Saturday 28 February 2015

Cadang tubuh Biro Khas tangani hal-hal berkaitan masyarakat Cina, India



'GONG XI FA CHAI'... Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama yang lain termasuk Encik Chong (duduk, tiga (3) dari kiri) dan Dato' Chow (duduk, dua (2) dari kanan) memberikan 'pose' istimewa untuk dirakamkan oleh para jurufoto.
 

STADIUM TERTUTUP SUKPA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan cadangan penubuhan sebuah biro khas bagi menangani hal-hal berkaitan masyarakat-masyarakat Cina dan India di negeri ini.

Ini berikutan ketiadaan wakil kedua-dua masyarakat tersebut dalam barisan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang boleh mengutarakan hal-hal berkaitan masyarakat-masyarakat itu untuk dibincang dan diselasaikan di dalamnya.

Ketika menyatakan ini dalam ucapan luar teks 12-minitnya pada Majlis Jamuan Perayaan Tahun Baharu Cina 2015 anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Tionghua Kuantan (GPPTK) pagi Sabtu, 28 Februari di sini katanya;  

“Tadi, saya bincang sama YB Senator – memang betul, sekarang, negeri Pahang, (senarai Ahli-ahli Exco (Kerajaan Negeri) tak ada Cina. Banyak susah (mahu dengari dan bincang) Cina punya hal. Tapi selalu juga Dato’ Sri Liow, Dato’ Hoh Khai Mun sms, telefon sama saya.

“Saya ucap terima kasih kerana beri saya idea, kita sedang timbang; Kerajaan Negeri Pahang mungkin ya – saya bincang sama (KDYMM) Sultan dulu, saya bawa (dalam mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri), mungkin kita buat satu biro, ‘special bureau’ untuk tengok orang Cina, untuk tengok orang India,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang disusuli tepukan oleh para hadirin.

KETIBAANNYA, DISAMBUT MESRA... Sungguh mesranya sambutan yang diberikan kepada Dato' Sri DiRaja Adnan sebaik-baik beliau tiba kira-kira 11 pagi Sabtu, di luar pintu masuk utama ke Stadium Tertutup SUKPA ini.
 

BIMBANG DENGAN POLITIK SEMASA

YB Senator yang beliau maksudkan ialah Ketua Pemuda MCA Pusat, Encik Chong Sin Woon, yang turut hadir pada Majlis Jamuan Perayaan Tahun Baharu Cina ini mewakili Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA dan Ahli Parlimen Bentong.

“Ada apa hal, ada apa hal,” katanya lagi dalam lenggok bahasa bagi memudahkan hadirin memahaminya, “… orang Cina boleh kasi tahu ini biro, itu ‘chairman’ biro kasi jumpa saya (untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan)”.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyatakan kebimbangannya mengenai perkembangan politik semasa tanahair yang turut melibatkan ketiga-tiga kaum utama negara – Melayu, Cina dan India.  

“Saya selalu cakap, kita tak ada tempat (atau negara lain) lagi mau pergi. Ini Malaysia (ialah negara kita bersama). Kalau kacau, kalau gaduh ini tempat, kita tak ada lain tempat mau pergi,” katanya.

Menurutnya, ada yang mengatakan betapa mereka boleh sahaja berhijrah dan tinggal di negara asing namun, beliau memberi contoh bagaimana mereka yang berhijrah sebegitu akhirnya menyesal dengan keputusan tersebut.

PARA KENAMAAN SERTA HADIRIN SEKELIAN... 
 

‘… TAK BOLEH LAWAN MALAYSIA. MALAYSIA LAGI BAIK’

“Saya punya kawan-kawan - satu ‘family’ pergi Australia, satu orang pergi Kanada. Tapi bila balik, jumpa sama saya ada cakap, dia (mereka) sudah menyesal, banyak ‘regret’. Dia cakap, walaupun sana baik, tapi tak boleh lawan Malaysia. Malaysia lagi baik,” katanya.

Beliau turut menceritakan kisah semasa kecilnya – berusia enam (6) tahun, mempunyai rakan baik dan sebaya dari kaum Cina bernama Molly manakala neneknya berkerjaya sebagai bidan sepertimana ibu kepada Molly.  

Begitu juga persahabatan baiknya dengan kanak-kanak daripada kaum India. “Tapi kita kawan (sejak) kecil lagi. Sudah biasa. Saya tak fikir (hendak membeza-bezakan sama ada kaum) Melayu, Cina, India”.

Dan semasa beliau menjadi guru katanya, beliau turut tidak membeza-bezakan latar kaum para pelajarnya sebaliknya, sentiasa membelanja mereka yang tidak pulang ke rumah untuk mengikuti pula kelas sebelah petangnya.

“… (pelajar-pelajar sama ada daripada kaum) Cina, India, Melayupun, kalau dia (mereka) ada kelas petang, mau balik Karak jauh, mau balik Manchis jauh (untuk kembali semula ke sekolah), saya pakai itu buku 3-5,” yang sekali lagi disambut ketawa para hadirin.

DALAM KEGELAPAN SIANG... Pada pertengahan majlis ketika Encik Chong masih berucap di atas pentas, tiba-tiba stadium tertutup ini keputusan bekalan elektrik, tanpa sistem 'back-up' yang kebiasaannya diperolehi dengan mendapatkan perkhidmatan 'gen-set' TNB. 

Tanpa mahu menghampakan pihak penganjur, juga para hadirin sekelian, Dato' Sri DiRaja Adnan masih sudi menyampaikan ucapan 12-minitnya - bukan sahaja luar teks malah dalam keadaan luar jangka tanpa 'mikrofon' serta sistem PA sepertimana biasa. 
 

CIKGU NAN BELANJA PELAJAR TAK KIRA KAUM

“(Sayapun) kasi tahu orang (peniaga di) kantin, kasi ini budak mi rebus. Melayu, Cina, India – estet punya India, Cina Karak; semua saya belanja. Sampai sekarang dia orang ingat sama saya,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang isu di Cameron Highlands dan betapa beliau telahpun mendapat persetujuan Jawatankuasa yang dipengerusikannya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, agar Kerajaan Negeri mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementera (TOL) untuk pekebun-pekebun kecil sayur berkeluasan kurang empat (4) hektar.

Ini katanya, hanya akan dilakukan selepas selesai kerja-kerja penguatkuasaan di kawasan tanahtinggi itu, yang dikelolakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan ekonongan beberapa jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.  

“Pasal apa, dia (pekebun-pekebun kecil) mau kasi makan dia punya anak, dia punya cucu. Tapi ini tauke besar-besar sudah bikin (penanaman secara haram dan besar-besaran hingga menjejaskan alam sekitar, ini (yang) kecil-kecil sudah susah,” katanya.

“Jadi, saya nak katakan, kita mari sama-sama jaga ini negeri, jaga ini negara. Buatlah berniaga patut-patut tapi jangan langgar undang-undang, langgar teruk sangat,” katanya lagi.

Selain Encik Chong, yang turut hadir ialah ‘host’, Dato’ Chow Liong iaitu, Pengerusi Majlis Perayaan Tahun Baharu Cina ini; begitu juga Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh. – Khabar