Saturday 5 July 2014

Penduduk luar bandar akan terima peruntukan tambahan dengan adanya GST, kata Perdana Menteri



MASTERCHEF # 01... Dato' Sri Mohd Najib sedang membantu dalam kerja-kerja memasak bubur lambuk yang diadakan di perkarangan rumahnya di Pekan. Beliau turut dibantu pula oleh isteri, Datin  Sri Rosmah serta Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, Datin  Sri DiRaja Junaini Kassim (kanan sekali). 

Dato' Sri Mohd Najib sempat meluangkan masa hadir di sini diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan dari majlis sebelumnya di ICAM, sebelum ke Rancangan Tanah Felda Chini Timur untuk meneruskan lawatan sepetang Sabtunya yang padat ke kawasan parlimen Pekannya ini.


DEWAN SRI PERDANA, KOLEJ ANTARABANGSA AUTOMOTIF MALAYSIA (ICAM), PEKAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak hari ini menegaskan betapa Kerajaan akan menyalurkan lebih banyak dana pembangunan ke kawasan-kawasan luar bandar sebaik-baik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini.

Katanya, ini telah dimaklumkannya ke cabinet betapa pembangunan di kawasan luar bandar ialah antara yang akan diberi keutamaan apabila Kerajaan Persekutuan memperolehi pendapatan tambahan daripada pelaksanaan GST kelak.

“Pembangkang selalu buat dakwaan (kononnya) sebaik-baik kita laksanakan GST, harga semua barangan dan perkhidmatan akan naik tetapi ini tidak betul dan dakwaan yang tidak berasas.

“Bukannya harga semua barangan (dan perkhidmatan) akan naik, sesetengahnya akan turun dan sesetengah yang lain akan kekal pada harga biasa sebab ia (GST) hanya mengambil-alih cukai perkhidmatan dan jualan yang ada.

“Kalau pembangkang kata kita hendak menambahkan lagi beban rakyat, ia tidak betul sebab mereka tidak pula sebut yang jika kita ada pendapatan tambahan maka sektor luar bandar akan menjadi antara sektor yang akan mendapat peruntukan tambahan dan saya telahpun maklumkan ini kepada kabinet,” katanya.

PERDANA MENTERI DALAM UCAPANNYA... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyampaikan ucapannya pada majlis di Rancangan Tanah Felda Chini Timur, sambil diberi perhatian khusus dan penuh minat oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Tan Sri Isa (kanan sekali).  


MAHU SEIMBANGKAN BANDAR DAN LUAR BANDAR

Ini sepertimana BERNAMA laporkan Dato’ Sri Mohd Najib sebagai berkata dalam  ucapannya pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA 2014 Peringkat Kebangsaan petang Sabtu, 5 Julai di sini.

Antara yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Dato’ Sri Mohd Shafie Apdal.

Dato’ Sri Mohd Najib juga dilaporkan berkata, langkah Kerajaan tersebut (memberi peruntukan lebih ke kawasan luar bandar) akan membolehkan Kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang antara luar bandar dan bandar.

“Kita tidak mahu jadi seperti sesetengah negara yang mana ibu negaranya dibangunkan dengan penduduk yang padat tetapi kawasan luar bandarnya dipinggirkan tanpa ada kemajuan atau pembangunan yang berlaku,” katanya lagi.

Dalam ucapan yang sama, Dato’ Sri Mohd Najib juga berkata, Kerajaan akan mencari kaedah terbaik bagi membantu para pekebun kecil sama ada dalam jangka pendek, sederhana atau panjang, dalam menghadapi kejatuhan harga getah dunia sekarang.

KEMSRAAN SESAMA PEMIMPIN KITA... Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat negeri (BN - Chini), Dato' Abu Bakar Harun tersenyum riang bersalaman dengan Perdana Menteri sambil Dato' Sri DiRaja Adnan suka memerhatikan. 


KERAJAAN PILIH UNTUK BANTU RAKYAT, TAPI PEMBANGKANG?

Dua kementerian – Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar dan Kementerian Industri Peladangan dan Komoditi katanya, telah diminta memikirkan pelan yang terbaik bagi menangani masalah itu.

“Kalau pembangkang selalu membangkitkan isu demi isu; Kerajaan sebaliknya, memilih untuk terus membantu rakyat. Maka, saya telah minta kedua-dua menteri berkenaan bagi memikirkan apakah cara terbaik – baik jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang, untuk memastikan kita boleh bantu pekebun-pekebun kecil,” katanya lagi.

Beliau juga berkata betapa Kerajaan sedar, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia tidak mampu mempengerauhi harga komoditi di pasaran dunia berbanding negara-negara besar seperti Republik Rakyat China.

“Maka, kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk melihat ke dalam, baggaimana untuk mengumpul kekuatan ekonomi di dalam negara yang dibantu oleh strategi tertentu serta langkah-langkah bagi membantu pekebun kecil,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib turut umumkan ‘durian runtuh’ dalam dividen sebanyak RM164.9 juta untuk agihan kepada 32,238 pekebun kecil seluruh Negara yang terdiri daripada peserta tanam semula komersil dan pelan tanam semula kelompok baharu.

'TUKANG MASAK KE-RE-JANYA ENTENG'... Lagi aksi memasak bubur lambuk dalam posisi yang berubah pula.


ELAUN BULANAN PEMAJU MASYARAKAT RISDA NAIK

Selain itu, beliau turut umumkan kenaikan dalam kadar elaun bulanan bagi para pemaju masyarakat RISDA daripada RM500 kepada RM800, yang melibatkan kira-kira 500 orang kesemuanya.

Lewat petang, Dato’ Sri Mohd Najib berada di Rancangan Tanah Felda Chini Timur bagi menyampaikan suratan hakmilik tanah kepada 172 peneroka Felda Chini Timur 3 di sana, disusuli majlis berbuka puasa.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan; yang turut hadir ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad. – Khabar