Saturday, 25 April 2015

Hidup, jangan mengata orang!


“Tak kiralah… Kalau Dato’ Hasan itu (dituduh) ‘re-cycle’, Wan Azizah lagilah pula ‘re-cycle’nya,” tempelak Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Ia sebagai mengulas tindakan pembangkang menamakan semula Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding kali kedua di Parlimen kawasan Permatang Pauh pada Pilihanraya Kecil 7 Mei ini.  

SAMPAIKAN KEPADA ANAK-ANAK PELAJAR KITA... Diiringi Encik Mahmud, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan BSM kepada penerima. Untuk daerah Rompin sahaja, 40 penerima HPC dan 784 penerima BSM - yang teramai berbanding di daerah-daerah lain.


SMK BANDAR TUN ABDUL RAZAK, RANCANGAN TANAH FELDA KERATONG 4, ROMPIN – Bagai meludah ke langit!

Inilah yang boleh dikatakan apabila pembangkang menamakan Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail bertanding kali kedua di Parlimen kawasan Permatang Pauh pada hari penamaan calon untuk Pilihanraya Kecil (PRK) di sana, pagi Sabtu, 25 April.

Ini disebalik pembangkang jugalah yang sebelum ini mendakwa Barisan Nasional (BN) meletakkan calon ‘re-cycle’ apabila menamakan bekas Timbalan Menteri Besar, Dato’ Hasan sebagai calonnya pada PRK kawasan Rompin ini.

“Kita, hidup ini jangan mengata orang,” tempelak Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang diminta mengulas tindakan pembangkang tersebut pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) & Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) anjuran Yayasan Pahang (YP) pagi Sabtu ini, di sini.

“Tak kiralah, kalau Dato’ Hasan itu (dituduh) ‘re-cycle’, Wan Azizah lagilah pula ‘re-cycle’nya,” sindirnya lagi dan menambah kata betapa dalam mencalonkan Dato’ Hasan, ia lebih kepada soal penerimaan rakyat kepadanya.

HADIRIN PADA MAJLIS PENYAMPAIAN HPC & BSM PAGI SABTU... 


‘MOMENTUM’ DIJANGKA ‘PICK-UP’ SELEPAS INI

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi BN Negeri, turut ditanya tentang perjalanan kempen PRK kawasan Rompin setakat ini, yang masuk hari keempat bermula dengan Hari Penamaan calon Rabu lepas, 22 April.

Menurut pemerhatiannya, ia berjalan lancar dengan kedua-dua pihak – BN dan pembangkang, bergerak secara sederhana yang beliau percaya betapa ‘momentum’ ini akan ‘pick-up’ selepas ini.  
“Nampak kedua-dua parti bergerak cara masing-masing – berjumpa orang sebagainya, tapi dalam bentuk yang sangat ‘low-key’. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan komponen, jentera nanti; apakah perkara-perkara lain kita perlu lakukan,” katanya.

“Pada keseluruhannya, berjalan lancar. Kempen-kempen dari kedua-dua pihak saya tengok, masih lagi peringkat ‘low-key’. Ini strategi masing-masing. Jangan ingat bila ‘low-key’ tak ada kempen ya,” katanya lagi.

Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi BN dalam menghadapi PRK Parlimen kawasan Rompin ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, ia (KPI) sebagai sasaran dan panduan BN.

'WALKABOUT' DI PUSAT BANDAR... Selesai majlis di SMK Bandar Tun Abdul Razak, Dato' Sri DiRaja Adnan meluangkan masa melakukan 'walkabout' sekitar pusat bandar, Bandar Tun Abdul Razak. Kelihatan, beliau menjengah ke sebuah kedai yang dibina oleh TDK (Teras Dara Konsortium) yang menjual barangan runcitan kendalian pengusaha Bumiputera.


PENTING UNTUK TENTUKAN PENGUNDI KELUAR RAMAI

Yang sama penting katanya lagi, ialah bagi menentukan jumlah keluar mengundi yang meningkat yang dengan itu memerlukan semua pihak bekerja kuat untuk memastikannya.

Pada persidangan media yang sama, beliau turut diminta mengulas isu perumahan untuk generasi kedua Felda – antara isu yang dibangkitkan oleh pembangkang pada ceramah-ceramahnya pada PRK kawasan Rompin ini.  

Yang menurut Menteri Besar, Kerajaan telahpun melaksanakan perumahan untuk generasi kedua Felda ini di tiga (3) buah Rancangan Tanah Felda di seluruh negeri ini iaitu di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Mempaga, Bentong; Chini, Pekan; dan, Jengka, Maran.

“Maknanya, program ini berjalan, bukan tidak berjalan. Di sini (Rancangan Tanah Felda Keratong)pun ada. Tinggal lagi sekarang ni, kita tak dapatlah memenuhi permintaan tadi secepat mungkin sebab kadar permintaan dengan kadar penyediaan rumah berkenaan tak selari,” katanya lagi.

Selain wakil rakyat negeri kawasan ini, Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Bukit Ibam); yang turut hadir pada majlis penyampaian HPC & BSM untuk penerima-penerima dari Dewan Undangan Negeri-Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam dan Muadzam Shah ini ialah;

Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; wakil rakyat negeri (BN – Jengka), Dato’ Wan Salman Wan Ismail; serta, Pengurus Besar YP, Encik Mahmud Nawawi. 

MENJENGAH MASYARAKAT ORANG ASLI DI BUKIT SEROK PULA... Anak kecil masyarakat Orang Asli ini dan ibunya, kelihatan suka dengan sapaan Dato' Sri DiRaja Adnan. Foto ini dirakam ketika Menteri Besar menjengah pula ke perkampungan Orang Asli Bukit Serok ini. 

Beliau telah turut sudi menerima memorandum yang disampaikan oleh wakil mereka - Puan Chow Gek, lalu menyatakan komitmen untuk melaksanakan mana-mana perkara yang boleh ditunaikan. – Khabar       

Wednesday, 22 April 2015

Satu (1) lawan satu (1) di PRK Parlimen kawasan Rompin



… Tan Sri Muhyiddin ingatkan jentera BN supaya tidak ambil mudah.

WAJAH CERIA, 'BABY-FACED' CALON HARAPAN KITA... Dato' Hasan sedang diumumkan layak bertanding, dengan Encik Nazri di kanannya.


PERKARANGAN DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUALA ROMPIN – Satu lawan satu, menemukan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Hasan Arifin dengan calon PAS, Encik Nazri Ahmad pada Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei nanti.

Ini sepertimana diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Dato’ Fadzilla Salleh pada 10.32 pagi, Rabu, 22 April di sini, selepas tamat tempoh satu (1) jam mengemukakan surat pencalonan pada 10 pagi ini.

PRK ini diadakan ekoran kekosongan yang berlaku di Parlimen kawasan berkenaan, berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter pada 4 April lepas.

Dato’ Hasan, 62, anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong di sini, bukan nama asing dalam kalangan penduduk Parlimen Rompin, kerana pernah menjadi wakil rakyat negeri (BN – Tioman, dan, BN – Ibam), selama empat (4) penggal bermula 1990.

Selain itu, menurut laporan BERNAMA lagi, beliau pernah menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Besar antara tahun 1995 dan 1999.

Lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, Dato’ Hasan mula melibatkan diri dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1976, dua (2) tahun kemudian dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, selain pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Pekan pada 1984.

BERJABAT-SALAM... Foto ini dirakam sebaik-baik kedua-duanya - Dato' Hasan dan Encik Nazri, menyerahkan borang pencalonan masing-masing dalam Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuala Rompin ini.


BEKAS PENSYARAH SAMBILAN

Pada 1986, beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Rompin, dan pada 1990 pula, dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin sehingga tahun 2004.

Sementara itu, Encik Nazri, 40, merupakan anak peneroka Felda Keratong 5 dekat sini, dan kini ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Penglibatan Encik Nazri dalam dunia politik bermula pada tahun 2005 apabila dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Rompin. Bekas pensyarah sambilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah ini berkelulusan Sarjana Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pada persidangan media selepas pengumuman ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri MJuhyiddin Yassin telah mengingatkan jentera BN/UMNO supaya tidak mengambil mudah PRK Parlimen kawasan Rompin ini sungguhpun kawasan ini merupakan kubu kuat parti.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar jentera parti bekerja keras untuk meningkatkan sokongan pengundi, sekaligus menambah jumlah majority yang bakal diperolehi kelak.

'BERSATU, KITA BERSATU'... Inilah barisan kepimpinan BN kita bersama-sama Dato' Hasan di atas pentas. 


ROMPIN KAWASAN BIRU

“Kita tahu Rompin sejak sekian lama, merupakan kawasan biru (BN) tetapi kita tidak boleh ambil mudah, perlu tambahkan sokongan, maka jentera harus tingkatkan gerak kerja,”
katanya.

Menurutnya, BN akan menggunakan PRK Parlimen kawasan Rompin ini sebagai ‘platform’ untuk memperjelaskan tentang beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk soal kos sara hidup.

“Isu GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) selain harga getah dan kelapa sawit, tidak boleh dinafikan hakikatnya berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat global.

“Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai Kerajaan untuk berikan penjelasan. Macam isu GST, kita kena faham ia satu keperluan dan matlamatnya untuk kepentingan rakyat,”
katanya.

Mengulas mengenai sasaran undi BN pada PRK ini, Tan Sri Muhyiddin berkata, beliau menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap 38 Peti Daerah Mengundi (PDM) di kawasan ini untuk menambah jumlah majoriti.

PADA PERSIDANGAN MEDIA... 


SETIAP UNDI ITU PENTING

Setiap undi katanya, adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan sosio-ekonomi kawasan parlimen ini yang telah diusahakan oleh bekas wakil rakyat Parlimennya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13, Allahyarham Tan Sri Dr ,Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam (6) penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Puan Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan calon BN, Dato’ Hasan; yang turut hadir pagi Rabu ini ialah Menteri Pertahanan Dato’ Sri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Sri Shafie Apdal; Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai; 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Sri Hasan Malek; Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Shahidan Kassim; dan, Timbalan Menteri Kewangan Dato' Ahmad Mazlan. – BERNAMA/Khabar

Saturday, 18 April 2015

"... yakinkan para pemilih bahawa Barisan Nasional masih lagi boleh memberikan calon lebih baik dari parti-parti lain," kata Dato' Sri DiRaja Adnan



DALAM UCAPAN RINGKAS LUAR TEKS 5-MINITNYA... Ucapan ringkas ini sebagai 'prelude' kepada ucapan luar teks 26-minit Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin yang kemudian mengumumkan nama calon BN - Dato' Hasan Ariffin, pada dua (2) minit terakhir ucapannya itu.  


PUSAT OPERASI BARISAN NASIONAL (BN), MUADZAM SHAH, ROMPIN – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahu usaha digerakkan oleh ahli-ahli Barisan Nasional (BN) bagi meyakinkan pengundi tentang calon pilihannya yang lebih baik daripada saingannya dalam menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin ini.

“In-sya-Allah, dalam Pilihanraya Kecil kali ini,” katanya, “… kita telahpun berjanji dalam beberapa mesyuarat termasuk mesyuarat tadi yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri sendiri;

“… (yang) kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk meyakinkan para pemilih bahawa Barisan Nasional masih lagi boleh memberikan calon lebih baik dari parti-parti yang lain”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri berkata demikian dalam  ucapan luar teks ringkas 5-minitnya pada Majlis Pengumuman Calon BN Bagi PRK Parlimen kawasan Rompin tengah hari Sabtu, 18 April, di sini.

Menurutnya lagi, “Kita telah mengaturkan segala gerak-kerja dan kita percaya dengan pelaksanaan gerak-kerja yang teratur ini in-sya-Allah, kita akan dapat memanfaatkan sepenuh masa, tenaga dan usaha;

SUASANA SEBELUM MESYUARAT TERTUTUP BERSAMA PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN ROMPIN BERMULA... Tempatnya ialah di tingkat 1, Pejabat UMNO Bahagian Rompin, Muadzam Shah. 
  

YAKINKAN BAHAWA BN BOLEH LAGI BERI KHIDMAT LEBIH BAIK

“… bagi kita meyakinkan pengundi-pengundi dalam Parlimen Rompin ini iaitu, kita masih lagi mewakili bahkan boleh berikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat dalam Parlimen Rompin ini”.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata betapa tempat untuk menjadi calon BN hanyalah satu sedangkan yang layak – “bahkan semua daripada kita ini layak,” katanya, adalah lebih daripada itu.

Oleh itulah beliau berharap, seluruh pemimpin dan ahli UMNO serta BN Bahagian Rompin, akan dapat memberikan sokongan yang kuat kepada calon yang dinamakan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita berjanji untuk kita bekerja kuat, bekerja bersungguh-sungguh dan kita berharap, sesiapa calon yang akan dicalonkan nanti, ianya tidak akan melemahkan parti, memecah-belahkan parti;

“… bahkan in-sya-Allah, Bahagian Rompin yang terkenal dengan stabil ini, in-sya-Allah akan terus stabil, bagi kita menghadapi pilihanraya kecil ini dengan lebih yakin lagi,” katanya yang disusuli tepukan hadirin dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan BN Bahagian Rompin ini.

TANDA SOKONGAN PEMUDA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mengatakan sesuatu kepada Penolong Setiausaha, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Mohd Safri Abdul Aziz, yang juga bekas wakil rakyat negeri (BN - Bukit Ibam) sambil Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Encik Khairul Azwan Harun (berbaju-T biru) memerhatikan.  

Foto ini dirakam semasa berjalan keluar dari Masjid Al Muadzam Shah, selepas menyempurnakan Majlis Tahlil bagi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis. 


PERSETUJUAN SEMUA

Beliau kemudian bertanya; “Saya nak tanya; Kita bersetuju dengan siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti?,” yang dijawab hadirin secara spontan dan senada, “Setuju…”.

“Kita akan bekerjasama, bekerja bersungguh-sungguh untuk menangkan calon parti?” tanya Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, juga mendapat reaksi yang mengujakan daripada mereka, “Setuju…”. – Khabar  

Dato' Hasan calon kita di PRK Parlimen kawasan Rompin!


… nama bekas Timbalan Menteri Besar itu diumumkan oleh Timbalan Presiden parti, tepat 12.22 tengah hari.

SERAH-TERIMA WATIKAH... Tan Sri Muhyiddin sedang menyerahkan watikah pencalonan Dato' Hasan sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain, memerhatikan. 


PUSAT OPERASI BARISAN NASIONAL (BN), BANDAR MUADZAM SHAH, ROMPIN – Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas Timbalan Menteri Besar, Dato’ Hasan Arifin sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Rompin pada 5 Mei.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengarah Utama PRK ini, membuat pengumuman itu tepat 12.22 tengah hari, Sabtu, 18 April di sini, sebelum menyempurnakan ucapan luar teks 26-minitnya pada majlis mengumumkan calon itu.

Sebelum itu, beliau yang diiringi Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNO Negeri dan BN Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; telah mengadakan perjumpaan tertutup secara berasingan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Rompin disusuli BN Bahagian yang sama.

Dalam ucapannya lagi, Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, BN mengetengahkan Dato' Hasan yang juga Pemangku, Ketua UMNO Bahagian Rompin - tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.

“Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Dato’ Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan Kerajaan,” katanya.

MENYANNYIKAN DAN MENGHORMATI 'NEGARAKU'... Inilah barisan kepimpinan kita yang turun pada tengah hari Sabtu. 
 

HARAPAN AGAR PENGUNDI DAPAT TERIMA DATO’ HASAN

Pada persidangan media kemudian, Tan Sri Muhyiddin berkata, Dato’ Hasan, 62, juga merupakan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai peringkat jawatan dalam UMNO, serta pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar.

Berbekalkan pengalaman selama lima (5) penggal sebagai wakil rakyat negeri (BN – Rompin, kemudian BN - Ibam) sejak 1982 katanya lagi, Dato’ Hasan diyakini calon paling layak untuk mengangkat Rompin ke tahap yang lebih tinggi.

“Jadi kita fikir, adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah pilihan tepat.

“Harapan kita adalah pengundi akan terima Dato’ Hasan sebagai Anggota Parlimen kerana mereka telah biasa dengan beliau, maka mudah untuk kemukakan apa sahaja isu dan permasalahan penduduk Rompin,”
katanya.

Lanjutan itu, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah PRK ini sungguhpun kawasan parlimen ini merupakan kubu kuat UMNO yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang sejak dahulu lagi.

DATO' SRI DIRAJA ADNAN DAN DATO' HASAN... Sama-sama pernah menganggotai jemaah Exco Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar (1986 - 1999), Dato' Sri Mohd Khalil Yaakob (sekarang Tun - Yang Dipertua Negeri Melaka). 
  

YAKIN MAMPU PERTAHAN TAPI, PENENTUNYA IALAH PENGUNDI  

“Kita yakin mampu pertahan, namun penentunya adalah pengundi. Kita kena atur langkah bijaksana dan jangan ambil mudah.

“Kebimbangan saya cuma satu, kebiasaannya PRK di kawasan yang mereka anggap BN akan menang, maka tak ramai nak keluar mengundi termasuk anggota parti.

“Jika mereka buat begitu maka peratusan mengundi tidak akan tinggi dan itu akan menjejaskan majoriti yang ingin kita raih,”
tegasnya.

Sehubungan itu juga, beliau sendiri telah menetapkan sasaran majoriti yang perlu dicapai dalam PRK kali ini selain Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang perlu diraih oleh setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Beliau turut mengingatkan jentera penerangan parti supaya turun ke peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit termasuk soal Felda dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sudah mula menjadi bahan kempen parti pembangkang.

YANG TURUT HADIR TENGAH HARI SABTU... Sorakan mereka yang gemuruh dan senada tatkala nama Dato' Hasan diumumkan, jelas membuktikan betapa bulatnya tekad dan sokongan mereka terhadap calon BN ini.


ROMPIN KAWASAN 83 PERATUS MAJORITI MELAYU

PRK Parlimen kaasan Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin ialah wakil rakyat Parlimen Rompin sejak enam (6) penggal lepas bermula tahun 1990. Pada Pilihanraya Umum (PRU) tahun 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan calon ialah pada 22 April ini.

Parlimen kawasan Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan majoritinya Melayu kira-kira 45,000 pengundi; disusuli Orang Asli, kira-kira 7,000 pengundi; Cina, 1,300 pengundi; dan, India, 621 pengundi.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Ketua Penyelaras bagi PRK ini, yang turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Dato’ Sri Tengku Adnan Tengku Mansor;

Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan, Naib Ketua Umno Bahagian Rompin, Dato’ Sri Maznah Mazlan. 

MAJLIS TAHLIL BUAT ALLAHYARHAM TAN SRI JAMALUDDIN... Sebaik sahaja selepas majlis pengumuman, majlis tahlil dianjurkan di Masjid Al Muadzam Shah yang bersebelahan dengan Pusat Operasi ini. 

Yang turut membanggakan ialah betapa sebelum majlis tahlil bermula, Imam masjid telah menyebutkan betapa dengan usaha Allahyarhamlah, masjid ini bukan setakat memperolehi alas permaidani yang baharu, malah juga bahagian silingnya. – BERNAMA/Khabar