 20 Julai kerana menunaikan sembahyang sunat Jumaat. Selain ia sebuah masjid yang baharu – maka segala-galanya baharu, yang turut menjadi tarikan mungkin juga ialah kerana ia sebuah masjid yang besar (berkapasiti 5,000 jemaah pada satu-satu masa) lalu memberi ruang yang selesa kepada jemaah untuk menunaikan solat di dalamnya.

Selain itu ialah bacaan surah-surah al-Quran oleh imamnya yang ternyata jelas, teratur dan lancar. Dan, berada dalam kalangan pensyarah-pensyaran universiti ini terutamanya dari luar negara, telah membangktikan lagi semangat untuk berada di dalamnya. – Khabar


MATA KE MATA; 


*** Jangan haraplah untuk mendapat petak letak kereta di bahu jalan ini. Ia bukan sahaja penuh malah ada pemandu yang tidak berhemah, sanggup melakukan ‘double-parking’ hingga mengurangkan lagi ruang laluan jalan tersebut lalu menyesakkan lagi.
         
*** Namun, baharu sahaja memasuki khemah besar ini, sudahpun terasa ketidakselesaan, bukan sangat kerana orangramai bersesak-sesak di dalamnya tetapi lebih kerana sistem pengudaraan yang tidak baik diakibatkan oleh ketiadaan kipas.


*** Kepada penulis, idea mendirikan khemah-khemah ‘half-moon’ ini mungkin baik khususnya jika berlaku cuaca buruk seperti hujan tetapi, dalam keadaan biasa ini, mungkin lebih wajar menyediakan kipas.


*** bacaan surah-surah al-Quran oleh imamnya yang ternyata jelas, teratur dan lancar. Dan, berada dalam kalangan pensyarah-pensyaran universiti ini terutamanya dari luar negara, telah membangktikan lagi semangat untuk berada di dalamnya.


PEMBETULAN; 

### Menjengah semula ke Bazar Ramadan ini pada petang Selasa, 24 Julai bersamaan 4 Ramadan, mendapati kemudahan bukan sahaja kipas malah lampu turut sedia dipasang dalam khemah-khemah 'half-moon' ini. 

Ia dikatakan mula dipasang pada malam hari kedua Ramadan, Ahad, 22 Julai yang pada sebelah petangnya, KDYMM Sultan Pahang telah berkenan mencemar duli berangkat meninjau, bermesra dengan penjaja dan pelanggan serta membeli juadah di Bazar Ramadan ini. 

Baginda turut menzahirkan kekecewaan Baginda tentang ketidakselesaan akibat ketiadaan kemudahan kipas terutamanya. 

PERKENAN KEBAWAH DULI TUANKU... Inilah keratan akhbar yang dipaparkan semula, yang melaporkan tentang keberangkatan KDYMM Sultan Pahang ke Bazar Ramadan tersebut pada petang Ahad, 22 Julai. 



### Penulis kemudian difahamkan, tahun ini kali pertama MPK men'swastakan' perkhidmatan menyediakan kemudahan khemah-khemah seterusnya tapak-tapak penjaja ini. 

Niatnya baik, iaitu untuk memberikan peluang menambah dana atau tabungan kepada pihak yang diswastakan - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kuantan. 

Daripada aspek penguatkuasaan khususnya berkenaan kebersihan, MPK masih memainkan peranan menerusi rondaan dan pemeriksaan oleh anggota-anggota penguatkuasanya.   

Tuesday 17 July 2012

Meraikan Ramadan Al-Mubarak

EID MUBARAK... Semoga kedatangannya disambut dan diisikan dengan amal-ibadah termasuk menunaikan solat-solat sunat terawih di surau-surau dan masjid-masjid. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN - Ramadan Al-Mubarak atau bulan puasa tiba lagi. Bagi tahun 1433 Hijrah atau tahun masehi 2012 ini, ia dijangka bermula sama ada pada Jumaat, 20 Julai atau Sabtu, 21 Julai.


Majlis Raja-raja Melayu telahpun menetapkan bahawa tarikh untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk seluruh umat Islam di negara ini ialah pada petang Khamis, 19 Julai atau bersamaan 29 Sya'ban, 1433 Hijrah.

Semarak bulan puasa ini telahpun terasa dalam tempoh beberapa hari ini. Selain iklan-iklan jualan atau juadah berbuka dalam pelbagai media, antara yang paling nyata ialah dengan beberapa kariah surau dan masjid menjalankan kegiatan gotong-royong membersihkan surau dan masjid masing-masing.

Di Kuantan ini khususnya, yang baharu selesai ceria dengan penganjuran Sukan Malaysia XV Pahang 2012 yang penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak di Stadium Darul Makmur malam tadi;

TENANG DAN NYAMAN, DALAM MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1... Inilah keadaannya yang sempat dirakamkan semasa jemaah menunaikan solat zohor pada tengah hari Selasa, 17 Julai bersamaan 27 Sya'ban 1433 Hijrah atau tiga-empat hari sahaja menjelang bulan Ramadan. 


Keceriaan itu bersambung pula dengan kedatangan Ramadan, yang turut dirasai dengan kanopi-kanopi bagi menempatkan gerai-gerai Bazar Ramadan segera didirikan khususnya di tapak berdepan padang MPK 1 berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Kehadiran penulis bagi menunaikan solat zohor di masjid ini juga terasa akan 'aura' kehadiran bulan Ramadan ekoran ramai daripada biasa para jemaah yang berada di dalamnya sama ada untuk bersolat, beriktiqaf termasuk membaca al-Quran.

'Selamat Meraikan Ramadan Al-Mubarak' kepada semua. - Khabar  

   
 




Thursday 12 July 2012

Kemeriahan alunan 'vuvuzela' dan keceriaan 'family-outing'


sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012

'FAMILY-MAN AND HIS FAMILY-OUTING'... Lelaki berbaju-T merah ini ialah seorang daripada ketua keluarga yang datang bersama-sama ahli-ahli keluarganya. Masih ramai lagi yang lain yang menjadikan acara sukan yang dikunjungi sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini sebagai acara 'family-outing' mereka.   


STADIUM DARUL MAKMUR, KUANTAN – Apakah yang boleh dilakukan oleh serunai plastik – ‘vuvuzela’, yang dijual dengan harga RM5 satu kepada kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012?

Tidak banyak tetapi, dengan alunannya yang ditiup oleh para pengunjung ke beberapa ‘venue’ sukan pada kejohanan ini, telah sedikit-sebanyak memeriahkan suasana sungguhpun tidak dinafikan, ia agak membingitkan.

Inilah yang dapat dirasai semasa kunjungan penulis ke Kompleks Kolam Renang, Wisma Belia di Indera Mahkota pada Ahad, 8 Julai, apatah lagi ke sini, malam Khamis, 12 Julai untuk menyaksikan perwalanan bolasepak peringkat separuh akhir menemukan Sabah dan Negeri Sembilan.

Ribuan pengunjung/penonton hadir menyaksikan perlawanan bolasepak ini yang akhirnya dimenangi Sabah dengan jaringan 2 – 1, disebalik ketinggalan 0 – 1 seawal minit keenam lagi sebelum berjaya membuat 'comeback' dengan bergaya sekali.   

Setengah jam sebelum perlawanan bermula lagi, para pengunjung yang membeli alat serunai ini daripada anak-anak muda yang mundar-mandir menjualnya dalam kalangan mereka, telahpun meniup-niupnya.

YANG MENANG SABAH BA... Inilah perlawanan menemukan Sabah, berjersi biru dan Negeri Sembilan, berjersi putih, pada malam Khamis itu. 


ALUNAN SEMAKIN ‘MERIAH’

Sebaik-baik pemain dari kedua-dua pasukan memasuki padang seterusnya bermulanya perlawanan tepat 8.45 malam, tiupan serta alunan itu semakin ‘meriah’ kedengaran apatah lagi dengan bilangan pengunjung semakin ramai, bertambah ramailah juga yang membeli lalu meniup-niupnya.

Paling kuat kedengaran ialah ketika berlaku kekasaran pemain ke atas pemain lawan, kesilapan-kesilapan kecil yang dilihat tidak cerdik yang dilakukan oleh pemain, dan, sudah tentulah apabila gol dijaringkan!

Oleh kerana perlawanan malam ini tidak melibatkan pasukan tuanrumah yang sebelum itu tewas kepada Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, pengunjung/penonton  seperti tidak kisahkan sangat pasukan mana yang akan menang.

(Sungguhpun tidak dinafikan, penulis dapat hidu sedikit perasaan dendam dalam kalangan pengunjung/penonton terhadap Negeri Sembilan dengan suara-suara kecaman serta tiupan ‘vuvuzela’ yang lebih kuat terhadap pemain-pemain negeri itu apabila sahaja mereka melakukan kekasaran atau kesilapan).         

Selain memeriahkan, satu aspek positif tentang ‘vuvuzela’ ialah, ia dapat mengurangkan ruang dan kesempatan untuk para penonton  melepaskan geram dengan membuka mulut bagi mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pemain mahupun pengadil dan penjaga garisan di atas padang!

SERUNAI PLASTIK, VUVUZELA... Memeriahkan dan membingitkan. Penulis turut membeli dan meniup-niupkannya pada malam Khamis itu tetapi diberitahu oleh anak yang turut bersama, ada anak kecil dengan 'vuvuzela' dalam genggaman bertanya kehairanan kepada emaknya tatkala melihat penulis meniup, 'Pakcik tupun tiup juga?'.  


‘FAMILY-OUTING’ YANG MEMBAHAGIAKAN

Penulis juga seronok menyaksikan betapa dalam kalangan penonton ialah kalangan ibu, bapa dan anak-anak mereka hingga jelas kelihatan, betapa kunjungan mereka ke ‘venue-venue’ kejohanan sepertimana malam ini, merupakan satu ‘family-outing’ yang membahagiakan.

Lalu, jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan, maka penulis bolehlah menambahkannya kepada, Sukan Menjana Perpaduan serta Kebahagian Sekeluarga. – Khabar  


MATA KE MATA;

*** Ribuan pengunjung/penonton hadir menyaksikan perlawanan bolasepak ini yang akhirnya dimenangi Sabah dengan jaringan 2 – 1, disebalik ketinggalan 0 – 1 seawal minit keenam lagi sebelum berjaya membuat 'comeback' dengan bergaya sekali.   

*** Selain memeriahkan, satu aspek positif tentang ‘vuvuzela’ ialah, ia dapat mengurangkan ruang dan kesempatan untuk para penonton  melepaskan geram dengan membuka mulut bagi mengeluarkan kata-kata kesat terhadap para pemain mahupun pengadil dan penjaga garisan di atas padang!

*** Penulis juga seronok menyaksikan betapa dalam kalangan penonton ialah kalangan ibu, bapa dan anak-anak mereka hingga jelas kelihatan, betapa kunjungan mereka ke ‘venue-venue’ kejohanan sepertimana malam ini, merupakan satu ‘family-outing’ yang membahagiakan.

*** Jika tema Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini ialah Sukan Menjana Perpaduan, maka penulis bolehlah menambahkannya kepada, Sukan Menjana Perpaduan serta Kebahagian Sekeluarga.       

Sunday 8 July 2012

Disiplin dalam bersukan sambil bertemasya


sempena Sukan Malaysia XV Pahang 2012

LANTANG, TANPAPUN BANTUAN ALAT SIARAYA... Pemain-pemain Sarawak sedang menyanyikan lagu negeri, Ibu Pertiwiku. Disiplin dan semangat patriotisme sebeginilah yang dituntut sungguhpun dalam acara sukan. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Pagi Ahad, 8 Julai di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) dekat sini sayu seketika apabila pemain-pemain pasukan hoki wanita Sarawak secara spontan menyanyikan lagu negeri – Ibu Pertiwiku, sejurus sebelum bermula perlawanan peringkat kumpulan menentang Perak.

Kesayuan itu sedemikian hingga seluruh stadium yang sebelum itu riuh telah terdiam kerana menghayati dan menghormati nyanyian lagu negeri oleh kesebelasan pemain dari Bumi Kenyalang itu.    

Ini pula dilakukan tanpapun memerlukan alat siaraya. Bait-bait lagu yang dinyanyikan itu jelas kedengaran hingga menaikkan semangat mereka yang mendengarnya apatah lagi jika dianya rakyat Sarawak.

Bahawa lagu tersebut terdapat lirik – Sarawak dalam Malaysia, membutkikan semangat  kekitaan, bersama-sama rakyat negeri lain dalam sebuah negara persekutuan lagi berdaulat, Malaysia.

Lirik penuh lagu Ibu Pertiwiku ialah; Sarawak tanah airku, Negeriku tanah airku Sarawak, Engkaulah tanah pusakaku, Tanah tumpah darahku, Ibu pertiwiku. Rakyat hidup mesra dan bahagia, Muhibbah sentiasa, Bersatu berusaha berbakti, Untuk Sarawakku cintai.

AURAT TETAP DIPELIHARA... Foto ini dirakamkan semasa pertandingan badminton Terengganu menentang Melaka di Stadium Tertutup, Kompleks SUKPA pada pagi minggu tersebut. 

Yang menarik perhatian ialah pakaian memelihara aurat oleh pemain Terengganu (berbaju-T warna hitam), yang dengan pakaian tersebut tidak menghalang beliau bergerak lincah di atas gelanggang.  


SARAWAK DALAM MALAYSIA

Sarawak dalam Malaysia, Aman makmur rahmat Tuhan Maha Esa, Kekallah Sarawak bertuah, Teras perjuangan rakyat, Berjaya berdaulat.

Sepertimana disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Sarawak ini sebelum perlawanan, begitulah juga yang dipamerkan dalam  perlawanan dan tamat separuh masa pertama sahaja, ia mendahului Perak 1 - 0.

Sementara itu, suasana temasya terasa di beberapa ‘venue’ kejohanan yang sempat penulis hadiri pagi ini sama ada di Stadium Hoki SUKPA, di Gimnasium, Lapangsasar Menembak dan, Stadium Tertutup yang terletak dalam perkarangan Kompleks SUKPA ini.

Selaras dengan nama ‘venue’nya, Gimnasium menyaksikan pertandingan sukan gimnastik diadakan di dalamnya, Lapangsasar Menembak untuk acara menembak 10 meter, 25 meter dan 50 meter, manakala Stadium Tertutup untuk acara badminton.

Suasana bertemasya yang serupa juga – dengan gerai-gerai penjaja baik makanan mahupun pakaian didirikan di kawasan-kawasan tertentu di persekitaran, dapat turut dirasai ketika penulis ke Kompleks Kolam Renang, Wisma Belia berdekatan yang turut terletak di Bandar Indera Mahkota ini.

Dan, ini hanyalah hari kedua Sukan Malaysia XV Pahang 2012 dilangsungkan selepas dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang pada acara gilang-gemilang di Stadium Darul Makmur, malam tadi, Sabtu, 7 Julai. – Khabar

TURUN PADANG... Dalam ertikata sebenar. Kelihatan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turun padang di Stadium Hoki, Kompleks SUKPA pada pagi Ahad yang sama, memberikan semangat kepada pemain-pemain pasukan hoki wanita negeri tersebut. 

Sebelum itu, pasukan hoki wanita berkenaan telah tewas kepada pasukan Pulau Pinang, 1 - 2 dalam satu lagi perlawanan Kumulan B, pertandingan hoki wanita kejohanan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 ini.    


MATA KE MATA;

*** Bahawa lagu tersebut terdapat lirik – Sarawak dalam Malaysia, membutkikan semangat  kekitaan, bersama-sama rakyat negeri lain dalam sebuah negara persekutuan lagi berdaulat, Malaysia.

*** Sepertimana disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Sarawak ini sebelum perlawanan, begitulah juga yang dipamerkan dalam  perlawanan dan tamat separuh masa pertama sahaja, ia mendahului Perak 1 - 0.




Wednesday 4 July 2012

Kemeriahan Sukan Malaysia XV Pahang 2012


… mulai terasa khususnya di Kuantan, yang bakal menyambut kehadiran lebih 6,000 atlit dan pegawai dari seluruh negara serta negara jiran, Brunei Darussalam

PERARAKAN MASUK... Inilah suasana pada raptai malam Rabu, 4 Julai. Dengan persembahan kemas dan menarik malam itu, penuh dengan elemen-elemen tradisional tetapi tidak membosankan, dan jika segala-galanya lancar pada malam perasmian sebenar, Sabtu, 7 Julai; ia tentunya akan mendapat reaksi positif daripada hadirin yang menyaksikan.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kehangatan Sukan Malaysia XV Pahang 2012 mulai terasa terutamanya di Kuantan, dengan jalan-jalan utama kelihatan lebih sesak daripada biasa;

Kerja-kerja untuk mengenakan sentuhan terakhir kepada ‘venue-venue’ pertandingan rancak dijalankan, manakala kerja-kerja pengindahan kawasan-kawasan tumpuan orangramai giat diusahakan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK);

Latihan serta raptai sedang asyik dilangsungkan, manakala beberapa acara sukan telahpun bermula – seperti bolasepak, yang mula dipertandingkan pada Rabu, 4 Julai, dan acara-acara sukan seperti karate, taekwando dan wushu sudahpun bermula, 1 Julai dan berakhir keesokannya.

Penulis berkesempatan menjengah ke Stadium Darul Makmur pada malam Rabu, 4 Julai, bagi menyaksikan raptai untuk Majlis Perasmian Sukan Malaysia XV Pahang 2012 yang bakal berlangsung pada malam Sabtu, 7 Julai.

Menjejak kaki ke dalam stadium ini sahaja sudahpun mendatangkan keghairahan – teruja dengan sistem lampu limpah baharu yang menerang-benderangkan seluruh pelosok stadium; kemudahan layar LED (light-emitting diode) yang serba canggih, satu di sebelah kiri dan satu lagi, memanjang betul-betul bertentangan dengan tempat duduk utama, dan juga trak/balapan berwarna biru menggantikan yang lama berwarna merah.

SEBAHAGIAN LAGI AKSI RAPTAI...  


SISTEM AUDIO YANG MENGGETARKAN

Sistem audionyapun kedengaran lebih bagus – cukup menggetarkan sungguhpun kerana tahap ‘decibel’ yang tinggi, agak sukar untuk mendengar dengan jelas, ‘biji-butir’ yang diungkapkan terutamanya ketika dendangan nyanyian.

Yang lebih mengujakan ialah menyaksikan persembahan di atas dan sekeliling padang, terutamanya segmen yang dipenuhi dengan dendangan lagu-lagu tradisonal dengan iringan paluan gendang yang tersusun disertai gerak-tari serta kombinasi pergerakan yang agak baik oleh anak-anak muda kita.

Turut hadir menyaksikan raptai ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif yang juga Pengerusi, Jawatakuasa Kecil Persembahan Kebudayaan dan Kesenian, serta mengambil alih jawatan Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Perasmian – Pembukaan dan Penutupan ekoran kematian Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri, Dato’ Tan Aminuddin Ishak pada Selasa, 19 Jun lepas.

Yang turut kelihatan ialah Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri, Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab, serta pegawai dan kakitangan dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – Khabar
     
MATA KE MATA;

*** Menjejak kaki ke dalam stadium ini sahaja sudahpun mendatangkan keghairahan – teruja dengan sistem lampu limpah baharu yang menerang-benderangkan seluruh pelosok stadium; kemudahan layar LED (light-emitting diode) yang serba canggih, satu di sebelah kiri dan satu lagi, memanjang betul-betul bertentangan dengan tempat duduk utama, dan juga trak/balapan berwarna biru menggantikan yang lama berwarna merah.

*** Sistem audionyapun kedengaran lebih bagus – cukup menggetarkan sungguhpun kerana tahap ‘decibel’ yang tinggi, agak sukar untuk mendengar dengan jelas, ‘biji-butir’ yang diungkapkan terutamanya ketika dendangan nyanyian.