Wednesday 29 September 2021

Bersedia kepada pengoperasian semula aktiviti bauksit?

“Antaranya ialah kemestian mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) (bagi sebarang aktiviti perlombongan bermula 2015) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).”

ARTIKEL YANG TERSIAR PADA HALAMAN 16 UTUSAN MALAYSIA...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bersediakah semua pihak kepada pengoperasian semula aktiviti berkaitan perlombongan, pengangkutan dan pengeskportan bauksit secara lebih terurus terutamanya bebas pencemaran?

Sepertimana kita tahu, aktiviti pengeluaran bauksit terhenti menerusi tindakan Kerajaan Persekutuan mengenakan tempoh moratorium secara berperingkat-peringkat selama tiga (3) tahun sejak 15 Januari 2016 hingga 31 Mac 2019.

Tempoh ini dikenakan ekoran pelbagai isu membabitkan pencemaran, keselamatan di atas jalan dan ancaman kesihatan diakibatkan oleh aktiviti yang dilihat tidak terkawal hingga meresahkan penduduk terutamanya di Kuantan.  

Sungguhpun tempohnya kini telah lama, namun aktiviti ini belum juga dimulakan semula sebahagian besarnya ekoran usaha Kementerian Tanah dan Sumber Asli (KeTSA) – sebelum ini Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), bagi mewujud dan mengemaskinikan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengoperasiannya.

SOP ini meliputi empat (4) aspek penting iaitu pengurusan perlombongan bauksit; pengangkutan dan penguatkuasaan; kawasan penyimpanan dan pengurusan di pelabuhan; serta, pengeksportan. 

WAJIB ADA LAPORAN EIA, KEMUDIAN OMS

Antaranya ialah kemestian mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) (bagi sebarang aktiviti perlombongan bermula 2015) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Kedua-dua JAS dan JMG ialah jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan – JAS di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) manakala JMG di bawah KetSA.  

Begitu juga bagi kawasan pajakan yang mempunyai muka bumi tidak sesuai untuk pembinaan kolam hampas, bijih bauksit hendaklah dihantar ke loji pemprosesan berpusat untuk proses pencucian.

Sesudah SOP ini siap, telah ditetapkan dalam perbincangan KATS ketika itu dengan Kerajaan Pahang diwakili Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, agar ia diuji terlebih dahulu menerusi program simulasi.

Ini menandakan sikap mengambil berat kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terutamanya tentang SOP, yang bukan sahaja mesti doable, tetapi juga justifiable demi menyaksikan situasi menang-menang kepada semua pihak.    

LAIN HULU, LAIN PARANG

Ini dikira wajar atas kesedaran pencemuh-pencemuh tegar aktiviti ini sejak dahulu, akan terus dengan cemuhan mereka sekarang namun diharap mereka akan mengambil kira betapa – lain hulu, lain parang; lain dahulu, lain sekarang.

Ia juga wajar kerana Kerajaan Negeri terutamanya, tidak boleh bersikap berat sebelah maka perlu mengambil kira rintihan peneroka Felda terbabit di Bukit Goh khususnya, kerana tempoh pemberhentian/moratorium menyebabkan mereka kerugian besar sedangkan tanah yang sudah sebahagian tertentu dilombongi, menjadi terbengkalai.

Dan bahan mineral bauksit di daerah Kuantan ini sahaja dianggarkan berkapasiti 18.5 juta tan matrik dengan nilai RM2,590 juta (RM2.59 billion), yang sudah tentu mampu memberi pulangan tinggi kepada pemilik tanah khususnya dalam kalangan peneroka Felda terbabit.

Maka, diadakan tempoh percubaan atau program simulasi tersebut dalam dua (2) fasa iaitu Fasa Pertama selama enam (6) bulan bermula Jun 2020 hingga November 2020, Fasa Kedua pula ialah lagi enam (6) bulan bermula Disember 2020 hingga Mei lepas (2021).

Lima (5) operator terlibat meliputi lima (5) kawasan perlombongan berkeluasan 195.03 hektar (481.93 ekar) dengan pengeluaran 200,000 tan metrik, menggunakan 308 lori tertutup dan bebas cemar/debu serta berdaftar dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai medium pengangkutan  

HANYA BAUKSIT DICUCI DIBENAR KELUAR

Antara dapatan utama daripada tempoh percubaan atau menerusi program simulasi yang keseluruhannya mengambil masa sehingga setahun ini ialah, isu-isu pencemaran dan pelanggaran syarat adalah pada tahap terkawal sebagaimana dikehendaki dan menuruti SOP Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang.

Misalnya, semua lori yang digunakan didapati patuh kepada spesifikasi ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi aktiviti pengangkutan dari tapak lombong ke pusat pencucian dan Pelabuhan Kuantan.

Selain itu, isu pencemaran dan jalan kotor akibat debu-debu bauksit dapat turut diatasi kerana SOP sama menetapkan, hanya bauksit yang telah dicuci boleh dibawa keluar untuk dihantar ke Pelabuhan Kuantan bagi pengeksportan.

Apatah pula penetapan syarat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat yang memestikan pewujudan washing bay untuk dilalui dan membersihkan, sebelum lori keluar dari tapak lombong/pusat pencucian.

Kerjasama baik dan komitmen tinggi sesama pelbagai jabatan teknikal dan penguatkuasa dalam tempoh percubaan dan simulasi telah meyakinkan Kerajaan Negeri lalu membolehkan pelaksanaan semula operasi melombong bauksit.

JAWATANKUASA PEMANTAUAN AKTIVITI PERLOMBONGAN

Kerajaan Negeri melalui PTG Pahang, juga telah mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Aktiviti Perlombongan Negeri Pahang sebagai komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan aktiviti perlombongan mematuhi garis panduan SOP ditetapkan.

Isu-isu berbangkit mengenai aktiviti perlombongan bauksit ini kelak akan diselaraskan di bawah jawatankuasa ini, termasuk mengesyorkan tindakan susulan lebih drastik kepada Kerajaan Negeri jika berlaku sebarang perlanggaran sehingga memberi impak negatif kepada penduduk dan alam sekitar.

Maka, sudah benar-benar bersediakah semua? Mungkin satu operator menerima pengajaran amat berguna daripada episod baharu aktiviti bauksit dan SOP ketatnya apabila permohonan bagi kelulusan EIA melibatkan keluasan 3,642.2 hektar (9,000 ekar) pada 31 Mei, telah ditolak oleh JAS pada 23 Ogos lepas.

Lalu, kembalilah semula operator tersebut kepada usaha melengkapkan segala maklumat terkini yang diperlukan bagi mendapatkan kelulusan itu, dan ini dijangka mengambil tempoh enam (6) bulan lagi. – Khabar