Friday 26 October 2018

Pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) baharu untuk Cameron Highlands dibekukan sejak 2008 lagi, kata Menteri Besar.


'POSTER' YANG DIPETIK DARIPADA LAMAN SOSIAL 'FACEBOOK' WAN ROSDY WAN ISMAIL... 


PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini berkata, Kerajaan Negeri telah membekukan pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) baharu di Cameron Highlands sejak tahun 2008 lagi. 

Menurutnya, keputusan tegas itu diambil bagi mengehadkan kegiataan pembukaan tanah – sungguhpun secara sah, bagi usaha-usaha pertanian oleh pekebun-pekebun sayur dan buah-buahan di sana. 

“Keputusan pembekuan LPS baharu ini diambil semasa Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar lagi, demi memelihara alam sekitar Cameron Highlands seluas 71,225 hektar. 

“Keputusan pembekuan yang sudah berlangsung kira-kira 10 tahun sekarang, masih diteruskan semasa tempoh saya ini pula,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam satu kenyataan media hari ini.

Oleh sebab pembekuan tersebutlah katanya, keluasan tanah yang diberikan LPS kekal seluas 2,407.40 hektar atau cuma 3.38 peratus daripada seluruh keluasan Cameron Highlands. 

CADANGAN PEMBANGUNAN 4.05 HEKTAR DI CAMERON JUGA PERLUKAN KELULUSAN MMK NEGERI

Kenyataan media ini ialah susulan saranan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A.Xavier Jayakumar semalam, agar Kerajaan Negeri kedua-dua Pahang dan Perak, menghentikan pengeluaran permit baharu bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian di kawasan tanahtinggi itu. 

Mengenai saranan penghentian pengeluaran permit atau kelulusan baharu untuk tujuan pembangunan pula kata Dato’ Sri Wan Rosdy, ia perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk memutuskannya.

Selama ini katanya, MMK Negeri yang membuat keputusan untuk memberi kelulusan ataupun menolak, bagi satu-satu cadangan projek pembangunan termasuk yang berkeluasan kurang 4.05 hektar (10 ekar) di Cameron Highlands khasnya. 

Sebelum itu katanya, cadangan projek perlu dikemukakan kepada Bahagian Perancang Ekonomi (B-PEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penelitian oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada pelbagai jabatan termasuk Jabatan Alam Sekitar. 

“Jika untuk mendapat kelulusan inipun susah – dengan melalui tapisan yang rapi oleh Jawatankuasa Teknikal; setelah kelulusanpun, pemaju projek perlu memastikan segala syarat dan peraturan apatah pula berkenaan kawasan sensitif seperti Cameron Highlands hendaklah dipatuhi.

PENEROKAAN TANAH HARAM CUMA 3.2 PERATUS KELUASAN CAMERON HIGHLANDS

“Sekiranya gagal, pelbagai tindakan boleh dikenakan oleh jabatan-jabatan yang berkenaan termasuklah denda, penggantungan (stop work order) dan pembatalan projek berkenaan,” katanya lagi. 

Mengenai gejala penerokaan tanah secara haram di kawasan tanahtinggi yang sama itu katanya, ia masih kekal seluas 2,258 hektar atau 3.2 peratus daripada seluruh daerah tersebut. 

“Sungguhpun 2,258 hektar atau cuma 3.2 peratus daripada keluasan Cameron Highlands, tetapi Kerajaan Negeri tetap bimbang terutamanya ekoran kesan buruk yang boleh diakibatkannya. 

“Oleh sebab itulah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menangani dan mengatasi gejala ini termasuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan yang dijangka akan meneruskan kembali Ops Gading,” katanya. 

Sehingga kini menurutnya, kerja-kerja penguatkuasaan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke atas kawasan yang diterokai secara haram ini telahpun melibatkan kira-kira 1,942 hektar atau 86 peratus daripada keluasan 2,258 hektar tersebut. 

LEBIH 54 PERATUS CAMERON HIGHLANDS MASIH DILITUPI HUTAN

Disebalik wujudnya gejala penerokaan tanah secara haram itu, Dato’ Sri Wan Rosdy tetap berpuas hati tentang aspek gunatanah di kawasan tanahtinggi itu yang masih pada kadar yang sewajarnya. 

Selain tanah LPS berkeluasan 2,407.40 hektar; Cameron Highlands katanya, masih diliputi Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 38,418.77 hektar atau kira-kira 53.94 peratus daripada keluasan daerah ini. 

Selainnya ialah 13,568.36 hektar atau 19.05 peratus merupakan Tanah Kerajaan; 5,933.04 hektar atau 8.33 peratus, kawasan termasuk pertempatan Orang Asli; 5,655.27 hektar atau 7.94 peratus, Tanah Rizab termasuk Rizab Melayu; dan, 5,242.16 hektar atau 7.36 peratus Tanah Hakmilik. – Khabar