Sunday 29 October 2017

Pembangkang cepat melatah, serang MCKIP


Sedangkan pertama-tamanya, tembok konkrit itu bukanlah meliputi keseluruhan taman perindustrian seluas 1,214 hektar (3,000 ekar) itu, dan pula, bukan seluruhnya terletak dalam satu kawasan sahaja tetapi terpisah-pisah.

SESI FOTO BERKUMPULAN SEMASA PELANCARANNYA... 


NOTA EDITOR;

MCKIP atau Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China yang terletak di Gebeng – kira-kira 30 km dari bandar Kuantan, telah sekali lagi mendapat perhatian pihak pembangkang dengan serangan bertubui-tubi dilancarkan terhadapnya oleh kepimpinan parti berkenaan serta sebuah portal berita yang terlalu taksub dengannya.

Sungguhpun telah beberapa kali diperjelaskan termasuk dalam dewan yang mulia, Dewan Undangan Negeri Pahang namun, serangan terus dilakukan yang tentunya matlamatnya tidak lain untuk menampakkan kepimpinan negara dan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) adalah buruk.

Lanjutan itu, artikel sepertimana disiarkan ini ialah usaha untuk memperjelaskan lagi mengenainya agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang telah dilemparkan terhadap satu lagi projek pembangunan perindustrian yang mampu menjana kemajuan yang berkesan demi kemakmuran negeri dan negara, serta kesejahteraan rakyatnya.    


Oleh Yope Key-dare

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Cepat sangat melatah! Inilah yang boleh dikatakan tentang sikap pemimpin parti pembangkang serta portal berita pro mereka yang secara sembrono menyerang projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng dekat Kuantan ini.

Yang paling sensasi dalam latahan itu ialah kononnya, akan wujud koloni warganegara/pekerja China di dalamnya dengan hanya bersandarkan kepada terbinanya tembok konkrit setinggi 2.4 meter (8 kaki) yang didakwa telah melingkari serta menutup keseluruhan MCKIP itu.

Dengan adanya kawasan tertutup berkenaan lalu menghalang kemasukan mudah rakyat negara ini ke dalam MCKIP kononnya, koloni tersebut bukan sahaja mengguna-pakai undang-undang sendiri malah turut menggunakan matawang negara China – Yuan.

Sedangkan pertama-tamanya, tembok konkrit itu bukanlah meliputi keseluruhan taman perindustrian seluas 1,214 hektar (3,000 ekar) itu, dan pula, bukan seluruhnya terletak dalam satu kawasan sahaja tetapi terpisah-pisah meliputi;

MCKIP 1 seluas 485.6 hektar (1,200 ekar) dan MCKIP 2 seluas 404.7 hektar (1,000 ekar) – kedua-duanya terletak di sebelah utara Gebeng, dan MCKIP 3 seluas 323.7 hektar (800 ekar) terletak di sebelah timur bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan.    

SEBAHAGIAN DARIPADA 710 EKAR KAWASAN KILANG MILIK ALLIANCE STEEL YANG DALAM TAHAP PEMBINAAN... Tembok yang dipertikaikan ialah yang berwarna putih di sebelah kiri foto ini.  


KILANG KELULI YANG PERTAMA, TERBESAR DALAM MCKIP

Tembok konkrit berkenaan sebenarnya, hanya melingkari kawasan 287.3 hektar (710 ekar) milik kilang keluli bernilai pelaburan RM6,000 juta – Alliance Steel (M) Sdn Bhd. Dan kilang yang sedang pesat dibina ini ialah yang pertama dan pelaburan terbesar dalam MCKIP 1.

Rasional di sebalik pembinaan tembok konkrit ini ialah sebagai memenuhi tuntutan polisi syarikat tentang Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) demi terutamanya, memelihara keselamatan tapak kilang miliknya.

Apabila kilang ini siap, keluar-masuk ke dalam kawasannya akan menurut prosedur keluar-masuk sepertimana kilang-kilang lain di negara ini yang tertakluk kepada proses keselamatan sedia-ada.

Untuk rekod, Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang apabila siap kilangnya dijangka mengeluarkan kira-kira 3.5 juta tan keluli setahun; ialah syarikat usahasama antara dua entiti China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd.  

MCKIP pula dilancarkan secara rasmi pada 5 Februari 2013, dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd – syarikat China yang dipunyai Kerajaan Guangxi Autonomous Region.

PEKERJA PEMBINAAN CHINA AKAN PULANG SELEPAS KILANG SIAP

Sebanyak 51 peratus lagi dimiliki oleh Malaysia-China Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd yang dikongsi bersama oleh Kerajaan Negeri Pahang, IJM Land Bhd dan Sime Darby Property Bhd.
    
Selain kewujudan tembok, yang mungkin menyebabkan pembangkang melatah ialah kerana kononnya, terdapat kira-kira 3,000 pekerja China di sana ketika ini – di tapak kilang Alliance Steel berkenaan.

Sebenarnya, mereka ini merupakan pekerja-pekerja pembinaan yang dibawa dari negara China tetapi bukanlah kesemuanya. Terdapat juga pekerja-pekerja tempatan dalam kalangan pekerja-pekerja ini.

Dan pekerja-pekerja China ini mempunyai Permit Kelulusan (Approval Permit) yang dibenarkan berada di tapak hanya dalam tempoh pembinaan dan kembali ke China selepas kilang itu siap pada akhir tahun depan (2018).

Apabila tempoh operasi kilang bermula nanti, telahpun ditetapkan betapa kilang ini akan mempunyai bilangan pekerja berdasarkan nisbah 70:30 iaitu 70 peratus pekerja dalam kalangan rakyat tempatan manakala 30 peratus sahaja lagi dari China.

PEKERJA KILANG CHINA PULA SAH BEKERJA UNTUK 3-5 TAHUN SAHAJA

Itupun, 30 peratus pekerja China ini hanya diberikan kontrak sementara yang sah untuk tempoh antara tiga (3) dan lima (5) tahun, yang selepas itu tempat mereka akan diisi oleh pekerja tempatan sepenuhnya.

Hanya beberapa minggu lepas, pengurusan kilang telah menganjurkan ‘job fairs’ secara besar-besaran, meliputi tiga (3) negeri di pantai timur ini – Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan tenaga kerja tempatan dengan sasaran sehingga 4,000 orang.

Pembangkang juga membangkitkan soal kononnya bukan sahaja kesemua bahan-bahan pembinaan diimport dari China, malah, kontraktor-kontraktor tempatan langsung tidak dilibatkan dalam tempoh pembinaan kilang tersebut.

Hakikatnya ialah, Alliance Steel bukan sahaja membeli atau menyewa bahan-bahan pembinaan bernilai kira-kira RM200 juta daripada syarikat-syarikat tempatan malah, kontrak bernilai kira-kira RM530 juta lagi diberikan kepada mereka khususnya kontraktor-kontraktor pembinaan.

Soal kewujudan kedai-kedai dan restoran-restoran dalam kawasan tapak kilang yang sama juga menjadi pertikaian pembangkang, kononnya langsung tidak memberi peluang niaga kepada rakyat tempatan.

PASARAYA MILIK TEMPATAN DALAM KAWASAN KILANG ALLIANCE STEEL

Sedangkan hakikatnya ialah, terdapat sebuah pesaraya milik tempatan – Tunas Manja Group (TMG) di dalamnya yang mana kedai-kedai dan restoran-restoran di situ memperolehi barangan keperluan harian mereka.

Dengan perbelanjaan bernilai kira-kira RM4 juta sebulan bagi mendapatkan keperluan dari pasaraya ini sahaja bermakna, nilai sebanyak itulah juga yang mengalir kepada pembekal-pembekal kepada pasaraya ini, yang dalam kalangan rakyat tempatan juga.

Dan sebagai pasaraya tempatan, matawang yang digunakan sudah tentunyalah Ringgit Malaysia, sekaligus menafikan dakwaan kononnya matawang Yuan merupakan ‘medium of exchange’ di sana.

Alliance Steel juga sentiasa bertegas dengan konsep ‘Di Malaysia, Untuk Malaysia’nya yang kerana itulah juga, selain menitik-beratkan kepentingan tempatan dalam urusan-urusan seperti pengambilan pekerja, pembekalan barangan keperluan dan bahan-bahan pembinaan; ia juga aktif dalam bidang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Tidak hairanlah tatkala sebahagian daripada daerah di negeri ini terkesan buruk akibat bencana banjir pada Disember 2014, syarikat ini mengambil insiatif untuk menyumbang sehingga RM500,000 untuk membantu rakyat yang terlibat dengannya.

SUDAH DIPERJELAS, DAN PERLU DIPERJELASKAN LAGI

Sungguhpun perkara-perkara ini telah disebut dan diperjelaskan termasuklah pada persidangan Dewan Undangan Negeri dengan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tampil dengan fakta-fakta yang kukuh.

Namun – demi ‘political mileage’, ia masih dipertikai dan kita percaya, akan terus dipertikaikan oleh pihak pembangkang termasuk oleh portal berita yang pro mereka, sehinggalah pada pilihanraya umum kelak. – Khabar 

Friday 27 October 2017

Tahniah atas Bajet 2018 bernilai RM280,250 juta

… meningkat kira-kira RM20,000 juta berbanding Bajet 2017 sebanyak RM260,800 juta
BIRU YANG BERSERI-SERI... Dato' Sri Mohd Najib ketika membentangkan ucapan bajet selama 2 jam 35 minitnya. 


ALAMAYA, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak atas pembentangan Bajet 2018 di Parlimen pada petang Jumaat, 27 Oktober tadi.

“Syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, atas pembentangan Bajet 2018,” katanya menerusi medium Whatsapp (WA) dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang diedarkan kepada media tempatan.

Dato’ Sri Mohd Najib menghabiskan masa kira-kira dua (2) jam 35 minit bermula 3.35 petang, membentangkan Bajet bernilai RM280,250 juta atau lebih kira-kira RM20,000 juta berbanding Bajet 2017 yang bernilai RM260,800 juta.

Daripada RM280,250 juta itu pula, RM234,250 juta diperuntukkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala selebihnya, RM46,000 juta ialah untuk perbelanjaan pembangunan.

Sektor pertanian – buat pertama kali dalam sejarah pembentangan Bajet Negara, menurut kata Dato’ Sri Mohd Najib, merupakan penerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM6,500 juta.

PENEKANAN KEPADA PENGUSAHA KECIL

 “Ada penekanan kepada Pengusaha Kecil dengan tambahan peruntukan kepada TEKUN dan AIM,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, merujuk kepada peruntukan kira-kira RM500 juta untuk TEKUN dan tambahan RM200 juta menjadikan keseluruhannya kira-kira RM2,700 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).


“Bantuan RM200 sebulan kepada pesawah padi sementera menunggu tuaian hasil semestinya dialu-alukan,” katanya lagi. – Khabar   

Monday 16 October 2017

Pangkat, Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) buat Menteri Besar

… serta pangkat, Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) kepada Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri termasuk ex-officio

TIMBALAN KANAN PESURUHJAYA BOMBA (KEHORMAT)... Pangkat yang disematkan ke bahagian bahu pakaian seragam bomba Menteri Besar kita oleh Dato' Wan Mohd Nor. 
   

HOTEL ZENITH, KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penghargaan kepada pemimpin di negeri ini dengan penganugerahan tanda pangkat kehormat kepada Menteri Besar; Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri; serta  Ahli Exco Kerajaan Negeri termasuk ex-officionya.

Ketua  Pengarah JBPM, Dato’ Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mendahului majlis penganugerahan dengan pemakaian tanda pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Manakala, Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta ex-officio – Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun, menerima tanda pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Menurut Dato’ Wan Mohd Nor, penganugerahan ini dilakukan sebagai menghargai komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin terhadap kejadian bencana di negeri ini.

“Pahang ialah negeri ketiga menerima tanda pangkat ini dan paling ramai yang turut  melibatkan (Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri dan) semua Ahli Exco Kerajaan Negeri.

SEGAKNYA MB KITA...


KOMITMEN KERAJAAN NEGERI BANTU TANGANI BENCANA

“Sebelum ini, Perak dan Melaka sudah menerima tanda pangkat ini,” katanya kepada pemberita sepertimana dilaporkan oleh Sinar Harian, selepas Majlis Penganugerahan Tanda Pangkat Bomba tersebut pagi Isnin, 16 Oktober, di sini.

Dato’ Wan Mohd Nor menambah kata, bencana seperti banjir dan kebakaran antara paling banyak penglibatan pemimpin negeri yang turut membantu.

“Selain itu, banyak program bersama yang dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Negeri. Malah, Menteri Besar juga meluluskan tapak bagi pembinaan lebih banyak balai bomba di negeri ini yang secara tidak langsung meningkatkan mutu kebombaan sedia ada,” katanya. 


PADA SESI FOTO BERKUMPULAN... 
– Khabar


Saturday 14 October 2017

Lanjutkan aktiviti gotong-royong dengan yang lain

“Ianya elok diikuti dengan program-program yang lain – program santai, bersembang, atau main bola (waktu) petang, atau main futsal,” kata Menteri Besar.

TANAM POKOK SEBAGAI TANDA KENANG-KENANGAN...  Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menuangkan baja ke pokok sambil yang lain memerhatikan termasuk Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Indera Mustaffar Kamal (berbaju-T merah, memegang cangkul). 


PERKARANGAN, DEWAN ORANGRAMAI BALOK, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar aktiviti seperti gotong-royong perlu diterus dan dilanjutkan dengan aktiviti-aktiviti lain yang dapat mengeratkan lagi perpaduan antara sesama rakyat.

“Saya berpendapat, program seperti ini tidaklah boleh buat sekali sahaja kemudian berhenti di situ sahaja,” katanya merasmikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Beautiful Neighbourhood (MyBN) Gotong Royong 2017 Peringkat Negeri pagi Sabtu, 14 Oktober di sini.

“Ianya elok diikuti dengan program-program yang lain – program santai, bersembang, atau main bola (waktu) petang, atau main futsal. Itu lebih elok lagi.

“Tapi apapun, ini (program NBOS MyBN) diharapkan (menjadi) titik-tolak ke arah kita melibatkan orangramai dalam menjagakan kebersihan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 13-minitnya.

Program NBOS MyBN dirasmikan serentak di seluruh negara dengan peringkat kebangsaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di perkarangan Pasar Tani bersebelahan Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buluh, Selangor.

MENYEMPURNAKAN GIMIK PERASMIAN... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Indera Zulkifli (berkemeja putih di belakang).


THANKING THE EXPATRIATES FROM EASTMAN

Sebanyak 98 kawasan Parlimen terlibat dengannya dan di Balok yang di bawah Parlimen kawasan Indera Mahkota ini, ialah satu daripadanya.

“Kita buat program ini antara yang paling utamanya, untuk mengeratkan perpaduan (rakyat) antara satu sama lain. Kemudian antara jabatan dan agensi termasuk SWCorp, kita ada kerjasama atau orang sekarang sebut, kolaborasi,” katanya.

“Selain persekitaran menjadi bersih, ia juga (dapat) memupuk perpaduan serta kerjasama antara semua pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Menyedari yang turut hadir serta menyertai majlis gotong-royong ini ialah pegawai dagang (expatriates) dan kakitangan syarikat asing dari Kawasan Perindustrian Gebeng berdekatan – Eastman Chemical (M) Sdn Bhd, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyatakan penghargaannya kepada mereka.
    
“Thank you very much for participating. At least you can connect (communicate) with the local people and they will give (their) cooperation. Say for example, if anything happens to your complex – in emergency; I think before the ambulance or the police arrives, they will arrive first.

MENINJAU KE 'BOOTH' PEMERIKSAAN KESIHATAN... 


PAHANG WELCOMES FOREIGN INVESTMENT

“You know why? Because, Eastman – women and men, have come to their gathering this morning. So, I thank you very much once again,” the Menteri Besar said that was followed by thunderous applause from the rest of the attendees.

“Eastman has contributed a lot to the Pahang State’s economy. You have been able to provide employment opportunities, and then creating the economic spin-off effects. The State Government will continue to welcome foreign investment (such as Eastman) into Pahang,” he added.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota yang juga Pemimpin Tempatan Persekutan bagi Parlimen kawasan Indera Mahkiota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid;

Pegawai Kemajuan Negeri, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Suhami Mohd Yunus; Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Ab Rahman; 

Pengarah, SWCorp Negeri, Dato’ Sri Affendi Hamzah,; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Fadzilla Salleh; dan, Ketua Kampung Balok, Encik Mansor Mukhtar. – Khabar