Saturday 12 June 2021

Tiada lesen baharu dikeluarkan di Tasik Chini sejak 2019

 

NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan ‘in-toto’, laporan disediakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai respon kepada isu yang dibangkitkan oleh sebuah portal berita serta beberapa saluran media sosial mengenai Tasik Chini.

Semoga dengan ini dapat menjawab segala dakwaan tidak tepat, malah fitnah terhadap Kerajaan Negeri.  

PERLOMBONGAN DAN ALAM SEKITAR DI TASIK CHINI

1. Merujuk kepada laporan media berkaitan isu kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan, perkara tersebut telah mendapat perhatian serius Pihak Berkuasa  Negeri (PBN) Pahang.

2. PBN melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke 8/2019 pada 13 Mac 2019, bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

3. Kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut  juga telah dicadangkan oleh PBN sebagai kawasan baharu Rizab Biofera UNESCO.

4. Dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar. Sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan tersebut sebelum pewartaan dibuat pada tahun 2019. Namun sejak tahun 2019 selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan.

5. Daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya tinggal dua (2) yang masih beroperasi, itupun yang satu (1) lesennya akan tamat pada hujung Jun 2021 dan satu (1) lagi akan tamat pada hujung tahun ini (2021).

6. Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan peri pentingnya memulihara khazanah alam, PBN atau Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

7. PBN juga tidak berkrompomi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi pemegang pajakan/operator melalui penilaian dan ulasan daripada lapan (8) agensi teknikal dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Pahang seperti Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Tanah & Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

8. Pada 17 Jun 2020, PBN melalui MMK Ke 24/2020 telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan/operator (11) di kawasan Tasik Chini kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

9. PBN juga telah mengeluarkan SOP Bagi Tindakan Pemulihan Akibat Ketidakpatuhan Kepada Syarat Syarat Kelulusan Aktiviti Perlombongan di Tasik Chini, Mukim Penyor Daerah Pekan pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan/operator terlibat.

10. Pemajak/Operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang/pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera, mengenakan bayaran bon jaminan RM 250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguatkuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala. Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi.

11. JAS sentiasa membuat pemantauan ke atas kulaiti air di Tasik Chini sejak 2005 yang melibatkan 15 stesen pemantauan air, dan hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air.

12. JAS telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bermula tahun 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

13. JPNP pula bermula 18 November 2019 sehingga 30 Disember 2019, telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penanaman pokok  di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM 250,000.

14. PBN atau Kerajaan Negeri Pahang, sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini malah di seluruh Negeri Pahang sebagaimana ketegasan dan kejayaan terserlah melalui tindakan penguatkuasan serta pemuliharaan Sungai Ichat di Mukim Hulu Tenom daerah Cameron Highlands.

15. Kerajaan Negeri Pahang - dalam pada sentiasa berusaha merangsang semua aktiviti ekonomi bagi memakmurkan Negeri; akan tetap mengutamakan kelestarian dan perlindungan alam sekitar.

 

PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN PAHANG

12 JUN 2021 – Khabar