Thursday 25 April 2013

Selamat Datang ke K.L.I.A Mini!


… sempena lawatan kerja Perdana Menteri bersama rakyat ke Terminal Sentral Kuantan di Bandar Indera Mahkota

CENDERAHATI BUAT PERDANA MENTERI... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan sedang menerima cenderahati berupa foto berbingkai, Terminal Sentral bernilai RM55 juta; yang bakal menjadi mercutanda baharu dan menarik bagi Bandar Indera Mahkota ini. 
   

TERMINAL SENTRAL, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Mini – Inilah gelaran yang diberikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak kepada Terminal Sentral bernilai RM55 juta ini.

Gelaran ini diberikan dalam ucapan 20-minit luar teks sempena lawatan kerjanya bersama rakyat kira-kira 8,000 orang pada petang Khamis, 25 April, ke perhentian bas bersepadu untuk perjalanan jarak sederhana dan jauh, ke luar Kuantan.

Fungsinya sebelum ini dimainkan oleh Terminal Makmur yang terletak di pusat bandar Kuantan, yang kini di‘transform’ menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib juga pada Khamis, 11 April lepas.

Yang turut mengiringi Perdana Menteri pada lawatan kerja ke sini ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan;

serta, calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang pengundiannya pada Ahad, 5 Mei iaitu, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat bagi Parlimen kawasan Indera Mahkota ini;

SEDANG MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 20-MINITNYA...


CALON-CALON BN TURUT DIPERKENALKAN

Dato’ Pang Tsu Ming, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Semambu; Dato’ Hazmi Yusof bagi (DUN) kawasan Beseran – kedua-duanya di bawah Parlimen kawasan Indera Mahkota.

Calon BN bagi Parlimen kawasan Paya Besar yang bersebelahan, Dato’ Abdul Manan Ismail, turut hadir dan kesemuanya diperkenalkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib pada awal ucapan 20-minitnya itu.

Menurut maklumat yang disediakan, Terminal Sentral ini terletak di atas kawasan seluas 6.075 hektar berhampiran Wisma Belia, mula dibina pada Jun 2011 dan dijangka siap sepenuhnya serta mula beroperasi pada Jun ini (2013).

Berkonsepkan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang modern, ia direkabentuk bagi membolehkan cahaya matahari masuk ke dalam bangunan dan meneranginya secara semulajadi, lalu menjimatkan penggunaan elektrik.

Ia mempunyai system laluan bas yang sistematik dengan pengasingan laluan khas untuk bas dan laluan kenderaan penumpang, sekaligus mengelakkan pertembungan dan kesesakan lalulintas.

KHALAYAK PETANG KHAMIS... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Wan Adnan (berbaju biru) dan Dato Abdul Manan (berbaju putih, lengan kuning; keduanya-duanya di barisan depan).  


KEMUDAHAN RUANG NIAGA  

Terminal 2-tingkat ini juga mempunyai ruang parker ketibaan bas di tingkat atas, yang boleh menampung 10 bas di kiri dan kanan ‘driveway’.

Bagi parker untuk pelepasan di tingkat bawah pula, boleh menampung sehingga 28 bas pada waktu puncak. Selain itu ialah, parkir-parkir untuk teksi sebanyak 40 petak, motorsikal sebanyak 177 petak, dan kereta sebanyak 354 petak.

Tempat penumpang menunggu bas berhawa dingin di tingkat bawah, turut disediakan, disamping penyediaan kaunter tiket dan ruang niaga iaitu, di tingkat satu (1), sebanyak 48 unit untuk ruang kaunter tiket; satu (1) unit untuk kaunter teksi; dua (2) unit sudut makanan segera; dua (2) unit medan selera dan kiosk; serta, kemudahan tandas.

Di tingkat bawah pula disediakan 10 unit kiosk serta kemudahan tandas.

SANTAI SAMBIL BEKERJA... Dengan bersahaja, pemimpin-pemimpin kita boleh sahaja bersantai begini sambil melayani keperluan rakyat. Kelihatan, Dato' Sri DiRaja Adnan turut melayani anak kecil ini yang kelihatan selesa untuk turut bersama-sama para pemimpinnya. – Khabar