Friday 14 March 2014

Terminal bas RM490,000 dan perkhidmatan bas henti-henti baharu untuk kemudahan penduduk Benta/Lipis dan persekitaran




MENANDA TANGANI PLAK... Rasmilah, Terminal Akasia Benta.
 

BANDAR BENTA, LIPIS – Penduduk Benta dan persekitaran menikmati kemudahan pengangkutan lebih selesa dengan wujudnya sebuah terminal bas bernilai kira-kira RM490,000 serta perkhidmatan bas henti-henti laluan Benta-Kuala Lipis-Jerantut.

Kedua-duanya dilancarkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada majlis ringkas petang Jumaat, 14 Mac di sini.

Terminal bas berkenaan – Terminal Akasia Benta, yang dibina pada 13 Mac 2011 dan siap kira-kira tujuh (7) bulan kemudian, menyediakan petak parkir bas, ruang jualan tiket, ruang pejabat Majlis Daeral Lipis (MDL), dua (2) unit kedai makan, serta, tandas lelaki/wanita.

Perkhidmatan bas henti-henti itu pula yang menyediakan perkhidmatan bas laluan Benta-Kuala Lipis-Jerantut, dikendalikan oleh syarikat Sri Jengka Sdn Bhd yang 39 peratus sahamnya dipegang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Perkhidmatan yang sebahagian besar kos disubsidi oleh Kerajaan menerusi PKNP itu, lebih merupakan perkhidmatan berbentuk CSR (Corporate Social Responsibility) demi manfaat penduduk.  

Atas permintaan Menteri Besar, Sri Jengka Sdn Bhd memulakan perkhidmatan mereka dengan laluan Janda Baik-Bentong (sejak September 2011); laluan Simpang Pelangai-Bera-Temerloh (sejak November 2012); Kg Dada Kering-Padang Tengku-Kuala Lipis (sejak April lepas); Kampung Sri Hamzah, Kemayan-Bera-Temerloh (sejak Mei lepas).

LANCARLAH... Perkhidmatan bas Benta-Kuala Lipis-Jerantut. Menerusi program 'subsidi bersilang' ini, syarikat mungkin tidak untung kerana khidmat CSRnya daripada perkhidmatan ini, tetapi diimbangi dengan keuntungan hasil membangunkan tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepadanya. 
 

11 BUAH BAS DISEDIAKAN SETAKAT INI

Serentak dengan pelancaran laluan Benta-Kuala Lipis-Jerantut pada hari ini, ialah juga pelancaran laluan Mempaga-Bentong; dan, Bandar Tun Razak, Jengka-Kuala Krau-Temerloh.

Bagi mengendalikan kesemua laluan ini, Sri Jengka Sdn Bhd menyediakan 11 buah bas iaitu lapan (8) buah bas panjang termasuk masing-masing satu (1) setakat ini bagi laluan-laluan Benta-Kuala Lipis-Jerantut, serta laluan-laluan Mempaga-Bentong, dan Bandar Tun Razak, Jengka-Kuala Krau-Temerloh.

Tiga (3) buah lagi ialah bas mini bagi laluan-laluan Janda Baik-Bentong; dan, Kampung Dada Kering-Padang Tengku-Kuala Lipis.

Yang turut hadir pada majlis petang Jumaat ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak, yang juga wakil rakyat di situ (BN – Benta);

Ahli Exco Kerajaan Negeri yang lain – Dato’ Wan Rosdy Ismail dan Dato’ Shahiruddin Ab.Moin; Ahli Parlimen, Dato’ Abdul Rahman Mohamad (BN – Lipis); serta wakil-wakil rakyat, Dato’ Fong Koong Fue (BN – Cheka); Dato’ Mustapa Long (BN – Padang Tengku);  

Pengerusi, Sri Jengka Sdn Bhd, Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali yang juga Timbalan Ketua Eksekutif, PKNP; Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Encik Mahather Smoh; serta, Setiausaha MDL, Encik Mohd Fauzi Abu Husaini. 

'ALL ON BOARD'... Menteri Besar sebagai pemandu. Pemanduan yang licin dan lancar. – Khabar