Saturday 31 March 2012

Mahkamah Rayuan putuskan syarikat Seruan Gemilang yang perlu bayar RM70 juta!


… disebalik tohmahan Kerajaan Negeri tidak mengendahkan perintah mahkamah, sedangkan proses mahkamah masih berjalan hinggalah kepada keputusan oleh Mahkamah Rayuan ini.

SALURAN SAH DALAM MENUNTUT KEADILAN... Indah tersergamnya Istana Kehakiman di Wilayah Persekutuan Putrajaya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Disebalik puak-puak pembangkang memainkan isu Kerajaan Negeri bangkrap dan samseng ekoran kononnya mengabaikan keputusan mahkamah sebelum ini mengenai keperluannya membayar jutaan ringgit kepada sebuah syarikat pembalakan;

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada Khamis, 29 Mac di Istana Kehakiman, Putrajaya, memutuskan bahawa syarikat tersebut – Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd, ialah pihak yang perlu membuat pembayaran berkenaan.

Mahkamah Rayuan itu yang bersidang dengan tiga (3) hakim diketuai Dato’ Sri Panglima Sulong Matjeraie, mengambil keputusan bahawa Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd perlu membayar sekurang-kurangnya RM70 juta kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang sebagai hasil yang syarikat itu perolehi daripada kerja-kerja pembalakan.

Syarikat yang sama juga diarah supaya membayar dengan kos sebanyak RM30,000.

Dua hakim lain yang bersidang bersama-sama Dato’ Sri Panglima Sulong ialah Dato’ Clement Allan Skinner dan Dato’ Wira Mohtarudin Baki, dan keputusan oleh ketiga-tiga hakim ini ialah sebulat suara!

PERJANJIAN ‘ADALAH TERBATAL DAN TIDAK SAH’

Keputusan ini ialah ekoran Mahkamah Rayuan yang sama yang memutuskan untuk  mengetepikan satu rayuan oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya telah pada 26 Jun lepas (2011) membuat keputusan memerintahkan bahawa perjanjian antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dengan syarikat pembalakan tersebut pada 2 Oktober 2000 ‘adalah terbatal dan tidak sah dan/atau telah diberhentikan.

‘Dan adalah selanjutnya diperintahkan bahawa tuntutan balas defendan [NOTA : Badan Perhubungan UMNO Pahang] terhadap plaintif [NOTA : Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd] maka hanya tinggal isu gantirugi sahaja untuk taksiran’.


Asalnya, sejak tahun 2003 lagi, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah melaksanakan tindakan ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, mendakwa berlaku pelanggaran ke atas kontrak berkaitan kerja-kerja untuk membalak ke atas sebidang tanah di Nenasi, Mukim Bebar, Pekan.

Lanjutan itu pada 25 Mei 2007, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memutuskan tentang pembayaran yang harus Kerajaan Negeri lakukan kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd sebanyak RM37.13 juta, dengan faedah lapan (8) peratus setahun berkuatkuasa 31 Disember 2000.

PROSES MAHKAMAH TAK HENTI SETAKAT KEPUTUSAN TAHUN 2007

Selepas itu bagaimanapun, proses mahkamah terus berlaku termasuklah pada 9 Oktober 2009, dengan permohonan Menteri Besar kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah ‘mandamus’ oleh Mahkamah Tunggi Kuantan juga, mengarahkan Menteri Besar sendiri melakukan pembayaran tersebut.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa, Pegawai Kewangan Negerilah yang sepatutnya dinamakan sebagai ‘responden’ dalam perintah ‘mandamus’ tersebut, bukannya Menteri Besar.

Pada 1 Disember 2009 pula, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu, Dato’ V.T.Singham memutuskan, membatalkan tuntutan syarikat berkenaan ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang – pemilik kepada kawasan hutan sudah kerja seluas 10,000 ekar, yang menjadi isu kepada proses-proses mahkamah ini.  

(Syarikat ini telah asalnya memohon dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri, lalu menjalin perjanjian dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang bagi mengeluarkan saki-baki hutan milik parti politik tersebut tetapi kemudian menuntut diberikan kawasan hutan dara yang bersebelahan, dengan mengemukakan pelan yang luar dari kawasan hutan sudah kerja seluas 10,000 ekar tersebut).

Rayuan oleh syarikat pembalakan yang sama ke Mahkamah Rayuan kemudian juga ditolak. Ia membawa satu lagi saman ke atas Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, dan saman inilah yang ditolak sepertimana keputusan Hakim Dato’ Mariana Yahya pada 26 Jun tersebut.

PROSES MAHKAMAH BELUM MUKTAMAD TAPI KECAM MB

Dalam pada proses-proses mahkamah ini belum muktamad lagipun, pihak syarikat berkenaan yang disokong pula oleh puak-puak pembangkang, telah mengambil kesempatan untuk mengecam Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

Salah-gambaranpun cuba diberikan kepada umum kononnya Kerajaan Negeri engkar terhadap keputusan mahkamah pada 25 Mei 2007 berkenaan, hingga mereka sanggup menempelak dan melabel dengan teruk sekali kepemimpinan negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

SIAPAKAH SEBENARNYA YANG ENGKARI UNDANG-UNDANG?...  


Bagi merancakkannya lagi, ‘mogok lapar berganti-ganti’ dianjurkan yang disertai oleh 10 ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan di depen sebuah kuil di Segambut, Kuala Lumpur antara 8 dan 14 September lepas.

“Kami lakukan ini bukan sangat kerana wang, tetapi untuk menuntut keadilan. Kerajaan Negeri Pahang tidak hiraukan undang-undang. Saya bekas pegawai mahkamah dan tahu bahawa keadilan yang dilengahkan ialah keadilan yang dinafikan,” kata seorang daripada yang terlibat dengan mogok lapar tersebut sepertimana dilaporkan oleh sebuah portal berita pro-pembangkang.

Semasa melawat ke tempat mereka mogok lapar ini pula, seorang daripada pemimpin parti pembangkang yang juga ahli parlimen dari Selangor dilaporkan berkata; “Kerajaan Negeri Pahang tidak hormat kepada undang-undang.

MOGOK LAPAR, UGUT BAKAR DIRI

“Mahkamah telahpun membuat keputusan, janganlah mengaburi pihak awam. Bagi sebuah Kerajaan Negeri tidak mengendahkan langsung keputusan mahkamah… ia (Kerajaan Negeri itu) sama ada bangkrap atau terdiri daripada sekelompok samseng”.

Demi meraihkan lagi simpati umum, seorang lagi daripada 10 orang yang mogok lapar itu telah berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika Kerajaan Negeri membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Pada Februari lepas pula, seorang yang mendakwa dirinya sebagai pelabur dalam Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah turut mogok lapar serta mengugut membakar dirinya jika Kerajaan Negeri terus mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi pada 2007 itu.

“Saya mahu rakyat Pahang dan Malaysia tahu bahawa rakyat menolak pemimpin yang cuba untuk menipu orang ramai. Mereka ini, tidak berbeza daripada perompak.

“Jika setiap pemimpin kita seperti pemimpin Pahang, adakah pelabur asing akan terus datang?”
katanya di tempat melancarkan mogok lapar di padang Kota Damansara, Selangor sepertimana dilaporkan oleh portal berita pro-pembangkang berkenaan.

LAPORAN ‘HALF-TRUTH’ PORTAL BERITA PRO PEMBANGKANG

Dan portal berita tersebut berlaku tidak adil lagi kepada Kerajaan Negeri apabila turut melaporkan bahawa, “Mahkamah Rayuan pada 2009, memutuskan bahawa Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob tidak perlu membayar RM63 juta kepada syarikat balak Seruan Gemilang Makmur kerana tersilap dinamakan sebagai responden dalam kes melanggar perjanjian itu.

“Bagaimanapun, Hakim Datuk Zaleha Zahari memutuskan bahawa RM63 juta yang terhutang kepada Seruan Gemilang, masih perlu dibayar,”
 tanpa portal berita tersebut melakukan semakan terperinci ataupun sengaja mendiamkan hakikat betapa beberapa keputusan mahkamah selepas itu, ada dibuat dan pula memihak kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang seterusnya Kerajaan Negeri.

Begitulah jahatnya puak-puak pembangkang termasuklah organisasi media pro-pembangkang ini, yang gemar menceritakan yang ‘half truths’ serta fitnah, demi kepentingan masing-masing.

Penulis memuji sikap Dato’ Sri DiRaja Adnan. Disebalik keputusan terkini oleh Mahkamah Rayuan yang memberi ‘kemenangan’ kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, yang secara tidak langsung juga kepada Kerajaan Negeri lalu beliau boleh sahaja untuk ‘pulang paku buah keras’ terhadap para pencemuhnya.

Namun, inilah mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) yang beliau kirimkan kepada peguam Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang mengendalikan kes ini, Encik Toh Seng Soon, yang sebelum itu menanyakan kalau-kalau keputusan baik itu patut diuar-uarkan pula menerusi persidangan media.

“Pada saya, tidaklah perlu untuk mengadakan persidangan akhbar bagi menerangkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan Seruan Gemilang. Kekal tenang dan kekal merendah diri”.  – Khabar
 

MATA KE MATA;

*** Dua hakim lain yang bersidang bersama-sama Dato’ Sri Panglima Sulong ialah Dato’ Clement Allan Skinner dan Dato’ Wira Mohtarudin Baki, dan keputusan oleh ketiga-tiga hakim ini ialah sebulat suara!

*** Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya telah pada 26 Jun lepas (2011) membuat keputusan memerintahkan bahawa perjanjian antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dengan syarikat pembalakan tersebut pada 2 Oktober 2000 ‘adalah terbatal dan tidak sah dan/atau telah diberhentikan.

‘Dan adalah selanjutnya diperintahkan bahawa tuntutan balas defendan [NOTA : Badan Perhubungan UMNO Pahang] terhadap plaintif [NOTA : Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd] maka hanya tinggal isu gantirugi sahaja untuk taksiran’.

*** Dalam pada proses-proses mahkamah ini belum muktamad lagipun, pihak syarikat berkenaan yang disokong pula oleh puak-puak pembangkang, telah mengambil kesempatan untuk mengecam Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.
           
Salah-gambaranpun diberikan kepada umum kononnya Kerajaan Negeri engkar terhadap keputusan mahkamah pada 25 Mei 2007 berkenaan, hingga mereka sanggup menempelak dan melabel dengan teruk sekali kepemimpinan negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

*** Demi meraihkan lagi simpati umum, seorang lagi daripada 10 orang yang mogok lapar itu telah berjanji untuk menderma sekurang-kurangnya RM3 juta kepada badan-badan kebajikan jika Kerajaan Negeri membuat bayaran ke atas tuntutan tersebut.

Pada Februari lepas pula, seorang yang mendakwa dirinya sebagai pelabur dalam Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd telah turut mogok lapar serta mengugut membakar dirinya jika Kerajaan Negeri terus mengingkari keputusan Mahkamah Tinggi pada 2007 itu.

Wednesday 28 March 2012

Nilai hartanah di Kuantan terus meningkat atau stabil


… tidak merudum seperti yang ditohmah oleh puak-puak anti-Lynas menerusi ‘scare-tactics’ mereka


MEMPERSEMBAHKAN, 'RD PRIMA SUITES'... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Dato' Faisal (kanan) dan Dato' Norhisham (terlindung di belakang Dato' Faisal) serta Dato' Wan Razali dan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (kiri sekali), yang juga Pengerusi, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)


TAPAK BINAAN, PROJEK BANGUNAN 19-TINGKAT ‘RD PRIMA SUITES’, OFF JALAN GAMBUT, KUANTAN – Tohmahlah semahunya mengenai nilai hartanah di daerah ini kononnya kesan negatif daripada kebimbangan umum tentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng dekat sini;

Namun, ia masih tidak dapat menafikan hakikat bahawa nilai hartanah di Kuantan adalah sama ada meningkat atau stabil sepertimana laporan sahih – bukan sekadar ‘pluck from thin air’, yang disediakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pahang.

Penyediaan ini pula tidak bersifat ramalan atau jangkaan yang mungkin boleh dipertikaikan, sebaliknya bersandarkan transaksi sebenar atau ‘jual-beli’ yang telah benar-benar berlaku di lapangan.

Berdasarkan laporan oleh jabatan yang di bawah Kementerian Kewangan inilah, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah memetik dan menyebutnya dalam ucapan 15-minitnya sempena menyempurnakan majlis pecah tanah ‘RD Prima Suites’ pada pagi Isnin, 26 Mac di sini.

Dan, hakikat bahawa pemaju projek ini – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera; sanggup melabur kira-kira RM49.83 juta untuk membangunkannya di atas tanah kira-kira satu suku (1 ¼) ekar dengan nilai semasa kira-kira RM2.8 juta ini, membuktikan keyakinan tingginya terhadap sektor hartanah di sini.

NILAI HARTANAH DI JALAN AIR PUTIH JUGA MENINGKAT

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, bagi harta kediaman seperti teres kos rendah setingkat di KM 12, Jalan Gambang; harga seunit meningkat daripada RM49,000 hingga RM68,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM53,000 hingga RM70,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres kos sederhana setingkat di Jalan Pintasan Kuantan; harga seunit meingkat daripada RM70,000 hingga RM110,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM80,000 hingga RM130,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres setingkat di Jalan Kubang Buaya; harga seunit meningkat daripada RM170,000 hingga RM185,000 (antara Julai danm Disember 2010) kepada RM200,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres dua (2) tingkat di Bandar Indera Mahkota; harga seunit meningkat daripada RM200,000 hingga RM270,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM280,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi berkembar setingkat di Jalan Air Putih; harga seunit meningkat daripada RM285,000 hingga RM370,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM420,000 (antara Januari dan Jun 2011).

MENJADI TUMPUAN DAN PERHATIAN... Orangramai mengambil kesempatan meninjau model 'RD Prima Suites', yang akan didirikan di atas tapak lama medan selera Merdeka Station.


HINGGA RM700,000 BAGI ‘SEMI-D’ DUA TINGKAT DI KUBANG BUAYA

Bagi berkembar dua (2) tingkat di Jalan Kubang Buaya; harga seunit meningkat daripada RM400,000 hingga RM655,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM430,000 hingga RM700,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi harta kediaman seperti Kondominium Sejahtera; harga seunit meningkat daripada RM240,000 hingga RM290,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM300,000 (antara Januari dan Jun 2011).  

Bagi tanah bangunan kediaman di Bandar Damansara yang bersebelahan Gebeng; meningkat daripada RM196 hingga RM205 bagi setiap meter persegi (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM242 bagi setiap meter persegi (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi kedai dua (2) tingkat di Jalan Darat Makbar; meningkat daripada RM450,000 hingga RM490,000 seunit (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM500,000 seunit (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi kedai tiga (3) tingkat di Jalan Beserah; meningkat daripada RM700,000 seunit (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM800,000 seunit (antara Januari dan Jun 2011).

KADAR SEWA RUMAH, KEDAI DAN PEJABAT KEKAL STABIL

Bagi kadar sewa untuk kediaman, kedai ataupun ruang pejabat, ia tetap stabil – tidak meningkat, tetapi tidak pula jatuh dengan teruk.

Misalnya, kadar sewa ruang pejabat di Jalan Tun Ismail yang berkeluasan lantai 148 meter persegi adalah kekal pada RM790 hingga RM900 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Begitu juga dengan kadar sewa ruang pejabat di Jalan Gambut yang berkeluasan lantai 130 meter persegi adalah kekal pada RM600 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Begitu juga dengan kadar sewa ruang pejabat di Sri Dagangan 1 yang berkeluasan lantai 130 meter persegi adalah kekal antara RM700 hingga RM900 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Mengenai projek ‘RD Prima Suites’ ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, ia adalah usahasama antara Rangkaian Delima Sdn Bhd (RDSB) – pemegang amanah bagi tanah satu suku ekar tersebut, dengan pemaju – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd.

RD PRIMA SUITES AKAN NIKMATI GDV HINGGA RM60 JUTA

Kos keseluruhan projek ialah RM49.83 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, manakala jangkaan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan projek ini kelak ialah kira-kira RM58.04 juta.

Apabila siap kelak yang dijangka pada Jun 2015, RDSB akan memiliki sembilan (9) unit apartment jenis A yang bernilai keseluruhan kira-kira RM3.3 juta, satu (1) tingkat lot pejabat bernilai RM3.4 JUTA;

Dan pula, ia (RDSB) akan turut menikmati dua (2)peratus setahun daripada hasil sewaan lebih 100 unit bilik yang akan turut dimajukan oleh Sunrise Ria Resources Sdn Bhd sebagai hotel.

Keseluruhan ‘RD Prima Suites’ ini nanti, akan merangkumi 212 unit bilik pelbagai jenis, masing-masing sebuah dewan banquet dan piazza, dua (2) tingkat lot pejabat, enam (6) lot runcitan, masing-masing sebuah kolam renang dan jimnasium, serta tempat letak kereta.

Selain Pengerusi Eksekutif RDSB, Dato’ Faisal Abdullah dan Pengarah Urusan, Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, Dato’ Norhishan Ses; yang turut hadir pada majlis pecah tanah ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Mahussin serta tokoh-tokoh negeri dan UMNO. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Nilai hartanah di Kuantan adalah sama ada meningkat atau stabil sepertimana laporan sahih – bukan sekadar ‘pluck from thin air’, yang disediakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pahang.

*** Penyediaan ini pula tidak bersifat ramalan atau jangkaan yang mungkin boleh dipertikaikan, sebaliknya bersandarkan transaksi sebenar atau ‘jual-beli’ yang telah benar-benar berlaku di lapangan.

*** Hakikat bahawa pemaju projek ini – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera; sanggup melabur kira-kira RM49.83 juta untuk membangunkannya di atas tanah kira-kira satu suku (1 ¼) ekar dengan nilai semasa kira-kira RM2.8 juta ini, membuktikan keyakinan tinggi syarikat berkenaan terhadap sektor hartanah di Kuantan.

*** Bagi tanah bangunan kediaman di Bandar Damansara, yang bersebelahan Gebeng; meningkat daripada RM196 hingga RM205 bagi setiap meter persegi (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM242 bagi setiap meter persegi (antara Januari dan Jun 2011).

Saturday 24 March 2012

Nyaman, sentosa di Taman Gelora

… kelihatan cuma ada lima (5) orang yang memakai baju-T anti-Lynas, tidak lagi dalam bilangan ratusan seperti sebelumnya.

TIADA GELORA DI TAMAN GELORA... Nyaman, sentosanya taman milik kita bersama. Perlukah ia dicemari oleh apa juga gejala semata-mata bagi memenuhi agenda tersurat dan tersirat oleh puak-puak berkenaan? 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tanpa ‘staged event’ atau ‘pre-planned’, iaitu acara yang diatur-rancang terlebih dahulu, inilah suasana sebenar – nyaman dan sentosa, di Taman Gelora dekat sini.

Inilah yang dapat dirasai oleh penulis semasa turun bersama-sama isteri dalam pakaian sukan masing-masing ke taman ini (setelah hampir setengah tahun tidak berbuat demikian), pada pagi Sabtu, 24 Mac lepas.

Dalam suasana ini hadir orang ramai dalam kalangan penduduk Kuantan pelbagai kaum, berbilang latar usia mahupun beraneka latar kerjaya, untuk bersantai dan melakukan aktiviti sukan seperti ‘jogging’, ‘brisk-walking’ serta bersenam.

Kalaupun ada acara yang diatur-rancang ialah Larian Merentas Desa, Sekolah Rendah Kebangsaan Asunta Convent (SRKAC) dengan peserta dalam kalangan murid-muridnya yang berpakaian sukan warna rumah-rumah sukan masing-masing.

Selain itu ialah acara mingguan Senam Seni 1Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia (JKKM) Pahang, yang disertai oleh ratusan orang pelbagai kaum termasuk penulis dan isteri.

USAHA UNTUK ‘FORCED UPON THE PUBLIC’

Disusuli dengan senamrobik disertai pegawai, tenaga pengajar dan pelatih-pelatih Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) bersempena dengan sambutan ulangtahun penubuhan ke-15 pusat berkenaan.
     
Suasana nyaman dan sentosa inilah yang selalu diharap dan dijangkakan. Bukannya sepertimana apabila puak-puak penentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng, yang turun  berkumpul dengan memakai baju-T warna jingga ‘Save Malaysia, Stop Lynas’ mereka.

Perkumpulan mereka pula, yang sebelum ini dalam lingkungan tak sampaipun 600 orang (kecuali pada acara yang dipanggil Himpunan Hijau 109 pada Oktober lepas, dengan kehadiran bekas Presiden, Majlis Peguam, Dato’ S. Ambiga, itupun setakat kira-kira 1,000 orang termasuk dari luar Kuantan); bukan kononnya antara lain untuk turut mendidik orang ramai tentang bahaya projek tersebut.

Sebaliknya, perkumpulan ini lebih dilihat, untuk semata-mata memaksakan ke atas orang awam (forced upon the public) agar turut bersetuju dengan gerakan penentangan mereka yang gemar menggunakan pendekatan ‘menakut-nakutkan orang’ itu.

Dan gerakan tersebut sedemikian rupa hingga seolah-olah, orangramai yang hendak mereka pengaruhi ini ialah mereka yang tidak tahu-menahu langsung tentang kononnya begitu berbahayanya projek berkenaan.

SIHAT DAN CERGAS PEMIMPIN KITA... Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob kelihatan ber'jogging' bersama-sama peserta di Taman Gelora, pada satu acara anjuran sebuah syarikat swasta tahun lepas. Sebelah kanan beliau ialah Yang Dpertua, Majlis Perbandaran Kuantan, Dato' Zulkifli Yaakob. 

  
PUAK PENENTANG LYNAS HANYA SEGELINTIR

Pada pagi ini, oleh kerana tiada sebarang usaha yang ‘pre-planned’ maka, kalaupun kelihatan tanda-tanda gerakan penentangan tersebut hanyalah pada lima (5) orang; itupun dua (2) daripadanya memakai baju-T jingga berkenaan, manakala tiga (3) lagi memakai baju-T yang lambang anti-Lynas hanya kecil dan terdapat pada bahagian dada sebelah kiri mereka.

Maka jelaslah betapa selama ini, jikapun ada terasa sedikit akan gerakan penentangan puak-puak anti-Lynas ini, ia hanya disebabkan oleh aktiviti yang telah di‘staged’ atau ‘pre-planned’.

Apabila tidak, inilah keadaan sebenarnya yang membuktikan bahawa, yang menentang projek Lynas ini sebenarnya adalah segelintir dan segelintirnya itu adalah ‘real’ bukan palsu!

Maka, dalam negara yang mengamalkan demokrasi – ‘the majority rules’ sungguhpun tidaklah sehingga menganiayai golongan minoriti; tentulah tidak wajar puak yang segelintir ini hendak ditatang umpama menatang minyak penuh. – Khabar   

   
MATA KE MATA;

*** Tanpa ‘staged’ atau ‘pre-planned’, gejala penentangan terhadap projek Lynas adalah tidak dirasai.

*** Perkumpulan oleh puak-puak penentang yang segelintir ini lebih dilihat, untuk semata-mata memaksakan ke atas orang awam (forced upon the public) agar turut bersetuju dengan gerakan penentangan mereka yang gemar menggunakan pendekatan ‘menakut-nakutkan orang’.

*** Maka jelaslah betapa selama ini, jikapun ada terasa sedikit akan gerakan penentangan puak-puak anti-Lynas ini, ia hanya disebabkan oleh aktiviti yang telah di‘staged’ atau ‘pre-planned’.   

*** Dalam demokrasi – ‘the majority rules’ sungguhpun tidaklah sehingga menganiayai golongan minoriti.

   

Tuesday 20 March 2012

Anak-anak Melayu Pekan pengeluar kereta Mercedes-Benz terbaik dunia!

KERETA MEWAH MERCEDES-BENZ, PEKERJA WANITA MELAYU KITA DAN SCHUMACHER... Tiadalah yang lebih membanggakan melihat foto ini yang menunjukkan pekerja wanita Melayu kita sedang melaksanakan operasi pemasangan kereta mewah Mercedes-Benz sambil diperhatikan oleh kedua-dua pelumba Formula One ternama dunia -- Michael Schumacher (kanan sekali) dan Nico Rosberg. 


Oleh Alamaya

KOMPLEKS AUTOMOTIF DRB-HICOM, KAWASAN PERINDUSTRIAN PERAMU JAYA, PEKAN – Siapa sangka anak-anak Melayu kita ialah tenaga-kerja pemasang kereta mewah Mercedes-Benz yang mutu pengeluarannya lebih baik daripada yang dikeluarkan di kilang asalnya di negara Jerman!

Dan anak-anak Melayu yang kebanyakannya tinggal di kawasan dan kampung-kampung persekitaran ialah pekerja di kilang Mercedes-Benz yang mana konglomerat tempatan, DRB-Hicom ialah pemegang lesen pemasangannya di negara ini.

Keseluruhannya, anak-anak Melayu ini membentuk kira-kira 1,700 tenaga kerja di kilang tersebut, disamping kira-kira 30 lagi yang juga anak-anak Melayu yang digaji sendiri oleh pengeluar kereta Mercedes-Benz selaku penyelia.

Inilah apa yang dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Operasi, HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Encik Azmi Wahap kepada penulis, ketika ditemui pada lawatan pasukan ‘Mercedes AMG Petronas Formula One’ pagi Selasa, 20 Mac di sini.

Kedua-dua pelumba dari pasukan yang bakal bersaing pada edisi ke-14, ‘Formula One PETRONAS Malaysia Grand Prix’ di Sirkit Antarabangsa Sepang antara 23 dan 25 Mac ini – Michael Schumacher dan Nico Rosberg, turut hadir.    

SESUATU YANG MEMBANGGAKAN KITA

Menurut Encik Azmi, perkara ini tidak diumumkan tetapi sebelum ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Mercedes-Benz Malaysia, Encik Roland Folger ada memberitahu beberapa kenamaan mengenainya.

Pada hari ini kata Encik Azmi, sekali lagi Encik Roland menyebutnya dalam perbualan dengan Pengurus Besar Kanan, Hal-ehwal Korporat Kumpulan, Petroliam Nasional (PETRONAS), Dato’ Mohammad Medan Abdullah yang turut serta pada lawatan ini.

“Ini tentulah sesuatu yang membanggakan kita,” kata Encik Azmi yang turut menegaskan betapa, anak-anak muda Melayu kita sebenarnya mempunyai keupayaan dan disiplin yang tinggi, yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Kebanggaan ini turut penulis rasai semasa mengikuti lawatan ke dalam bahagian operasi kilang ini sendiri yang mana kelihatan, anak-anak Melayu kita – yang perempuannya bertudung-litup, sedang melakukan tugasan harian masing-masing dengan cekapnya.   

“Tidak dapat (miliki) sebuahpun tak mengapa. Sekurang-kurangnya, apabila lihat Mercedes di atas jalan, saya boleh bangga bahawa saya ialah antara pekerja yang memasang dan mengeluarkannya,” kata seorang tenaga kerja, anak muda Melayu kita kepada penulis ketika dirapati. 

TANDA BAGUS DAN BAGUS... Penulis dan Nico Rosberg mengangkat jari tanda bagus sebelum Nico membuat pemanduan dengan kelajuan 250 km/jamnya.  Inilah tempoh 3-minit perjalanan yang terpanjang dalam hidup penulis.


PERJALANAN 3-MINIT YANG TERLALU PANJANG DALAM HIDUP

Dalam pada itu, penulis bagaikan mengalami ‘perjalanan tiga (3) minit yang terlalu panjang dalam hidup’ apabila diberi kesempatan menjadi penumpang kepada pelumba Nico Rosberg dalam kereta Mercedes-Benz E63 AMG.

Sebelum itu, pengacara majlis, Cik Julie Voon yang terkenal sebagai pengacara ruangan ‘Quickie’ di rangkaian televisyen 8TV, telah menanyakan kepada penulis apakah kelajuan tertinggi yang pernah penulis pandu dan jawab penulis cuma 170 km sejam.

Maka, sebaik-baik penulis duduk di kerusi sebelah Nico, soalan pertama daripada penulis terhadap pelumba dari Jerman berusia 26 tahun ini ialah, “How fast are you to drive? Jawab Nico, “250 (km/jam)” yang serentak itu berderau darah penulis.

Dan sebaik-baik kereta dipandu, penulis sudahpun terasa ‘seram-sejuk’nya badan sambil-sambil kedua-dua tapak kaki kejap menekan ke lantai kereta yang jika di bawahnya ada ‘pedal’ brek, sudah pasti terhentilah kereta.

‘Konar baring’ yang dilakukan tak usahlah dikata akan kerisauan penulis. Namun, sepanjang ‘perjalanan’, tidaklah pula timbul sebarang kerisauan yang melampau mungkin kerana yakin dengan pemandunya yang memang terkenal pakar dan cekap dalam pemanduannya.

LAGAK ‘DRIFT’ DIPANGGIL ‘DOUGH-NUT’

Ini termasuklah semasa Nico melakukan apa yang disebutnya, ‘dough-nut’ atau gelagat pemanduan sepertimana kereta ‘drift’ dengan pembentukan huruf lapan (8) hingga terbau hangit kesan geseran tayar-tayarnya.

Adakah apa-apa unsur ‘jangkitan’ terhadap pemanduan penulis selepas itu? Tidak sama sekali, dan kembalilah penulis mengambil perjalanan pulang ke pejabat di Kuantan dengan kereta buatan nasional kita, dengan kelajuan paling tinggipun cuma 120 km/jam. – Khabar          

MATA KE MATA;

*** Anak-anak Melayu ini membentuk kira-kira 1,700 tenaga kerja di kilang tersebut, disamping kira-kira 30 lagi yang juga anak-anak Melayu yang bertindak sebagai penyelia.

*** Sungguhgpun tidak dapat miliki namun pekerja-pekerja anak-anak Melayu kita bangga dapat menjadi pemasang dan pengeluar kereta mewah Mercedes-Benz ini. 
 
*** Pemanduan hingga mencecah kelajuan 250 km/jam.

*** ‘Perjalanan tiga (3) minit yang terlalu panjang dalam hidup’ bersama pemandu Nico Rosberg.



 


Wednesday 14 March 2012

Kerajaan Negeri naikkan bantuan kebajikan bulanan untuk OKU daripada RM70 kepada RM300


… satu lagi tindakan Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat khususnya golongan yang memerlukan   
 KERAJAAN YANG MESRA-OKU... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan piala serta 'mock cheque' kepada Encik Salehuddin Tajudin, pemenang anugerah OKU Cemerlang bagi penjawat awam. Encik Salehuddin ialah operator telefon di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah (KOMPSAS), Kuantan.   


DEWAN TUN RAZAK, TEMERLOH – Lagi usaha Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan kehidupan rakyat, kali ini melibatkan golongan yang berkelayakan dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

OKU berkenaan yang selama ini menikmati bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM70 akan memperolehi RM300 pula atau kenaikan lebih empat kali ganda, berkuatkuasa 1 Januari 2012.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membuat pengumuman gembira ini ketika berucap merasmikan Sambutan Hari OKU peringkat negeri pada pagi Selasa, 13 Mac di sini.

Mengulas lanjut pada persidangan media kemudian, yang diapit oleh isterinya, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Abdul Muain Hamid, dan Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Dato’ Shamsiah Hussin katanya;

“Saya telahpun buat satu pengumuman penting tadi iaitu mulai 1 Januari 2012, bantuan kebajikan (bulanan) kepada penerima-penerima yang layak yang sekarang ini menerima RM70 dari Kerajaan Negeri, kita akan naikkan kepada RM300.

JIKA BANGKRAP TAK MUNGKIN KERAJAAN DAPAT NAIKKAN KADAR

“Saya telah kaji implikasi kewangannya , ianya boleh boleh dipikul oleh Kerajaan Negeri. Setakat ini saya dimaklumkan, ada 4,000 penerima yang sedemikian”.

Sehubungan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta Dato’ Shamsiah supaya menyediakan kertas Exco untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MK) Negeri Rabu depan untuk dimuktamadkan.

“Kalau misalannya ia (urusan mengenai kenaikan kadar tersebut) diselesaikan bulan empat, bulan lima; mereka (penerima-penerima OKU berkenaan) akan dapat ‘arrears’  untuk bulan satu, bulan dua, bulan tiga,” katanya lagi.

Dalam pada keputusan Kerajaan Negeri ini ialah untuk membantu meringankan lagi beban kewangan bulanan golongan OKU yang dimaksudkan menurutnya, ia sekaligus menolak tohmahan pembangkang kononnya negeri ini bangkrap.  

“Tidak bangkrap… Kalau kerajaan bangkrap, ia takkan boleh beri tambahan sebanyak RM230 untuk 4,000 orang, menurut syarat-syarat tertentu,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

MESRA MEDIA SENTIASA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melayani soalan-soalan oleh wartawan tempatan. Yang turut kelihatan ialah Datin Sri DiRaja Junaini dan Dato' Abdul Muain (berbaju putih).  


TANAH FELDA TAK SAH DIJUAL KECUALI…

Menteri Besar turut ditanya beberapa isu lain termasuk gejala penjualan tanah yang sudah memperolehi hak milik oleh segelintir peneroka Rancangan Tanah Felda yang turut dilaporkan berlaku di daerah ini.

“Saya ingin menasihatkan, kalau benar perkara ini berlaku, penjualan tanah Felda kepada orang lain dengan tidak membawa kepada Kerajaan Negeri sebab kuasa melulus tu ialah pada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa negeri;

“Pihak berkuasa negeri telah menurunkan kuasanya kepada Menteri Besar, dan saya biasanya tidak akan meluluskan penjualan lot-lot Felda ini kecuali di kalangan saudara rapat.

“Kalau ada yang membuat jual-beli melalui ‘power attorney’ dan sebagainya, saya nasihatkan dan saya yakin, orang yang membeli itu membeli kertas sahajalah. Sebabnya, tanah itu tidak akan sekali-kali dipindah-milikkan kepada orang yang membeli. Memang tak boleh betul..,” katanya.

Beliau seterusnya memberikan rasional disebalik syarat ketat dikenakan dalam urusan jual-beli tanah-tanah Felda ini, yang matlamat utamanya bagi memastikan tanah-tanah Felda yang telah diperolehi hak milik tanah oleh para peneroka, tidak terlepas dengan mudah.

FUNGSI GSA UNTUK JAGA KEPENTINGAN PENEROKA  

“Kalau kita biarkan orang Felda menjual tanah,” katanya, “… tiga hari habis tanah Felda di Malaysia ini, semua bertukar tangan. Itu sebab Kerajaan mengadakan Akta Pertempatan Berkelompok (GSA), untuk menjaga kepentingan peneroka Felda, (kebanyakannya ialah dalam kalangan kaum) Melayu pula”.

Disebalik ‘jual-beli’ berrlaku antara para peneroka Felda dengan pembeli namun kata Menteri Besar, Kerajaan Negeri tetap menganggap peneroka berkenaan sebagai peneroka Felda kerana Kerajaan Negeri tidak menganggap tanah yang terlibat sudah dijual-beli. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Kerajaan Negeri mampu pikul implikasi kewangan daripada kenaikan RM70 kepada RM300 sebulan ini, dengan jumlah penerima kira-kira 4,000 orang.

*** “Kalau kerajaan bangkrap, ia takkan boleh beri tambahan sebanyak RM230 untuk 4,000 orang, menurut syarat-syarat tertentu”.

*** Pihak Berkuasa Negeri khususnya Menteri Besar, tidak akan meluluskan penjualan lot-lot tanah Felda yang berhak milik, kecuali dalam kalangan saudara-mara kepada peneroka berkenaan.

*** Kerajaan merangka Akta Pertempatan Berkelompok (GSA) demi menjaga kepentingan peneroka Felda yang kebanyakannya Melayu, dalam pemilikan tanah di negara ini.

   


Monday 12 March 2012

Kesan baik kepimpinan negeri yang mesra dan dahulukan rakyat


… natijahnya, Yayasan Pahang (YP) raih anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik Asia Pasifik


MESRA PEMIMPIN DENGAN RAKYATNYA.... Dato' Sri DiRaja Adnan, diiringi Menteri Kesihatan yang juga ahli parlimen Bentong, Dato' Sri Liow Tiong Lai sedang menyampaikan beg kepada seorang daripada 1,605 pelajar pada petang Jumaat itu. 

Lihatlah kemesraan yang terserlah yang menandakan hubungan harmoni antara pemimpin dan anak-anak buahnya termasuklah dalam kalangan para pelajar.    


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Apakah maknanya apabila Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang sering digambarkan oleh puak-puak pencemuhnya sebagai ‘brutal’, telah dalam nada suara sebak, mengungkapkan kata-kata berikut;

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan meneruskan program bantuan pendidikan untuk memastikan setiap pelajar yang layak tidak tercicir dan tertinggal, mencapai tahap pendidikan setinggi yang mungkin.

“Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidak mampuan sesebuah keluarga menyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika menyentuh aspek pendidikan dalam ucapan Bajet Negeri 2006 yang dibentangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 15 November 2005.

Ini tidak lain bermaksud betapa lembutnya hati Dato’ Sri DiRaja Adnan dan begitu ‘passionate’nya serta penekanan yang sangat tinggi yang diberikan olehnya sendiri – yang juga bekas pendidik, kepada bidang pendidikan di negeri ini.

Sementelah pula, Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Pengerusi Yayasan Pahang (YP), yang diwarisinya daripada menteri besar yang juga pengerusi yayasan tersebut yang terdahulu seperti Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak sendiri, dan Tun Khalil Yaakob.

YP SUDAH BELANJA LEBIH RM670 JUTA UNTUK PENDIDIKAN

Kalau pada era Dato’ Sri Mohd Najib – pencetus idea penubuhan YP pada 1983, fokus utama ialah ke arah memastikan anak-anak negeri mendapat akses pendidikan yang sempurna selain memberi perhatian langsung kepada anak-anak daripada keluarga kurang kemampuan dari sekolah-sekolah luar bandar.

Era Tun Khalil pula, peranan dan fungsi YP dimantapkan dengan perhatian diberi sama beratnya antara tanggungjawab sosial dengan pengukuhan kewangan YP yang pada era beliaulah pada tahun 1992, IKIP Education Sdn Bhd ditubuhkan seterusnya penubuhan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP).  

Pada era Dato’ Sri DiRaja Adnan, kesemua yang telah menjadi fokus dan pelaksanaan oleh kedua-dua menteri besar dan pengerusi YP tersebut telah diperkuatkan lagi. Melihat daripada segi peruntukan kewangan sahajapun sudah cukup untuk menjustifikasikannya.

Daripada peruntukan cuma RM1.5 juta setahun semasa mula-mula YP ditubuhkan, meningkat kepada RM22  juta setahun pada tahun-tahun 1990-an dan kini, selepas hampir tiga dekad penubuhan YP, peruntukannya sudahpun mencecah RM192 juta setahun!

Dan sejak penubuhan sehingga kini juga, YP telah membelanjakan RM678 juta bagi menjayakan program-program pembangunan pendidikan di negeri yang memberi manfaat sehingga kira-kira 600,000 pelajar!

LEBIH RM500 JUTA SAHAJA UNTUK BIASISWA DAN PINJAMAN

Ini meliputi RM331 juta berbentuk bantuan pinjaman kepada kira-kira 30,000 pelajar; RM201 juta biasiswa kepada kira-kira 170,000 pelajar; dan selebihnya, RM142 juta bagi program-program pembangunan modal insan, kebajikan dan sosial yang dimanfaati oleh kira-kira 389,000 orang di negeri ini.

Semasa era Dato’ Sri DiRaja Adnan jugalah, dengan dorongan kuat oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang maka  Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) ditubuhkan. Matlamatnya, bagi melahirkan bukan sekadar para hafiz dan hufaz, tetapi hafiz dan hufaz yang juga ialah professional dan teknokrat.

IKIP pula telah dimantapkan lagi peranan dan tanggingjawabnya sehinggalah ia kini bertaraf kolej universiti yang bertaraf antarabangsa,  dikenali sebagai Kolej Antarabngsa IKIP.

Atas usaha-usaha inilah, tidak menghairankan apabila YP telah berjaya merangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik untuk rantau Asia Pasifik anjuran Akademi Asia Pacific Business Excellence Standard (APBEST) yang berpangkalan di Hong Kong.

Anugerah telah disampaikan pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di negara itu pada 20 Februari lepas yang mana YP diwakili oleh ahli lembaga pengarah, Dato' Law Kee Long yang mengetuai delegasi pengurusan dan kakitangan YP, telah menerima anugerah berprestij itu daripada Pengasas, Akademi APBEST, Prof Ho Kwong Ming Samuel.

ANUGERAH INDIVIDU PULA UNTUK PENGURUS BESAR

Selain anugerah tersebut, Pengurus Besar YP, Dato Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST.

Akademi APBEST ialah sebuah badan tidak berasaskan keuntungan yang berperanan membuat penilaian kualiti ke atas pelbagai organisasi di rantau Asia Pasifik ini, sambil membantu organisasi berkenaan untuk menambah-baik urustadbir korporat menerusi piawaian kecemerlangan perniagaannya.

Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong dan Kalmar A-P Operation milik Cargotec, Finland yang menguruskan operasi pelabuhan antarabangsa.

Sebelum daripada itu lagi, YP telah dikenalpasti oleh SIRIM Bhd sebagai organisasi yang berpotensi untuk memenangi anugerah ini ekoran kejayaan YP melaksanakan aktiviti meningkatkan kualiti penyampaiannya secara berterusan.

Pada tahun 2010, YP telah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan aktiviti-aktiviti yang merangkumi persijilan MS ISO 9001:2008, persijilan 5 S, kumpulan ‘Innovative Creative Circle’, ‘Occupational Safety and Health (OSH)’ dan ‘Key Performance Indicators (KPI)’.

YP GUNA KRITERIA LUAR NEGARA

Selain daripada itu, YP telah turut memberi penekanan terhadap perlaksanaan sistem pengurusan kualiti dengan menjadi agensi kerajaan negeri Pahang pertama memperolehi persijilan ISO 9001:2000 pada tahun 2004 lagi.

Bagi anugerah APBEST ini, YP menggunakan kriteria ‘Malcolm Baldrige National Quality Award (MBQA)’ dengan penilaian dilakukan berasaskan tujuh (7) kriteria iaitu kepemimpinan, perancangan, tumpuan pelanggan, pengurusan ilmu, proses kerja tenagakerja, tumpuan operasi, dan keberhasilan.

Satu kertas kerja telah disediakan dan diserahkan kepada pengurusan Akedemi APBEST pada Jun lepas yang kemudian dinilai oleh Encik George Laszlo – ketua pemeriksa, ‘Canadian Quality Award’ dan Dr Palmira Fresno Lopez – ketua pemeriksa, ‘Spanish Quality Award’, dan Prof Ho sendiri.

Lanjutan daripada itu, pemeriksa-pemeriksa APBEST termasuk Dr Palmira dan Prof Ho, telah melawat YP di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur pada  29 Julai lepas bagi melakukan kerja-kerja penilaian termasuk menemu-bual pelanggan-pelanggan YP.

Dan, kejayaan yang dikecapi ini turut disumbang oleh pengurusan cekap YP, termasuklah oleh anak-anak syarikatnya khususnya YP Plantations Sdn Bhd – agensi penjana kewangan YP sendiri.

YP BERDIKARI SEJAK ENAM TAHUN LEPAS

‘Core-business’ YP Plantations Sdn Bhd ialah sebagai pemaju ladang sawit yang kini, ia telahpun berjaya mengusahakan seluas 20,000 hektar, dan masih mempunyai keluasan tanah kira-kira 35,000 hektar untuk membangunkannya.

Oleh kerana kecekapan YP mengendalikan kewangannya maka sejak enam tahun lepas lagi, YP tidak lagi bergantung kepada dana suntikan Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM11 juta setahun.

“Sudah enam tahun YP tidak diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri. YP dapat berdikari dengan hasil kelapa sawit yang diusahakan oleh YP Plantations Sdn Bhd,” demikian kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada majlis penyampaian pakaian dan beg sekolah kepada 1,605 pelajar di Simpang Pelangai, Bentong, Jumaat, 9 Mac lepas.

Usaha murni YP serta kecekapannya memikul amanah bagi mensejahterakan rakyat menerusi bantuan-bantuan pendidikan, semestinya diteruskan lagi selepas ini dan adalah dijangkakan, kecemerlangannya dapat terus dipertahankan. – Khabar     


MATA KE MATA;

*** “Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidak mampuan sesebuah keluarga menyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya”.

*** Lembutnya hati dan tingginya ‘passionate’ Dato’ Sri DiRaja Adnan terhadap bidang pendidikan.

*** Peruntukan YP meliputi RM331 juta berbentuk bantuan pinjaman kepada kira-kira 30,000 pelajar; RM201 juta biasiswa kepada kira-kira 170,000 pelajar; dan selebihnya, RM142 juta bagi program-program pembangunan modal insan, kebajikan dan sosial yang dimanfaati oleh kira-kira 389,000 orang di negeri ini.

*** “Sudah enam tahun YP tidak diberi peruntukan oleh Kerajaan Negeri. YP dapat berdikari dengan hasil kelapa sawit yang diusahakan oleh YP Plantations Sdn Bhd”.

Friday 2 March 2012

Yayasan Pahang rangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik Asia Pasifik


Lagi bukti usaha gigih Yayasan Pahang dalam terus membantu mensejahterakan rakyat menerusi pendidikan

LAMBANG KECEMERLANGAN... Inilah lambang kebanggaan kita bersama. Yayasan Pahang telah melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sejak penubuhannya tahun 1982, demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi aspek penting, pendidikan.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Yayasan Pahang (YP) yang sememangnya terkenal dengan segala bentuk bantuan pendidikan bagi manfaat pelajar di negeri ini, telah merangkul anugerah penyumbang khidmat kemasyarakatan terbaik untuk rantau Asia Pasifik.

Anugerah tersebut anjuran Akademi Asia Pacific Business Excellence Standard (APBEST) yang berpangkalan di Hong Kong, telah disampaikan pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di negara itu pada 20 Februari lepas.

Ahli lembaga pengarah YP, Dato’ Law Kee Long yang mengetuai delegasi pengurusan dan kakitangan YP, telah menerima anugerah berprestij itu daripada Pengasas, Akademi APBEST, Prof Ho Kwong Ming Samuel.

Selain anugerah tersebut, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh yayasan itu hari ini, Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST (ENG : APBEST social responsibility driver of the year).

Akademi APBEST ialah sebuah badan tidak berasaskan keuntungan yang berperanan membuat penilaian kualiti ke atas pelbagai organisasi di rantau Asia Pasifik ini, sambil membantu organisasi berkenaan untuk menambah-baik urustadbir korporat menerusi piawaian kecemerlangan perniagaannya.


SETEGUH BANGUNANNYA... Sepertimana teguhnya bangunan Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur ini, begitulah juga kukuh dan berkesannya peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh YP selama ini. 


YAYASAN PAHANG SEHEBAT ORGANISASI ANTARABANGSA

Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong dan Kalmar A-P Operation milik Cargotec, Finland yang menguruskan operasi pelabuhan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, YP telah dikenalpasti oleh SIRIM Bhd sebagai organisasi yang berpotensi untuk memenangi anugerah ini ekoran kejayaan YP melaksanakan aktiviti meningkatkan kualiti penyampaiannya secara berterusan.

Pada tahun 2010 kata kenyataan itu, YP telah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan aktiviti-aktiviti yang merangkumi persijilan MS ISO 9001:2008, persijilan 5 S, kumpulan ‘Innovative Creative Circle’, ‘Occupational Safety and Health (OSH)’ dan ‘Key Performance Indicators (KPI)’.

Selain daripada itu, YP telah turut memberi penekanan terhadap perlaksanaan sistem pengurusan kualiti dengan menjadi agensi kerajaan negeri Pahang pertama memperolehi persijilan ISO 9001:2000 pada tahun 2004 lagi.

Bagi anugerah APBEST ini, menurut kenyataan yang sama, YP menggunakan kriteria ‘Malcolm Baldrige National Quality Award (MBQA)’ dengan penilaian dilakukan berasaskan tujuh (7) kriteria iaitu kepemimpinan, perancangan, tumpuan pelanggan, pengurusan ilmu, proses kerja tenagakerja, tumpuan operasi, dan keberhasilan.

YP BERADA ATAS LANDASAN BETUL

Satu kertas kerja telah disediakan dan diserahkan kepada pengurusan Akedemi APBEST pada Jun lepas yang kemudian dinilai oleh Encik George Laszlo – ketua pemeriksa, ‘Canadian Quality Award’ dan Dr Palmira Fresno Lopez – ketua pemeriksa, ‘Spanish Quality Award’, dan Prof Ho sendiri.

Lanjutan daripada itu, pemeriksa-pemeriksa APBEST termasuk Dr Palmira dan Prof Ho, telah melawat YP di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur pada  29 Julai lepas bagi melakukan kerja-kerja penilaian termasuk menemu-bual pelanggan-pelanggan YP.

“Kami bangga dengan kejayaan ini. Ini membuktikan lagi YP yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, berada di atas landasan yang betul dalam memainkan peranannya bagi mensejahterakan rakyat,” kata Dato’ Saariah sepertimana terkandung dalam kenyataan tersebut. – Khabar



MATA KE MATA;

*** Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad turut merangkul anugerah individu sebagai pemacu tanggungjawab sosial tahunan APBEST.

*** Antara organisasi yang pernah mendapat anugerah APBEST ini ialah Hospital Queen Elizabeth, yang merupakan hospital terbesar di Hong Kong.

*** YP pernah dianugerahkan persijilan TQM Fast Track oleh SIRIM Bhd hasil kejayaan YP melaksanakan pelbagai aktiviti.

*** Anugerah oleh APBEST ini membuktikan lagi YP yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, berada di atas landasan yang betul.