Saturday 21 April 2012

Tanda keyakinan tinggi terhadap iklim pelaburan sihat di Kuantan


… ekoran cadangan Malaysia dan diterima oleh Republik Rakyat China, bagi mewujudkan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dalam Kawasan Perindustrian Gebeng  

PELABUHAN KUANTAN & MCKIP YANG BAKAL DIBANGUNKAN... Ini cuma tanggapan pelukis berkaitan Pelabuhan Kuantan dan MCKIP yang terletak berhampirannya. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Usaha bagi mewujudkan Malaysia- China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dalam kawasan perindustrian Gebeng dekat sini, ialah tanda jelas betapa tingginya keyakinan Kerajaan serta pelabur tentang sihatnya iklim pelaburan di negeri ini khususnya Kuantan.

Ini disebalik taktik menakut-nakutkan (scare-tactics) oleh puak-puak pembangkang yang sengaja memberi gambaran negatif mengenai daerah ini ekoran kehadiran projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas yang mereka tohmahkan sebagai merbahaya, di kawasan perindustrian yang sama.

“Mungkin ada mengatakan Kuantan tidak sihat, tidak ‘conducive’ daripada segi kesihatan. Kalau ada pandangan negatif, ini tidak betul sebenarnya (dengan usaha mewujudkan MCKIP),” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Bahawa pelaburan yang sebahagian besarnya dijangka datang dari Republik Rakyat China sendiri katanya, adalah sesuatu yang menarik sementelah negara itu sendiri kini merupakan kuasa ekonomi besar dunia.  

“Kita seharusnya memandang ke arah (Republik Rakyat) China bagi meningkatkan hubungan dua hala dan dengan persetujuan ini (bagi mewujudkan MCKIP),” katanya, “Insya-Allah, Kuantan sendiri akan menjadi semakin maju, secara tidak langsung dapat menolak tanggapan negatif tentangnya”.

SYARIKAT CHINA DAHPUN TUNJUK MINAT LABUR RM2,000 JUTA DALAM MCKIP

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media mengenai iklim pelaburan di negeri ini yang terletak di bawah Zon Ekonomi Khas (SEZ), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada pagi Jumaat, 20 April di Hyatt Regency Kuantan dekat sini.

Yang turut hadir pada persidangan media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mahadiah Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Dato’ Jebasingham Issace John.

Dan, belumpun sempat reda pengumuman mengenai MCKIP oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di Nanning, Republik Rakyat China pada lawatan seharinya ke negara itu 1 April lepas, sebuah syarikat gergasi dari negara itu dijangka berada di Kuantan dalam beberapa hari lagi, bagi meninjau untuk melabur di MCKIP dengan nilai sehingga RM2,000 juta!

PERTEMUAN RASMI DUA TOKOH NEGARA... Dato' Sri Mohd Najib dan Wen Jiabao berjabat tangan pada majlis pecah tanah CMQIP pada 1 April itu, yang membuka jalan pula kepada usaha mewujudkan MCKIP. 


Bagi merealisasikan kewujudan MCKIP itu kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telahpun mengenal pasti kawasan seluas 607.5 hektar (1,500 ekar) dalam kawasan perindustrian Gebeng, untuk dijadikan MCKIP tersebut.  

Asalnya, kawasan 607.5 hektar ini yang terletak ke sebelah kiri laluan Gebeng By-pass menuju ke Pelabuhan Kuantan, ialah sebahagian daripada 931.5 hektar (2,300 ekar) yang telah dicadangkan oleh PKNP sejak lima (5) tahun lepas, untuk dibangunkan keseluruhannya sebagai Gebeng City Centre.

MCKIP IALAH ‘SISTER INDUSTRIAL PARK’ KEPADA CMQIP

Cadangan PKNP bagaimanapun tinggal cadangan akibat kekangan kewangan. Ekoran itulah, ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan turut dianggotai oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, mencadangkan kawasan 607.5 hektar tersebut sebagai MCKIP.

MCKIP ini diperkenalkan, sebagai lanjutan kepada persetujuan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China bagi membangunkan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang mana majlis pecah tanahnya telahpun disempurnakan pada 1 April lepas oleh kedua-dua Dato’ Sri Mohd Najib dan rakan sejawatannya, Wen Jiabao di sana.

Dengan wujudnya MCKIP sebagai ‘sister industrial park’, turut diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara  kedua-dua negara – Malaysia dan Republik Rakyat China.

Sebagai taman perindustrian yang terletak dalam SEZ-ECER, secara tidak langsung MCKIP akan turut mendapat faedah daripada lokasi strategik zon berkenaan yang berperanan sebagai gerbang pelaburan ke seluruh negara ASEAN dan Asia Pasifik dengan jumlah penduduk keseluruhannya kira-kira 4,000 juta orang!

“Ini bakal menyumbang kepada peluang keemasan untuk kedua-dua masyarakat perdagangan Malaysia dan Republik Rakyat China untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di rantau ini,” menurut kenyataan ECERDC.

GEOGRAFI KUANTAN BERHAMPIRAN CHINA BERI MANFAAT BESAR

Kedudukan geografi Kuantan yang menghadap Laut China Selatan serta hampir dengan Republik Rakyat China pula dikatakan sebagai faktor penting yang dapat menjanakan lagi pembangunan kedua-dua MCKIP dan CMQIP.

Kata kenyataan itu lagi, “Bekalan bijih besi yang kaya di Malaysia boleh sahaja dieksport dari Pelabuhan Kuantan (kira-kira 5 km dari MCKIP) ke Pelabuhan Qinzhou bagi menyokong industri-industri perkapalan dan alat-ganti serta otomatif dan alat-ganti di Qinzhou.

“Pelabuhan Kuantan akan dapat menyumbang sebagai hub serantau pusat pengumpulan bagi kontena di Asia Tenggara untuk menyokong membangunkan kemudahan-kemudahan logistik serta juga industri pembuatan dan otomatif di Qinzhou”.

Dalam MCKIP sendiri, ECERDC telah mensasarkan agar taman perindustrian baharu ini dapat turut tumpukan kepada pelbagai jenis industri seperti pembuatan komponen otomatif, pemprosesan makanan, produk pengguna, dan juga teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Ke arah itulah, pelbagai insentif kewangan turut ditawarkan dan antaranya ialah pengecualian cukai 100 peratus selama 10 tahun, pengecualian cukai import dan cukai jualan selain daripada penawaran harga tanah perindustrian yang berdaya-saing.

Dengan Perdana Menteri sendiri menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan MCKIP ini manakala Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar selaku pemudah-caranya, taman perindustrian terbaharu ini dijangka dapat mencapai kejayaan yang dihasratkan. – Khabar      


MATA KE MATA;

*** “Mungkin ada mengatakan Kuantan tidak sihat, tidak ‘conducive’ daripada segi kesihatan. Kalau ada pandangan negatif, ini tidak betul sebenarnya (dengan usaha mewujudkan MCKIP)”.  

*** Belumpun sempat reda pengumuman mengenai MCKIP oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di Nanning, Republik Rakyat China pada lawatan seharinya ke negara itu 1 April lepas, sebuah syarikat gergasi dari negara itu dijangka berada di Kuantan dalam beberapa hari lagi, bagi meninjau untuk melabur di MCKIP dengan nilai sehingga RM2,000 juta!

*** Sebagai taman perindustrian yang terletak dalam SEZ-ECER, secara tidak langsung MCKIP akan turut mendapat faedah daripada lokasi strategic zon berkenaan yang berperanan sebagai gerbang pelaburan ke seluruh negara ASEAN dan Asia Pasifik dengan jumlah penduduk keseluruhannya kira-kira 4,000 juta orang!

*** Dalam MCKIP sendiri, ECERDC telah mensasarkan agar taman perindustrian baharu ini dapat turut tumpukan kepada pelbagai jenis industri seperti pembuatan komponen otomatif, pemprosesan makanan, produk pengguna, dan juga teknologi komunikasi maklumat (ICT).