Thursday 7 December 2017

PRU-14 - Penentu survival bangsa, masa depan rakyat & negara, kata Dato’ Sri Mohd Najib


“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi,” tegasnya

DALAM AKSI PENUH BERSEMANGAT... 

DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC), KUALA LUMPUR – Dato’ Sri Mohd Najib hari ini menegaskan betapa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mempunyai misi amat besar dalam menentukan survival bangsa, masa depan rakyat serta negara keseluruhannya, yang bukan hanya demi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana PRU-14 akan meletakkan rakyat di satu persimpangan pemutus lagi ‘monumental’, yang akan menjadi penentu kepada nasib negara ini, kata Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi,” tegasnya semasa menyampaikan ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 pagi Khamis, 7 Disember di sini.

Ucapan dasar bertajuk ‘UMNO : Pelaksana Wasiat Pusaka, Harapan Sejati Kesejahteraan Negara Bangsa’ itu disampaikannya selama kira-kira sejam 31-minit, bermula pada 10.23 pagi dan berakhir pada 11.54 pagi.

Dengan penuh bersemangat, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, UMNO telah terbukti sebagai satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan orang Melayu Bumiputera serta rakyat, selain kekal sebagai petunjang utama kepada BN.

DARI SISI LAIN... 


NASIB BURUK BAKAL TIMPA JIKA GAGAL PERTAHANKAN KERAJAAN

Beliau turut menggambarkan mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa jika UMNO dan BN gagal mempertahankan kerajaan sedia ada pada PRU-14 yang dikatakan sudah semakin hampir.

“Pertamanya, sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan syiarnya diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini?” tanya Dato’ Sri Mohd Najib sepertimana laporan berita BERNAMA.  

“Keduanya, tergamakkah kita melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia bahkan akan didurhakai, manakala institusi-institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti MARA, FELDA serta Tabung Haji serta-merta pula nanti akan disisihkan?” beliau bertanya lagi.

Beliau turut membayangkan nasib institusi kebanggaan UMNO dan Bumiputera seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sudah pasti akan digagalkan objektifnya begitu sahaja jika pembangkang pula memerintah.

Manakala penjawat awam yang menjadi tukang belakang kerajaan ketika ini katanya lagi, akan dikurangkan jumlahnya.

MEMENUHI ACARA TRADISI, MENAIKKAN PANJI PARTI - SANG SAKA BANGSA... Selain Dato' Sri Mohd Najib, yang turut kelihatan ialah Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Dato' Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi;

 Naib Presiden, Dato' Sri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung, Dato' Sri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Setiausaha Kerja, Dato' Sri Ab Rauf Yusoh. 
   

AKAN TERGADAI KEINDUKAN

“Dan sudah tentu sekali kesumat pihak lawan sejak sekian lama terhadap keistimewaan orang Melayu Bumiputera sebagai leluhur jati di pertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka; akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukannya.

“Bahkan, lebih buruk dari itu akan merempat, dicelakakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri,”
katanya lagi.

Beliau seterusnya mengajak kesemua anggota UMNO membayangkan sama ada mereka masih berpeluang berkumpul di Dewan Merdeka yang penuh keramat ini jika UMNO dan BN tumpas ke tangan lawan.

“Masih terdengarkah lagi gemanya selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang kita kasihi. Mungkinkah dibenar berkumandangnya lagi lagu-lagu patriotik UMNO lambang bangsa bertuah ini? Bolehkah panji-panji UMNO terus berkibar?

“Mampukah kita menahan rasa sebak dan sedih di dada apabila kita tidak lagi bisa berkumpul seperti ini dalam satu keluarga besar sebagai adik beradik UMNO,”
beliau menambah kata.

AMPUNKAN, AMPUNKANLAH

Hanya ketika itu menurutnya, barulah anggota parti sedar mengenai nikmatnya sebuah kesatuan dan mulianya hidup dalam perjuangan di bawah rimbunnya payungan UMNO, namun semuanya sudah tidak bererti.

“Pada waktu itulah, apabila cucu-cicit keturunan kita bertanya, kenapakah kita kecundang dan membiarkan semua ini berlaku?

“Jawapannya… hanyalah dengan raut wajah sejuta penyesalan,sambil berlinang air mata, kita hanya mampu berkata kepada mereka, ‘Wahai anak cucuku, ampunkan, ampunkanlah dosa-dosa kami ini,”
menurut Dato’ Sri Mohd Najib lagi. – BERNAMA/Khabar