Friday 19 January 2018

Minta maaflah tanpa syarat


… saran Menteri Besar terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar.

“Jangan lepas minta maaf, salahkan orang sana, salahkan orang sini,” tegasnya.

LAWATAN KE NEWSROOM... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memasuki ruang terbuka bahagian editorial sambil diiringi Dato' Aziz. Yang turut kelihatan menyusul di belakang ialah Dato' Zulkifli (berkot hitam) dan Encik Kamarul Iskandar (berbaju kemeja biru).


IBU PEJABAT, UTUSAN MELAYU (M) BHD, JALAN UTUSAN OFF JALAN CHAN SOW LIN, KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar permintaan maaf Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar berhubung ceramahnya mengaitkan soal kesihatan KDYMM Sultan Pahang, seharusnya dilakukan tanpa syarat.

“Sebenarnya, asas kena betul…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditanyakan mengenai hal Dato’ Mahfuz ketika ditemui pada penghujung lawatan santainya pagi Jumaat, 19 Januari ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd ini.

Ekoran bantahan-bantahan demi bantahan terhadap pati ceramahnya yang dianggap menghina KDYMM Sultan Pahang maka pada Rabu lepas, 17 Januari, Dato’ Mahfuz telah memohon maaf terhadap Baginda Tuanku.

Bagaimanapun, pada sidang akhbarnya di Alor Setar semalam, Khamis, 18 Januari, Ahli Parlimen pembangkang itu telah menyalahkan pula Pergerakan Pemuda UMNO yang beliau dakwa, telah ‘pusing cerita’ kepada ceramahnya itu.

“Kita (jika) bercakap, berucap,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “kepentingan, hal-hal Raja-raja jangan disentuh. Dato’ Mahfuz telah minta maaf, minta maaf tanpa syaratlah. Jangan lepas minta maaf, salahkan orang sana, salahkan orang sini”.

DALAM SESI PERBINCANGAN... Dato' Aziz kelihatan sedang memberikan penerangan tentang operasi Kumpulan Utusan serta cabaran yang dihadapi dalam menangani kepopularan media sosial atau media baharu. 

Selain Dato' Zulkifli, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Othman (sebelah kiri Dato' Aziz). 


SEBAB PULUT SANTAN BINASA…

“Itu sebab kita, sebelum mengeluarkan kata-kata; fikir dulu. ‘Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’. Dia sepatutnya tidak menyentuh sikitpun. Baik ke, buruk ke, tidak menyentuh hal Raja-raja. Itu lebih selamat,” katanya lagi.

Kepada soalan jika pada Pilihanraya Umum kelak, isu mengenai Dato’ Mahfuz ini dimainkan katanya, Barisan Nasional (BN) perlu sedia menghadapi dengan terutamanya memastikan rakyat terus didekati serta menerangkan perkara sebenar.

“Dalam pilihanraya kita kena hadapi semualah – yang tak isu, jadi isu; ini perkara biasa. Yang pentingnya, rakyat itu kita kena dekati, kita kena terangkan apa-apa perkara yang berlaku dari A sampai Z, setiap apa sahaja.

“Apa yang rakyat tanya kita cerita dengan jelas,” katanya dan menambah betapa kegagalan menerangkan sesuatu isu dengan jelaslah yang akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kepemimpinan BN.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan tentang titah KDYMM Pemangku Raja Pahang berkaitan dengan selebriti yang menerima darjah kebesaran negeri tetapi terjebak dengan gejala negatif yang Baginda sifatkan sebagai yang tidak menghormati darjah kebesaran tersebut.

MEMBERI PENUH PERHATIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberi penuh perhatian kepada skrin yang dipaparkan tentang tingginya hit - hingga lebih 30 juta sehari, bagi satu daripada segmen media baharu yang turut diceburi oleh Kumpulan Utusan. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Abdul Wahab (dua dari kanan) serta Encik Kamarul Iskandar (kanan sekali). 
  

TITAH DIPLOMASI PEMANGKU RAJA

“Itu titah diplomasi Pemangku Raja Pahang (yang) menggambarkan Pemangku Raja Pahang seorang Raja yang baik hati, diplomasi. Baginda menitahkan, kalau pulang(kan darjah kebesaran tersebut) lebih baik,” katanya.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri boleh ambil balik, boleh tarik balik. Dengan perkenan Raja, boleh tarik balik. Tapi Pemangku Raja lebih suka untuk bertitah secara diplomasi,” katanya lagi.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan tiba di perkarangan Ibu Pejabat ini tepat 10.30 pagi disambut oleh Ketua Pengarang, Kumpulan Utusan, Dato’ Aziz Ishak dan Timbalannya, Dato’ Othman Mohamad serta Pengarang, Utusan Malaysia, Dato’ Zulkifli Hamzah dan Pengarang, Kosmo, Dato’ Baharom Mahussin.

Beliau dibawa melawat ke Dewan Utama di Tingkat Bawah sebelum ke Bilik Mesyuarat di Tingkat 5 untuk menghadiri perjumpaan tertutup sambil bertukar-tukar pandangan dengan kepimpinan Editorial, Kumpulan Utusan ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian dibawa ke Bilik Makan bagi menjamah jamuan ringan yang disediakan, sebelum dibawa pula ke Tingkat Empat untuk meninjau ruang ‘newsroom’ yang luas, kemudian ke Tingkat Tiga pula untuk meninjau bahagian Editorial Kosmo.

Antara yang turut bersama-sama Dato’ Sri DiRaja Adnan pada lawatan santai yang berakhir pada kira-kira 12.45 tengah hari Jumaat ini ialah Setiausaha Sulit Kanannya, Encik Kamarul Iskandar Nordin dan Setiausaha Akhbarnya, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali. – Khabar