Wednesday, 17 June 2020

Tak mungkin tak kukuh kewangan Pahang


… apabila hasil negeri tahun lepas (2019) meningkat 20 peratus menjadi RM847.3 juta, berbanding anggaran RM703.8 juta sepertimana nilai Belanjawan Negeri 2019.

BICARA MALAM RABU... 


KOMPLEKS PENYIARAN SULTAN AHMAD SHAH (KOMPSAS), KAMUNTING, KUANTAN – Hasil sebenar negeri tahun lepas (2019) ialah RM847.3 juta iaitu peningkatan 20 peratus berbanding anggaran hasil RM703.8 juta sepertimana nilai Belanjawan Negeri 2019.

Belanjawan Negeri 2019 tersebut pertama kali dibentangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin, 19 November 2018, kira-kira enam (6) bulan selepas pelantikannya ke jawatan itu pada 15 Mei 2018.

Peningkatan hasil sebenar negeri ini tidak lain membuktikan keadaan kewangan Kerajaan Negeri kukuh, sekaligus membenam segala tohmahan tentang kedudukan kewangan negeri ini.

Perkara ini disentuh oleh Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai menjawab soalan pengacara, Sdr Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dalam rancangan ‘talk show’ malam Rabu, 17 Jun menerusi Stesen Televisyen RTM1.

Rancangan ‘Bicara Politikonomi’ selama sejam bermula 9 malam ini, disiarkan secara langsung dari lobi Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah (KOMPSAS) ini.

SOALAN DITANYA, BAKAL DIRUNGKAIKAN... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan tekun dan 'attentive' mendengar soalan yang dikemukakan.


‘MAGIS’

Mengenai peningkatan sehingga 20 peratus dalam hasil negeri ini, Sdr Sayed Munawar bertanyakan juga tentang ‘magis’ yang diguna oleh Dato’ Sri Wan Rosdy bagi mencapainya.

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, peningkatan dalam kadar cukai balak yang tidak dinaikkan sejak 31 tahun lepas lagi; ialah antara penyumbang utama kepada peningkatan hasil negeri itu.

Peningkatan dalam kadar cukai balak ini pula katanya, hanya melibatkan mereka dalam industri pembalakan itu sahaja tetapi tidak melibatkan rakyat-jelata secara am.

Sementelah pula katanya, negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Perak; telahpun menaikkan kadar cukai balak di negeri masing-masing sebanyak dua (2) kali manakala Pahang, hanya kali ini melakukannya. 

Sungguhpun begitu kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, kenaikan kadar cukai balak Pahang masih tidak setinggi yang dikenakan oleh ketiga-tiga negeri berkenaan.

DARI SISI YANG LAIN...


PERMOHONAN BAGI PEMBINAAN 6 LAGI ORS

Beberapa perkara lain turut ditanya dan dijawabnya termasuklah berkaitan bekalan air bersih terawat yang menurutnya, telahpun diambil tindakan secara berperingkat seperti di Raub dan Lipis, begitu juga di Chini, Pekan baru-baru ini.

Beberapa hari lepas katanya, beliau telah mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamad yang antara lain, permohonan bagi pembinaan enam (6) lagi takungan air hiliran (ORS; Off River Storage) dikemukakan.

Jika permohonan ini berjaya menurutnya, keenam-enam ORS akan dilaksanakan pembinaannya di kawasan-kawasan menghadapi masalah bekalan air bersih terawat yang serius.

Mengenai penularan wabak pandemik COVID-19 pula katanya, Kerajaan Negeri bertindak berkesan termasuk mengguna-pakai peraturan ketat pada peringkat awal dahulu, seperti kebenaran waktu perniagaan hanya antara 7 pagi dan 7 petang, yang kemudian dituruti oleh beberapa negeri lain.

Dan Pahang juga katanya, mewajibkan mereka yang bebas daripada penyakit itu setelah rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) – hospital mengkhususkan wad bagi pesakit itu; supaya menjalani proses ‘step down’ lagi 14 hari di pusat-pusat jagaan ‘step down’, sebelum dibenarkan pulang ke rumah. – Khabar  


Sunday, 14 June 2020

Sudah 90 peratus peneroka Felda di Pahang terima suratan hakmilik tanah, kata Menteri Besar


“… tujuan asal Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda ialah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya di luar bandar,” katanya.

USAHA SAMPAIKAN SURATAN HAKMILIK TANAH KE RUMAH PENEROKA... Menerima suratan hakmilik tanah ini kata Encik Suahilai ini ialah satu 'kemenangan'.


DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA CHINI TIMUR 3, PEKAN – Kira-kira 38,600 atau kira-kira 90 peratus daripada 43,126 peneroka Rancangan Tanah Felda di Pahang sudah menerima suratan hakmilik tanah melibatkan kawasan kira-kira 182,000 hektar, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Keluasan kira-kira 182,000 hektar tersebut ialah kira-kira dua (2) kali ganda keluasan seluruh negeri Perlis seluas 79,500 hektar.

Berdasarkan harga semasa tanah pertanian pula katanya, Kerajaan Negeri ‘korbankan’ tanah bernilai lebih RM40,000 juta (RM40 billion), sebagai pemberian suratan hakmilik tanah itu.  

Anggaran ini berdasarkan pengiraan nilai semasa tanah pertanian kira-kira RM100,000 seekar X 449,732 ekar (atau 182,000 hektar), bersamaan RM44,973 juta atau RM44.973 billion.   

“Tetapi, inilah pengorbanan Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat-jelata dalam kalangan peneroka termasuk dari luar Pahang sekalipun, dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

PENYAMPAIAN SURATAN HAKMILIK TANAH DI DEWAN...


HANYA 10 PERATUS SAHAJA LAGI BELUM TERIMA SURATAN HAKMILIK

“Sehubungan itu, saya mengingatkan para peneroka supaya dapat menjaga tanah ini dengan baik dan tidak sesekali memajak atau menjualnya selepas menerima suratan hakmilik.

“Ini kerana, tujuan asal Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda ialah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya di luar bandar,” katanya.

Beliau juga berkata, kini, hanya 4,472 peneroka atau kira-kira 10 peratus daripada kesemua 43,126 peneroka di Pahang yang belum menerima suratan hakmilik tanah mereka lagi, melibatkan keluasan lagi kira-kira 21,011 hektar daripada kira-kira 203,011 hektar di seluruh Pahang.  

Dato’ Sri Wan Rosdy menyatakan ini pada persidangan media di rumah seorang daripada peneroka berkenaan di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 dekat sini, yang dijengah dan diziarahi tengah hari Ahad, 14 Jun, bagi turut menyampaikan suratan hakmilik tersebut.

Sebelum itu, beliau berada di Dewan Semai Bakti ini kerana menyempurnakan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah Peneroka Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 melibatkan 156 peneroka semuanya.

TERIMA SURATAN HAKMILIK TANAH SATU KEMENANGAN

Antara yang turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan; Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Mohd Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; serta beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Sementara itu, seorang penerima Suahilai Md Tai, 65, menyifatkan pemberian surat hakmilik tanah itu sebagai ‘kemenangan’ ke atas perit jerih beliau selama 30 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan pertanian.

“Saya mula menjadi peneroka pada tahun 1985 dan selepas sekian lama, akhirnya saya dapat juga merasa memegang geran tanah sendiri.

“Ini adalah harta peninggalan untuk anak cucu supaya mereka ada kampung halaman untuk berkumpul pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA/Khabar

Saturday, 13 June 2020

Projek lebih RM18 juta ORS atasi masalah bekalan air terawat Chini, siap dalam setahun bermula Ogos ini.


“… saya pernah datang ke sini bersama dengan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun, kita minta PAIP hantar lori tangki air untuk penyelesaian masa jangka pendek, (tapi) tidak selesai (dengan sempurna).

“Jadi, dengan adanya ORS ini, ia akan selesailah, ‘permanent’ (kekal) punya penyelesaian, lebih-lebih lagi sekarang kita dah tingkatkan kapasiti daripada 11 hari kepada 22 hari (keupayaan ORS tampung bekalan air semasa musim kemarau),” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

INI PLAN DAN LOKASINYA... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan menunjukkan lokasi tapak ORS di atas plan. Selain Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri Idris, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (kanan sekali).


MUKA SAUK SUNGAI MENTIGA, LOJI RAWATAN AIR CHINI, PEKAN – Panggilan tender akan dilakukan pada 22 Jun ini, disusuli pembinaan dalam tempoh setahun dan dijangka siap pada hujung Ogos 2021.

Inilah jadual masa ditetapkan bagi projek bernilai lebih RM18 juta pembinaan kolam takungan hiliran (ORS; Off River Storage) bagi mengatasi masalah bekalan air bersih/terawat melibatkan kira-kira 33,000 pengguna/penduduk Chini dan persekitarannya.

Perkara ini disebut dalam taklimat sempena lawatan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersama bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan pagi Sabtu, 13 Jun di sini.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh; Yang Dipertua, Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; Setiauasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; serta, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang juga Pengerusi, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP); dan, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan Bebar.
    
Taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi, FIC Integrated Property Management Sdn Bhd (FIC IPM), Dato’ Ir Mohamad Ali Ramli. FIC IPM ialah antara syarikat berkaitan FELDA.    

BERSAMA DI MUKA SAUK...  Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Mohd Najib; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Idris, Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Dr Salehuddin dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi. 


PERJUANGKAN SEJAK TAHUN 2017 LAGI  

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri Wan Rosdy menjelaskan betapa projek ini di‘perjuangkan’ sejak 2017 lagi oleh Kerajaan Negeri terutamanya oleh bekas Ahli Dewan Negeri kawasan Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun.

“… sepatutnya dilaksanakan pada 2018 tetapi atas sebab Kerajaan (Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) ketika itu menyebabkan projek ini tergendala. (Kini), projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa lebih kurang satu tahunlah (untuk siap),” katanya.

Pada sesi taklimat tadi kata Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau membangkitkan soal saiz/kapasiti ORS berkenaan dan dimaklumkan, “… takungan air itu hanya boleh menampung selama 11 hari sahaja (semasa musim kemarau) sedangkan purata musim kemarau di sini antara 20 ke 24 hari.

“Jadi Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Idris selaku Pengerusi Felda, kerana Kerajaan Negeri telah meminta supaya daripada 11 hari dapat ditringkatkan (saiz/kapasiti kepada) selama 22 hari, dan pada dasarnya telahpun diluluskan.

“Dan ini satu berita yang sangat menggembirakan kepada semua penduduk Chini. Dengan adanya peruntukan yang telah diluluskan ini, masalah bekalan air di kawasan Chini ini boleh dikatakan dapat diselesaikan,” katanya.

SINGGAH, MENJENGAH PENDUDUK... Sebagai pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat, singgahan dan jengahan ke atas kehidupan rakyat seperti di Kampung Orang Asli Dusun ini, merupakan satu kelaziman yang sentiasa disenangi rakyat-jelata. 


ORS DIPERBESARKAN, BOLEH TAMPUNG BEKALAN AIR SEMASA MUSIM KEMARAU SEHINGGA 22 HARI

Ketika ditanya wartawan tentang kos katanya, tentu ia akan berlaku pertambahan kepada RM18 juta yang telah Kerajaan Persekutuan salurkan kepada FELDA, disebabkan oleh saiz/kapasiti ORS tersebut yang kini perlu diperbesarkan.

Berkenaan tempoh siapnya pula katanya, “… sama sahaja, lebih kurang (dalam tempoh setahun), tak jauh. Bukan dengan kita nak tambah peruntukan, takungan (projek pembinaan ORS) ini akan ‘delay’ sikit, tidak.

“Kerja-kerja awalan (proses panggilan) tender semuanya telah dibuat, ia akan pergi seiiringlah dengan peruntukan (tambahan, lebih RM18 juta) yang akan dapat,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, “… saya pernah datang ke sini bersama dengan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun, kita minta PAIP hantar lori tangki air untuk penyelesaian masa jangka pendek, (tapi) tidak selesai (dengan sempurna).

“Jadi, dengan adanya ORS ini, ia akan selesailah, ‘permanent’ (kekal) punya penyelesaian, lebih-lebih lagi sekarang kita dah tingkatkan kapasiti daripada 11 hari kepada 22 hari.

“Kalau 11 hari, ia tidak selesai sepenuhnya sebab purata kemarau adalah antara 20 hari ke 24 hari. (Kini, dengan pembesaran saiz/kapasiti ORS ini dan) sekiranya berlaku kemarau, air dari takungan (ORS) ini boleh dibekalkan (kepada LRA Chini untuk diproses menjadi air bersih/terawat),” katanya lagi. – Khabar