Saturday, 6 June 2020

Beri laluan penyandang/calon BN/UMNO menang percuma pada PRK DN Chini

“Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding,” saran Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK DN Chini.

SEPERTIMANA TURUT DILAPORKAN DALAM BULETIN TERKINI, STESEN TELEVISYEN TV3 TENGAH HARI SABTU INI... 


NOTA EDITOR ;

Bak bulan jatuh ke riba, mungkin peribahasa yang boleh diguna sebagai menyatakan kesyukuran dan kegembiraan atas pengumuman Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri kawasan Chini 4 Julai 2020.

Namun, “… the war is not won yet” yang kerana itulah, kita tidak boleh meraikannya sangat apatah pula ‘meletak senjata’ seterusnya merebut ‘harta rampasan’ sepertimana iktibar kita perlu sentiasa pelajari daripada kekalahan tentara Islam dalam Peperangan Uhud.

Bahawa keberangkalian muncul pada Hari Penamaan Calon 20 Jun kelak dalam kalangan calon-calon bebas mahupun calon-calon tajaan mendaftarkan diri untuk menjadi calon, tidak dapat ditidakkan.

Apatah pula sudah ada suara-suara sumbang termasuk daripada PKR Pahang sendiri menyatakan kemungkinan menyokong calon-calon tersebut, yang sebab itulah persiapan BN/UMNO mahupun MN ke arah itu mesti terus dilakukan juga.  

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK DN kawasan Chini, serta Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Barisan Nasional (BN) Negeri.  


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Beri laluan penyandang/calon BN/UMNO menang percuma pada PRK DN Chini


Saya mohon kerjasama semua pihak – parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini.

Ini bermakna, PRK DN kawasan Chini khususnya tempoh berkempen 14-hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

Dengan ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang.

Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihanraya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.

“Sesetengah berpandangan, kita wajar adakan pilihanraya sekarang… Namun sekarang negara tidak bersedia untuk hadapi pilihanraya kerana kita tidak boleh berkempen, tidak boleh berkumpul dan lakukan apa yang biasa kita lakukan semasa pilihanraya,” Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata oleh BERNAMA pada persidangan media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Kuala Lumpur pada Jumaat, 5 Jun 2020.

Tun Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DN kawasan Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orangramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini.

Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Dato’ Sri Saifuddin Nasution Ismail hari ini ang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DN kawasan Chini atas alasan serupa.

Dengan tidak mengadakan PRK DN kawasan Chini ini juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.
 
PRK ini diadakan susulan pulangnya ke Rahmatullah, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun lewat malam 6 Mei 2020. Allahyarham ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan ini yang memenanginya pada tiga Pilihanraya Umum (PRU) lepas iaitu PRU-PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.

Pada PRU-14 tahun 2018, Allahyarham ‘Dato’ Burn’ atau juga dikenali ‘Ayah Ngah’ dalam kalangan penduduk; memenangi kerusi DN ini dalam pertandingan tiga (3) penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.

Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi. Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065 undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada jumlah undian).

Oleh kerana kini, BN menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), dan PAS sendiri meminta kerusi DN kawasan Chini tidak dipertandingkan; ia akan memberi peluang kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi.

Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.

Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.


DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang/Pengerusi BN Pahang
6 Jun 2020 – Khabar                                  

Friday, 5 June 2020

Isu pemberhentian pekerja ASSB selesai


… pekerja-pekerja kilang di MCKIP itu diberi dua (2) tawaran

MCKIP DI GEBENG...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Isu pemberhentian pekerja kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini selesai, selepas kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja, mencapai kata putus, bersetuju dengan dua (2) pilihan yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkata, keputusan itu dicapai pada dua (2) mesyuarat hampir empat (4) jam bersama wakil pekerja terlibat serta pengurusan tertinggi ASSB.

Katanya, ASSB bersetuju dengan permintaan pekerja supaya dibayar pampasan kepada mereka yang bersetuju diberhentikan, manakala pilihan kedua ialah pekerja yang ingin kembali berkhidmat di kilang itu dibenarkan berbuat demikian.

“Pengurusan ASSB juga memberi komitmen bahawa mereka akan menerima dan melayan pekerja yang ingin kembali dengan adil dan saksama, namun mengharapkan pekerja terlibat juga mengambil inisiatif berhenti menularkan perkara yang tidak benar tentang pengurusan kilang.

“Berhubung soal pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, ASSB bersetuju membuat pengiraan berdasarkan peruntukan Akta Kerja 1955 dan mungkin mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang terlibat bagi tujuan itu, selain dipantau oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

CUMA 380 PEKERJA RAKYAT TEMPATAN DIHENTIKAN

Dato’ Sri Mohd Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma Sri Pahang pada Jumaat, 5 Jun 2020, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi ASSB, Encik Steve Hu, Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri, Encik Pezman Che Hussin; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Beserah, Encik Andansura Rabu.

Berdasarkan maklumat diberikan ASSB, Dato’ Sri Mohd Johari berkata, seramai 380 pekerja tempatan diberhentikan kerja selepas didakwa enggan menerima tawaran untuk tinggal di asrama jika mahu terus bekerja atau mengambil cuti tanpa gaji. Tetapi, 182 orang daripada jumlah itu setuju untuk kembali bekerja.

“Kita juga sudah meminta ASSB untuk mengkaji semula syarat yang mewajibkan pekerja tinggal di asrama jika mahu bekerja kerana kita faham mereka bimbang berlaku COVID-19 dalam kilang.

“Namun perlu ada kaedah saringan keluar masuk yang lebih baik. Untuk itu, kita mencadangkan mereka meminta bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan.

“Selain itu, kita juga mencadangkan supaya pengurusan ASSB membenarkan penubuhan kesatuan pekerja supaya apa juga isu yang timbul dapat dibincangkan dengan baik sebelum pihak pengurusan membuat keputusan agar ia tidak menimbulkan keresahan kepada pihak terlibat,” katanya.

Selain 2,938 pekerja warga tempatan, ASSB yang merupakan pelabur terbesar di MCKIP itu juga mempunyai 1,849 pekerja warga China dengan 314 orang daripadanya telah ditamatkan kerja atau berhenti secara sukarela. – BERNAMA/Khabar

Tuesday, 2 June 2020

Mohon nilai semula keputusan pemberhentian pekerja – Dato’ Sri Mohd Johari


… ekoran laporan tentang pemberhentian pekerja syarikat multinasional di MCKIP.
DATO' SRI MENTERI BESAR MINTA DATO' SRI MOHD JOHARI ADAKAN PERUNDINGAN LANJUT DENGAN KEDUA-DUA PENGURUSAN KILANG DAN PEKERJA... Foto ini hanya hiasan, memaparkan kehadiran Dato' Sri Wan Rosdy serta beramah-mesra dengan pekerja-pekerja kilang berkenaan.  


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media dikeluarkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.


KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI JAWATANKUASA SUMBER MANUSIA, BELIA, SUKAN DAN BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN

ASSB diminta menilai semula keputusan pemberhentian pekerja dan bebarapa perkara lagi, sejak lawatan mengejut Pasukan Petugas SUK ke kilang pada 12 Mei 2020.

Susulan pelbagai aduan yang Kerajaan Negeri terima berkaitan kebajikan pekerja-pekerja Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini, lawatan mengejut oleh Pasukan Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri telah ke kilang itu pada 12 Mei 2020.

Selain bertujuan memeriksa tahap kepatuhan syarikat berkenaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Kerajaan tetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19;

Lawatan mengejut ini juga bertujuan menyemak-balas terhadap beberapa lagi aduan termasuk tiga (3) pilihan yang ASSB beri kepada pekerja-pekerjanya iaitu –

1. Bersetuju untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang ASSB sediakan.
2. Tidak bersetuju untuk dikuarantin maka bercuti tanpa gaji.    
3. Berhenti kerja.

Pasukan Petugas ini dianggotai pelbagai pihak termasuk Bahagian Kerajaan Tempatan di Pejabat SUK; Jabatan Kesihatan; Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); SIRIM Bhd; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Hasil lawatan mengejut ini, beberapa saranan telah dibuat antaranya kemudahan di asrama mestilah ditambah-baik dan pekerja yang secara sukarela hendak menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian.

Susunan katil di asrama mesti mempunyai penjarakan 1 meter di antaranya; dan peralatan serta bahan pencuci ‘sodium hypochlorite’ perlu disediakan beserta arahan penggunaannya. Kerja-kerja pembersihan pula perlu dilakukan secara berkala.

Mengenai tiga (3) pilihan yang diberi kepada pekerja-pekerja, pihak ASSB diminta menilainya semula. ASSB juga diminta memastikan, semua tindakannya berkaitan kebajikan pekerja mestilah dibuat setelah perbincangan dan persetujuan oleh kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja.

Sungguhpun dengan lawatan mengejut itu serta saranan-saranan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri mendapati isu berkaitan kebajikan pekerja-pekerja syarikat/kilang berkenaan, masih lagi timbul.

Sehubungan itu, saya telah diminta oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk berbincang lanjut dengan kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha Kerajaan Negeri dalam membela nasib pekerja dan rakyat Pahang, InsyaAllah.


DATO’ SRI MOHD JOHARI HUSSAIN
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan  
2 Jun 2020 – Khabar