Wednesday 2 October 2013

250 ekar tanah PSK di Gambang diluluskan kepada syarikat Waras Mekar Sdn Bhd, bagi projek pembangunan bercampur, kata Menteri Besar

… sekaligus menafikan uar-uar sebuah syarikat lain di laman sesawangnya, kononnya untuk membangunkan projek ‘1Malaysia Spiritual Tourism’ di sana   

KETEGASANNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan dengan wajah ketegasannya, pada persidangan media tengah hari Rabu.


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini menegaskan, sebidang tanah 250 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Gambang dekat sini, diluluskan kepada sebuah syarikat untuk projek pembangunan bercampur – perumahan dan perkedaian;

Bukannya kepada syarikat lain, yang telah menguarkan-uarkan dalam laman sesawang miliknya, untuk membangunkan projek yang dikenali sebagai 1Malaysia Spiritual Tourism’ di sana.

Kelulusan itu kepada Waras Mekar Sdn Bhd, telah diberikan sejak tahun lepas, “… 250 acres (of land belonging to PSK) for mixed development (project) and so far, there is nothing (happening) on the ground.

“And it seems that, Waras Mekar (Sdn Bhd) is still trying to get JV (joint venture)  partners to work on the land,” katanya pada persidangan media pasca-Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, tengah hari Rabu, 2 Oktober, di sini.

Dalam pada Waras Mekar mencari dan menentukan rakan kongsinya bagi membangunkan tanah 250 ekar itulah kata Menteri Besar lagi, ia (Waras Mekar) turut mengadakan perundingan awal dengan syarikat – Enchant Acres Sdn Bhd, namun tiada keputusan muktamad diambil.

A BIG NO-NO, AND A GARGANTUAN NO-GO... Inilah lukisan grafik menggambarkan projek yang diuar-uarkan menerusi laman sesawang syarikat berkenaan.


WARAS MEKAR BUAT LAPORAN POLIS

“Kita telah semak, kemudian kita dapati, Waras Mekar cuba mencari rakan kongsi, salah satu pihak yang telah dirundingi oleh Waras Mekar di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada tahun lepas, ialah syarikat Enchant Acres.

“Tetapi tidak ada persefahaman konkrit antara keduanya. Tidak ada tandatangan ataupun persetujuan yang telah ditandatangani. Tiba-tiba pihak Enchant Acres telah membuat kenyataan mengatakan dia akan membuat projek ‘Spiritual Tourism’ di Gambang.

“Ekoran daripada itu, pihak Waras Mekar telah buat laporan polis,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

“Hanya saya nak beritahu bahawa, projek ini (1Malaysia Spiritual Tourism) tidak pernah dibincangkan dan tidak akan dibuat di negeri Pahang ini,” tegasnya lalu berharap dengan penjelasannya ini dapat menyelesaikan isu berkaitannya.

Laporan berita dalam laman sosial dan sebuah akhbar milik MCA baru-baru ini ada menghebahkan mengenai projek ‘1Malaysia Spiritual Tourism’ di atas tanah PSK seluas 250 ekar.  

PELABUR TERTIPU

Ini termasuklah yang terbaharu, dakwaan tertipu serta laporan polis dibuat oleh beberapa pelabur, yang telah turut melabur dalam pelbagai pakej yang ditawarkan menerusi projek tersebut.

Adalah difahamkan bahawa, projek ‘1Malaysia Spiritual Tourism’ dianjurkan kononnya untuk menyebar-luaskan lagi agama-agama dan ajaran-ajaran Buddha, Taois, Hindu, Sikh, Konfusius, Kristian dan juga Sai Baba.

Antara elemen yang akan dibangunkan menerusi projek ini kononnya ialah sebuah pyramid setinggi 30-tingkat – yang sepatutnya menjadi yang terbesar di dunia; serta juga sebuah patung gergasi agama Buddha, Kuan Yin yang akan ditempatkan di atas pyramid ini.

Projek ini yang dikononnya dikatakan akan bermula akhir tahun ini, akan termasuk pembinaan kawasan-kawasan rekreasi dan komersil seperti hotel dan resort; serta juga kolej-universiti dan sekolah antarabangsa. – Khabar