Sunday 26 April 2020

Syarat dan tatacara bayaran Zakat Harta di Pahang dalam tempoh PKP


“Selain boleh terus melaksanakan tuntutan mengeluarkan Zakat Harta dalam tempoh PKP, mereka juga termasuk petugas bertugas PKZ Pahang, dapat turut membantu dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

MENGENALI JENIS-JENIS ZAKAT HARTA...


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Syarat dan tatacara bayaran Zakat Harta di Pahang dalam tempoh PKP

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, Kerajaan Negeri turut bersetuju dengan syarat-syarat dan tatacara bagi pembayaran Zakat Harta sepertimana disediakan oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

Syarat utama di bawah syarat-syarat dan tatacara itu ialah, segala bayaran Zakat Harta hendaklah dilakukan secara atas talian menerusi –

i) Portal rasmi PKZ Pahang di alamat www.zakatpahang.my.

ii) FPX (Financial Process Exchange) PKZ.

iii) Perbankan Internet melalui 12 bank terpilih.

iv) PahangGo – melalui Kad Kredit, Kad Debit & E-Wallet.

Bagi yang tidak mempunyai kemudahan atau tidak berkemampuan membuat bayaran secara atas talian –

1) Bayaran Zakat Harta boleh dilakukan di premis/kediaman pembayar sendiri tetapi untuk yang terpilih sahaja seperti pembayar dalam kalangan berusia dan uzur.

2) ) Pembayar digalakkan membuat taksiran Zakat Harta terlebih dahulu dengan menghubungi pegawai bertugas PKZ Pahang atau penggunaan ‘calculator’ di portal rasmi PKZ Pahang di alamat www.zakatpahang.my.

3) Pembayar boleh membuat temujanji dengan pegawai bertugas PKZ Pahang di setiap daerah untuk menerima pembayaran Zakat Harta di premis/kediaman pembayar.

4) Pegawai bertugas PKZ Pahang hendaklah mengambil maklumat bayaran lengkap pembayar.  

5) Pegawai bertugas PKZ Pahang yang ditugaskan ke premis/kediaman pembayar mestilah mematuhi langkah-langkah berikut –

a) Menjaga Penjarakan Sosial dan mematuhi langkah-langkah pelindungan diri.
b) Sentiasa membawa bersama/memakai penutup mulut dan hidung, serta ‘hand sanitizer’.

c) Meminimumkan masa urusan bersama pembayar.

d) Tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar.

e) Pembayar hanya dibekalkan Resit Sementara. Resit Rasmi pembayaran akan diposkan  kepada pembayar selepas tempoh PKP berakhir.

Adalah dharapkan dengan syarat-syarat dan tatacara ini, pembayar dalam kalangan umat Islam Pahang dapat mematuhinya.

Selain boleh terus melaksanakan tuntutan mengeluarkan Zakat Harta dalam tempoh PKP, mereka juga termasuk petugas bertugas PKZ Pahang, dapat turut membantu dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, In Sya Allah.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
26 April 2020 – Khabar     

Syarat-syarat dan tatacara perbicaraan kes-kes syariah semasa tempoh PKP


“Saya berharap, syarat-syarat dan tatacara disediakan ini dapat dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan dan kesihatan mereka terlibat, serta diharap dapat turut menjayakan usaha kita bersama dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

(FOTO SEKADAR HIASAN)... 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Syarat-syarat dan tatacara perbicaraan kes-kes syariah semasa tempoh PKP

Bagi membolehkan rakyat dalam kalangan umat Islam di Pahang yang perlu berurusan dengan Mahkamah Syariah berkaitan perbicaraan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Kerajaan Negeri bersetuju kepada syarat-syarat dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP).

Syarat-syarat dan tatacaranya ialah sepertimana berikut –

1.1) Permohonan kes mendesak atau merekodkan persetujuan disertakan dengan Perakuan Segera yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.

1.2) Mahkamah bersidang mendengar kes hanya Isnin sehingga Khamis, bermula 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari.

1.3) Mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi langkah pencegahan di tempat kerja, iaitu –

Pegawai Mahkamah/Peguam Syarie dan Pihak-pihak berkenaan perlulah;  

a) Memastikan kesihatan diri berada pada tahap baik. Jika tidak sihat maka tidak dibenarkan hadir.  

b) Membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ di pintu masuk Mahkamah Syariah.

c) Diperiksa suhu badan oleh pihak Mahkamah Syariah.

d) Menjarakkan diri antara satu sama lain pada kedudukan 1 meter di mana-mana tempat dalam kawasan Mahkamah Syariah termasuk di Dewan Perbicaraan.

e) Memakai penutup mulut dan hidung.

Ruang Tempat Kerja/Dewan Bicara/kamar Hakim/Bilik Sulh Pejabat perlu melakukan nyahkuman/disinfeksi permukaan yang mudah dicemari kuman seperti ruang kerja, dewan perbicaraan, kaunter perkhidmatan, tombol pintu, papan kekunci komputer, Kamar Hakim, dan lif awam.

1.4) Hanya pihak-pihak berkenaan dan Peguam Syarie yang dilantik sahaja dibenarkan hadir.

1.5) Kanak-kanak dan ahli keluarga tidak dibenarkan hadir sama sekali.

1.6) Tarikh dan masa perbicaraan ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.

1.7) Pegawai Mahkamah Syariah yang dibenarkan terdiri daripada seorang Hakim dan seorang Pendaftar, seorang Pembantu Syariah dan seorang dari bahagian kewangan dan seorang anggota Polis.

Mengenai Perakuan Segera –

Bagi permohonan Perakuan Segera di Mahkamah Tinggi Syariah; Pendaftar/Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah akan mengendalikan dokumen Perakuan Segera dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagi permohonan Perakuan Segera di Mahkamah Rendah Syariah; Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah akan mengendalikan dokumen Perakuan Segera dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Hakim Mahkamah Rendah Syariah.  

Kelulusan Sijil Perakuan Segera hanya dikeluarkan bagi kes yang benar-benar terdesak, dengan syarat yang ketat.

Telah ditetapkan juga bahawa, kes-kes yang akan dipertimbangkan untuk didengari dalam tempoh PKP ini ialah –

1) Pengesahan Lafaz Cerai (kedua-dua pihak setuju untuk rujuk).

2) Nafkah Anak (kedua-dua pihak bersetuju).

3) Nafkah Isteri (kedua-dua pihak bersetuju).

4) Hadhanah (kedua-dua pihak bersetuju).

5) Permohonan Wali Hakim ( borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID).

6) Permohonan Kebenaran Nikah Bawah Umur (borang yang lengkap dan disertakan sekali Laporan Siasatan PAID.

Pihak-pihak terlibat ialah –

1) Mahkamah, Hakim, Pendaftar/Penolong Pendaftar, Pembantu Pendaftar, Pembantu Tadbir (Kewangan), Pegawai ICT (kes atas talian).

2) Pihak-pihak, Plaintif, Defendan, Peguam Syarie Plaintif (jika ada), Peguam Syarie Defendan (jika ada).

Mahkamah yang terlibat (berpusat) pula ialah –

1)Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

2) Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh.

3) Mahkamah Tinggi Syariah Bentong.

4) Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.

5) Mahkamah Rendah Syariah Temerloh.

6) Mahkamah Rendah Syariah Bentong.

7) Mahkamah Rendah Syariah Pekan.

8) Mahkamah Rendah Syariah Rompin.   

Tempoh, hari dan masa persidangan ialah –

1) Mahkamah bersidang mendengar kes hanya Isnin sehingga Khamis.

2) Bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

3) Sehari ditetapkan pendengaran kepada tiga (3) kes sahaja iaitu 9 pagi bagi pendengaran kes pertama, 10 pagi pendengaran kes kedua, dan 11 pagi pendengaran kes ketiga serta urusan berkaitan.

Prosedur pada setiap peringkat kes –
(Pendaftaran kes);

1) Pihak-pihak berkenaan boleh menghubungi Pegawai Yang Bertanggungjawab (PIC) sebagaimana dinamakan dalam facebook @ laman sesawang rasmi JKSP.

2) PIC akan menasihatkan pihak-pihak memuat turun borang kebenaran pendengaran kes semasa PKP/perakuan segera di facebook @ laman sesawang JKSP untuk dilengkapkan. Borang telah lengkap dihantar kepada PIC melalui WhatsApp/e-mel untuk semakan dan kelulusan Hakim. Borang yang telah diluluskan/ditolak akan dikembalikan kepada pihak-pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya melalui WhatsApp/e-mel.

3) Jika kelulusan diberikan, PIC akan menasihatkan pihak-pihak berkenaan memuat turun borang berkaitan daripada facebook @ laman web JKSP dan melengkapkan borang tersebut serta menyertakan lampiran berkaitan melalui WhatsApp/e-mel.

4) PIC akan memanjangkan borang telah lengkap kepada Pendaftar/Penolong Pendaftar untuk tujuan pemfailan, penetapan tarikh dan penjanaan saman. Resit bayaran akan dijana pada tarikh pendengaran kes.

5) Saman akan diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan melalui pos bagi tujuan pergerakan ke Mahkamah . Pihak-pihak yang dinamakan dalam saman sahaja dibenarkan hadir ke Mahkamah

6) Penolong Pendaftar/Pembantu Pendaftar membuka fail fizikal serta menyediakan borang catatan bicara.

(Pendengaran kes)

7) Pegawai ICT hendaklah memastikan peralatan ICT untuk kegunaan perbicaraan atas talian boleh digunakan sebelum proses pendengaran kes.

8) Pada tarikh pendengaran kes, Pihak Pegawai Keselamatan/Rela hanya akan membenarkan pihak-pihak berkenaan/peguam sahaja masuk ke dalam perkarangan Mahkamah. Jika pihak-pihak berkenaan ada menunjukkan sebarang ‘symptom’/tanda-tanda, kes tidak akan didengar dan ditangguhkan kepada tarikh lain.

9) Pembantu pendaftar hendaklah memastikan pihak-pihak berkenaan memakai penutup mulut dan hidung dan ‘hand sanitizer’ dengan betul.

10) Pihak-pihak berkenaan hendaklah duduk di tempat mengikut tanda yang telah disediakan terlebih dahulu oleh pihak Mahkamah.

11) Pembantu Pendaftar menyemak dokumen pengenalan diri pihak-pihak berkenaan (tanpa sentuhan).

12) Pendengaran kes dijalankan.

13) Penolong Pendaftar menyediakan notis tangguhan/perintah (jika perlu).

14) Pembantu Pendaftar mengambil bayaran pendaftaran dan perintah.
15) Pembantu Tadbir (kewangan)/Pegawai berautoriti menjana resit

16) Pembantu Pendaftar menyerahkan resit dan perintah kepada pihak-pihak berkenaan.

Saya berharap, syarat-syarat dan tatacara disediakan ini dapat dipatuhi sepenuhnya demi keselamatan dan kesihatan mereka terlibat, serta diharap dapat turut menjayakan usaha kita bersama dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, In Sya Allah.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang  
26 April 2020 – Khabar

Syarat dan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Pahang dalam tempoh PKP


“Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternatif kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.

(FOTO SEKADAR HIASAN) MAJLIS AKAD NIKAH PRA-PKP... Dan semasa tempoh PKP ini, tidak lebih 8 orang sahaja yang boleh hadir. Selain pengantin lelaki dan perempuan, antaranya ialah seorang jurunikah dan dua (2) orang saksi; dan seorang wali. Selain itu, perlu memenuhi beberapa lagi syarat dan tatacara yang ditetapkan. 


NOTA EDITOR ;

Melegakan! Inilah yang boleh dikatakan tentang keputusan Kerajaan Negeri membenarkan kembali majlis akad nikah tetapi dengan keperluan pasangan pengantin dan keluarga mereka, patuh kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan.

Ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri bagi meleraikan kemaslahatan rakyat termasuk dalam kalangan  mereka, pasangan bakal mempelai yang orang kata, hendak ‘membina masjid’.

Dan ini juga merupakan satu lagi usaha bijak Kerajaan Negeri – umpama menarik rambut dari dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak berselerak; dalam menghadapi kekalutan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 hingga memerlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan bagi mengekangnya.

Berikut disiarkan sepenuhnya Kenyataan Media oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai syarat dan tatacara sempena majlis akad nikah tersebut.  


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Syarat dan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Pahang dalam tempoh PKP

Merujuk situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menetapkan syarat dan tatacara bagi majlis akad nikah di negeri ini.

Syarat dan tatacara ialah seperti berikut –

1) Keutamaan bagi mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

2) Majlis akad nikah hanya dilaksanakan di PAID, atau suatu tempat yang difikirkan sesuai oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah. Ia bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara, serta pemantauan.

3) Pemohon perlu membuat permohonan atas talian menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, seterusnya die-melkan ke PAID.
           
4) PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan merupakan senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS). Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut.

5) Borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh (7) hari. Surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan. Surat pemakluman ini perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke PAID.

6) Al-Fadhil Qadhi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual, yang akan disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.

7) Pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID seperti berikut –

# Pemakaian penutup mulut dan hidung

# Melepasi ujian suhu  

# Penggunaan ‘hand sanitizer’

# Penjarakan sosial (sekurang-kurangnya 1 meter)

# Patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan

# Membuat sanitasi tempat majlis akad

8) Meminimumkan kehadiran orang ke majlis (tidak melebihi 8 orang) dan hanya yang berkeperluan untuk hadir seperti berikut –

# Seorang jurunikah dan dua (2) orang saksi - ditentukan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah

# Pengantin lelaki

# Pengantin perempuan

# Seorang Wali

9) Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan, tidak melebihi 20 minit.

10) Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon, dan diserahkan kepada Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya.

11) Upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.

12) Beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.

13) Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Al-Fadhil Qadhi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut.

Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternatif kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19, In Sya Allah.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
26 April 2020 – Khabar