Wednesday 22 April 2015

Satu (1) lawan satu (1) di PRK Parlimen kawasan Rompin



… Tan Sri Muhyiddin ingatkan jentera BN supaya tidak ambil mudah.

WAJAH CERIA, 'BABY-FACED' CALON HARAPAN KITA... Dato' Hasan sedang diumumkan layak bertanding, dengan Encik Nazri di kanannya.


PERKARANGAN DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUALA ROMPIN – Satu lawan satu, menemukan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Hasan Arifin dengan calon PAS, Encik Nazri Ahmad pada Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin pada 5 Mei nanti.

Ini sepertimana diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Dato’ Fadzilla Salleh pada 10.32 pagi, Rabu, 22 April di sini, selepas tamat tempoh satu (1) jam mengemukakan surat pencalonan pada 10 pagi ini.

PRK ini diadakan ekoran kekosongan yang berlaku di Parlimen kawasan berkenaan, berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter pada 4 April lepas.

Dato’ Hasan, 62, anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong di sini, bukan nama asing dalam kalangan penduduk Parlimen Rompin, kerana pernah menjadi wakil rakyat negeri (BN – Tioman, dan, BN – Ibam), selama empat (4) penggal bermula 1990.

Selain itu, menurut laporan BERNAMA lagi, beliau pernah menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Besar antara tahun 1995 dan 1999.

Lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, Dato’ Hasan mula melibatkan diri dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1976, dua (2) tahun kemudian dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, selain pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Pekan pada 1984.

BERJABAT-SALAM... Foto ini dirakam sebaik-baik kedua-duanya - Dato' Hasan dan Encik Nazri, menyerahkan borang pencalonan masing-masing dalam Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuala Rompin ini.


BEKAS PENSYARAH SAMBILAN

Pada 1986, beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Rompin, dan pada 1990 pula, dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin sehingga tahun 2004.

Sementara itu, Encik Nazri, 40, merupakan anak peneroka Felda Keratong 5 dekat sini, dan kini ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Penglibatan Encik Nazri dalam dunia politik bermula pada tahun 2005 apabila dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Rompin. Bekas pensyarah sambilan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah ini berkelulusan Sarjana Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pada persidangan media selepas pengumuman ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri MJuhyiddin Yassin telah mengingatkan jentera BN/UMNO supaya tidak mengambil mudah PRK Parlimen kawasan Rompin ini sungguhpun kawasan ini merupakan kubu kuat parti.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar jentera parti bekerja keras untuk meningkatkan sokongan pengundi, sekaligus menambah jumlah majority yang bakal diperolehi kelak.

'BERSATU, KITA BERSATU'... Inilah barisan kepimpinan BN kita bersama-sama Dato' Hasan di atas pentas. 


ROMPIN KAWASAN BIRU

“Kita tahu Rompin sejak sekian lama, merupakan kawasan biru (BN) tetapi kita tidak boleh ambil mudah, perlu tambahkan sokongan, maka jentera harus tingkatkan gerak kerja,”
katanya.

Menurutnya, BN akan menggunakan PRK Parlimen kawasan Rompin ini sebagai ‘platform’ untuk memperjelaskan tentang beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk soal kos sara hidup.

“Isu GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) selain harga getah dan kelapa sawit, tidak boleh dinafikan hakikatnya berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat global.

“Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai Kerajaan untuk berikan penjelasan. Macam isu GST, kita kena faham ia satu keperluan dan matlamatnya untuk kepentingan rakyat,”
katanya.

Mengulas mengenai sasaran undi BN pada PRK ini, Tan Sri Muhyiddin berkata, beliau menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap 38 Peti Daerah Mengundi (PDM) di kawasan ini untuk menambah jumlah majoriti.

PADA PERSIDANGAN MEDIA... 


SETIAP UNDI ITU PENTING

Setiap undi katanya, adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan sosio-ekonomi kawasan parlimen ini yang telah diusahakan oleh bekas wakil rakyat Parlimennya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin.

Pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13, Allahyarham Tan Sri Dr ,Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam (6) penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Puan Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan calon BN, Dato’ Hasan; yang turut hadir pagi Rabu ini ialah Menteri Pertahanan Dato’ Sri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Sri Shafie Apdal; Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai; 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Sri Hasan Malek; Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Shahidan Kassim; dan, Timbalan Menteri Kewangan Dato' Ahmad Mazlan. – BERNAMA/Khabar