Friday 26 April 2013

Kuantan akan punyai satu (1) lagi loji rawatan air berharga RM180 juta di Panching



... yang akan siap dan mula operasi Ogos ini, dengan kapasiti pengeluaran 160 juta liter sehari - tambahan kepada 330 juta liter sehari yang dibekalkan oleh loji rawatan air sedia ada di Semambu, bakal menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di daerah ini. 

KHALAYAK TENTERA DAN KELUARGA MEREKA... Yang membanggakan tentang khalayak ini selain disiplin ialah, semangat mereka - kira-kira 4,500 orang anggota serta keluarga, terutamanya tatkala sama-sama berdiri menyanyikan lagu Negaraku serta lagu Perajurit Kita dendangan Jalamuddin Alias; hingga bergema satu kawasan di bawah kanopi separuh bulan yang didirikan di atas padang kawad ini. 


BRIGED KE-4 MEKANIS, KEM BATU 10, KUANTAN – Daerah Kuantan akan mempunyai satu (1) lagi loji rawatan air – dengan pembekalan air dirawat kira-kira 160 juta liter sehari; apabila siap terbina dan beroperasinya Loji Rawatan Air Panching bernilai RM180 juta, Ogos ini.

Dengan Loji Rawatan Air Panching, daerah Kuantan akan mempunyai dua (2) loji rawatan air berkenaan lalu meringankan beban ke atas loji rawatan air sedia ada – satu-satunya di Loji Rawatan Air Semambu, yang berkapasiti pengeluaran 330 juta liter sehari.

“Pada tiga tahun yang lepas,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… kita arahkan supaya dibuat pula loji rawatan air di Panching. InsyaAllah, projek ini yang berharga RM180 juta, akan siap bulan lapan (8).

“Maka, akan ada dua (2) loji rawatan air yang membekalkan air di Kuantan ini (untuk memenuhi permintaan kira-kira 500,000 penduduk daerah ini)” katanya dalam  ucapan luar teks 30-minit pada Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia malam Jumaat, 26 April di sini.

Berikutan itu juga katanya, sudahpun dirancangkan supaya Loji Rawatan Air Semambu akan tertumpu untuk membekalkan air dirawatnya ke kawasan-kawasan sebelah timur Sungai Kuantan (Bandar Indera Mahkota hingga Gebeng, dan ke sempadan Kemaman).

MENJENGAH KE BILIK GERAKAN BN... Mengambil kesempatan berada di Kem Batu 10, Dato' Sri DiRaja Adnan meluangkan masa dari lewat malam Jumaat, 26 April hingga awal pagi Sabtu, 27 April, menjengah ke bilik gerakan-bilik gerakan BN sekitar Panching untuk meninjau kesiap-siagaan BN di kawasan-kawasan setempat.

Foto ini dirakam sejurus sebelum Dato' Sri DiRaja Adnan tiba, di bilik gerakan BN, Felda Panching Timur. Antara yang turut mengiringi beliau ialah calon BN bagi DUN kawasan Panching, Dato' Mohd Zaili Besar.  


‘MASALAH BEKALAN AIR TAK AKAN TIMBUL LAGI KECUALI…’

Manakala Loji Rawatan Panching akan dikhususkan pembekalan air dirawat tersebut meliputi kaswasan-kawasan ke sebelah barat Sungai Kuantan yang sama seperti Bukit Rangin hinggalah ke sini, seterusnya ke Gambang.

“InsyaAllah lah, masalah air ini tak akan timbul lagi. Kalau timbul (juga ialah) kerana, kerosakan paip. Saya harap bersabarlah,” katanya sambil mengakui betapa di kem tentera ini turut terjejas bekalan airnya dalam kejadian gangguan bekalan air di seluruh daerah ini baru-baru ini.
  
Sepertimana yang sedia maklum, gangguan tersebut ekoran satu (1) daripada tujuh (7) enjin pam yang sedia ada di Sungai Kobat rosak. Memburukkan lagi keadaan, satu (1) daripada dua (2) enjin pam yang baharu dipasang dan di‘commission’, turut gagal akibat kebocoran pada sistem paipnya pula.

Ekoran itu, berlaku tekanan rendah yang tidak membolehkan air mentah dari Empangan Sungai Kobat, disalurkan secara cekap ke satu-satunya Loji Rawatan Air Semambu untuk dirawat, seterusnya dibekalkan secukupnya kepada penduduk Kuantan.

“Bekalan air (mentah) di Kuantan ini dibekalkan dari Empangan Sungai Kobat, hantar ke Loji Rawatan di Semambu. Empangan di Sungai Kobat ini, hanya ada tujuh (7) enjin (pam). Bila satu (1) enjin (pam) rosak, maka akan kuranglah bekalan air, akan turun ‘pressure’, maka akan terganggu bekalan air ini.

TARIF AIR DI PAHANG TAK PERNAH NAIK SEJAK 1982

“Apabila saya arahkan pada lima (5) tahun yang lalu, mereka (Jabatan Bekalan Air yang kini, Pengurusan Air Pahang Bhd [PAIP]) telah beli tiga (3) enjin (pam tambahan), menjadikan 10.

“Satu enjin (pam ber)harga RM1 juta. Tiga (3) enjin (pam), RM3 juta. Tetapi, untuk membuat rumah enjin (pam) itu sendiri, sistem paip itu sendiri; perlukan satu (1) enjin (pam), (menelan kos keseluruhannya) RM14 juta. Kita telah peruntukkan RM42 juta.

“Alhamdulillah, sedang sibuk-sibuk ini, dua (2) enjin telah di‘commission’kan (dan telahpun dibaiki paip yang bocor pada satu (1) daripadanya). Itu sebab insyaAllah sekarang ni, tidak akan ada lagi gangguan air kecuali kalau paip pecah.

“Dan satu lagi enjin (pam, daripada tiga (3) buah yang baharu dibeli itu) akan di ‘commission’kan bulan depan,” katanya sambil sekali lagi menafikan gangguan bekalan air tersebut ekoran penggunaannya dalam kuantiti yang banyak oleh kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materals Plant (LAMP di Gebeng.

Beliau seterusnya mengingatkan betapa tarif air dirawat di Pahang ialah antara yang termurah di negara ini dan pula, tidakpun berlaku kenaikan padanya sejak tahun 1982 lagi atau sudah kira-kira 30 tahun.

KERAJAAN TANGGUNG SUBSIDI AIR 60 PERATUS!

Akibat ketidak-naikan itulah katanya, Kerajaan Negeri menanggung subsidi sehingga 60 peratus yakni, bagi misalnya setiap RM10 bil yang sepatutnya dibayar, rakyat cuma membayar RM4 manakala lagi RM6 dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Antara yang turut hadir ialah bekas Speaker, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; tuanrumah, Panglima, Briged ke-4 Mekanis, Kem Batu 10 ini, Brigadier Jeneral Dato’ Abdul Rahim Abdul Mutalib;

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; Komander, Pangkalan Udara Kuantan, Brigadier Jeneral Dato’ Mohd Salleh Osman; Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri, Encik Mohd Sabri Abdullah;

Pengarah, Jabatan Penyiaran Negeri, Encik Zubad Ibrahim; serta, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Pulau Manis, Encik Khairuddin Mahmud. – Khabar