Tuesday 13 May 2014

Berbaloi jadi pemenang Tilawah Al-Quran kali ini!

“Saya telah dimaklumkan bahawa, johan dan pemenang di semua peringkat pada kali ini, mendapat hadiah yang teristimewa kerana YAB Menteri Besar Pahang telah menambah sekali ganda hadiah kewangan.

“Jadi bagi johan yang biasanya menerima RM15,000 tapi Kerajaan Negeri Pahang tambah RM15,000 lagi,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan 18-minit, merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-57 malam ini.

DALAM UCAPAN 18-MINITNYA... Ucapan perasmian Perdana Menteri ini menyusul selepas ucapan alu-aluan 7-minit oleh Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Kehadiran Dato' Sri Mohd Najib serta keceriaannya, seolah-olah membayangi isu yang sedang dihadapi ekoran peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu Dato' Sri Ahmad Said pada hari semalam, Isnin, 12 Mei serta pengumumannya keluar parti UMNO pada hari sama.

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Berbaloi menjadi pemenang pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini!

Inilah yang dikatakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan 18-minit merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-57 malam Selasa, 13 Mei di sini.

“Saya telah dimaklumkan bahawa, johan dan pemenang di semua peringkat pada kali ini, mendapat hadiah yang teristimewa kerana YAB Menteri Besar Pahang telah menambah sekali ganda hadiah kewangan.

“Jadi bagi johan yang biasanya menerima RM15,000 tapi Kerajaan Negeri Pahang tambah RM15,000 lagi.

“Dan, tak kurang istimewa juga, Lembaga Urusan Tabung Haji (Tabung Haji) menghadiahkan sebuah kereta Preve. Jadi, nampaknya berbaloilah jadi johan pada kali ini,” katanya dalam ayat-ayat sendiri yang difahamkan, tidak terkandung dalam teks asalnya.

CENDERAMATA DARIPADA PEMIMPIN NO 1 NEGERI KEPADA 'NUMERO UNO' NEGARA... Sambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Jamil Khir Baharom memerhatikan. 
 

ISTERI, TOK PUAN INDERA DATO’ SRI ROSMAH MANSOR TURUT HADIR

Adalah difahamkan juga, selain Johan – baik kategori Qari mahupun Qariah, menerima hadiah wang tunai masing-masing RM30,000, Naib Johan untuk kedua-dua kategroi juga yang biasanya menerima RM10,000 akan mendapat RM20,000 manakala tempat Ketiga yang biasanya menerima RM5,000 akan memperolehi RM10,000.

Hadiah bagi saguhati juga terbabit sama dengan dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM5,000.

Selain Menteri Besar sendiri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; yang turut hadir pada Tilawah Al-Quran ini ialah isteri kepada Perdana Menteri, Tok Puan Indera Dato’ Sri Rosmah Mansor.

Yang lain antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Jamil Khir Baharom; Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang yang juga Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; dan, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Othman Mustapha.

Meneruskan ucapan dengan membaca teksnya, Dato’ Sri Mohd Najib menegaskan betapa  pemikiran dan fahaman ‘human right-isme’ (fahaman hak asasi manusia) kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.

KEMESRAAN SESAMA PEMIMPIN NEGARA DAN NEGERI KITA... Foto ini sempat dirakam ketika majlis baharu hendak dimulakan. Apakah agaknya yang dikatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga menarik minat Dato' Sri Mohd Najib untuk mendengarnya. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Mohd Jamil Khir dan Dato' Sri Wan Wahid (kiri sekali).  


MALAYSIA MARTABATKAN ‘MAQASID SYAR‘IYYAH’
 
Fahaman ini menurutnya, dilihat menjadi seolah-olah satu cabang agama baharu yang amat berkembang pesat sama ada di dalam mahupun luar negara.
Fahaman ini yang berasaskan pemikiran ‘humanisme’, ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’ tegasnya, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi normal agama dan adab-susila.

“Mereka melakukan segalanya ini di atas satu balutan indah yang diumpani dengan istilah kononnya atas dasar memperjuangkan hak-hak asasi manusia,” kata Perdana Menteri.

“Sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan ‘Maqasid Syar‘iyyah’, sudah tentu kita amat menitik-beratkan kemaslahatan dan kebajikan setiap insan tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun agama.

“Keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan) yang kita gunakan dalam pelaksanaan hak asasi manusia di negara.

“Pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem dan tidak mempunyai batas; diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, perlembagaan dan nilai budaya bangsa,” katanya lagi.  

HADIRIN SEKELIAN... Selain mendengar ucapan-ucapan oleh pemimpin negara dan negeri kita, para hadirin turut dipersembahkan dengan bacaan Al-Quran serta nyanyian lagu nasyid oleh Sdr Hafiz Hamidun. – Khabar