Friday 10 October 2014

Bajet lebih mantap, jurus jagai kepentingan rakyat



… ulas Menteri Besar kepada ucapan Bajet Negara 2015 bernilai RM273,900 juta oleh Perdana Menteri

KHUSYUK IKUTI PEMBENTANGAN BAJET... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberi tumpuan kepada ucapan Bajet 2015 oleh Dato' Sri Mohd Najib. 

Antara yang turut sama hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mohamad Roslan Harun (Berbaju Kebangsaan warna kelabu) serta Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato' Mohd Zahari Md Isa (berbaju putih menghadap skrin). 
 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyifatkan ucapan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri sebagai lebih mantap serta menjurus untuk menjagai kepentingan rakyat.

Selain bagi memastikan agar generasi akan datang tidak terbeban dengan kedudukan ekonomi ketika itu, yang bakal dipengaruhi oleh dasar dan tindakan yang Kerajaan laksanakan sekarang.

“Pada kali ini saya berpendapat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media petang Jumaat, 10 Oktober di sini, “… ucapan Bajet Perdana Menteri adalah lebih mantap dan lebih menjuruskan kepada kepentingan rakyat”.

“Disamping juga menentukan bahawa, negara ini akan diwarisi oleh generasi akan datang dengan kedudukan ekonomi yang tidak membebankan mereka,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung menerusi televisyen, ucapan Bajet 2015 kira-kira dua jam (2) 10 minit oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Berikut ialah lanjutan kepada ulasan beliau;

“Kita dapati YAB Perdana Menteri lebih mementingkan dasar fiskal yang mampan, yang mantap, dan bertujuan utama untuk mengurangkan defisit terutama sekali ‘current account’ Kerajaan, supaya ianya sentiasa positif, tidak negatif.

MELAYANI MEDIA... 


KENAKAN CUKAI DI MANA PERLU, RINGANKAN BEBAN RAKYAT

“Dalam hubungan ini kita perhatikan, kaedah yang telah digunakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan bajetnya ialah untuk mengenakan cukai di mana perlu dan pada ketika yang sama, meringankan beban rakyat dalam menghadapi kesan percukaian ini.

“Dan tumpuan juga diberikan kepada pelaksanaan GST yang pastinya membawa faedah yang lebih banyak kepada Kerajaan dan Negara. Apabila disebut Kerajaan dan Negara maknanya rakyat.

“Pada ketika yang sama, kepentingan rakyat tidak diabaikan. Kita dapat lihat pengumuman mengenai apa yang akan dinikmati oleh rakyat termasuklah meningkatkan pemberian BR1M, kemudian itu pemberian bonus kepada kakitangan Kerajaan.

“Dan saya berasa terharu apabila YAB (Perdana Menteri) mengumumkan bantuan RM300 sebulan kepada pegawai/kakitangan secara kontrak yang tidak menikmati apa-apa pencen seperti KEMAS, JASA, Penerangan dan lain-lain agensi.

“Ia membuktikan bahawa Kerajaan benar-benar prihatin kepada rakyat.

“Pada ketika yang sama, Perdana Menteri cuba mengukuhkan struktur ekonomi itu sendiri dan kita telah lihat banyak pengumuman-pengumuman yang telah dibuat yang menjurus kepada mengukuhkan kedudukan ekonomi negara, mengukuhkan kedudukan kewangan negara,

KITA TELAHPUN ADA CSR, PASTIKAN KELANCARAN PELAKSANANNYA

“…  dan cuba untuk mengurangkan defisit, pada ketika yang sama, mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang dijangka antara lima (5) peratus hingga enam (6) peratus pada tahun depan”.

Melayani soalan wartawan kanan akhbar NST di sini tentang projek-projek pembangunan yang khusus yang bakal di terima oleh negeri Pahang menerusi Bajet 2015 ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan;

“Itu tidak penting. Saya tidak memandang daripada segi apakah sesuatu negeri itu dapat banyak. Apa Pahang dapat? Apakah pengumuman-pengumuman projek yang akan (Pahang) dapat…

“Memanglah, kalau kita tadi rangkaian jalanraya nampak ditumpukan kepada Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), ibunegara. Kerana kita faham, ibunegara menghadapi masalah ‘traffic jam’ dan sebagainya.

“Dan tidak ada pengumuman besar mengenai rangkaian jalanraya di Pahang.

“Kita perlu ingat bahawa, kita telahpun ada CSR – Central Spine Road, yang telahpun diluluskan dan yang kita harapkan ialah, projek ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual, Insya-Allah.

PERDANA MENTERI LIHAT GAMBAR YANG LEBIH BESAR

“Dengan adanya Central Spine Road itu maka dari Lipis sampai ke Raub, sampai ke Bentong, sampai ke sempadan Negeri Sembilan di selatan; akan dihubungi oleh rangkaian jalanraya yang saya difahamkan, ialah ‘dual carriageway’.

“Pada saya, projek yang diumumkan tidak semestinya ditumpukan kepada satu-satu negeri. Kerana Menteri Kewangan sebagai Perdana Menteri, melihat gambar yang lebih luas lagi iaitu Malaysia”.

Kepada soalan oleh wartawan sama tentang pembangunan wilayah menerusi pengwujudan koridor-koridor tertentu khususnya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang turut melibatkan negeri ini katanya;

“Rangkanya sudah ada iaitu menggunakan pendekatan ‘koridor’ – Sabah, Sarawak, utara kemudian di timur. Yang penting ialah, Kerajaan perlu menyalurkan bantuan kewangan seterusnya supaya semua ini dapat dilaksanakan.

“Saya baharu semalam mempengerusikan Mesyuarat ECERDC (Negeri) dan kita perhatikan, kebanyakan projek telah disenaraikan dengan peruntukan kewangan dari Kerajaan Persekutuan, telah dapat dilaksanakan.

PAHANG’S WISH LIST

“Dan, kita ada beberapa senarai yang boleh kita sebutkan sebagai ‘wish list’, yang telahpun dikemukakan dan kita harap dapat dilaksanakan. Dengan demikian, sikit-sebanyak kalau diperhatikan di wilayah pantai timur juga, akan dapat banyak peruntukan.

“Kita mesti ingat, apa yang disebutkan dalam Bajet (2015) tadi adalah untuk tahun 2015. Peruntukan dan juga rancangan pembangunan sebelum 2015, kita ambil contoh 2013, 2014 – sedang dalam proses pelaksanaan.

“Yang penting ialah untuk kita menggunakan peruntukan yang ada dan melaksanakan projek sepenuhnya.

“Kita jangan perhatikan seolah-olahnya Bajet 2015 inilah satu-satunya bajet, bukan. Ianya untuk 2015 tapi bajet sebelum itu – 2013, 2014, dan yang akan datang, 2016 sebagainya, akan diteruskan dan saya percaya negeri Pahang dan mana-mana negeri dalam Malaysia, tidak akan ketinggalan.

“Yang penting ialah untuk kita beri kerjasama, sokongan kepada Perdana Menteri untuk pastikan dasar fiskal yang betul supaya dapat menguranghkan defisit dan pada ketika yang sama, kita dapat tentukan pertumbuhan ekonomi kita yang mampan, itu yang mustahak”. – Khabar