Thursday 12 September 2013

Al-Fatihah - Mohd Ariffin bin Jamaliah


… bapa mertua yang baik, meninggal dunia pada usia 73-tahun, pagi Sabtu, 7 September

ARWAH CIKGU RASHID... Semasa mudanya. Foto ini dipetik dari laman 'facebook' milik Tan Sri Omardin Mauju, begitulah foto-foto yang berikutnya. Mahaguru Omardin telah sempat berkunjung ke rumah Allahyarham menziarahi keluarganya, pada lewat malam Sabtu itu.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bapa mertua penulis – Mohd Ariffin Saat, 73, (ibunya, Jamaliah) telah meninggal dunia pada pagi Sabtu, 7 September di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Allahyarham yang juga pesara Tenaga Nasional Bhd (TNB), meninggal dunia akibat barah paru-paru. Lama sebelum daripada itupun, Allahyarham menderitai penyakit darah tinggi dan pernah diserang ‘strok’.

Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Rashid atau Cikgu Rashid dalam kalangan ahli-ahli Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), meninggalkan isteri, Puan Sofiah; lima (5) anak – seorang perempuan (yang juga isteri kepada penulis) dan empat (4) lelaki; serta, 12 cucu.

Berita kematian Allahyarham disampaikan oleh adik-adik ipar – Mohd Kamal dan Mohd Nizam, ketika penulis sekeluarga dalam perjalanan pulang ke sana dari sini pada pagi Sabtu itu. Ketika itu, penulis sekeluarga yang berkereta, sedang menuruni Bukit Genting, menuju ke arah Batang Kali, Selangor sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di Tanjung Malim.

(Adik-adik ipar juga memberitahu, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah Allahyarham sekeluarga di Kampung Petani, Kubang Semang, Bukit Mertajam; selepas sembahyang Asar nanti).   

DI TANAH PERKUBURAN KAMPUNG PETANI...


‘BIG BOSS’ YANG BAIK-BUDI

Keputusan untuk pulang dibuat ekoran adik-adik ipar memaklumkan pada awal pagi Sabtu itu, tentang keadaan Allahyarham yang nazak, dengan denyutan nadi yang semakin rendah.

Sebelum memulakan perjalanan, penulis segera menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepada ‘Big Boss’, memaklumkan akan nazaknya bapa mertua lalu memohon maaf tidak dapat untuk turut hadir pada tiga (3) majlis rasmi – pagi, petang dan malam Sabtu itu; serta, dua (2) majlis pada pagi dan petang keesokannya, Ahad, 8 September.

Dan ‘Big Boss’, yang sememangnya terkenal dengan baik-budinya apatah lagi apabila ia berkaitan dengan kebajikan keluarga, hendak pula anak buahnya; menjawab; ‘It’s alright. Semoga Allah limpahkan yang terbaik untuk Pak Mentua’.

Sepanjang perjalanan, kenangan indah bersama-sama Allahyarham selama kira-kira 25 tahun pernikahan penulis dengan anak perempuannya, kerap terjelma. Antaranya, betapa Allahyarham sangat gemar berbelanja, demi memenuhi selera makan menantunya ini.

Berhenti seketika di bangunan tol/pejabat PLUS Tanjung Malim kerana membuang air kecil, kemudian di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara kerana mengisi semula minyak; dan di kawasan Hentian Sebelah Bukit Gantang kerana makan dan bersolat Zohor; jangkaan untuk tiba waktu Asar memang dalam jangkauan.

MAHAGURU BERSAMA ISTERI SERTA ANAK-ANAK LELAKI ARWAH... Selain Tan Sri Omardin, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Puan Sofiah (duduk, kiri sekali); Mohd Kamal (duduk, berbaju putih); Mohd Nizam; Mohd Radzi; dan, Mohd Najib.
 

SEMPAT JUGA KUCUP PIPI DAN DAHI ALLAHYARHAM

Namun, oleh kerana ada kemalangan berlaku di jalanraya menyebabkan kesesakan hingga tiga kilometer  – mulanya dekat Gopeng dan satu lagi dekat Seberang Jaya, Butterworth, yang hampir sangat dengan Kampung Petani; penulis mulai bimbang.

Atas kehendak Allah juga, akhirnya penulis sekeluarga tiba kira-kira 4.30 petang, di mana jenazah Allahyarham telahpun dibawa pulang, dimandi dan dikafankan di rumahnya di Kampung Petani.

Segera penulis dan keluarga meluru ke arah jenazah – sempat untuk mengucup kedua-dua pipi kiri-kanan, dan dahi Allahyarham yang terasa begitu lembut dan dingin; sebelum jenazah ditutup, diusung, berjalan  kaki dari rumah ke surau, disembahyang-jenazahkan, kemudian diusung, berjalan kaki sekali lagi dari surau ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Dan bersemadilah – Mohd Ariffin bin Jamaliah, sepertimana disebut dalam talkin yang dibacakan oleh Ustaz Shukri. Semoga Allah merahmati dan meletakkannya dalam golongan orang-orang yang beriman. 

BUAT KENANG-KENANGAN... Selain isteri dan anak-anak lelaki Allahyarham, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah adik kepada Allahyarham yang dikenali sebagai Cik Bunga (duduk di sebelah kiri Tan Sri Omardin) dan suaminya, yang dikenali sebagai Pakcik Man (berbaju biru, berdiri di belakang Cik Bunga). – Khabar