Wednesday 29 January 2020

Tawaran maksimum 1.21 hektar/3 ekar seorang kepada lebih 1,000 pekebun kecil/bekas pemegang TOL di Cameron Highlands


“… dengan tempoh penyewaan selama tiga (3) tahun, dan akan tertakluk kepada beberapa syarat yang akan ditentukan antaranya ialah mewajibkan (memiliki) persijilan Malaysian Good Agricultural Practices (MyGap) bagi penyambungan tempoh sewaan,” tegas Menteri Besar.

MAJLIS PETANG RABU...


DEWAN MAJLIS DAERAH JERANTUT, JERANTUT – Kerajaan Negeri hari ini memutuskan untuk menawarkan tanah seluas maksimum 1.21 hektar atau tiga (3) ekar seorang secara sewaan tiga (3) tahun, kepada 1,018 pekebun kecil Cameron Highlands.

Surat tawaran kepada mereka – bekas-bekas pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang ditamatkan pada tahun 2018, akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.  

“Setiap penyewa akan ditawarkan maksimum keluasan tanah seluas tiga (3) ekar dengan tempoh penyewaan selama tiga (3) tahun dan akan tertakluk kepada beberapa syarat yang akan ditentukan antaranya ialah mewajibkan persijilan (Malaysian) Good Agricultural Practices (MyGAP) bagi penyambungan tempoh sewaan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut serta Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri kepada JKKK tersebut petang Rabu, 29 Januari di sini.

Pada sebelah paginya, beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jerantut yang antara lain membincang dan membuat keputusan tentang hal-hal berkaitan dengan tawaran sewaan tanah kepada pekebun kecil Cameron Highlands ini.


KEMESRAAN YANG TERSERLAH...


TANAH-TANAH JADI MILIK PSK

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri bersetuju agar tanah-tanah berstatus TOL yang diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil sayur di kawasan tanahtinggi itu sebelum ini, ‘dibuat pemberimilikan tanah’ kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

Ini menurutnya, sepertimana dibolehkan dibawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) dan tanah-tanah ini pula dipecahkan kepada 78 blok melibatkan keluasan keseluruhan 5,526.219 hektar (13,655.287 ekar).

Sebanyak 58 blok berkeluasan 5,040.005 hektar (12,453.853 ekar) ialah dalam Mukim Ulu Telom; 14 blok berkeluasan 467.746 hektar (1,155.800 ekar) ialah dalam Mukim Ringlet; dan enam (6) blok lagi berkeluasan 18.468 hektar (45.634 ekar) ialah dalam Mukim Tanah Rata.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri turut memutuskan pada mesyuarat MMKN pagi tadi bahawa tanah-tanah yang ‘dibuat pemberimilikan tanah’ kepada PSK seluas 5,526.219 hektar ini, dipajakkan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

PKCH pula akan memajak kecil keseluruhan tanah tersebut kepada Pahang Corporation Sdn Bhd (PCSB) yang telah Kerajaan Negeri lantik selaku pengurus hartanah, yang kemudian, PCSBlah yang akan menyewakannya kepada 1,018 pekebun kecil berkenaan.

PENGURUSAN TANAH LEBIH CEKAP

Menerusi kaedah sewaan ini menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, pengurusan tanah menjadi lebih cekap dengan PCSB sebagai agensi penyelaras tanah-tanah tersebut selain penyewa/pekebun kecil berkenaan memperolehi tempoh sewaan yang panjang selama tiga (3) tahun berbanding cuma setahun di bawah TOL.

“(Dengan turut) mensyaratkan pekebun (meng)amalkan (dan memiliki) MyGAP untuk (dibenarkan) pembaharuan sewaan secara tidak langsung akan menjamin sumber makanan yang bersih dan kelestarian alam sekitar juga terpelihara,” tegasnya.

Menjawab soalan oleh wartawan BERNAMA mengenai kadar sewaan yang akan dikenakan ke atas penyewa/pekebun kecil tersebut kelak katanya, ia akan berlaku sedikit kenaikan berbanding bayaran TOL sebelumnya.

“Kadar sewa dia ‘of course’ berlaku sedikit kenaikan sebab sekarang kita beri tiga (3) tahun, dan kita (juga) masukkan ‘fees’ untuk (perolehi sijil) MyGAP, kemudian itu untuk (bayaran) tapak pelupusan sampah; kita sekalikan, untuk jadikan Cameron Highlands ini lestari,” tegasnya.

“Adalah sedikit kenaikan tetapi saya rasa, berbanding dengan dulu (menerusi TOL, tempohnya) cuma setahun – tiap-tiap tahun mereka kena pergi ke Pejabat (Daerah dan) Tanah (untuk memperbahrui TOL berkenaan) dan mereka belum ada jaminan sama ada dapat memperbaharui atau tidak.

KAEDAH SEWAAN BERDAFTAR YANG LEBIH ‘SECURE’

“Tapi sekarang ini tiga (3) tahun, 3 tahun ‘plus plus’. Sekiarnya mereka mengamalkan (syarat-syarat yang ditetapkan oleh) MyGAP, tak ada masalah untuk disambung semula dan ia lebih terjamin, mereka boleh buat perancangan untuk tanaman mereka,” katanya lagi.

Dato’ Sri Wan Rosdy seterusnya menegaskan betapa kaedah sewaan yang diperkenalkan ini bukanlah sewaan biasa, tetapi merupakan sewaan berdaftar yang sah menurut undang-undang.

“Bermakna, bila dia (penyewa/pekebun kecil berkenaan) sewa itu, namanya didafarkan di Pejabat (Daerah dan) Tanah, dan dalam ‘title’ besar itu, ada nama dia,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang turut hadir pada persidangan media ini, disertai bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

“Dengan lain perkataan,” kata Dato’ Sri Dr Sallehuddin lagi, “Kalau dia (penyewa/pekebun kecil) nak ‘charge’ ke bankpun, boleh ‘charge’. Ia lebih ‘secure’, boleh bawa ke ‘court’, jika berlaku ‘dispute’, boleh bawa ke ‘court’ tak macam LPS (TOL) dulu. Dan Kerajaan tak boleh sewenang-wenangnya batalkan”. – Khabar