Saturday, 12 June 2021

Tiada lesen baharu dikeluarkan di Tasik Chini sejak 2019

 

NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan ‘in-toto’, laporan disediakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai respon kepada isu yang dibangkitkan oleh sebuah portal berita serta beberapa saluran media sosial mengenai Tasik Chini.

Semoga dengan ini dapat menjawab segala dakwaan tidak tepat, malah fitnah terhadap Kerajaan Negeri.  

PERLOMBONGAN DAN ALAM SEKITAR DI TASIK CHINI

1. Merujuk kepada laporan media berkaitan isu kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan, perkara tersebut telah mendapat perhatian serius Pihak Berkuasa  Negeri (PBN) Pahang.

2. PBN melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke 8/2019 pada 13 Mac 2019, bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

3. Kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut  juga telah dicadangkan oleh PBN sebagai kawasan baharu Rizab Biofera UNESCO.

4. Dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar. Sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan tersebut sebelum pewartaan dibuat pada tahun 2019. Namun sejak tahun 2019 selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan.

5. Daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya tinggal dua (2) yang masih beroperasi, itupun yang satu (1) lesennya akan tamat pada hujung Jun 2021 dan satu (1) lagi akan tamat pada hujung tahun ini (2021).

6. Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan peri pentingnya memulihara khazanah alam, PBN atau Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

7. PBN juga tidak berkrompomi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi pemegang pajakan/operator melalui penilaian dan ulasan daripada lapan (8) agensi teknikal dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Pahang seperti Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Tanah & Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

8. Pada 17 Jun 2020, PBN melalui MMK Ke 24/2020 telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan/operator (11) di kawasan Tasik Chini kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

9. PBN juga telah mengeluarkan SOP Bagi Tindakan Pemulihan Akibat Ketidakpatuhan Kepada Syarat Syarat Kelulusan Aktiviti Perlombongan di Tasik Chini, Mukim Penyor Daerah Pekan pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan/operator terlibat.

10. Pemajak/Operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang/pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera, mengenakan bayaran bon jaminan RM 250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguatkuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala. Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi.

11. JAS sentiasa membuat pemantauan ke atas kulaiti air di Tasik Chini sejak 2005 yang melibatkan 15 stesen pemantauan air, dan hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air.

12. JAS telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bermula tahun 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

13. JPNP pula bermula 18 November 2019 sehingga 30 Disember 2019, telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penanaman pokok  di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM 250,000.

14. PBN atau Kerajaan Negeri Pahang, sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini malah di seluruh Negeri Pahang sebagaimana ketegasan dan kejayaan terserlah melalui tindakan penguatkuasan serta pemuliharaan Sungai Ichat di Mukim Hulu Tenom daerah Cameron Highlands.

15. Kerajaan Negeri Pahang - dalam pada sentiasa berusaha merangsang semua aktiviti ekonomi bagi memakmurkan Negeri; akan tetap mengutamakan kelestarian dan perlindungan alam sekitar.

 

PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN PAHANG

12 JUN 2021 – Khabar

Monday, 7 June 2021

Dirgahayu

 ... sempena Hari Keputeraan Rasmi SPB Yang di-Pertuan Agong



Thursday, 3 June 2021

Lagi RM9.3 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2

... kepada rakyat Pahang terputus mata pencarian akibat PKP 3.0/PKPD

 

LAGI BANTUAN, TANDA EHSAN DAN AMBIL BERAT KERAJAAN NEGERI KE ATAS RAKYATNYA...


KENYATAAN MEDIA

MENTERI BESAR PAHANG

 

Lagi RM9.3 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 kepada rakyat Pahang terputus mata pencarian akibat PKP 3.0/PKPD

Sukacita saya umumkan peruntukan lagi RM9.3 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2, kepada rakyat negeri Pahang terutamanya yang terputus mata pencarian ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dengan ini, RM17.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BPP COVID-19 Secara Bersasar di bawah kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2.

Di bawah Fasa 1 yang saya umumkan 24 Mei lepas, nilai peruntukannya ialah RM7.8 juta, ada yang telah pun diagih-agihkan manakala bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU), dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan diagihkan bermula minggu depan.

Peruntukan besar yang Kerajaan Negeri sediakan ini tentunya bukti dan tanda mengambil kisah dan mengambil berat Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.

Ia juga disediakan adalah menurut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri ketika ini.

Sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang Kerajaan Negeri berikan sebelum ini, BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini, masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.

Bak kata orang tua-tua – ‘Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada’. Begitulah juga saya harapkan pemahaman oleh para penerima kepada bantuan dan sumbangan yang diberi menerusi peruntukan ini.

Antara golongan yang akan memanfaatkannya di bawah Fasa 2 ini ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Begitu juga kepada masyarakat Orang Asli menerusi Batin mereka, serta penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta para penggiat seni.

Saya telah meminta agar pengagihan sebenar BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera juga, In Sya Allah.


DATO’ SRI HJ WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

4 Jun 2021 - Khabar

Monday, 24 May 2021

RM7.8 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar

… demi membantu rakyat Pahang yang terkesan dengan PKP 3.0/PKPD

“Peruntukan besar yang disediakan ini sebagai tanda mengambil kisah dan mengambil berat Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang,” kata Menteri Besar.

SEPERTIMANA 'POSTER' TERSIAR DALAM FB WAN ROSDY...

 

NOTA EDITOR

Berikut disiarkan sepenuhnya, Kenyataan Media Menteri Besar berkaitan bantuan untuk golongan sasaran yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini serta beberapa lokaliti termasuk daerah Kuantan seluruhnya.

 

KENYATAAN MEDIA

MENTERI BESAR PAHANG

 

RM7.8 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar kepada rakyat Pahang terkesan PKP 3.0/PKPD

Sukacita saya umumkan peruntukan RM7.8 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar, kepada rakyat negeri Pahang yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Peruntukan besar yang disediakan ini sebagai tanda mengambil kisah dan mengambil berat Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.

Ia juga disediakan adalah menurut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri ketika ini.

Sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang Kerajaan Negeri berikan sebelum ini, BPP COVID-19 secara bersasar yang akan diberikan kali ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.


ANTARA GOLONGAN PENERIMA BPP COVID-19 BERSASAR

Antara golongan yang akan memanfaatkannya ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, kes-kes COVID-19 aktif termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas.

Segala persediaan sedang giat dilakukan dan saya berharap, pengagihan sebenar BPP COVID-19 secara bersasar ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera juga, In Sya Allah.

 

DATO’ SRI HJ WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

24 Mei 2021 – Khabar  

Saturday, 22 May 2021

Yayasan Pahang, pembela pendidikan anak negeri

Bagi tiga (3) tahun terakhir – 2020, 2019 dan 2018; di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail sahaja, nilai perbelanjaannya ialah RM191.7 juta, dimanfaati oleh 391,424 pelajar. 

UCAPANNYA PADA SATU PROGRAM ANJURAN YP...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – RM1,350 juta atau, RM1.35 bilion! Inilah nilai yang telah Kerajaan Pahang belanjakan menerusi Yayasan Pahang (YP), demi pendidikan anak negeri sejak 1983 hinggalah sekarang.

Seramai 1.74 juta pelajar kesemuanya – tanpa mengira latar kaum, agama mahupun pegangan fahaman politik keluarga, telah mendapat manfaat daripada perbelanjaan yang besar ini.

Bagi tiga (3) tahun terakhir – 2020, 2019 dan 2018; di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sahaja, nilai perbelanjaannya ialah RM191.7 juta, dimanfaati oleh 391,424 pelajar.

Sasaran yang beliau tetapkan untuk tahun 2021 ini ialah, YP akan berbelanja RM65 juta lagi yang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 135,000 pelajar di seluruh negeri ini.

Nilai-nilai perbelanjaan ini adalah secara ‘gradual’ meningkat dari setahun ke setahun, membuktikan besarnya tahap kepedulian Kerajaan Negeri terhadap pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga-keluarga yang memerlukan. 

PADA PROGRAM HADIAH PELAJAR CEMERLANG UPSR DI RAUB... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto pada majlis 16 Januari 2019 ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Dr Salehuddin Ishak; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri - Dato Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Dato Abd Aziz Mat Kiram; Pegawai Daerah Raub, Dato Hamdan Husin; dan Dato Mahmud. 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG DIBINA GUNA WANG SENDIRI

Ini berlaku sejak penubuhan YP oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak (1982 – 1986), disusuli Tun Mohd Khalil Yaakob (1986 – 1999), dan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob (1999 – 2018); hinggalah sekarang di bawah Dato’ Sri Wan Rosdy.

Menteri Besar – sepertimana termaktub dalam enakmen berkaitan dan secara tradisinya; ialah juga Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah YP. Masing-masing dengan ‘style’ dan pendekatan tersendiri namun akhirnya, bagi menjayakan aspek pendidikan golongan sasaran.

Secara fizikal, YP turut menjadi kebanggaan susulan terbina dan tersergam bangunan 6-tingkat bernilai RM35 juta dengan perbelanjaan sendiri, di Tanjung Lumpur, Kuantan. Kos ini termasuk bagi pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bersebelahan yang keseluruhannya dikenali Kompleks YP.

Kompleks ini disempurnakan perasmiannya oleh Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah pada Jun 2007 atau selepas 24 tahun Baginda merasmikan penubuhan YP pada 29 September 1983 – ketika itu hanya terletak dan beroperasi di Tingkat 19, Kompleks Teruntum di pusat bandar Kuantan.

Malah secara fizikal juga, YP turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri kira-kira RM106 juta bagi membina, menyiap dan mula beroperasinya sebuah institusi pendidikan pada 2017, yang boleh menampung sehingga 2,000 pelajar dalam kawasan kompleks sama dan kini dikenali Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).

ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA HALAMAN 17, 25 MEI 2021...

PELBAGAI PROGRAM BANTUAN PENDIDIKAN DILAKSANAKAN

Sasaran YP dalam menyalurkan bantuan pendidikan antara lain ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam kalangan pelajar berusia antara 17 dan 23 tahun, memperolehi pendidikan peringkat ‘tertiary’ atau pengajian tinggi.

Selain bantuan pendidikan yang turut diberikan di peringkat sekolah, sasarannya juga ialah bagi melaksanakan program-program kecemerlangan pendidikan bagi menambah-ramaikan anak-anak negeri melanjutkan pengajian ke menara gading.

Seterusnya, YP juga berusaha untuk menyeimbangkan antara pemberian bantuan  kewangan di bawah program-program berasaskan akademik, dan kemahiran diri.

Oleh itulah, pelbagai program bantuan pendidikan diperkenal dan dilaksanakannya seperti Biasiswa Sekolah – Biasiswa Sekolah Rendah (BSR), Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (BKS).

Di bawah Biasiswa Pengajian Tinggi pula meliputi Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB), Biasiswa Tahfiz Profesional (BTP), Biasiswa Anak Yatim dan Skim Pelajar Cemerlang.

YP MENANG BANYAK ANUGERAH – NEGERI, NEGARA DAN ANTARABANGSA

Program-program lain seperti bagi mengiktiraf pencapaian pendidikan pelajar sebagai daya penggalak, serta yang melibatkan ekonomi dan kemasyarakatan turut YP laksanakan secara konsisten.

Program-program ini ialah seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik, Dermasiswa Pelajar Miskin, Geran Pra Siswazah dan Pasca Siswazah, Program Pembangunan Mahasiswa menerusi penubuhan Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) dan Program Pengajian Islam Tafaqquh Fiddin.

Demi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar, beberapa lagi program dilaksanakan seperti Jawab Untuk Jaya (JUJ), Projek Intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS) dan Program Peningkatan Pendidikan Khas (PrKasih).

Oleh itu, tidak menghairankanlah apabila YP sendiri telah memenangi banyak anugerah sama ada peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa dengan terbaharu penerima People’s Choice Stevie Awards 2020, dan pada tahun 2017 – ‘Best Social Services in Asia Pacific & APBEST Social Responsibility Driver of the year’ daripada APBEST Hong Kong.   

Semua kebaikan oleh YP dan kejayaan ini sebenarnya – Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, melainkan “… semuanya adalah dirancang. Kalau tak rancang, YP tak akan jadi berjaya macam ini,” sepertimana kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada program Hadiah Kecemerlangan Pendidikan YP pada 15 Mei 2017.

BERMULA DENGAN PERUNTUKAN HANYA RM1.5 JUTA

“Bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada tahun 1983, kini YP berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pula pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan YP untuk Anak-Anak Pahang, 10 Mac lepas.   

Sepertimana kita ‘angkat tabik’ kepada kepemimpinan tertinggi YP terdahulu – Dato’ Sri Mohd Najib, Tun Mohd Khalil dan Dato’ Sri DiRaja Adnan serta barisan pengurusannya; yang sama kita berikan kepada kepemimpinan sekarang diterajui Dato’ Sri Wan Rosdy dan pihak pengurusan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mahmud Nawawi.

Semoga dengan ini, YP – genap 38 tahun penubuhannya September ini, akan dapat terus dimantap dan digerakkan, demi membela pendidikan anak negeri terutamanya dalam kalangan mereka dan keluarga yang memerlukan. – Khabar   

Wednesday, 19 May 2021

Lanjutan tarikh akhir bayar cukai tanah sehingga 31 Ogos

... tanda kepedulian Kerajaan Negeri kepada kesusahan rakyat dalam tempoh PKP.


- Khabar