Saturday 4 May 2013

Perdana Menteri Minta Mandat



“Ingatlah, ingatlah, bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada rakyat Malaysia. ‘The first time’.

“Dan saya nak meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”

… kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah UiTM Kampus Raub – sehari sebelum hari pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) pada Ahad, 5 Mei.

APABILA PERDANA MENTERI BERUCAP... 


TAPAK, UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) KAMPUS RAUB, MUKIM GALI, RAUB – Sehari sebelum hari pengundian pada esok, Ahad, 5 Mei bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak telah meminta rakyat memberikan mandat kepadanya untuk terus memimpin negara selepas PRU-13 ini. 

“Ingatlah, ingatlah, bahawa inilah kali pertama saya sebagai Perdana Menteri minta mandat daripada rakyat Malaysia. ‘The first time’.

“Dan saya nak meneruskan amanah rakyat. Tugas belum habis lagi. Tugas transformasi belum selesai lagi. Banyak yang kita nak lakukan”.

Ini dikatakan oleh Dato’ Sri Mohd Najib pada penghujung ucapan luar teks 21-minitnya sempena Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub bernilai RM230 juta pada pagi Sabtu, 4 Mei di sini.

Pada penghujung ucapannya itu juga, Dato’ Sri Mohd Najib – Ahli Parlimen serta Ketua UMNO Bahagian Pekan, telah pertama kali memperkatakan tentang bekas Ketua Penerangan di bahagian itu – Dato’ Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang juga bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pulau Manis, Pekan.

AKRABNYA PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan memperkatakan sesuatu kepada Dato' Sri DiRaja Adnan, sebaik-baik tiba di pentas utama. 


MOHD ARIFF SABRI @ SAKMONGKOL

Sejak tidak dicalonkan semula, Dato’ Mohd Ariff Sabri telah aktif menulis artikel-artikel dalam blognya – Sakmongkol AK47; yang sebahagian besarnya mencemuh Dato’ Sri Mohd Najib serta kepimpinannya.

Beliau kemudian menyertai DAP dan pada PRU-13 ini, telah dicalonkan untuk bertanding atas tiket parti cauvanis Cina itu di kawasan Parlimen Raub ini, menentang calon BN, Dato’ Hoh Khai Mun.    

“Saya tahu, parti DAP letak Ariff Sabri – ha biarlah sebut namanya, tak payah selindung-selindung. Sebab dia orang Pekan jadi kena sebut. Dia jadi wakil rakyat satu penggal,” kata Dato’ Sri Mohd Najib.

“Bila jadi wakil rakyat di Pekan, dia berbalah dengan semua orang – penghulu, ketua kampong, ketua cawangan. Orang tak hendak dia lepas satu penggal. Sebab tu dia kena ganti, tak dapat jadi wakil rakyat.

“Bila dia tak dapat jadi wakil rakyat, dia minta saya tolong dia. Dia minta Dato’ Nan tolong dia. Dah kita tolong dia, bukan tak tolong dia. Tapi akhirnya, sebab dia ni tidak ada prinsip, dia pula boleh masuk parti DAP, jadi calon di Raub ini.

ATAS JENTERA 'DRILLER'... Dato' Sri Mohd Najib mengangkat tangan dan memberi syarat bagus selepas menyempurnakan majlis pecah tanah itu. 


JANGAN SOKONG KERANA DIA ORANG MELAYU

“Inilah kisah Ariff Sabri yang sebenarnya. Jadi orang ni tak boleh pakai tuan-tuan dan puan-puan. Tak boleh pakai…,” kata Dato’ Sri Mohd Najib yang disusuli dengan sorakan dan tepukan oleh hadirin sekelian.

“Janganlah kita sokong dia kerana dia orang Melayu, jangan, jangan. Kita kena pilih. Ada orang Melayu yang baik, ada orang Melayu yang tak berapa… tak baik langsung. Bukan tak berapa baik, tak baik langsung.

“Macam orang Cina, orang Indialah; ada juga yang baik, ada yang tak baik. Lagi baik kita sokong calon Barisan Nasional, Dato’ Hoh Khai Mun mewakili MCA. MCA ni rakan kita. Bila memperjuangkan untuk memartabatkan Islam, MCA tak pernah halang. Yang menentang kita DAP.

“Tanya orang Pulau Pinang. Orang Melayu Pulau Pinang dah rasa terpinggir kerana DAP di Pulau Pinang. Mereka dah tolak DAP di Pulau Pinang. Takkan orang Melayu di Raub nak sokong DAP…,” katanya lagi diikuti tepukan oleh hadirin sekali lagi.

Pada awal ucapannya, Dato’ Sri Mohd Najib telah menyebut tentang manfaat besar yang bakal dinikmati oleh penduduk Raub dan persekitarannya, dengan terbina serta siapnya UiTM Kampus Raub ini pada tahun 2015 kelak.  

KHALAYAK RAUB PAGI SABTU... 


DASAR TRANSFORMASI NASIONAL BERJAYA

Sementelah pula dengan kemasukan kira-kira 3,000 pelajar serta para pensayarahnya, yang bakal mewujudkan kuasa beli yang besar hingga boleh menyemarakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi di sini.

“Ini akan mendorong pembangunan dan perkembangan bandar Raub dan seluruh kawasan Raub ini yang mana ini adalah jasa Kerajaan Barisan Nasional untuk masyarakat di sini,” katanya lagi.

“Percayalah, Dasar Transformasi Nasional kita memang sudah berjaya dan apatah lagi kalau kita memberi sokongan yang padu, mandat yang kukuh kepada Kerajaan Barisan Nasional; saya jamin, InsyaAllah, lima tahun akan datang lebih baik daripada empat tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dato’ Sri Mohd Najib seterusnya mengajak hadirin yang kira-kira 7,000 orang yang hadir pada majlis itu menjawab kepada beberapa soalan, yang menerima reaksi amat positif dan serentak daripada mereka.

“Soal yang harus kita tanya pada diri kita; Siapa yang akan menentukan keamanan kepada negara kita? BN ke Pakatan Rakyat?” yang dijawab hadirin sekelian, “BN…”

MAKCIK BERTUAH... Bertuahnya makcik ini, nombornya dicabut sebagai pemenang hadiah bertuah. 


BN JAMIN KEAMANAN, KESTABILAN DAN KEMAJUAN NEGARA

“Siapa yang akan dapat menjamin kestabilan negara kita? BN atau Pakatan Rakyat?” dijawab secara spontan oleh hadirin lagi, “BN…”  

“Siapa yang akan bawa kemajuan ke dalam negara kita?” sekali lagi jawab hadirin, “BN…”. “Siapa janji ditepati?” sekali lagi sorakan, “BN…”

 “Jelas, kalau itulah pilihan kita, maka Barisan Nasionallah yang kita akan sokong pada hari esok nanti” kata Dato’ Sri Mohd Najib menyimpulkan, yang serentak itu juga menerima tepukan para hadirin.

Dalam ucapannya juga, beliau membangkitkan tentang beberapa rakan karib atau ‘inner-circle’ kepada ketua pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim, yang kemudian meninggalkan pemimpin itu apabila hilang kepercayaan kepadanya.

Antara yang disebutnya ialah Chandra Muzaffar yang pernah berkata betapa jika Dato’ Sri Anwar menjadi Perdana Menteri, akan berlaku malapetaka besar atau ‘unmitigated disaster’ kepada negara.

RAKAN-RAKAN BAIK, ‘INNER-CIRCLE’ TINGGALKAN ANWAR

Nama-nama lain yang disebutnya ialah ahli akademik, Dr Sidek Baba; pakar otak/urat saraf, Dr Halili Rahmat; bekas pegawai-pegawainya, Ezam Mohd Nor dan Anuar Shaari; peguam-peguam, Dato’ Zulkfli Nordin dan Yumtes Vijay; serta, Wee Choo Keong, Gobalakrishnan, dan Dato’ Nallakarrupan.

Yang turut hadir pada majlis pecah tanah ini selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ialah Naib Canselor, UiTM, Dato’ Sri Prof Ir Sahol Hamid Abu Bakar; serta, calon-calon BN bagi Parlimen Raub, Dato’ Hoh Khai Mun;

Dan, kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Dong, Dato’ Shahiruddin Ab Moin; DUN kawasan Batu Talam, Dato’ Abdul Aziz Kiram; serta, DUN kawasan Teras, Puan Weng Lai Heng. – Khabar