Tuesday 2 June 2020

Mohon nilai semula keputusan pemberhentian pekerja – Dato’ Sri Mohd Johari


… ekoran laporan tentang pemberhentian pekerja syarikat multinasional di MCKIP.
DATO' SRI MENTERI BESAR MINTA DATO' SRI MOHD JOHARI ADAKAN PERUNDINGAN LANJUT DENGAN KEDUA-DUA PENGURUSAN KILANG DAN PEKERJA... Foto ini hanya hiasan, memaparkan kehadiran Dato' Sri Wan Rosdy serta beramah-mesra dengan pekerja-pekerja kilang berkenaan.  


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media dikeluarkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.


KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI JAWATANKUASA SUMBER MANUSIA, BELIA, SUKAN DAN BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN

ASSB diminta menilai semula keputusan pemberhentian pekerja dan bebarapa perkara lagi, sejak lawatan mengejut Pasukan Petugas SUK ke kilang pada 12 Mei 2020.

Susulan pelbagai aduan yang Kerajaan Negeri terima berkaitan kebajikan pekerja-pekerja Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng dekat sini, lawatan mengejut oleh Pasukan Petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri telah ke kilang itu pada 12 Mei 2020.

Selain bertujuan memeriksa tahap kepatuhan syarikat berkenaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Kerajaan tetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19;

Lawatan mengejut ini juga bertujuan menyemak-balas terhadap beberapa lagi aduan termasuk tiga (3) pilihan yang ASSB beri kepada pekerja-pekerjanya iaitu –

1. Bersetuju untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang ASSB sediakan.
2. Tidak bersetuju untuk dikuarantin maka bercuti tanpa gaji.    
3. Berhenti kerja.

Pasukan Petugas ini dianggotai pelbagai pihak termasuk Bahagian Kerajaan Tempatan di Pejabat SUK; Jabatan Kesihatan; Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); SIRIM Bhd; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Hasil lawatan mengejut ini, beberapa saranan telah dibuat antaranya kemudahan di asrama mestilah ditambah-baik dan pekerja yang secara sukarela hendak menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian.

Susunan katil di asrama mesti mempunyai penjarakan 1 meter di antaranya; dan peralatan serta bahan pencuci ‘sodium hypochlorite’ perlu disediakan beserta arahan penggunaannya. Kerja-kerja pembersihan pula perlu dilakukan secara berkala.

Mengenai tiga (3) pilihan yang diberi kepada pekerja-pekerja, pihak ASSB diminta menilainya semula. ASSB juga diminta memastikan, semua tindakannya berkaitan kebajikan pekerja mestilah dibuat setelah perbincangan dan persetujuan oleh kedua-dua pihak – ASSB dan pekerja.

Sungguhpun dengan lawatan mengejut itu serta saranan-saranan yang telah dibuat, Kerajaan Negeri mendapati isu berkaitan kebajikan pekerja-pekerja syarikat/kilang berkenaan, masih lagi timbul.

Sehubungan itu, saya telah diminta oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk berbincang lanjut dengan kedua-dua pihak bagi mencari penyelesaian. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati segala usaha Kerajaan Negeri dalam membela nasib pekerja dan rakyat Pahang, InsyaAllah.


DATO’ SRI MOHD JOHARI HUSSAIN
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan  
2 Jun 2020 – Khabar