Tuesday, 8 July 2014

Bencana di Belo Horizonte


… Brazil 1 Jerman 7, keputusan yang tidak terduga!

MALANG SI JULIO CESAR... Inilah wajah sedih penjaga gol Brazil, selepas tamat perlawanan sepenuh masa 90-minit dan tambahan masa lagi 1-minit, dengan melepaskan tujuh gol atau kira-kira satu gol dibolosi selang 13-minit. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bencana buat Brazil di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, setelah tewas 1-7 kepada Jerman pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Bolasepak Dunia FIFA 2014 awal pagi Rabu, 9 Julai.

Bencana ini – yang turut disaksikan oleh kira-kira 200 juta penonton seluruh dunia hasil liputan langsung oleh 110 stesen penyiaran, bukan setakat menimpa pasukan bolasepaknya;

Malah dikatakan seluruh negara sementelah protes kemarahan daripada rakyat-jelatanya yang tidak pernah padam, terhadap ‘pembaziran’ sehingga kira-kira RM35,000 juta (RM35 billion) bagi Kerajaan Brazil menganjurkan kejohanan ini.

Kekalahan teruk dan memalukan oleh pasukan terkenal dengan rentak sambanya – tanpa penyerang Neymar Jr akibat kecederaan tulang belakang, dan ketua pasukan dan pemain pertahanan Thiago Silva akibat dua kad kuning yang diterima sebelumnya; hanya akan menyemarakkan lagi api kemarahan itu.

Dan perlawanan awal pagi Rabu itu boleh dikatakan ‘terbungkus’ cuma dalam tempoh 29 minit pertama perlawanan dengan jaringan-jaringan pasukan Jerman oleh Thomas Mueller (minit ke-12), Miroslav Klose (ke-22), Toni Kroos (ke-24 dan ke-26), Sami Khedira (ke-29), dengan keputusan 0-5 pada akhir separuh masa pertama.

WAJAH SEDIH SEORANG PEMINAT... 


GOL SAGU HATI BRAZIL SUMBANGAN OSCAR

Pada separuh masa kedua, Jerman menambah dua lagi menerusi Andre Schuerrle (ke-69 dan ke-79), sebelum pemain Brazil, Oscar menjaringkan gol sagu hati untuk pasukannya pada minit ke-90.

Dan ketua pasukan yang menggantikan Thiago Silva, David Luiz - dalam linangan air mata, hanya dapat memohon maaf kepada rakyat Brazil atas kekalahan tersebut pada temubual dengan televisyen negara itu. – Khabar

Monday, 7 July 2014

Sumbangan besar Yayasan Pahang kepada pendidikan dan modal insan


… dengan perbelanjaan hampir mencecah RM1,000 juta, dimanfaati oleh lebih 900,000 pelajar

GURAUAN MENTERI BESAR DENGAN PARA PENERIMA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sempat bergurau dengan penerima sempena Majlis Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Pahang 2014 baru-baru ini. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dengan perbelanjaan hampir mencecah RM1,000 juta yang dimanfaati oleh lebih 900,000 pelajar sehingga kini, menjadi gambaran kasar mengenai peranan dan sumbangan besar Yayasan Pahang (YP) dalam mengembangkan pendidikan dan modal insan di negara ini.

Melihatkan bangunannya yang tersergam gah dan indah di Tanjung Lumpur dekat sini sahajapun sudah mendatangkan kepercayaan utuh tentang peranan dan sumbangan besarnya itu.

Sementelah pula bangunan enam (6) tingkat berharga cuma RM35 juta (termasuk kos pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang [MTNP] bersebelahan) yang siap dan mula beroperasi pada tahun 2007, dibiayai sepenuh dengan wangnya sendiri.

Apatah lagi dengan pembinaan kampus tetap Kolej Antarabangsa IKIP miliknya, di kawasan bersebelahan yang dijangka dapat menampung hingga 2,000 pelajar dan siap pada tahun 2017 dengan kos RM106 juta yang turut ditanggung sepenuhnya.

Kisah-kisah kejayaan ini menurut bekas Pengurus Besarnya, Dato’ Saariah Saad pada satu temubual, banyak disandarkan kepada kepimpinan tertinggi YP khususnya Pengerusi-pengerusinya.

MENYAMPAIKAN KEPADA PENERIMA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengampaikan hadiah kepada pemenang sambil Encik Airulamri (kiri sekali) memerhatikan.


YP DITUBUH SEMASA DATO’ SRI MOHD NAJIB IALAH MENTERI BESAR

Bermula dengan Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Besar ketika itu (1982 – 1986) disusuli Tun Mohd Khalil Yaakob (1986 – 1999) dan kini Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (sejak Mei 1999).

Semasa era Dato’ Sri Mohd Najiblah, idea penubuhan Yayasan Pahang (YP) dicetuskan, kemudian diwujud dan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 29 September 1983.

“Fokus utama beliau pada ketika itu menjurus kepada memastikan anak-anak negeri mendapatkan akses pendidikan yang sempurna dan memberi perhatian langsung kepada anak-anak pelajar dari keluarga yang kurang kemampuan kewangannya dan dari sekolah-sekolah luar bandar,” kata Dato’ Saariah mengenai YP di bawah Dato’ Sri Mohd Najib.

Selaku pencetus dan penggerak, tidak hairanlah, pada lawatan rasmi pertama Dato’ Sri Mohd najib Najib ke negeri ini selaku Perdana Menteri pada 18 April 2007 – seperti masih ada ‘sentimental attachment’ pada YP, beliau turut menyebut mengenainya dalam ucapan luar teksnya;     

“Kalau Yayasan Pahang perlu suntikan, saya bersedia memberi peruntukan tambahan kepada Yayasan Pahang kerana saya yakin bahawa usaha-usaha seperti ini akan memberi kesan yang amat besar kepada rakyat Pahang”. 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG YANG GAH DAN INDAH...


IKIP DITUBUH SEMASA ERA TUN MOHD KHALIL

Di bawah kepimpinan Tun Mohd Khalil pula menurut Dato’ Saariah, fungsi YP dimantapkan lagi dengan memberi perhatian yang sama berat kepada memenuhi tanggungjawab sosialnya khususnya dalam bidang pendidikan, dengan ekonomi.

Sehubungan itu, pada tahun 1992, IKIP Education Sdn Bhd diwujudkan yang kemudiannya menubuh dan mengendalikan Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) yang kini dikenali Kolej Antarabangsa IKIP.

Pengwujudan ini dengan kenaan yuran pengajian tahunan yang berpatutan kata Dato’ Saariah, ialah bagi menambah-meluaskan peluang mendapat pendidikan tinggi dan memberi alternatif pendidikan swasta kepada anak-anak Pahang daripada pelbagai latar ekonomi.

Sehinggalah ke era Dato’ Sri DiRaja Adnan – seorang bekas guru, yang telah menambah-baikkan lagi peranan dengan memperkenalkan lebih banyak produk-produk bantuan pendidikan serta memperbanyakkan program-program kemasyarakatannya.

Dan, tingginya ‘passion’ beliau terhadap YP dan bidang pendidikan yang dimainkan, terserlah bukan sahaja pada segala usaha tersebut tetapi juga pada ucapannya ketika pembentangan Bajet Negeri 2006 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri, 15 November 2005.

TINGGINYA ‘PASSSION’ DATO’ SRI DIRAJA ADNAN KEPADA PENDIDIKAN

Ini khususnya ketika menyentuh soal pendidikan, yang dengan nada sebak beliau menyebut; “Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan meneruskan program bantuan pendidikan untuk memastikan setiap pelajar yang layak tidak tercicir, tidak tertinggal, mencapai tahap pendidikan setinggi yang mungkin.

“Kita tidak akan membiarkan kemiskinan dan ketidakmampuan sesebuah keluarga meneyebabkan seseorang pelajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat setinggi-tingginya”.

Semasa era Dato’ Sri DiRaja Adnanlah, daripada segi pembangunan fizikal, YP memiliki bangunannya sendiri – Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur, serta MTNP iaitu institusi bagi melahirkan dua dalam satu – hafiz dan hafizah serta seorang professional; dibangunkan bersebelahan.

Bangunan-bangunan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Pahang pada 20 Jun 2007, iaitu selepas Baginda jugalah yang merasmikan penubuhan YP, kira-kira 24 tahun sebelumnya.

Banyak produk bantuan pendidikan yang dianjurkan oleh YP selepas lebih tiga dekad kewujudannya. Begitulah banyak sehingga meliputi bukan sahaja yang berkenaan dengan pelajar-pelajar cemerlang seperti adanya Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Projek Intervensi Semua A (PiSSA); yang lemah dan sederhana juga diberi peluang untuk memperbaiki pencapaian akademik mereka.  

PRODUK BANTUAN PENDIDIKAN JUGA KEPADA YANG KURANG BERJAYA

“Antaranya, Program Puncak Jaya (PPJ) dan Program Semarak Usaha dan Impian Ke Universiti (PrSUIT). Program-program ini membantu golongan pelajar sederhana atau yang biasa kita sebut ‘GALUS’ – sekali gagal, sekali lulus, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia bagi membolehkan mereka mendapat kelayakan memasuki universiti-universiti tempatan,” kata Pengurus, Bantuan Pendidikan YP, Encik Airulamri Amran.

Sepertimana kedua-dua program itu, begitu juga dengan beberapa lagi produk bantuan pendidikannya yang turut tertumpu kepada pelajar yang sama seperti program Permata Hati Anak Yatim (PERHATI) dan Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS).

YP juga turut menubuhkan IKIP Advanced Skills Centre – sebuah institusi pendidikan kemahiran yang dijuruskan kepada pelajar yang kurang menyerlah dalam akademik maka kursus-kursus seperti dalam bidang komputer, automotif, perhotelan dan fesyen ditawarkan.

Yang menyerlah daripada banyak-banyak produk bantuan pendidikan yang YP keluarkan ialah pemberian biasiswa dan pinjaman yang termasuklah bagi peringkat sekolah rendah lagi - Biasiswa Sekolah Rendah (BSR), peringkat menengah - Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. 

YP BERJAYA KERANA DIURUS CEKAP DAN BERAMANAH TINGGI

Kesemua ini, menurut Encik Airulamri, melibatkan perbelanjaan sehingga RM662.95 juta dan dimanfaati oleh kira-kira 284,299 pelajar sehingga kini. 

Dan kira-kira RM177.92 juta lagi ialah untuk program-program bantuan pendidikan lain termasuk kemasyarakatan seperti bantuan geran ‘one-off’ RM500 dan RM1,000 kepada masing-masing pelajar memasuki institusi pengajian tinggi peringkat diploma atau ijazah serta peringkat sarjana dan kedoktoran.

Untuk ini pula sahaja, jumlah pelajar yang mendapat manfaat daripadanya ialah kira-kira 639,414 orang!

Daripada segi kewangan, YP mempunyai anak syarikat yang bertindak sebagai ‘income generating body’ iaitu YP Plantations Sdn Bhd, yang menerusi usaha gigih dan cekapnya, berjaya mendapatkan pulangan yang lumayan setiap tahun menerusi operasi ladang sawit milik YP seluas kira-kira 100,000 ekar.

Ekoran kecekapan kewangannya itulah juga, YP sudah boleh berdikari tanpa meminta atau memperolehi bantuan dalam bentuk dana tahunan daripada Kerajaan Negeri baginya menggerakkan segala aktivitinya.
   
“Jika disimpulkan, usaha-usaha yang dilakukan oleh YP merentasi keperluan setiap kategori demografi di negeri Pahang melalui pelbagai program serta peka terhadap persekitaran pendidikan atau ‘educational terrain’ anak-anak Pahang,” kata Dato’ Saariah. – Khabar  


Saturday, 5 July 2014

Penduduk luar bandar akan terima peruntukan tambahan dengan adanya GST, kata Perdana Menteri



MASTERCHEF # 01... Dato' Sri Mohd Najib sedang membantu dalam kerja-kerja memasak bubur lambuk yang diadakan di perkarangan rumahnya di Pekan. Beliau turut dibantu pula oleh isteri, Datin  Sri Rosmah serta Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, Datin  Sri DiRaja Junaini Kassim (kanan sekali). 

Dato' Sri Mohd Najib sempat meluangkan masa hadir di sini diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan dari majlis sebelumnya di ICAM, sebelum ke Rancangan Tanah Felda Chini Timur untuk meneruskan lawatan sepetang Sabtunya yang padat ke kawasan parlimen Pekannya ini.


DEWAN SRI PERDANA, KOLEJ ANTARABANGSA AUTOMOTIF MALAYSIA (ICAM), PEKAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak hari ini menegaskan betapa Kerajaan akan menyalurkan lebih banyak dana pembangunan ke kawasan-kawasan luar bandar sebaik-baik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini.

Katanya, ini telah dimaklumkannya ke cabinet betapa pembangunan di kawasan luar bandar ialah antara yang akan diberi keutamaan apabila Kerajaan Persekutuan memperolehi pendapatan tambahan daripada pelaksanaan GST kelak.

“Pembangkang selalu buat dakwaan (kononnya) sebaik-baik kita laksanakan GST, harga semua barangan dan perkhidmatan akan naik tetapi ini tidak betul dan dakwaan yang tidak berasas.

“Bukannya harga semua barangan (dan perkhidmatan) akan naik, sesetengahnya akan turun dan sesetengah yang lain akan kekal pada harga biasa sebab ia (GST) hanya mengambil-alih cukai perkhidmatan dan jualan yang ada.

“Kalau pembangkang kata kita hendak menambahkan lagi beban rakyat, ia tidak betul sebab mereka tidak pula sebut yang jika kita ada pendapatan tambahan maka sektor luar bandar akan menjadi antara sektor yang akan mendapat peruntukan tambahan dan saya telahpun maklumkan ini kepada kabinet,” katanya.

PERDANA MENTERI DALAM UCAPANNYA... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyampaikan ucapannya pada majlis di Rancangan Tanah Felda Chini Timur, sambil diberi perhatian khusus dan penuh minat oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Tan Sri Isa (kanan sekali).  


MAHU SEIMBANGKAN BANDAR DAN LUAR BANDAR

Ini sepertimana BERNAMA laporkan Dato’ Sri Mohd Najib sebagai berkata dalam  ucapannya pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA 2014 Peringkat Kebangsaan petang Sabtu, 5 Julai di sini.

Antara yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Dato’ Sri Mohd Shafie Apdal.

Dato’ Sri Mohd Najib juga dilaporkan berkata, langkah Kerajaan tersebut (memberi peruntukan lebih ke kawasan luar bandar) akan membolehkan Kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang antara luar bandar dan bandar.

“Kita tidak mahu jadi seperti sesetengah negara yang mana ibu negaranya dibangunkan dengan penduduk yang padat tetapi kawasan luar bandarnya dipinggirkan tanpa ada kemajuan atau pembangunan yang berlaku,” katanya lagi.

Dalam ucapan yang sama, Dato’ Sri Mohd Najib juga berkata, Kerajaan akan mencari kaedah terbaik bagi membantu para pekebun kecil sama ada dalam jangka pendek, sederhana atau panjang, dalam menghadapi kejatuhan harga getah dunia sekarang.

KEMSRAAN SESAMA PEMIMPIN KITA... Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat negeri (BN - Chini), Dato' Abu Bakar Harun tersenyum riang bersalaman dengan Perdana Menteri sambil Dato' Sri DiRaja Adnan suka memerhatikan. 


KERAJAAN PILIH UNTUK BANTU RAKYAT, TAPI PEMBANGKANG?

Dua kementerian – Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar dan Kementerian Industri Peladangan dan Komoditi katanya, telah diminta memikirkan pelan yang terbaik bagi menangani masalah itu.

“Kalau pembangkang selalu membangkitkan isu demi isu; Kerajaan sebaliknya, memilih untuk terus membantu rakyat. Maka, saya telah minta kedua-dua menteri berkenaan bagi memikirkan apakah cara terbaik – baik jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang, untuk memastikan kita boleh bantu pekebun-pekebun kecil,” katanya lagi.

Beliau juga berkata betapa Kerajaan sedar, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia tidak mampu mempengerauhi harga komoditi di pasaran dunia berbanding negara-negara besar seperti Republik Rakyat China.

“Maka, kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk melihat ke dalam, baggaimana untuk mengumpul kekuatan ekonomi di dalam negara yang dibantu oleh strategi tertentu serta langkah-langkah bagi membantu pekebun kecil,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib turut umumkan ‘durian runtuh’ dalam dividen sebanyak RM164.9 juta untuk agihan kepada 32,238 pekebun kecil seluruh Negara yang terdiri daripada peserta tanam semula komersil dan pelan tanam semula kelompok baharu.

'TUKANG MASAK KE-RE-JANYA ENTENG'... Lagi aksi memasak bubur lambuk dalam posisi yang berubah pula.


ELAUN BULANAN PEMAJU MASYARAKAT RISDA NAIK

Selain itu, beliau turut umumkan kenaikan dalam kadar elaun bulanan bagi para pemaju masyarakat RISDA daripada RM500 kepada RM800, yang melibatkan kira-kira 500 orang kesemuanya.

Lewat petang, Dato’ Sri Mohd Najib berada di Rancangan Tanah Felda Chini Timur bagi menyampaikan suratan hakmilik tanah kepada 172 peneroka Felda Chini Timur 3 di sana, disusuli majlis berbuka puasa.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan; yang turut hadir ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad. – Khabar

Tuesday, 1 July 2014

"Saya tidak mahu jadi pengkhianat"


Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad


NOTA EDITOR :

Tersentuh setelah membacanya dalam halaman 10, akhbar Utusan Malaysia keluaran Rabu, 2 Julai, maka dikutip dan disiarkan kembali di sini – dengan pindaan minimal, artikel tulisan bekas Ketua Hakim Negara kita, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah kita – Melayu/Bumiputera, yang merupakan golongan majoriti sambil tidak menganiayai yang minoriti; tidak perlulah terlalu ‘accomodative’ demi kononnya untuk mendapatkan semula atau meluaskan sokongan politik. Kot-kot nanti, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong (terus-menerus) berciciran’.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD... 


KUALA LUMPUR – Jika ada satu keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan lepas yang semakin terbukti betul, adalah keputusan saya untuk menolak tawaran menjadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative Council (NUCC).

Saya menolak tawaran itu kerana khuatir akan menjadi alat bagi memanjangkan tuntutan-tuntutan pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang menguatkan kedudukan mereka dengan menghakis hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan agama Islam, sambil mengekalkan hak-hak mereka.

Saya takut sekiranya saya akan menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Saya berbuat demikian sebelum saya mengetahui komposisi dan nama ahli-ahli MKPN. Apabila saya melihat komposisi dan nama ahli-ahli MKPN, saya lebih yakin bahawa keputusan saya itu adalah betul.

Besar kemungkinan MKPN akan menjadi saluran untuk pihak yang mendukung program parti pembangkang terutama DAP dan PKR (manakala Pas, seperti biasa akan menurut sahaja) dan ahli-ahli Melayu/Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana fahaman mereka yang liberal itu.

Ahli-ahli yang terdiri daripada anak negeri Sabah dan Sarawak terutama beragama Kristian, yang kurang senang dengan isu kalimah Allah, juga akan bersekongkol tanpa menyedari hak-hak mereka juga akan terhakis.


KISAH ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG...


PEMBANGKANG DISERAH TUGAS MENDRAF UNDANG-UNDANG?

Siapakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar MKPN? Pengerusinya ialah Ahli Parlimen Pas Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Timbalan Pengerusinya ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Lee Chee Wee.

Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), secara sengaja atau tidak, sedar atau tidak, telah menyerahkan tugas menetapkan dasar dan menyediakan draf rang-rang undang-undang berikut kepada pembangkang:

‘Racial and Religious Hate Crime Billl’; ‘National Harmony and Reconciliation Bill’; dan ‘National Harmony and Reconciliation Commission Bill’.

Mengapa saya kaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang? Semua orang tahu pendirian Majlis Peguam mengenai politik tanah air. Tidak perlu saya menghabiskan ruang untuk menurunkan fakta-fakta menyokong kenyataan ini.

Bagaimanapun saya akan ceritakan satu peristiwa yang berlaku semasa menjadi Ketua Hakim Negara.

PENGUNDI MATANG HANYA APABILA SOKONG PEMBANGKANG?

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Majlis Peguam mengadakan Majlis Makan Malam Tahunan. Untuk menjaga hubungan baik di antara badan kehakiman dan Majlis Peguam, saya hadir.

Majlis itu tidak ubah seperti majlis menyambut kemenangan parti pembangkang. Antara lain, Datuk S. Ambiga berkata; “Akhirnya para pengundi telah matang”. (Soalan saya: Adakah pengundi hanya matang apabila mereka mengundi pembangkang, khususnya DAP dan PKR?)

Cecil Rajendra, peguam-penyair dari Pulau Pinang pula menulis puisi memuji peguam-peguam yang memenangi pilihan raya atas tiket DAP dan PKR. Sebelum membaca puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan sebagai, “our heroes”.

Itulah majlis rasmi Majlis Peguam yang menjemput Ketua Hakim Negara sebagai dif kehormat!

Saya berfikir sama ada hendak meninggalkan majlis itu atau tidak, tetapi kerana tidak mahu membuat heboh, saya sabar (Mungkin itu salah satu kelemahan orang Melayu, terlalu sensitif terhadap perasaan orang lain sehingga orang lain tidak perlu sensitif terhadap perasaan mereka).

KELEMAHAN MELAYU – TERLALU SENSITIF TERHADAP PERASAAN ORANG

Saya difahamkan Chee Wee dan Andrew Khoo (Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam dan seorang aktivis Comango) terlibat menyediakan draf ketiga-tiga rang undang-undang itu.

Naskhah awal yang saya terima melalui e-mail tertera kata-kata ‘Prepared by Bar Council’. Saya juga membandingkan kedua-dua set rang-rang undang-undang itu. Banyak peruntukan serupa, seksyen demi seksyen.

Apa salahnya jika pembangkang dilantik menjadi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu? Ia bererti, paling kurang setelah BN berhempas-pulas untuk memenangi PRU-13, ia mengetepikan para pengundinya untuk mengambil hati pembangkang.

Jika demikian, untuk apa penyokong-penyokong BN terutama sekali UMNO bekerja keras memberi kemenangan kepada UMNO dan BN? Pembangkang pula tidak perlu bekerja keras untuk menang, sebab jika kalah sekalipun tetap dapat menyerapkan rancangannya untuk dilaksanakan juga.

Apa salahnya jika Majlis Peguam yang menggubal draf awal? Saya katakan, apabila diberi peluang Majlis Peguam semestinya akan menggubal seperti yang dikehendakinya, sesuai dengan kehendak parti-parti yang disokongnya iaitu DAP dan PKR.

BELAJARLAH DARIPADA KESILAPAN

Hal seperti ini pernah berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara. Majlis Peguam telah menggubal Rang Udang-Undang Pelantikan Hakim-Hakim. Draf itu dibawa kepada Perdana Menteri (pada masa itu) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada masa itu), Datuk Zaid Ibrahim. Oleh kerana ia melibatkan Badan Kehakiman, saya diberi satu salinan.

Ringkasnya, mengikut draf itu, suruhanjaya akan menentukan siapa yang akan dilantik menjadi hakim dan siapa yang akan naik pangkat sehingga menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam draf Majlis Peguam itu, majoriti ahli suruhanjaya itu adalah peguam. Ertinya peguam-peguamlah yang akan menentukannya.

Saya membantahnya. Antara lain, saya berkata: “Jika Rang Undang-undang ini diluluskan, hakim-hakim akan melutut kepada peguam-peguam”.

Akhirnya, rang undang-undang itu dipinda dan peruntukan mengenai ahli-ahli yang terdiri daripada peguam-peguam dikeluarkan. Tidakkah kita belajar daripada kesilapan itu? Atau, dalam hal ini, adakah ia disengajakan, cuai atau kerana tidak dapat berfikir?

Saya difahamkan bahawa Chee Wee, bersama-sama Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam) dan Andrew Khoo telahpun turun padang untuk mempromosikan agenda mereka.

TUGAS PEGUAM NEGARALAH UNTUK MENGGUBAL DASAR/UNDANG-UNDANG

Seperti yang ditegaskan oleh MKPN, rang-rang undang-undang itu berada di peringkat rundingan. Walaupun ia masih di peringkat rundingan, soalan saya mengapa pembangkang termasuk Majlis Peguam dan Comango diminta, dibenarkan, dibiarkan untuk menetapkan dasar dan menggubalnya, sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri?

Mengikut amalan biasa, apabila kerajaan hendak membuat sesuatu undang-undang, kerajaan (kementerian atau jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan dasar. Selepas itu kementerian/jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (melalui pegawai-pegawainya di kementerian atau jabatan itu).

Tugas Peguam Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu kementerian atau jabatan. Mengapa amalan itu tidak diikuti?

Dalam hal ini, amat menghairankan mengapa jawatankuasa itu bukan sahaja diberi tugas untuk mendraf rang-rang undang-undang, bahkan menetapkan dasar mengenainya. Peguam Negara pun tidak diberi tugas seperti itu.

Perlu ditegaskan bahawa saya tidak menentang pihak pembangkang dirunding mengenai rang-rang udang-undang itu. Tetapi, janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kepada mereka.

PENGHAKISAN HAK ORANG MELAYU DAN AGAMA ISLAM

Mereka tentu sekali akan menetapkan dasar dan menggubal mengikut kehendak mereka. Ini kita dapat lihat daripada kandungan draf rang-rang undang-undang tersebut.

Kerajaan BN, terutama sekali UMNO dan juga Pas akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Pemimpin-pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daripada tanggungjawab itu. – Khabar