NOTA
EDITOR ;
Tulisan
berikut ialah sebagai tindak balas kepada tuduhan yang dilemparkan oleh
segelintir pihak kononnya Kerajaan Negeri bertindak ‘pilih bulu’ menurut kaum, dalam
kerja-kerja penguatkuasaannya ke atas gejala penerokaan tanah/perlombongan
secara haram di negeri ini.
Menerusi tulisan ini -- bersandarkan fakta-fakta dan bersifat lebih realistik dan menyeluruh; diharapkan dapat sedikit-sebanyak menjawab tuduhan liar berkenaan yang lebih kepada kecenderungan memainkan sentimen perkauman.
KERJA-KERJA PENGUATKUASAAN KE ATAS TANAH TEROKAAN HARAM YANG MELAMPAUI BATASAN KAUM...
kamarSUA, WISMA
SRI PAHANG, KUANTAN –
Adalah mengecewakan apabila ada segelintir pihak menuduh atau menyindir
Kerajaan Negeri kononnya bersifat berpilih-pilih menurut kaum, dalam
kerja-kerja penguatkuasaan ke atas tanah-tanah diterokai atau dilombong haram
di negeri ini.
Sedangkan,
tindakan penguatkuasaan sama dikenakan ke atas tanah-tanah terbabit dan ke atas
sesiapa sahaja pelakunya tanpa mengira kaum. Ini sepertimana terbukti dengan
langkah-langkah Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan
Ismail ketika ini.
Banyak
yang boleh diberikan contoh tetapi cukup sekadar empat (4) utama, yang turut
mendapat liputan meluas media – sama ada media arus perdana termasuk stesen televisyen,
mahupun media sosial.
Keempat-empatnya
ialah berkaitan penerokaan tanah untuk tanaman sayur-sayuran dan bunga-bungaan
di Sungai Ichat dan Lembah Bertam – kedua-duanya di Cameron Highlands, untuk
tanaman durian Musang King di Raub, dan terkini, bagi kerja-kerja perlombongan
emas di Kechau, Lipis.
Di
Sungai Ichat, pelaku ialah dalam kalangan kaum Cina, 24 orang dan India, juga
24 orang; di Lembah Bertam membabitkan 99 Cina dan 21 India; di Raub
membabitkan 625 Cina, 78 Melayu dan empat India; manakala di Kechau, Lipis
membabitkan kaum Melayu kesemuanya di atas 14 lot tanah milik sendiri.
ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM AKHBAR BERITA HARIAN HALAMAN 13 TERBITAN SABTU, 6 MAC...
SALAH TETAP SALAH
Namun
bagi Dato’ Sri Wan Rosdy, salah tetap salah tidak kiralah di mana juga lokasi
penerokaan tanah atau perlombongan haram itu berlaku, mahupun latar belakang
termasuk kaum pelaku-pelakunya.
Ekoran
itu, kerja-kerja penguatkuasaan digerakkan dan seperti dijangkakan, mendapat
bantahan daripada pelaku-pelaku terbabit. Mereka turut meraih simpati dan
memperolehi campur tangan politik daripada parti-parti berkenaan.
Pada
awal kerja-kerja penguatkuasaan di Sungai Ichat misalnya, bantahan dalam
pelbagai bentuk Kerajaan Negeri terima termasuk isunya di bawah ke mahkamah
tetapi akhirnya, mereka sendiri menariknya balik.
Mereka
juga khususnya dalam kalangan pelaku India, melancarkan bantahan secara fizikal
dengan cubaan menghalang kerja-kerja penguatkuasaan dan turut menerima sokongan
beberapa ahli politik ‘tak tahu hujung-pangkal’ daripada parti pemerintah
sendiri.
Oleh
sebab ketegasan Kerajaan Negeri secara konsisten, kerja-kerja penguatkuasaan
akhirnya berjaya juga. Bukan setakat kebun-kebun haram dimusnahkan sebaliknya
di kawasan yang sensitif alam sekitar, ditanami semula dengan pokok-pokok
hutan.
KERJA
PENGUATKUASAAN LANCAR DI LEMBAH BERTAM
Air
sungai tercemar teruk tahap 4 di situ, berjaya dikembalikan jernih hingga ke
tahap 1, seterusnya kembali sebagai sumber utama pembekalan air mentah yang
diproses menjadi air terawat, bagi menampung keperluan sebahagian besar
penduduk kawasan tanahtinggi tersebut.
Kemudian,
kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan di Lembah Bertam pula dan kali ini,
kerja-kerjanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk, mungkin susulan
pelaku terbabit telah pelajari daripada kegagalan bantahan di Sungai Ichat.
Di
Raub pula, corak bantahan pelaku terbabit hampir sama dengan corak bantahan di
Sungai Ichat – bantahan menerusi pembawaan kes ke mahkamah dan secara fizikal,
turut disertai ahli-ahli politik pembangkang pula.
Sungguhpun
akhir tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan bagi mendapatkan
semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah namun mereka membuat
rayuan, menyebabkan kerja-kerja penguatkuasaan di Raub itu terpaksa
ditangguhkan lagi sehingga kini.
“Dan ini adalah
keputusan mahkamah dan perjalanan proses undang-undang yang tentunya Kerajaan
Negeri perlu patuh kepadanya,” kata seorang pegawai kerajaan, seterusnya
menempelak sikap segelintir pihak yang sengaja enggan menerima hakikat tersebut.
LOMBONG HARAM DI
TANAH SENDIRI?
Yang
terkini di Kechau, Lipis. Sungguhpun ia membabitkan tanah milik sendiri –setiap
satu (1) lot dimiliki secara bersama oleh ramai individu menurut bahagian
masing-masing; tetapi, tindakan penguatkuasaan serupa Kerajaan Negeri jalankan
adalah atas asas undang-undang.
Menurut
Seksyen 40 Kanun Tanah Negara, sebarang galian dan bahan batuan yang terkandung
di dalam atau di atas mana-mana tanah, adalah terletak hak hanya kepada
Kerajaan Negeri.
Oleh
itu, turut menjadi kesalahan jika pengambilan bahan mineral tersebut dibuat
tanpa kebenaran dan permit daripadanya (Kerajaan Negeri) lalu mewajarkan
kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan.
Sungguhpun
dengan kerja-kerja penguatkuasaan tanpa mengira batas kaum, Kerajaan Negeri
turut mengemukakan penyelesaian bercirikan menang-menang kepada semua, dengan
pelantikan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Negeri untuk menyelaraskan kerja
agar pertanian mahupun perlombongan, dijayakan semula dengan lebih sempurna.
Di
Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Pahang Corporation Sdn Bhd (Pahang Corp)
dilantik untuk menyelaraskannya. Tugasnya termasuk memastikan, pekebun yang
benar-benar ‘genuine’, diberi kebenaran mengusahakan tanah secara sah di
kawasan-kawasan yang ditentukan, serta tidak mencemarkan alam sekitar.
PERANAN AGENSI
SEBAGAI PENYELARAS
Di
Raub pula, tugas penyelarasan itu diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan
Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang bekerjasama dengan Royal Pahang Durian Group
(RPD Group), membentuk Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP).
Manakala
di Kechau, Lipis, Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC) yang baharu Kerajaan
Negeri tubuhkan, dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan perlombangan
emas di sana.
PMC
juga bertanggungjawab melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK) yang Kerajaan
Negeri baru perkenalkan, khusus untuk memudahcarakan kerja-kerja perlombongan
bahan mineral tersebut bagi tanah sendiri seluas 4.05 hektar dan ke bawah.
Mungkin
terdapat perselisihan tentang beberapa perkara yang ditetapkan oleh
agensi-agensi penyelaras berkenaan sepertimana dilaporkan berlaku di Raub.
Namun, sudah pasti ia boleh diselesaikan menerusi meja perundingan dan hanya
masa akan menentukan.
Hakikatnya
ialah, Kerajaan Negeri secara konsisten sangat tegas dalam kerja-kerja
penguatkuasaan tanpa mengira kaum tetapi, turut menawarkan penyelesaian kepada
isu sama yang diharapkan, semua pihak berlapang dada menjayakannya. – Khabar