Saturday, 23 May 2020

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah


“Ini mungkin tidak selesa bagi sesetengah orang tetapi inilah sahaja pilihan yang ada, dan saya percaya, kemeriahan masih dapat dirasai sungguhpun tidak sepertimana tahun-tahun lepas.

“Bagaimanapun, inilah pengorbanan kita bersama bagi memastikan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, dapat dibendung sepenuhnya, In Sya Allah,” kata Menteri Besar.


DATO' SRI WAN ROSDY DAN ISTERI, DATIN SRI BURHAH MOHAMED...


NOTA EDITOR ;

Sempena Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah yang akan disambut oleh umat Islam seluruh negara pada Ahad, 24 Mei 2020 bersamaan 1 Syawal 1441 Hijrah; diperturunkan di sini Perutusan Hari Raya Aidil Fitri oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengambil kesempatan ini juga, saya selaku Editor turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua.

Tidak sepertimana tahun sudah-sudah, maka berkorbanlah saya dan keluarga kali ini, untuk berHari Raya di kampung halaman kami di Perak disusuli Pulau Pinang. Dan ‘missed’lah untuk ‘pekena’ ‘nasi kandaq beghatoq’ @ Restoran Jamal Mohd dekat Pejabat Telekom Malaysia, Jalan Bagan Luar, Butterworth.  


PERUTUSAN
MENTERI BESAR PAHANG
SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1441 HIJRAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah, kepada umat Islam seluruh negara, khususnya di negeri Pahang Darul Makmur.

Perayaan kali ini sangat berbeza dan tidak pernah berlaku sebelumnya. Kita sambut Hari Raya kali ini ketika negeri, negara dan seluruh dunia dilanda wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.

Bagi membendungnya, pelbagai usaha Kerajaan ambil, termasuk penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang antara lain, menghadkan sambutan hanya dalam kalangan keluarga dan dalam sempadan negeri sahaja.

Ini mungkin tidak selesa bagi sesetengah orang tetapi inilah sahaja pilihan yang ada, dan saya percaya, kemeriahan masih dapat dirasai sungguhpun tidak sepertimana tahun-tahun lepas.

Bagaimanapun, inilah pengorbanan kita bersama bagi memastikan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, dapat dibendung sepenuhnya, In Sya Allah.

Mengambil kesempatan ini, saya turut ucapkan terima kasih dan Selamat Hari Raya kepada petugas-petugas barisan hadapan, dalam kalangan kakitangan perubatan, anggota keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela serta agensi-agensi lain termasuk rakan-rakan media.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada team produksi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang diketuai oleh Pengarah Tanah dan Galian, Dato’ Fadzilla Salleh, dibantu oleh Jabatan Penjara Malaysia yang terdiri daripada Penjara Penor dan Penjara Bentong, Majlis Perbandaran Kuantan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Temerloh, NGO-NGO dari Pengakap, Puspanita serta Yayasan Pahang.

Kerajaan Negeri amat menghargai segala khidmat-bakti dan pengorbanan Tuan-tuan dan Puan-puan selama ini, terutama dalam tempoh PKP dan PKPB sejak 18 Mac 2020. Semoga Allah sahaja dapat membalasnya.

Sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah. Maaf Zahir dan Batin daripada saya, keluarga dan Kerajaan Negeri kepada semua.  

‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
23 Mei 2020 – Khabar

Thursday, 14 May 2020

Junjung Kasih atas perkenan lanjutkan khidmat Menteri Besar, Ahli Exco Kerajaan Negeri


MENJUNJUNG KASIH TAK TERHINGGA...


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan persembahan ucapan menjunjung kasih Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melanjutkan perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya.    


Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun.

Patik, mewakili pacal-pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menjunjung kasih tidak terhingga ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melanjutkan khidmat patik sebagai Menteri Besar serta pacal-pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hingga ke tarikh Dewan Negeri Pahang Ke-14 dibubarkan.

Khidmat patik sebagai Menteri Besar serta lapan (8) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sepatutnya berakhir 14 Mei 2020 atau genap dua (2) tahun, sejak diperkenankan untuk patik pacal-pacal, mentadbir negeri bermula 15 Mei 2018.

Khidmat dua (2) lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula sepatutnya berakhir 4 Jun 2020 atau juga genap dua (2) tahun juga, sejak pelantikan pada 5 Jun 2018.  

Patik serta pacal-pacal Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan ini, menzahirkan janji serta tekad untuk meningkatkan lagi mutu khidmat-bakti patik pacal-pacal sekalian.

Ini terutamanya dalam menangani hal-ehwal semasa negeri khususnya bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, serta mengambil langkah-langkah bagi menyemarakkan semula ekonomi negeri dalam bagi tempoh pasca wabak ini kelak, In Sya Allah.

Ampun Tuanku.

Menjunjung kasih Tuanku. – Khabar   

Syarat dilonggarkan bagi premis perniagaan, sektor pembinaan


DEMI PENJAJA... Faham dengan nasib penjaja yang tidak dapat berniaga dalam tempoh PKP lalu menghadapi masalah untuk memperolehi pendapatan seterusnya menyara diri dan keluarga, Kerajaan Negeri telah melonggarkan sikit syarat lalu membenarkan mereka berniaga semula. 

Namun, kelonggaran ini hendaklah dimanfaati dengan penjaja/peniaga mahupun pembeli, mestilah berdisiplin dengan mengamalkan langkah-langkah yang ditetapkan oleh SOP. Foto ini ialah sehadar hiasan. 
   

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Kelonggaran syarat bagi operasi premis perniagaan dan sektor pembinaan


Kerajaan Negeri hari ini memperkenalkan beberapa kelonggaran pada syarat-syarat berkaitan premis perniagaan dan sektor pembinaan di Pahang, berkuatkuasa serta-merta.  

1) Semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi kecuali yang dilarang di bawah Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (A) 136).

Premis perniagaan yang dimaksudkan termasuk gerai makan tepi jalan (berbumbung), pusat penjaja, penjaja tepi jalan (sementara) dan penjaja beredar di seluruh Pahang kecuali di kawasan/lokaliti mempunyai  kes positif baharu iaitu –

i) Pekan Dong (sehingga dimaklumkan kelak).
ii) Pasaraya TF Raub (sehingga 24 Mei 2020).
iii) Pasar Mini Bentong Segar (sehingga 20 Mei 2020).
iv) Flat Benus Bentong (sehingga 24 Mei 2020).
v) Kilang Rubber Flex, Bentong (sehingga 24 Mei 2020).
vi) Pasar Mentakab (sehingga 24 Mei 2020).

Ini adalah selain daripada kawasan/lokaliti yang akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat berhubung kawasan/lokaliti yang mempunyai kes positif baharu akan dikemaskini melalui laman sesawang pentadbiran SUK Pahang.

2) Ujian saringan COVID-19 tidak perlu dilaksanakan sebelum premis dibuka kecuali bagi pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pembinaan sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan. Hanya pekerja/peniaga yang mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dibenarkan berada dalam premis.

3) Waktu operasi premis perniagaan dibenarkan bermula 7 pagi hingga 7 malam (kecuali bagi sektor yang diperincikan secara khusus).

4) Bagi sektor pembinaan, tidak perlu membuat permohonan kebenaran melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi, pengisytiharan/akujanji perlu dilaksanakan melalui sistem CIMS CIDB.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
14 Mei 2020 – Khabar

Wednesday, 13 May 2020

Bantuan Khas Aidil Fitri RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang


DUIT RAYA...

 
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Bantuan Khas Aidil Fitri RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang


Sukacita saya umumkan Bantuan Khas Aidil Fitri sebanyak RM500 seorang kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang, sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah tahun ini.

Penjawat awam yang dimaksudkan ialah daripada Gred JUSA dan ke bawah.

Bayaran akan dibuat pada 19 Mei ini, melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri kira-kira RM4 juta.

Bantuan Khas ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan kesetiaan penjawat awam kepada Kerajaan Negeri selama ini. 

Saya juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan-badan Berkanun Negeri supaya turut melaksanakan pembayaran yang sama.

Terdapat kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PBT-PBT serta Badan-badan Berkanun di negeri ini.

Saya berharap, Bantuan Khas ini dapat dimanfaatkan sewajarnya, bagi meraikan Hari Raya Aidil Fitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
13 Mei 2020 – Khabar