Sunday 9 August 2020

Syarat-syarat baharu pertanian jamin kelestarian Cameron Highlands

Sungguhpun dengan kenaan RM4,500 bagi 0.405 hektar setahun atau hanya kira-kira RM375 bagi 0.405 hektar sebulanpun, pekebun dipercayai boleh menyerapnya sementelahan keuntungan yang mereka perolehi sebelum ini adalah berlipat kali ganda.

RANCANGAN TEMPATAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS 2030... Satu lagi usaha Kerajaan demi menjamin kelestarian kawasan tanahtinggi yang berkeluasan hampir sama negara-pulau Singapura. Maka, akurlah kita kepada apa yang telah digaris-pandukan di dalamnya.    

 

Oleh AHYA ALIMUDDIN

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Terlalu tinggikah kadar baharu sewaan tanah yang dikenakan ke atas para pekebun sayur-sayuran dan bunga-bungaan di Cameron Highlands?

Jika menurut seorang-dua ahli politik pembangkang, jawapannya ya lalu merekapun – kononnya sebagai mewakili pekebun; telah menyuarakan ketidak adilan mengenainya menerusi media.

Namun, setelah tiga (3) perjumpaan diadakan antara pihak berkuasa khususnya jabatan-jabatan Kerajaan berkaitan dengan sebilangan pekebun-pekebun; tiadapun yang membangkitkan tentangnya. 

Yang hanya dibangkitkan ialah mengenai syarat-syarat baharu berkaitan sewaan tanah tersebut termasuklah tentang tempoh ‘3 + 2’ atau bermaksud, tiga (3) tahun pertama kemudian dilanjutkan dua (2) tahun lagi.

Jumlah pekebun terlibat menurut rekod Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands ialah kira-kira 1,018 orang manakala keluasan Tanah Kerajaan terlibat ekoran Kerajaan Pahang tidak lagi mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sejak beberapa tahun lepas; ialah kira-kira 5,519 hektar. 

SEPERTIMANA SIARAN PADA HALAMAN 13 AKHBAR BERITA HARIAN TERBITAN KHAMIS, 13 OGOS 2020... 


MASIH MAMPU SERAP KENAIKAN

Dan angka-angka inilah – jumlah pekebun dan keluasan tanah; juga yang akan dilibatkan semula yang pada peringkat awal ini, hanya ketua keluarga dibenarkan kembali berkebun dengan diberikan hanya 1.2 hektar (atau, 3 ekar) tanah terbabit untuk disewa dan dikerjakan. 

Kembali kepada soal kadar baharu sewaan tanah ini yang menurut pencemuh berkenaan, RM4,500 bagi 0.405 hektar (atau, 1 ekar) setahun itu adalah terlalu tinggi, yang merupakan kenaikan ratusan kali ganda daripada sebelumnya.

Betul, ratusan kali ganda atau lebih tepat lagi, kenaikan kira-kira 414 peratus atau lebih empat (4) kali ganda daripada sebelum ini dengan kenaan hanya RM1,086 bagi 0.405 hektar setahun meliputi RM606 untuk bayaran LPS dan lagi RM480 sebagai caj penggunaan air mentah.

Tetapi, menurut seorang pegawai di PDT Cameron Highlands yang mengendalikan urusan ini, kenaan kadar baharu ini – selain RM480.16 caj penggunaan air mentah; ialah beberapa elemen lain termasuk RM100 sumbangan ke Tabung Khas Alam Sekitar, RM121.46 bagi cukai tanah, RM450 untuk Kebenaran Merancang (KM) dan, RM250 untuk pengurusan sampah dan sisa pertanian.

Sungguhpun dengan kenaan RM4,500 bagi 0.405 hektar setahun atau hanya kira-kira RM375 bagi 0.405 hektar sebulanpun katanya, pekebun dipercayai boleh menyerapnya sementelahan keuntungan yang mereka perolehi sebelum ini adalah berlipat kali ganda.

SEPERTIMANA SIARAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA HALAMAN 17 PADA RABU, 19 OGOS 2020...


PENDAPATAN KASAR TANAMAN TOMATO – RM10,000 SEEKAR SEBULAN

Dalam hal ini, kita boleh merujuk kepada kajian oleh Jabatan Pertanian yang menunjukkan bagi pekebun menanam dan menghasilkan tomato misalnya, pendapatan kasar daripada dua (2) pusingan tanamannya ialah kira-kira RM120,000 bagi 0.405 hektar setahun, bersamaan RM10,000 bagi 0.405 hektar sebulan.

Sesudah ditolak kos seperti bayaran LPS dan caj penggunaan air mentah, serta upah buruh yang dianggarkan kira-kira 40 peratus; seorang pekebun boleh meraih keuntungan bersih sehingga RM72,000 bagi 0.405 hektar setahun atau RM6,000 bagi 0.405 hektar sebulan.

Dan inipun baru untuk keluasan 0.405 hektar sedangkan kita tahu, keluasan tanah yang diusahakan kebanyakan pekebun sebelum ini adalah lebih daripada itu, termasuk tanah diterokai haram. Paling tidakpun, ialah keluasan tanaman sehingga 1.2 hektar (atau, 3 ekar) maka keuntungan bersih yang boleh diraih ialah kira-kira RM216,000 setahun atau RM18,000 sebulan!

Bagi menjawab tentang syarat tempoh sewaan ‘3 + 2’, rasional Kerajaan Pahang menurut pegawai yang sama ialah, memberi peluang kepada pekebun membuktikan keseriusan mereka untuk mengamalkan kerja-kerja pertanian berhemah – tidak mencemarkan sepertimana sebelumnya; dengan menuruti segala syarat dan peraturan ditetapkan di bawah Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Setelah itulah, lanjutan lagi dua (2) tahun diberikan, seterusnya boleh dilanjutkan lagi bagi tahun-tahun berikutnya dengan menurut kadar kepatuhan MyGAP termasuk dalam penggunaan baja dan racun serangga yang dibenarkan serta selamat.

BERMULA DENGAN 3 EKAR UNTUK SETIAP KETUA KELUARGA

Berkaitan syarat 1.2 hektar (atau, 3 ekar) sahaja bagi setiap ketua keluarga, inipun merupakan langkah awalan untuk melihat sikap pekebun. Jika terbukti kelak sikap itu betul maka tindakan seterusnya ialah memberi sewaan tanah lagi 1.2 hektar kepada masing-masing isteri dan anaknya pula.

Dengan itu akhirnya, sekeluarga ini boleh mengerjakan sehingga 3.6 hektar (atau, 9 ekar) yang jika menurut kajian bagi hasil mengusahakan tomato tadi, bakal memperolehi keuntungan bersih kira-kira RM648,000 setahun atau kira-kira RM54,000 sebulan!

Yang turut dibangkitkan ialah soal tanah 1.2 hektar ini tidak dibenarkan dicagarkan kepada institusi kewangan untuk memperolehi pinjaman bagi perbelanjaan kos operasi atau menambah-baik keperluan kebuin masing-masing.

Sedangkan, ketika mereka diberikan LPS tempoh hari (yang perlu diperbaharui setahun ke setahun), hal yang sama juga disyaratkan namun mereka tiadapun menghadapi masalah mendapatkan pinjaman. Mereka sekadar membuktikan adanya pemilikan LPS, dan mudah sahaja mereka mendapatnya.  

Perkara ini penulis percaya, turut disedari dan diketahui oleh para pekebun terlibat cuma tentunya apabila ada pihak yang dilihat hendak membantu ‘memperjuangkan’ kononnya nasib mereka, maka tentu mereka menerimanya.

DEMI PASTIKAN PERTANIAN LEBIH TERATUR, BEBAS PENCEMARAN

Sudah tentu penerimaan ini bukan sangat atas alasan mereka akan menanggung kerugian besar, cuma mahu kekal ‘status quo’ dengan keuntungan berlipat kali ganda yang telah mereka nikmati sebelum ini.

Oleh itulah kita berharap, para pekebun terlibat sendiri haruslah berlapang dada dan terimalah hakikat bahawa apa yang Kerajaan lakukan sekarang ialah untuk kebaikan mereka juga.

Ia hanyalah demi memastikan usaha-usaha perkebunan/pertanian di kawasan tanahtinggi Cameron Highlands lebih teratur dan tidak mencemarkan sepertimana sebelum ini. – Khabar