Thursday 21 September 2017

MB, Kerajaan Negeri jadi ahli Sahabat GERAH - komitmen berterusannya demi perangi rasuah


NASIHAT BUAT PENUNGGANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberikan kata-nasihat tentang pentingnya keselamatan jalanraya sebelum melepaskan para penunggang motosikal berkuasa tinggi di bawah KEJAR '17 ini.

Arah mereka - yang turut disertai oleh Dato' Shamsun Baharin; dari perkarangan RTC Kuala Pahang ini ialah ke Kemaman, Terengganu. 
   

PERKARANGAN, PUSAT TRANSFORMASI LUAR BANDAR (RTC), KUALA PAHANG, PEKAN – Kerajaan Negeri terus menunjukkan komitmen dalam memerangi gejala rasuah dengan ketetapan kepemimpinannya menjadi ahli Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).

“Ini peringkat kita dulu (Kerajaan Negeri yakni Menteri Besar serta ahli-ahli MMK),” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelepasan Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) ’17 pagi Khamis, 21 September, di sini.

“Lepas ini kita minta semua kakitangan Kerajaan (menjadi ahli Sahabat GERAH) pula,” katanya pada majlis anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Sebagai latar belakang, SPRM lancarkan Sahabat GERAH pada Ogos lepas bermatlamat memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan agensi penguatkuasa itu demi usaha pencegahan dan memerangi rasuah secara habis-habisan.

Yang dengan itu juga, Sahabat GERAH akan berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dengan melaporkan sebarang perlakuan rasuah, menyumbang tenaga serta menjadi ‘role model’ individu berintegriti kepada masyarakat.

PELEPASAN... 


JANGAN HULUR, JANGAN ‘KOWTIM’, JANGAN ‘SETTLE’

“Tan Sri Dzul kata, ‘target’ 100,000 (ahli Sahabat GERAH) hingga akhir tahun ini yang kata ‘orang putih’, ‘modest’, jangkaan yang paling minimalah, merendah diri,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dan menambah betapa pada realitinya, “InsyaAllah, mungkin dapat capai lebih 100,000 (ahli)”.

Lanjutan itu katanya, kakitangan Kerajaan – sama ada peringkat Negeri mahupun Persekutuan, akan turut diminta menjadi ahli Sahabat GERAH yang jumlah keseluruhan ialah 68,000 orang (termasuk 12,800 kakitangan peringkat negeri) di negeri ini.

Apabila Tan Sri Dzulkifli mencelah dan mengakui betapa keahlian Menteri Besar dan Kerajaan Negerinya dalam Sahabat GERAH ialah antara yang terawal, Dato’ Sri DiRaja Adnan bekata;  

“(Ia membuktikan) kita serius. Sebab rasuah ini menyebabkan ketidak adilan. Patut orang itu dapat (tapi) tak dapat sebab dia tak rasuah, sebab dia tak hulur, tak ‘kowtim’, tak ‘settle’”.   

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan dan kakitangan SPRM kerana usaha-usahanya demi mencegah rasuah dan penyalah gunaan kuasa yang sudah kelihatan membuahkan hasil.

PERTAMA KALI, SPRM MEMPUNYAI BENDERA TERSENDIRI... Dato' Sri DiRaja Adnan memperkatakan sesuatu tentang bendera SPRM ini sambil Tan Sri Dzulkifli dan Dato' Alias membantu merentangkan bendera ini. 


KEHADIRAN SPRM YANG DIALU-ALUKAN

“Saya berpendapat, prestasi yang ditunjukkan oleh SPRM ini melebihi KPI yang telah ditetapkan. Dan, yang paling utama SPRM telah dapat meletakkan SPRM itu dalam hati dan fikiran rakyat.

“Apabila SPRM dapat merakyatkan SPRM itu sendiri bermakna rakyat sedar akan adanya SPRM (yang dengan itu), mereka akan sedia membantu SPRM.

“Dan apabila rakyat sudah membantu maka gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa ini kalaupun tidak dapat dihapuskan 100 peratus, akan dapat dikurangkan dengan kadar yang begitu tinggi sekali,” katanya lagi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada SPRM dan saya doa, mereka akan berjaya menjalankan tugas dan mereka akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama dan Allah Taala akan melindungi mereka atas usaha-usaha mereka.

“Kita mengalu-alukan dan kalau ada apa-apa hal yang terpaksa SPRM masuk dan jalankan tugas di negeri Pahang ini, kita alu-alukan, insyaAllah,” katanya lagi.

KETEGASAN DALAM KELEMBUTANNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapan luar teks 19-minitnya pada majlis pagi Khamis ini. 


KEHADIRAN

Selain Tan Sri Dzulkifli; yang turut hadir pada majlis ringkas tetapi meriah pada pagi Khamis ini ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;


Ahli MMK Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun; kedua-dua Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM – Dato’ Mohd Jamidan Abdullah dan Dato’ Shamsun Baharin Mohd Jamil, Pengarah SPRM Negeri, Dato' Alias Salim; dan Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin. 


BERSENDA-GURAUAN SEBELUM PERSIDANGAN MEDIA... 
– Khabar