Friday 26 February 2021

Pahang Mining Corporation selaraskan Skim Pelombong Kecil

… termasuk bagi tanah milik sendiri berkeluasan 10 ekar @ 4.05 hektar dan kebawah

ANTARA JENTERA BERAT DISITA DAN DITEMPATKAN SEMENTARA DI PDT LIPIS...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan pelaksanaan Skim Pelombong Kecil (SPK) terutama melibatkan aktiviti perlombongan atas tanah milik berkeluasan kira-kira 10 ekar atau 4.05 hektar dan ke bawah.

Sekiranya segala-galanya berjalan lancar, skim ini dijangka dapat dimulakan pada Jun tahun ini, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sepertimana dilaporkan oleh akhbar Kosmo!

Menurut maklumat yang diperolehi pula, skim ini dikemukakan atas kesedaran tentang terdapat pelbagai kekangan seperti keperluan permohonan melombong yang ketat, tempoh proses yang lama, kos pengendalian yang tinggi dan kesan ke atas alam sekitar;

Susulan itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mencadangkan SPK bertujuan antara lain bagi memudah cara dan membantu penduduk untuk melakukan aktiviti perlombongan secara sah;

Dan, bagi memastikan tiada ketirisan hasil negeri termasuk menerusi usaha-usaha pencegah aktiviti perlombongan haram.

DALAM PROSES PENYITAAN DAN PENGANGKUTANNYA...

PERLOMBONGAN BOLEH SECARA KELOMPOK

Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang baru ditubuhkan – Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC) dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan pelaksanaan SPK ini nanti.

Sehubungan itu, PMC akan mengenal pasti tanah milik persendirian yang berpotensi untuk dilombong atau, pemilik tanah persendirian sendiri boleh membuat permohon mereka kepada PMC untuk menyertai SPK.

Melalui pelaksanaan SPK kelak, aktiviti perlombongam boleh dilaksanakan secara berkelompok termasuk menggabungkan dengan tanah-tanah milik bersebelahan yang dengan itu, kos pengendalian menjadi lebih rendah ekoran perkongsian kos antara pemilik-pemilik tanah terlibat.

Selain itu dan yang turut penting, pengoperasian lombong menjadi lebih teratur menerusi pengeluaran Sijil Pelesenan Melombong (SPL) yang mengutamakan aktiviti perlombongan mesra-alam, lalu memberi kesan yang minimum kepada alam sekitar.

Perkara ini turut ditanya oleh wartawan pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri pada petang Jumaat, 26 Februari di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan.

KESAN BURUK AKIBAT PERLOMBONGAN EMAS HARAM...

HENTIKAN PERLOMBONGAN HARAM

Ia susulan laporan berita oleh akhbar Kosmo! mengenai perlombongan emas secara meluas khususnya di Kechau, Lipis, di bawah tajuk besar muka depan ‘Perkampungan Emas’.

“Penemuan emas ini kebanyakannya ialah atas tanah milik sendiri. Kerajaan Negeri tidak mahu kehilangan hasil. Walaupun tanah sendiri, tetapi emas tersebut (atau sebarang mineral) mesti mendapat kebenaran Kerajaan Negeri (untuk melombongnya).  

“Dan kita tidak mahu perkara ini berlaku berleluasa. Sebab itu kita sedang memikirkan, In Sya Allah, untuk menghalalkan mereka yang melombong emas secara kecil-kecilan ini (menerusi SPK),” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Bagaimanapun katanya, mereka yang melombong emas tanpa kebenaran/lesen dan dikira haram, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sepertimana yang dilakukan di Kechau dan sekitarnya, dalam daerah Lipis.

“Banyak jentera berat yang kita dapat, telah kita sita. Jadi saya menyeru kepada mereka supaya berhentikan kerja ini (melombong secara haram) kerana merugikan Kerajaan, pertama; dan mereka sendiri kalau ditangkap, mereka akan dikenakan hukuman denda yang sangat tinggi.

KERATAN AKHBAR KOSMO!...

LAPORAN SITAAN OLEH UNIT PENGUATKUASAAN BERSEPADU (UE)

“Dan kita memang pantau rapat kerja-kerja melombong haram ini. Kita ada Unit Penguatkusaan yang telah Kerajaan Negeri tubuhkan. Dan banyak sudah yang ditangkap tetapi masih ada lagi yang degil, yang meneruskan kerja-kerja haram ini,” tegasnya.

Menurut laporan Unit Penguatkuasaan Bersepadu (Unified Enforcement Unit) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sebanyak 14 kes sitaan bagi kesalahan di bawah Enakmen Minerakl Negeri Pahang 2001 telah diambil diambil tindakan sejak 3 Februari 2020 sehingga 24 Februari lepas (2021).

Kesemua 14 kes sitaan ini melibatkan 13 jentera berat dan 13 pam air yang kini ditempatkan sementara waktu dalam perkarangan dan di sekitar Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Kuala Lipis. – Khabar