Monday 16 December 2019

Pahang terus komited demi kelestarian Cameron Highlands

TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI BESAR SERTA YANG LAIN PADA MESYUARAT JAWATANKUASA TINDAKAN BERSAMA PAGI ISNIN, 9 DISEMBER... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kerajaan Pahang terus komited dalam usaha untuk memelihara dan memulihara, serta membangunkan kawasan tanahtingggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

Komitmen ini turut dinyatakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Bangunan Utama, Parlimen Malaysia pagi ini, Isnin, 9 Disember lepas.

Sehubungan itu kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan menempatkan anggota-anggota keselamatan dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sepanjang operasi penguatkuasaan khususnya ‘Ops Lestari’ dilaksanakan di kawasan tanahtinggi ini.

Kehadiran anggota-anggota ATM dan PGA ini katanya, ialah untuk tujuan kawalan keselamatan, rondaan serta ‘show of presence’ mereka yang dengan itu diharap, dapat menangani dan mengatasi isu-isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram.

Bagi memudah-carakan aspek penempatan ini, Kerajaan Negeri mengenal pasti kuarters Kerajaan di Sungai Burung, Brinchang bagi maksud tersebut.  

DALAM PERJALANAN KE MESYUARAT JAWATANKUASA TINDAKAN BERSAMA... 
  

KERAJAAN NEGERI LULUS RM 150,000

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM150,000 yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH), bagi menampung keperluan makan-minum serta bekalan minyak kenderaan anggota-anggota keselamatan ini.

Peruntukan RM150,000 ini ialah untuk tempoh antara bulan Disember ini (2019) hinggalah bulan Mac tahun depan (2020). Bermula April 2020, peruntukan ini akan disediakan sendiri oleh masing-masing ATM dan PGA.

Sebagai tambahan kepada peranan ATM dan PGA, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menggabungkan agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan Negeri, untuk turut membantu.

Sepertimana kita sedia maklum, operasi penguatkuasaan Fasa 2 ‘Ops Lestari’ yang berjalan sebelum ini pada April 2019 khususnya di Sungai Ichat, telah tertangguh ekoran tindakan injunksi yang diambil oleh 28 pekebun kecil.

Bagaimanapun pada 30 September 2019, injunksi ini telah ditarik balik yang membolehkan kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan semula, melibatkan kawasan seluas 97.12 hektar (240 ekar).

KETETAPAN BAHARU BAGI MENDIRIKAN RUMAH PLASTIK... 


‘OPS LESTARI’ DITERUSKAN SEMULA

Ini merupakan sambungan kepada Fasa 1 ‘Ops Lestari’, melibatkan tanah seluas 24.28 hektar (60 ekar), yang bermula 25 Februari dan selesai dilakukan dengan jayanya pada 19 Mac 2019.

Bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands ini pula, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

Enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Negeri – Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke-14 pada 22 November 2019.

Selain berperanan untuk mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrasturktur, kediaman dan pertanian.

Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri akan mempengerusikan PKCH, dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak sebagai Timbalan Pengerusi; manakala Anggota Perbadanan lain ialah lima (5) wakil Kerajaan Pahang, empat (4) wakil Kerajaan Persekutuan serta dua (2) wakil dalam kalangan pakar/profesional.

ARTIKEL SAMA SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AKHBAR HARIAN METRO PADA SELASA, 17 DISEMBER...  


PEKEBUN PERLU DAPAT SIJIL MyGAP  

Selain itu, sepertimana dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mengambil beberapa lagi keputusan penting berkaitan dengan kawasan tanahtinggi Cameron Highlands ini yang antara lainnya ialah;

Kesemua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini – sebanyak 78 hakmilik yang berkeluasan kira-kira 5,519 hektar (13,637.75 ekar), telah diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang kemudian akan menyewakannya dalam tempoh yang ditetapkan, kepada para pekebun.

Pekebun yang hendak menyewa tanah PSK ini pula mestilah memperolehi sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharuinya diberikan.

Sehubungan itu, Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri – Pahang Corporation Sdn Bhd, telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja mengawal-selia aspek pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan oleh MyGAP.

Bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap pula, kesemua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). 

SEMUA HSK DI CAMERON SEBAGAI TAMAN NEGERI

Penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerjaraya (JKR).

Bagi kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar), Kerajaan Pahang telah meluluskannya bagi maksud pengwartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019.

Seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands juga telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September 2019.

Tambahan kepada itu, pengwartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B yang seluas kira-kira 2,289.62 hektar (kira-kira 5,657.77 ekar) sebagai Taman Negeri.

Ke arah memulihara kawasan-kawana yang dicerobohi haram, pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan-kawasan rizab sungai.

S-GLC URUSAKN PEMBEKALAN/PUNCA AIR MENTAH

Sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Pahang (S-GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) atau PSK sendiri, juga akan dilantik sebagai pembekal air mentah bagi tujuan pertanian kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands.

Ini agar bekalan air mentah yang bersih diperolehi oleh pekebun selain memastikan, air mentah ini diperolehi dariupada sumber atau punca air yang terkawal kualiti ekoran terpeliharanya alam sekitarnya.

Dengan segala ketetapan tegas yang telah diambil yang membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri, adalah diharapkan Cameron Highlands akan dapat mengembalikan kegemilangannya sambil menjamin  kelestariannya. – Khabar