Thursday 12 November 2015

Bukan sebab pembalakan, kata Menteri Besar



“… dan saya telah dihantar gambar dari udara, yang diambil oleh pihak Polis DiRaja Malaysia menunjukkan bahawa kawasan yang dikatakan tanah runtuh itu memang disebabkan oleh faktor semula jadi”.

INILAH FOTONYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan kepada wartawan dan jurufoto, satu daripada foto yang dikirim menerusi medium WhatsApp oleh Ketua Polis Negeri, Dato' Sharifuddin Abdul Ghani kepadanya. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Muhammad Safian.
 

PEJABAT ECER NEGERI, JALAN TELUK SISEK, KUANTAN – Bukan sebab pembalakan, tegas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan menafikan dakwaan kononnya ia penyebab kepada kejadian tanah runtuh di KM 52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, petang semalam, Rabu, 11 November.

Ketegasan beliau bersandarkan kepada foto-foto yang diambil dari helikopter Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam tinjauan udara ke kawasan tanah runtuh tersebut, yang kemudian menyalurkan foto-foto berkenaan kepadanya.

“… dan saya telah dihantar gambar dari udara, yang diambil oleh pihak Polis DiRaja Malaysia menunjukkan bahawa kawasan yang dikatakan tanah runtuh itu memang disebabkan oleh faktor semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bilangan 3/2015 Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri pada petang Khamis, 12 November di sini.
        
Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, jikapun ada pembalakan, ia terletak jauh dari kawasan kejadian – kira-kira 1.2 KM dan itupun sudah dihentikan sejak empat (4) bulan lepas sebagai mematuhi arahan Kerajaan Negeri supaya laluan lain yang lebih sesuai dikenalpasti.

KETEGASANNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan tegas dalam memberikan hujahnya berdasarkan foto serta maklumat yang diperolehinya daripada tinjauan udara oleh PDRM.


PROJEK ‘HIGH TENSION CABLE’ TNB DAH 4 BULAN DIHENTIKAN

Kegiatan pembalakan yang dimaksudkan itu ialah projek pembinaan menara kabel bervoltan tinggi di situ oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang meliputi jajaran Bentong hingga ke Lenggeng, Negeri Sembilan.  

“Ini bukan (berpunca daripada) sikap tamak sesiapa untuk mendapatkan balak, bukan… Ianya adalah projek untuk membuat (menara bagi) laluan talian elektrik – ‘high tension cable’ oleh TNB,” katanya.

“Jadi, nothing at all showing that there was any logging activities up there. But 1.2 KM from that area, we admit, there was logging activities due to the construction of the high tension cable (tower) by the TNB.

“It’s (- the logging acticities done, is) not by anybody, but by TNB. It’s not (logging) concession given to any Tom, Dick and Harry, alright,” tegas Menteri Besar lagi.

Selain akur kepada aduan penduduk menurutnya, alasan bagi terus memelihara alam sekitar kawasan terbabit adalah juga antara sebab Kerajaan Negeri mengarahkan TNB menghentikan kegiatan pembalakan di tapak berkenaan.

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN, SENJA KHAMIS, 12 NOVEMBER... Inilah foto menggambarkan kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan di KM52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, sehari selepas kejadian tanah runtuh itu. 

Foto ini dipetik daripada Kumpulan WA JENAN FORM 6 79/80, yang telah di'upload' oleh Pengarah Pengawasan Tol, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Encik Idrus Mat Tais.  


‘THE REPORTS NEED TO BE FAIR’

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian mengulangi betapa Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik sebarang laporan media – cetak mahupun elektronik, mengenai negeri ini – termasuk yang negatif.

“… the State Exco (Executive Council) that I am heading; we always welcome any (media) reports however adverse (they are to the State Government). But my only request is that, the reports need to be fair. That’s all,” katanya.

Kepada soalan seorang wartawan yang menanyakan pendapatnya terhadap kenyataan sebuah persatuan yang nama singkatannya - PEKA, yang tetap menyatakan bahawa pembalakan ialah punca kejadian tanah runtuh tersebut, katanya;

“Itu hak dia, biarlah. Sebab bila orang dah tak suka kita… Dia hendak orang percayakan dia, biarlah…”.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Sri Jebasingam Issace John; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Nik Rahmat Nik Taib;

ANTARA YANG TURUT HADIR

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Badaruddin Mahyudin; Pegawai Kemajuan Negeri, Dato’ Mohd Roslan Harun;

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Suhaimi Mohd Yunus; Pengarah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar;

Timbalan Pengarah III, Seksyen Pembangunan Wilayah, Unit Perancang Ekonomi (EPU), JPM. Puan Noriyah Kandar; dan, Pengarah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri, Puan Hazizah Sulaiman. – Khabar