Monday 24 February 2014

"Mak saya selalu ingatkan saya supaya menghormati orang tua, membantu orang susah"


… ingatan ibu, Hajah Saadiah Osman kepada anaknya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang sentiasa dijadikan pedoman.   

Hajah Saadiah, 83, meninggal dunia dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Benus, petang Isnin, 24 Februari.

SIRAM AIR KE PUSARA BONDA TERCINTA... Ingatan bonda sentiasa menjadi pedoman dalam hidupnya - Dato' Sri DiRaja, Menteri Besar kita, termasuk dalam mentadbirkan negeri Pahang yang aman-makmur ini. 


KAMPUNG BARU, BENTONG – “Mak saya selalu ingatkan saya supaya menghormati orang tua, membantu orang susah.

“Mak saya tidak bersekolah tinggi, namun Allahyarham peka dengan perkembangan isu semasa dan punyai daya ingatan tinggi walau pada usia tua.”

Inilah kata-kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merujuk kepada ibunya – Hajah Saadiah Osman, 83, yang meninggal dunia pada 10.46 pagi Isnin, 24 Februari di Hospital Pakar KPJ, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kata-kata ini sepertimana dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), selepas pertemuan wartawan organisasi berita itu serta beberapa wartawan lain dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan, di hospital berkenaan.

Laporan sama turut memetik Dato’ Sri DiRaja Adnan menyifatkan Allahyarham ibunya sebagai seorang insan penyayang, yang banyak memberi nasihat mengenai nilai hidup dan erti kasih sayang.


MENGAMATI BACAAN TALQIN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan yang meribai cucu kesayangannya, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Tun Mohd Khalil. Sahibus Samahah Mufti Negeri sedang membacakan talqin.



KERACUNAN DARAH ATAU ‘SEPTICEMIA’

Allahyarham yang lahir pada 17 Disember 1931, meninggal dunia akibat keracunan darah atau ‘septicemia’. Allahyarham meninggalkan enam (6) anak – empat (4) lelaki, dua (2) perempuan. Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah anak yang sulung.   

Asalnya, Allahyarham dimasukkan ke hospital pakar tersebut pada 26 Januari lepas bagi menerima rawatan atas sakit batu dalam hempedu, lalu menjalani pembedahan lima hari kemudian (pada 31 Januari) bagi membuangnya.

Sejak itu, Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama, akibat komplikasi selepas pembedahan yang terrmasuklah keracunan darah atau ‘septicemia’.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan tiba di sini kira-kira 2.30 tengah hari, sebelum dimandi, dikafan dan disembahyangkan di surau kampung ini dengan diimamkan oleh Kadi Daerah, Encik Abdul Aziz Abdul Karim.

TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang juga bekas Menteri Besar, telah berangkat hadir serta menunaikan sembahyang jenazah. Begitu juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Hassan Malek.

BERSAMA KITA, DALAM SAF YANG PADAT... Lihatlah begitu padatnya saf yang dibentuk bagi sama-sama bersembahyang jenazah ke atas jenazah Allahyarham Saadiah. Foto dirakam di Surau Kampung Baru yang terletak berhampiran kediaman Allahyarham. 


BACAAN TALQIN PIMPINAN MUFTI NEGERI  

Yang turut kelihatan hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad; Timbalan Speaker, Dewan Rakyat yang juga ahli parlimen (BN – Kuala Krau), Dato’ Ismail Mohd Said;

Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga ahli parlimen (BN – Maran), Dato’ Ismail Mutalib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Muhammad Safian Ismail; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat negeri termasuk dari pembangkang; ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan; ketua-ketua GLC negeri; serta, ketua-ketua syarikat/swasta.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam Kampung Benus yang berdekatan bagi pengebumian dengan bacaan talqin ke atasnya – Saadiah binti Alfah; disempurnakan oleh Mufti Negeri, Dato’ Abdul Rahman Osman. – Khabar