Wednesday 31 July 2019

Menteri Besar ketuai misi perdagangan ke Singapura


… turut menganjurkan ‘Forum Pelaburan Pahang 2019’, serta tanda tangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU)

POSTER BERKENAAN PIF 2019...


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai misi perdagangan Kerajaan Negeri ke Singapura selama dua hari pada esok, Khamis 1 Ogos dan lusa, Jumaat 2 Ogos ini.

Bersempena dengannya, ‘Forum Pelaburan Pahang 2019’ (PIF; Pahang Investment Forum 2019) akan diadakan di sebuah hotel terkemuka yang dijangka dihadiri lebih 150 peserta termasuk dalam kalangan syarikat-syarikat serta syarikat-syarikat multinasional yang berpejabat di negara republik itu.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar yang dikeluarkan di sini, PIF 2019 ialah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura (SMF; Singapore Manufacturers Association). 

Pada hari pertama PIF 2019 menurut kenyataan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy dijangka menyampaikan Ucaptamanya yang antara lain menyentuh tentang tarikan-tarikan menarik bagi pelabur untuk melabur ke negeri ini.

Yang turut hadir dan berucap sebelum Ucaptama oleh Menteri Besar ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Zainol Rahim Zainuddin, dan Presiden SMF, Dato' Sri Douglas Foo. 

MB ADA LIMA (5) PERBINCANGAN PERNIAGAAN ‘ON THE SIDELINES’

Pengisian lain PIF 2019 ialah Perbincangan Panel (Panel Discussion) bertajuk – ‘Peluang Pelaburan di Pahang’ yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi, Pahang Skills, Dato’ Mas’ut Awang Samah.

Ahli-ahli panel yang terlibat dalam sesi Panel Perbincangan ini antara lainnya ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Encik Ahmad Tajudin Omar dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura; dan Encik Nik Mohd Zaidi Nik Mohd Zain dari Isuzu HICOM Malaysia Sdn Bhd.

Dalam pada itu menurut kenyataan yang sama lagi, Dato’ Sri Wan Rosdy akan turut mengadakan sekurang-kurangnya lima (5) Perjumpaan Perniagaan (Business Meetings) dengan wakil-wakil syarikat terkemuka Singapura.

Kedua-dua Ahli Exco Kerajaan Negeri yang turut serta dalam misi perdagangan ini – Dato’ Sri Mohd Sharkar dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dijangka turut mengadakan sesi Perjumpaan Perniagaan secara berasingan dengan wakil-wakil syarikat yang berkenaan.

Pada hari kedua pula, Jumaat, 2 Ogos menurut kenyataan itu lagi, akan diadakan majlis menanda tangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, dengan syarikat-syarikat terbabit.

Menteri Besar akan menyaksikan majlis tersebut. Dengan pemeteraian MoU ini menandakan komitmen serta persetujuan awal syarikat-syarikat berkenaan untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi ke negeri ini. – Khabar