Tuesday 17 January 2017

‘Turun padang’, dekati rakyat, saran Menteri Besar



“... paling penting ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sentiasa ‘turun padang’ menyelesaikan masalah pengundi di kawasan masing-masing”

BUAT KENANG-KENANGAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sudi berfoto kumpulan selepas selesai acara sebelah pagi di UiTM cawangan Raub ini. 

Selain Dato' Sri Shahiruddin, yang turut kelihatan ialah Pegawai Daerah yang baharu, Dato' Hamdan Hussein yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (barisan depan, lima dari kanan).
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN AHMAD SHAH, RAUB – Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini diminta terus-menerus ‘turun padang’ bagi mendekati rakyat di kawasan pilihanraya masing-masing.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, amalan tersebut bukan hanya untuk menghadapi pilihan raya seperti yang sering didakwa oleh pihak pembangkang.

“UMNO dan BN Pahang sudah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum dan jentera pilihan raya termasuk di setiap 14 bahagian juga boleh digerakkan pada bila-bila masa.

“Tetapi, paling penting ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sentiasa ‘turun padang’ menyelesaikan masalah pengundi di kawasan masing-masing,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi bagi kedua-dua Badan Perhubungan UMNIO Negeri dan BN Negeri.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihan raya UMNO Bahagian Raub di sini, petang Selasa, 17 Januari sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian. Ia merupakan sebahagian daripada acara sempena Program Ramah Mesra dan Isu-isu Semasa Bersama-sama YAB Menteri Besar di daerah Raub ini.   

AKSI MENTERI BESAR... Dengan 'setting' ala-Town Hall (pentas di tengah, dikelilingi khalayak) di dalam Dewan Titiwangsa, UiTM cawangan Raub ini, Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang memberikan pendapatnya mengenai isu-isu semasa. 

Selain Dato' Sri Shahiruddin, Dato' Syed Ibrahim dan Dato' Hamdan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah seorang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Bendahari, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (barisan depan, kiri sekali).  


TIDAK MUSTAHIL DAPAT RAMPAS KEMBALI

Antara yang turut hadir ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Shahiruddin Ab. Moin yang juga Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin; dan, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri.

Sikap prihatin pemimpin BN dan UMNO membela nasib rakyat menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, adalah teras perjuangan parti yang memerintah Kerajaan sejak kemerdekaan dan ia hendaklah dikekalkan.

Beliau turut meminta agar jentera pilihanraya UMNO memastikan generasi muda di kawasan masing-masing mendaftar sebagai pengundi dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada waktu yang ditetapkan.

“Oleh demikian (dengan memastikan generasi muda mendaftar sebagai pengundi), tidak mustahil BN dapat merampas kembali kerusi yang dikuasai pembangkang seperti Parlimen Raub yang dikuasai oleh DAP,” katanya.

Sebelum itu pada sebelah pagi dan tengah hari, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah hadir ke Dewan Titiwangsa, Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) cawangan Raub yang serba baharu.

CENDERAHATI BUAT DATO' AYOB... 
 

DATO’ AYOB ANTARA PANEL PENCERAMAH

Ia bagi merasmi seterusnya menyertai sesi seminar isu-isu semasa yang turut membariskan Ketua Penolong Pengarah, Counter Terrorism Cawangan Khas (E8), Polis DiRaja Malaysia, Dato’ Ayob Khan sebagai antara panel penceramah.

Selepas itu – selain acara di Dewan Jubli Perak ini, beliau turut hadir pada majlis ramah mesra dengan penduduk/penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dekat sini. 

MELONJAKKAN SEMANGAT... Inilah suasana dalam Dewan Jubli Perak semasa berlangsungnya perasmian jentera piliharaya UMNO Bahagian Raub pada petang Selasa ini. – Khabar