Sunday 1 January 2017

IIUM MC – Pusat Perubatan RM593 juta yang patuh syariah



… hinggakan petugasnya dilatih bertayamum untuk diajarkan pula kepada pesakit Muslim untuk berwudhu, bersolat


NOTA EDITOR;

Berikut ialah lagi antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada bulan Januari ini.

Sama-samalah kita memanfaatinya.   


MESIN MRI YANG SERBA CANGGIH…Foto ini dirakam semasa kunjungan penulis ke hospital serba canggih ini pada Rabu, 7 Disember lepas.




INDERA MAHKOTA 8, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM MC) canggih bernilai RM593 juta di sini, merupakan pusat perubatan berkonsepkan patuh syariah;

Begitu tinggilah kepatuhannya hinggakan katil-katil pesakit disusun atur menghadap atau mudah untuk menghadap kiblat, bagi membolehkan pesakit Muslim menunaikan solat termasuk sambil berbaring.

Selain daripada petugas-petugas khususnya dalam kalangan jururawat, dilatih bertayamum agar dapat diajarkan pula kepada pesakit yang memerlukan kaedah wudhu ini, sebelum dapat menunaikan solat.

Kepada sesetengah orang, ini mungkin dilihat terlalu ‘ideal’ untuk dilaksanakan namun kepada Pengarah, IIUM MC, Prof Dr Ahmad Hafiz Zulkifly, ia lebih kepada cabaran besar yang perlu dihadapinya.

Apatah pula, pusat perubatan ini tidak sahaja terhad kepada pesakit dalam kalangan umat Islam tetapi terbuka kepada semua daripada pelbagai latar ekonomi dan pekerjaan termasuklah agama.

DEBU TAYAMUM TURUT DISEDIAKAN… Debu tayamum dalam  botol yang menarik perhatian penulis. Yang turut kelihatan ialah Penolong Pengarah, IIUM MC, Encik Mohd Farouq Mohd Alias. 



CABARAN BESAR

“Memang itu cabaran besar buat kami,” katanya dalam satu temubual. Yang kerana itulah menurutnya, satu badan khas diwujudkan – Struktur Organisasi Pematuhan Syariah, yang bertindak untuk mengawal-selia serta mentadbir pusat perubatan ini agar menepati kehendak-kehendak syariahnya.

Sepertimana kelaziman, perkara-perkara yang dikehendaki mematuhi syariah ialah – pakaian petugas yang menutu aurat, sumber ubatan yang disahkan halal, ada ruangan solat, sentiasa mengutamakan keselesaan dan kebersihan, dan memastikan perkhidmatan pelanggan yang bermutu.

Tetapi di pusat perubatan ini, ada lagi tambahan kepadanya yang turut meliputi elemen seperti seni bina dan susun atur bangunannya.

Antaranya kata Prof Dr Ahmad Hafiz, bangunannya sendiri – yang terletak di belakang Masjid Sultan Ahmad Shah dalam kawasan kampus UIAM ini, adalah menghadap kiblat, dengan tandas-tandas yang ada di dalamnya berada dalam kedudukan bertentangannya (kiblat).

“Susun atur katil ialah dalam kedudukan yang memudahkan pesakit Muslim menunaikan solat sungguhpun dalam keadaan berbaring,” katanya, sambil menyebut betapa bagi bukan Muslim, ada bilik meditasi disediakan.

SUSUN-ATUR KATIL BAGI MUDAH MENGHADAP KIBLAT…


BANGUNAN 11-TINGKAT, 350 KATIL

Bangunan 11-tingkat dengan 350-katil ini, mulai beroperasi secara berperingkat pada Ogos lepas selepas perasmiannya yang disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, pada Rabu, 20 Julai lepas.

Mula dibina pada Julai 2012 di atas tapak seluas 11 hektar, pusat perubatan ini siap sepenuhnya,  empat (4) tahun kemudian pada Mei lepas.

Daripada kos keseluruhan RM593 juta menerusi Insiatif Pembiayaan Swasta (PFI) oleh syarikat pembinaan terkenal – Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB), ia meliputi kos bangunan sahaja kira-kira RM416 juta, manakala untuk segala macam peralatan perubatan ialah lagi RM177 juta.

Mempunyai antara lain 15 Klinik Pakar, 20 Bilik Bedah (OT), Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Jantung (CCU), Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), Wad Bersalin, dan, Bilik Rawatan Kecemasan;  

Daripada segi peralatan perubatan, ia menyedia dan menggunakan mesin dan teknologi terkini antaranya MRI Tesla dan mesin CT Scan, yang ditempatkan di Jabatan Radiologi.
Bilik imbasan rawatan Angiogramnya pula dilengkapi dengan peralatan yang paling terkini lagi canggih.

PAKAIAN KHAS ‘LEAD GOWN’ ATAU GAUN PLUMBUM… Inilah pakain khas yang dipakai oleh juru X-ray sebagai keselamatan dalam menjalankan tugas. Berat setiap gaun ini boleh mencecah lima kilogram.


JANGKA TERSOHOR DALAM TEMPOH LIMA (5) TAHUN

Pusat perubatan ini turut mempunyai 133 pakar yang diperolehi daripada UIAM menerusi pelbagai Kulliyyahnya – Kulliyyah Perubatan, Kulliyyaah Sains Kesihatan Bersekutu, KUlliyyah Farmasi dan Kulliyyah Pergigian.

Setakat ini bagaimanapun, IIUM MC hanya menerima kes-kes rujukan pakar melibatkan Klinik Otopedik, pembedahan am, perbidanan dan sakit puan, Opthalmologi, Bius, Diatetik, Rehabilitasi, Perubatan, Kardiologi, serta, Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

“Saya menjangkakan kami perlu kira-kira lima (5) tahun untuk menjadi matang,” kata Prof Dr Ahmad Hafiz tentang status terkini IIUM MC serta jangkaan prestasinya masa depan. 


PENGANGKUTAN DARAH KE MAKMAL YANG SELAMAT DAN CEPAT… Dengan menggunakan kaedah ‘suction’ yang melalui tiub-tiub khas sebelum sampel darah sampai dengan kadar pantas ke makmal untuk dilakukan analisis. – Khabar