Tuesday 24 March 2015

"Kejayaan kita ini bukan kejayaan kita seorang-seorang. Bukan kerana Pengerusi, bukan kerana Pengurus Besar, tapi kerana kita bersama-sama," kata Menteri Besar


… antara kata-katanya menyingkap tentang formula kejayaan Kumpulan Yayasan Pahang dalam ucapan luar teks 32-minit pada Makam Malam Kumpulan Yayasan Pahang 2015

MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 32-MINITNYA... 


DEWAN CASHMERE, HOTEL ZENITH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyatakan penghargaannya kepada seluruh Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan Kumpulan Yayasan Pahang (YP) atas kejayaan kumpulan yayasan ini dalam pelbagai bidang yang disertainya selama ini.

“Kejayaan kita ini bukan kejayaan kita seorang-seorang. Bukan kerana Pengerusi, bukan kerana Pengurus Besar, tapi kerana kita bersama-sama,” katanya dalam ucapan 32-minit pada Majlis Makan Malam Kumpulan Yayasan Pahang 2015 malam Selasa, 24 Mac di sini.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis makan malam ini. Selain pegawai dan kakitangan YP sendiri, yang turut hadir ialah pengurusan dan kakitangan anak-anak syarikat Kumpulan YP iaitu IKIP Education Sdn Bhd, Tahfiz Pahang Sdn Bhd, YP Plantation Holdings Sdn Bhd, YP Mining Sdn Bhd, dan, YP Hevea Sdn Bhd.  

Selain daripada peranan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan YP yang ada ‘sense of direction’ atau arah-tuju jelas untuk memajukan lagi Kumpulan YP, menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, pihak-pihak Pengurusan termasuk para pegawai sehinggalah para pekerja bawahan, turut memainkan peranan dalam menjayakannya.

“… pekerja-pekerja yang mungkin hanya memandu motokar, mungkin menjalankan mesin traktor termasuk juga sikit-sebanyak jasa-jasa buruh-buruh asing yang kita bayar gaji mereka.

MELANCARKAN LAGU KORPORAT... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi oleh Encik Mahmud, turut melancarkan lagu korporat 'Bersamamu' yang penuh bertenaga. Lagu ini merupakan gubahan Dato' Wah Idris dan ditulis bersama oleh beliau dan Ken Erwan, serta dinyanyikan oleh Dafi. 


TURUT RAI PERSARAAN DATO’ SAARIAH

“Kerana tanpa mereka, kita tak dapat mengeluarkan hasil dan kita tak dapat pulangan kewangan yang mencukupi atau yang memuaskan,” katanya yang juga Pengerusi Kumpulan YP.

Antara yang turut hadir pada majlis makan malam ini ialah Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar; bekas Pengurus Besar Kumpulan YP, Dato’ Saariah Saad, yang turut diraikan persaraannya;

Pengurus Besar Kumpulan YP, Encik Mahmud Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Dato’ Zulkifli Mohd Ali; Pengurus Besar, YP Plantation Holdings Sdn Bhd, Encik Kamaruddin Koskani Abdul Hamid;

Ketua Pegawai Eksekutif, IKIP Education Sdn Bhd, Encik Norhishamuddin Yaakob; dan, Pengurus Besar, YP Hevea Sdn Bhd, Encik Azman Harun.

Berikut ialah sebahagian lagi sedutan daripada ucapan luar teks 32-minitnya itu;

CENDERAMATA BUAT YANG DIRAIKAN... 


PERLUNYA SUASANA BEKERJA KONDUSIF

“Saya, takdir Allah SWT, dengan limpah perkenan Tuanku Sultan, telah berada di kerusi Menteri Besar dan juga kerusi Pengerusi Yayasan Pahang – sebulan lagi in-sya-Allah, 16 tahun.

“Dan, saya telah menyaksikan bagaimana mekanisme Kerajaan berjalan dan ini termasuk jugalah, agensi-agensi Kerajaan.

“Walau apapun, untuk memajukan agens-agensi Kerajaan ini, untuk memajukan Jabatan Kerajaan termasuk bagi merealisasikan kemajuan dalam pentadbiran urusan Kerajaan, ianya mempunyai beberapa perkara yang penting.

“Antara lain ialah, suasana bekerja yang kondusif di mana semua orang berasa seronok untuk bekerja. Selain daripada itu perkara kedua yang penting ialah, kerjasama antara satu sama lain.

“Dan faktor ketiga yang tidak kurang juga penting ialah, setiap orang memahami tugas masing-masing.

HADIAH UNTUK PEKERJA DEDIKASI... 


KERJASAMA ERAT ANTARA PEMBUAT DAN PELAKSANA DASAR

“Dalam menjalankan pentadbiran Kerajaan, termasuk juga agensi-agensi Kerajaan seperti Yayasan Pahang ini, ada dua komponen penting iaitu pembuat dasar – kalau dalam negeri ini adalah Dewan Undangan Negeri menentukan dasar kemudian itu meluluskan rang undang-undang.

“Dan melaksanakan dasar-dasar ini adalah Menteri Besar, dengan ahli Exco dan juga dengan jentera Kerajaan yang sedia ada.

“Kalau kita ambil agensi Kerajaan seperti Yayasan Pahang dan anak-anak syarikatnya, pembuat dasarnya adalah Ahli-ahli Lembaga Pengarah. Yang melasanakan dasar tadi termasuklah Pengurus Besar, pengurus, anak-anak syarikat.

“Jika ada kerjasama dua ini maka ini akan mencapai kejayaan bagi syarikat ataupun agensi yang berkenaan.

“Kalau kita ada Ahli Lembaga Pengarah yang tidak dapat menunjukkan arah-tuju yang jelas; walaupun kita ada pengurus-pengurus, pegawai-pegawai, kakitangan yang cekap – ia tidak akan bawa hasil kepada organisasi.

POSE DENGAN YANG TURUT HADIR... 


PENGHARGAAN BUAT PENGERUSI TERDAHULU

“Begitu juga kalau kita adalah pengurus-pengurus, pegawai-pegawai yang cekap tetapi kalau tidak ada Lembaga Pengarah yang mempunyai sikit-sebanyak akal-fikiran, organisasi itupun tidak akan maju.

“Tetapi, kalau ada kesefahaman, ada sikit-sebanyak satu fahaman yang jitu antara Lembaga Pengarah dengan pihak pengurusan maka ia membawa alamat baik kepada setiap agensi itu.

“Saya katakan demikian kerana, kalau kita lihat penubuhan Yayasan Pahang ini sendiri, kita tidak boleh melupakan jasa-jasa Pengerusi yang dahulu yakni Menteri Besar yang dahulu – pertama YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak – dulu Menteri Besar, Pengerusi Yayasan dan sekarang ini Perdana Menteri.

“Dan yang keduanya ialah, dulunya Dato’ Sri sekarang ini Tun Khalil Yaakob – Menteri Besar dan sekarang ini Tuan Yang Terutama Gabenor Melaka.

“Dan yang ketiga sekarang ini – ini tak penting sangat. Saya ni ada, ada, tak adapun tak apa. Tapi, walau bagaimanapun, hampir 16 tahun dah saya sendiri selaku Menteri Besar dan juga Pengerusi.

PENTINGNYA MENTERI BESAR SEBAGAI PENGERUSI AGENSI

“Kenapakah, agensi-agensi Kerajaan yang penting, anak-anak syarikat Kerajaan yang penting, ditentukan pengerusinya mesti Menteri Besar?

“Sebabnya ialah, sikit-sebanyak Menteri Besar itu mempunyai kuasa eksekutif, dengan bantuan ahli-ahli Exco dan juga jentera pentadbiran yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan.

“Dan apabila mempunyai kuasa ini maka segala apa sahaja yang boleh diberi bantuan kepada agensi Kerajaan itu, maka diberi bantuan dan dengan demkikian agensi itu akan maju.

“Kalaulah misalannya, katalah Yayasan Pahang ini, pengerusinya bukan Menteri Besar, pengerusi orang biasa sahaja; saya tak percaya ianya akan mencapai kejayaan yang besar sebagaimana sekarang ini.

“Tetapi, oleh sebab matlamat Kerajaan menjadikan agensi Kerajaan ini sebagai agensi yang nanti akan menolong Kerajaan dalam usaha membantu rakyat sebagainya, maka kita letakkan Menteri Besar sebagai Pengerusi supaya keputusan itu senang dapat dibuat.

DARIPADA BAJET RM1 JUTA LEBIH, KEPADA RATUSAN JUTA

“Maknanya, Pengerusi itu sendiri mempunyai topi yang banyak. Dialah memakai topi Menteri Besar, dialah juga memakai topi Pengerusi agensi Kerajaan. Yang ini jangan lupa.

“Kalau kita tengok perkembangan Yayasan Pahang ini, memang mengagumkan. Daripada mula penubuhan 1983 dengan hanya RM1 juta lebih, sekarang ini ratusan juta.

“Dan kalau kita lihat pula, kenapa boleh jadi Yayasan Pahang dapat mengeluarkan atau dapat memiliki 50,000 ekar yang dah ‘fruiting’ kelapa sawit, daripada 70,000 ekar yang kita tanam?

“Kenapa pula Yayasan Pahang mampu memiliki 15,000 ekar ladang getah?

“Ianya adalah kerana bantuan Kerajaan. Ini kena ingat. Kalau kita bagi sebanyak manapun, tanpa mengurusan yang cekap, ia tidak akan jadi apa-apa.

PERLU ‘SENSE OF DIRECTION’

“Kalau dengan pengurusan yang cekap (tapi) tak beri apa-apa bendapun, tak jadi apa-apa. Ini satu perkara yang saya harap semua pengurusan, Ahli Lembaga, pekerja-pekerja akan ingat.

“Kejayaan kita ini bukan kejayaan kita seorang-seorang. Bukan kerana Pengerusi, bukan kerana Pengurus Besar tapi kerana kita bersama-sama. Sebab Lembaga Pengarah kita ada ‘sense of direction’, ada arah-tuju yang kita hendak bawa.

“Dan sememangnya, semenjak saya menjadi Pengerusi Yayasan Pahang, saya masih ingat lagi, semasa saya menjadi Pengerusi Yayasan Pahang, ambi-alih pengerusi apabila dilantik sebagai Menteri Besar; ladang Yayasan Pahang 10,000 ekar sahaja. Dan pada masa itu kita membayar bank sahaja. Berhutang bank sebagainya.

“Sehinggalah Kerajaan menyuntik tanah, demi tanah, demi tanah, demi tanah, sampai 70,000 ekar seperti sekarang ini.

“Dan saya berasa puas hati dengan paranan yang dimainkan oleh Yayasan Pahang dan di sini saya memang ingin membuat sebutan khas untuk YH Dato’ Saariah – antara pengurus-pengurus agensi-agensi Kerajaan, beliau antara dua-tiga orang pengurus yang pada penilaian saya – sangat cekap, sangat komited dan telah banyak berjasa kepada Yayasan,” yang disusuli tepukan oleh para hadirin. – Khabar