Friday 17 October 2014

Pentingnya bahasa pada aspek pertuturan serta nilai, akhlak, adabnya...


Menteri Besar mengulas tentang maksud bahasa dalam ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri

BACAAN IKRAR BAGI TERUS MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN... 


DEWAN ASTAKA, UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP), GAMBANG, KUANTAN – Pentingnya bahasa khususnya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bukan sahaja terletak pada pertuturan tetapi juga pada aspek nilai, akhlak dan adabnya.

Oleh sebab itulah juga, ada istilah ‘tak tahu bahasa’ yang digunakan oleh orang tua-tua zaman dahulu, yang maksudnya mencakupi betapa tidak berakhlak dan beradabnya pihak yang menjadi sasaran kepada istilah tersebut.      

“Macam saya sebut tadi, bahasa ini dia rujuk kepada dua perkara. Bahasa yang kita tuturkan dan nilai, akhlak, adab. Ha, itu bahasa juga,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Peringkat Negeri pagi Jumaat, 17 Oktober di sini.

“Itu sebab dulu disebutkan, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, bukan bahasa pertuturan maksudnya (semata-mata). Ia lebih merujuk kepada bahasa yang (membawa maksud) nilai, budi bahasa, sopan santun..

“Ha, itu (bahasa yang turut bermaksud nilai, akhlak dan adab) yang menunjukkan bangsa,” katanya mengulas lanjut perkara yang turut disentuh dalam ucapan luar teks 14-minitnya, sebelum itu.     

MEMALU GONG TANDA MELANCARKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memalu gong sambil disaksikan oleh Dato' Sri Muhammad Safian dan Encik Khalid (kanan).


ELAK SIKAP SAMBIL LEWA DALAM MARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN

Beliau turut menyarankan agar aktiviti sepertimana dianjurkan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan, perlu diadakan lebih kerap – bukan setakat setahun sekali, tetapi setiap sebulan-dua sekali.

“… kita patut buat lebih kerap sikit, sebab orang sudah beransur-ansur jadi ‘complacent’, bersikap berpuas hati dan sambil lewa, menyebabkan pengunaan Bahasa Kebangsaan ini tidak begitu mantap,” katanya.

Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatu katanya lagi, turut perlu ditekankan penggunaannya termasuk di sekolah-sekolah berbahasa Ibunda seperti sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Walaupun kita ada sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah lain-lain, sekolah berbahasa Ibunda; tapi sekolah-sekolah ini perlu juga menitik-beratkan tentang Bahasa Kebangsaan.

“Kalau kita ambil sekolah ugama yang mementingkan Bahasa Arab, dia kena juga adakan ‘slot’ untuk mengajar Bahasa Kebangsaan,” tegasnya.

MELAWAT GERAI PAMERAN... 


BUKU TERBITAN DBP KURANG DIGUNAKAN DI SEKOLAH?

Menjawab soalan wartawan akhbar ‘the Star’, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyatakan kepuasah hatinya dengan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatu golongan pelbagai kaum di negara ini.

Dan beliau turut memuji DBP sebagai sebuah organisasi penerbitan yang telah menerbitkan buku-buku dalam pelbagai judul termasuk yang berkaitan sains dan teknologi, yang berkualiti tinggi.

Bahkan katanya, istilah-istilah dalam sains dan teknologi serta pelbagai bidang pengetahuan lain, telah diperkenal dan dibukukan dalam bentuk kamus yang diterbitkan oleh DBP sendiri.

Namun menurutnya, tidak banyak buku-buku terbitan DBP ini yang diterima-pakai sebagai buku teks dalam sistem persekolahan negara. “I think the relevant authority got to look into this,” katanya .
                                                                 
Ketika ditemui kemudian sebelum meninggalkan majlis, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah ditanya oleh wartawan Utusan Malaysia mengenai gelagat sesetengah premis di bandar ini yang mengabaikan penggunaan Bahasa Kebangsaan, sebaliknya mengutamakan Bahasa Inggeris.

PERAKAM... Para pelajar Program Pertukaran Pelajar dari 'American Field Service' (AFS) yang dianak-angkat oleh keluarga tempatan dan bersekolah sementara di beberapa sekolah menengah di bandar ini, tentu berbangga kerana dirakam gambar berkumpulan mereka oleh Menteri Besar. 

Sebelum itu, keenam-enam pelajar ini telah menarik perhatian khalayak dengan persembahan acara berbalas pantun sesama mereka. 


MEDAN PUTRA, TERJEMAHAN KEPADA PUTRA SQUARE

Sambil mengakui betapa terjemahan tidak boleh dilakukan jika ianya melibatkan nama khusus tetapi boleh dilaksanakan jika ianya melibatkan nama am dengan memberikan contoh ‘Putra Square’ yang boleh diterjemahkan sebagai ‘Medan Putra’.

“Takkan ‘Square’ itu (diterjemahkan sebagai) ‘Empat Segi’ pula. Nama khusus tak boleh diterjemahkan, tapi ‘Medan’ boleh menggantikan ‘Square’. Tak bolehlah pula (jadi) ‘Medan Anak Raja’ pula. ‘Medan Putra’, ‘Medan Putra’lah,” katanya.    
                                                                             
Beliau turut diminta oleh wartawan akhbar ‘the Star’ mengulas kenyataan Menteri Besar kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Encik Azmin Ali yang mahu Kerajaan Persekutuan mendedahkan kepada umum segala dokumen berkaitan perjanjian pembekalan air mentah melibatkan negeri itu dan Pahang.    

“I want to see Azmin one day just to discuss (about) the water transfer issue. In fact, it is not an issue anymore. (But, for the good of the people) I look forward to seeing him to discuss with him things,” katanya.  

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; antara yang turut hadir pada Majlis Pelancaran pagi Jumaat ini ialah Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar; ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Bakar Harun; serta, Pengarah, Bahagian Dasar, DBP, Encik Khalid Sulaiman. – Khabar