Saturday, 25 April 2020

Tempoh operasi pasar awam dilanjutkan ke pukul 2 petang


“Dengan keputusan ini, sekali lagi menunjukkan sikap prihatin dan responsif Kerajaan Negeri terhadap aduan dan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat sepertimana peniaga-peniaga/penjual daging ini,” kata Menteri Besar.

KEPUTUSAN YANG MELEGAKAN PENIAGA/PENJUAL DAGING... Sudah pastinya permintaan daging segar adalah tinggi dalam bulan puasa Ramadan Al-Mubarak ini. 

Dengan pelanjutan tempoh operasi hingga 2 petang, maka peniaga/penjual akan mempunyai lebih masa untuk mamastikan daging habis terjual manakala pengguna pula dalam kalangan umat Islam, tidak perlu tergesa-gesa dan berpusu-pusu untuk mendapatkannya - satu langkah baik dalam menentukan amalan penjarakan sosial.   


NOTA EDITOR ;

Berikut pula ialah Kenyataan Media oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan keputusan melanjutkan tempoh perniagaan/operasi pasar awam lagi dua (2) jam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Ramadan ini – daripada asal antara 7 pagi dan 12 tengah hari kepada antara 7 pagi dan 2 petang.


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Tempoh operasi pasar awam dilanjutkan ke pukul 2 petang

Kerajaan Negeri mengambil keputusan melanjutkan tempoh operasi pasar awam di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang selama dua (2) jam, kepada pukul 2 petang.

Tempoh asal operasi yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  ialah bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari termasuk dalam bulan Ramadan. Dengan pelanjutan masa ini, operasi pasar awam bermula 7 pagi hingga 2 petang.

Keputusan ini diambil sebagai tindak-balas Kerajaan Negeri terhadap aduan yang diterima terutamanya dalam kalangan peniaga-peniaga/penjual daging yang bimbang, daging dilapah sebelah pagi setiap hari, tidak sempat dijual selewat-lewatnya pada 12 tengah hari.

Mereka meminta tempoh ini dilanjutkan, dengan itu mempunyai cukup masa untuk menjualnya setelah mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan kerja-kerja melapah daging.

Dengan keputusan ini, sekali lagi menunjukkan sikap prihatin dan responsif Kerajaan Negeri terhadap aduan dan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat sepertimana peniaga-peniaga/penjual daging ini.

Adalah menjadi harapan saya agar keputusan ini melegakan dan dihargai oleh para peniaga/penjual. Semoga mereka terus akur dengan segala syarat dan ketetapan yang dibuat oleh PBT-PBT berkenaan.

Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
25 April 2020 – Khabar  

Friday, 24 April 2020

Bermulanya projek RM18 juta atasi kekeruhan air mentah ke Loji Rawatan Air daerah Raub


… dan projek RM12 juta atasi masalah bekalan air musim panas, secara perintis di Lipis  

MEMANG KERUH... Foto ini dimuat-naik sendiri oleh wakil rakyat setempat, Dato' Sri Shahiruddin Ab. Moin (BN - Dong) dalam kumpulan WhatsApp Sahabat Kerajaan Pahang pada 22 April. 


NOTA EDITOR ;

Hakikat bahawa daerah Raub terjejas dalam mendapatkan perkhidmatan bekalan air bermutu memang tidak dinafikan. Puncanya ialah bekalan air mentah yang keruh hingga tidak memungkinkan Loji Rawatan Air di sana memproses untuk dijadikan sebagai air bersih terawat untuk dibekalkan kepada penduduk.

Moga-moga dengan bermulanya projek RM18 juta berupa apinjaman daripada Kerajaan Persekutuan ini, masalah yang menghantui penduduk Raub dapat diatasi dalam tempoh 18 bulan atau kira-kira setahun setengah bulan lagi, InsyaAllah.

Berikut disiarkan sepenuhnya Kenyataan Media Menteri Besar yang disiar-edarkan kepada media-massa pada Khamis, 23 April.  


KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI BESAR PAHANG


Projek RM18 juta atasi kekeruhan air mentah  ke Loji Rawatan Air daerah Raub & RM12 juta atasi masalah bekalan air semasa musim panas daerah Lipis  

Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan masalah kekeruhan sumber air mentah yang mengalir ke beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di Raub.

Menerusi peruntukan RM18 juta Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) sedang melaksanakan kerja-kerja berkaitan khususnya pembinaan ‘Pre-Sedimentation Tank’ yang melibatkan LRA-LRA Sungai Bilut, Sungai
Semantan dan Sungai Klau.

Matlamat utama untuk mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, sebelum mengalir ke ketiga-tiga LRA tersebut. Ia bagi mencapai kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya dapat membekalkan air bersih terawat kepada penduduk.

Projek ini dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama enam (6) bulan), disusuli pembinaan (selama 12 bulan).

Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri akan memastikan projek ini dapat dilaksana dan disiapkan lebih cepat bagi memastikan penduduk Raub yang terkesan dengan masalah ini, dapat kembali menikmati bekalan air bersih terawat dalam tempoh lebih awal, In Sya Awal.

Mengenai projek RM12 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi sungguhpun semasa musim panas, PAIP akan segera melaksanakan projek perintis pembinaan ‘Off River Storage’ (ORS) atau Kolam Takungan Hiliran di Lipis.

Menerusi kaedah ORS ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kekeruhan tinggi pada sumber air mentah, seterusnya dapat menjimatkan kos operasi bagi kerja-kerja rawatan air di LRA.
 
Projek ini pula dijangka mengambil masa 19 bulan untuk disiapkan, meliputi kerja-kerja reka bentuk dan perolehan (selama empat (4) bulan, disusuli pembinaan (selama 15 bulan).

Kerajaan Negeri berharap, projek perintis ORS ini akan dapat menjadi antara alternatif bagi menampung keperluan air mentah mencukupi dan tidak keruh, seterusnya diproses menjadi air bersih terawat yang diperlukan oleh penduduk Pahang.


YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
23 April 2020 




– Khabar   

Kebenaran operasi 7 pagi – 7 petang kepada premis makanan bukan Islam


“Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin dan responsif terhadap apa juga perkara yang diadukan kepadanya oleh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan kerjaya, maka keputusan hari ini dianggap tepat dan munasabah,” kata Menteri Besar.


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan Kenyataan Media oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan keputusan Kerajaan Negeri membenarkan tempoh operasi bagi premis makanan bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, kekal antara 7 pagi dan 7 petang.   

BERMULALAH RAMADAN AL-MUBARAK 1441 HIJRAH... Hari ini, Jumaat, 24 April; dalam tempoh PKP Fasa 3 (15 April - 28 April) sekarang, disusuli PKP Fasa 4 (29 April - 12 Mei).


KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Kebenaran operasi 7 pagi – 7 petang kepada premis makanan bukan Islam


Kerajaan Negeri memutuskan agar kebenaran diberikan kepada premis-premis makanan bukan Islam untuk beroperasi antara 7 pagi dan 7 petang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bulan Ramadan Al-Mubarak.

Keputusan ini sebagai tindak-balas kepada aduan pihak-pihak berkenaan khususnya peniaga-peniaga premis makanan bukan Islam, mengenai ketetapan waktu operasi antara 12 tengah hari dan 7 petang oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas semua premis makanan dalam bulan puasa ini.

Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin dan responsif terhadap apa juga perkara yang diadukan kepadanya oleh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan kerjaya, maka keputusan hari ini dianggap tepat dan munasabah.

Dengan keputusan ini saya berharap, para peniaga premis makanan bukan Islam dapat menerimanya dengan baik serta meneruskan perniagaan tetapi masih terus akur kepada yang telah ditetapkan.

Antara ketetapan itu ialah premis makanan ini ialah yang berada di bangunan lot kedai (shoplots) dan menjual secara ‘take away’ , ‘drive thru’ dan ‘cash on delivery’ (COD).

Sepertimana keputusan hari ini serta ketetapan-ketetapan yang telah dibuat sebelumnya, matlamat utama ialah untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19 agar masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan kadar segera.   


Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
24 April 2020 – Khabar