Tuesday 5 August 2014

Bila otak letak ke lutut



… ditujukan kepada perakam khususnya pemuat-naik serta pen‘tweet’ foto memaparkan pemandu bas terkorban dalam keadaan mengerikan, terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur.

KEMALANGAN PETANG SELASA... Inilah foto BERNAMA yang merakamkan kejadian petang Selasa ini. Pertanggungjawaban yang tinggi berbanding perakam dan 'tweet' yang dimaksudkan.

Bahawa bas ini milik Kolej Antarabangsa IKIP memanglah tidak dapat dielakkan, yang tentunya sikit-sebanyak mencalarkan imej tetapi boleh diperbaiki sementelah kolej ini sudah terbukti jasanya kepada para pelajar khususnya dalam kalangan pelajar dari keluarga yang memerlukan di negeri ini.  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seperti meletakkan otak ke kepala lutut!

Inilah yang boleh dikatakan dan ditujukan kepada perakam, khususnya pemuat-naik serta pen‘tweet’ foto memaparkan pemandu bas terkorban dalam keadaan mengerikan, setelah terbabit kemalangan petang Selasa, 5 Ogos di Jalan Tanjung Lumpur dekat sini.

Penulis mungkin boleh menerima lagi jika foto ini dirakam oleh pihak-pihak berwajib seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), demi menjalankan siasatan mengenai kejadian ini.

Tetapi, sama sekali tidak jika ia dirakam oleh orang awam, apatah lagi kemudian, tanpa memikir panjang – demi untuk mendapat nama sebagai yang pertama; telah segera menyebarkannya dengan men‘tweet’nya ke laman ‘tweeter’.

Dan penulis tertanya-tanya; Apakah faedah yang diperolehi daripada gejala ini? Dapat apa-apa ganjarankah terutamanya kewangan, daripada laku-gelagat yang langsung tidak betul ini?

LAPORAN BERITA DAN SIARAN FOTO YANG BERTANGGUNG JAWAB OLEH BERNAMA  

Berikut ialah laporan berita mengenainya, yang dikutip daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Dan, sila perhatikan juga ya betapa, sebagai sebuah organisasi berita yang bertanggung jawab, foto yang disiarkannyapun tidaklah sepertimana yang di‘tweet’.

Penulis percaya, jurufoto Bernama berkenaan tentu telah menyaksikan segala yang mengerikan di tempat kejadian tetapi atas sikap bertanggungjawab, bukanlah semua dirakam dan disiarkan.     

PEJABAT BERNAMA PAHANG, JALAN BESERAH, KUANTAN – Pemandu bas Kolej IKIP maut selepas bas yang dipandunya terbabas di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran sebuah stesen minyak dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, Wan Mohd Shah Wan Ramlee, 58, dari Lorong Kempadang Perdana 18 dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepalanya.

DIBEDAH SIASAT DI HTAA

“Nahas berlaku semasa mangsa, yang memandu bas tanpa penumpang itu, dalam perjalanan dari arah Sungai Soi menghala ke bandar Kuantan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa terjatuh daripada bas itu selepas cuba menutup pintu bas yang terbuka secara tiba-tiba sebelum kepalanya dilenyek tayar bas.

“Bas itu hilang kawalan lalu melanggar dua buah kereta dan sebuah van yang diletakkan di kawasan berhampiran,” katanya di sini, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. – BERNAMA/Khabar