Wednesday 12 April 2017

Jom hentikan jenayah seksual kanak-kanak...

Pahang negeri pertama anjurkan kempen seumpamanya termasuk seminar, selepas peringkat kebangsaan! 
 
MENURUNKAN TANDA TANGANNYA TANDA SOKONGAN PADU TERHADAP KEMPEN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menurunkan tanda tangannya sambil Datin Sri DiRaja Junaini (separuh terlindung) dan Dato' Shahaniza serta yang lain, memerhatikan.


PERKARANGAN, DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah menyempurnakan pra-pelancaran (soft-launch) Kempen Hentikan Jenayah Seksual Kanak-kanak Peringkat Negeri – yang pertama selepas pelancarannya peringkat kebangsaan. 

Acara santai ini menyusul selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 yang disempurnaka oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah pagi Rabu, 12 April di sini. 

Sebagai simbolik, Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri menurunkan tanda tangannya pada papan putih yang disediakan; disusuli isteri, yang juga Yang Dipertua, Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Pahang (Teratai), Datin Sri DiRaja Junaini Kassim. 

Yang turut menurunkan tanda tangan ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad, dan timbalannya, Dato’ Sri Mohamad Jaafar; begitu juga Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta wakil rakyat-wakil rakyat negeri sekelian. 

Kempen 9-hari bermula hari ini, kemuncaknya pada 22 April dengan penganjuran seminar sehari – Seminar Hentikan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah yang juga akan dirasmikan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan. 

DARI SUDUT YANG SATU LAGI... To start the ball rolling.


KESINAMBUNGAN PROGRAM DI BAWAH ISTERI PERDANA MENTERI

Pada persidangan media kemudiannya, Datin Sri DiRaja Junaini yang ditemani Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahniza Shamsuddin; dan, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; berkata; 

“Hari ini, kita mengambil kesempatan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, untuk melancarkan satu kempen yang sebenarnya merupakan kesinambungan program di bawah YABhg Datin Sri Paduka Rosmah Mansor sebagai peneraju BAKTI dan juga Permata Negara. 

“Beliau telah mengharapkan peringkat negeri terutamanya melalui NGO, isteri wakil-wakil rakyat macam contohnya di Pahang ini – Teratai, untuk meneruskan kempen kesedaran ataupun ‘awareness’ di peringkat negeri supaya jenayah seksual kanak-kanak ini dapat kita bendung. 

“Undang-undang Jenayah Seksual Kanak-kanak sudahpun diluluskan dalam Dewan Rakyat pada minggu lepas dan sekarang ini, dalam proses untukl dibawa ke Dewan Negara – untuk tujuan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga; 

“Dan setelah ianya mulus di peringkat itu, maka ia akan dibawa menghadap ke sisi Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk tujuan mendapat kelulusan(perkenan) menjadi undang-undang yang boleh terus digunapakai bagi semua rakyat untuk bertibnadj bagi mencegah jenayah seksual kanak-kanak ini.

TERLANCARLAH SUDAH... Datin Sri DiRaja Junaini sedang melepaskan belon biru ke udara. Selain Dato' Sri Ishak, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pahang, Puan Fairojibanu Zainal Abidin.  


‘TILL INFINITY AND BEYOND’

“Di peringkat negeri Pahang ini – kalau saya tak silaplah, Pahang merupakan negeri pertama mengambil langkah untuk menanamkan kesedaran ini ataupun ‘to create awareness’ dalam kalangan masyarakat, tidak mengira siapa,” katanya. 

Selain mengumpul tanda tangan tanda sokongan, menurut Datin Sri DiRaja Junaini, aktiviti lain yang dianjurkan demi menjayakan kempen ini ialah dengan mengedarkan ‘flyers’ mengenai usaha menangani dan mengatasi jenayah seksual kanak-kanak kepada masyarakat. 

Kepada soalan pemberita tentang sasaran jumlah tanda tangan yang hendak dikumpul dalam tempoh kempen 9-hari ini, beliau berkata, sasarannya tidak terhad, adalah sebanyak yang boleh. 

“Kita kira ‘no limit’. Macam cucu saya cakap, ‘till infinity and beyond’…,” kata Datin Seri DiRaja Junaini dalam senda ketawa yang turut disertai oleh yang lain, merujuk kepada cucunya, Aiza, yang sungguhpun masih kecil tetapi petah bercakap terutama dalam Bahasa Inggeris. 

Mengenai seminar sehari katanya, ia akan menghimpunkan peserta pelbagai lapisan masyarakat termasuklah pengusaha-pengusaha taman didikan kanak-kanak (tadika) dan rumah-rumah asuhan serta murid-murid sekolah. 

MENYEMAT RIBEN BIRU... Dato' Shahaniza sedang menyematkan riben biru - simbolik sokongan kepada kempen, ke baju Datin Sri DiRaja Junaini.  


PORTAL PAHANG CAKNA AKAN TURUT DILANCAR

“… kita menggunakan acuan kita sendiri; (supaya) mereka (para peserta seminar) boleh ke depan dan berani untuk sama-sama ke arah membanteras ataupun memastikan pelaku jenayah ini akan dibawa ke pengadilan melalui undang-undang yang sudah ada,” tegasnya. 

Sempena seminar pada 22 April itu juga katanya, portal ‘Pahang Cakna’ akan turut dilancarkan bagi menyediakan ‘medium’ untuk sesiapa sahaja mengemukakan apa juga maklumat yang diketuai mengenai jenayah seksual kanak-kanak yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Selain perasmian dan pelancaran portal berkenaan, aturcara pada seminar sehari suntuk itu juga meliputi dua (2) sesi perbincangan, setiap satu pada sebelah pagi dan petang.

Yang dibelah pagi di bawah tajuk - Bagaimana Mengenali Seksual Terhadap Kanak-kanak dan Keluarga: Simptom, Rawatan dan Pemulihan, dengan moderator, Dato' Shamsulbahri serta ahli-ahli panel - 

Ketua Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), DSP Saroja A/P Egamparam; Pakar Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Dato' Dr Zahari Noor; dan, pemilik Hushim Motivational and Counseling Consultancy, Encik Hushim Salleh.

MENTERI JUGA AKAN JADI AHLI PANEL PERBINCANGAN

Yang disebelah petang di bawah tajuk - Modus Operandi Penjenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak: Apakah Undang-undang Sedia ada Dapat Mengekang dan Mengatasi?, dengan moderator, Peguambela dan Peguamcara, Dato' Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar serta ahli-ahli panel - 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Azalina Othman Said; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dato' Ahmad Rosli Mohd Sham; dan, wakil dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – Khabar