Tuesday 28 March 2017

Landasan terbang Lanjut dibina, dibuka semula



… dapat pendekkan tempoh perjalanan dari Lanjut ke Pulau Tioman melalui udara dalam antara 15 dan 20 minit, berbanding menerusi pengangkutan laut hingga dua (2) jam

TANDA BAGUS... Dato' Sri Hasan memberikan tanda bagus kepada pembinaan dan pengoperasian semula Landasan Terbang Lanjut ini. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Maznah (depan). (fotoBERNAMA).  


LANDASAN TERBANG LANJUT, ROMPIN – Sebuah syarikat sepenuhnya milik Bumiputera akan melabur sehingga RM8 juta bagi pembinaan dan pengoperasian semula Landasan Terbang Lanjut yang telah lama terbiar ini.

Terletak bersebelahan Lanjut Golden Beach & Resort, syarikat berkenaan – Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) telah memiliki kawasan seluas 42 ekar (17 hektar) tanah Kerajaan Negeri ini dengan nilai kira-kira RM2.2 juta.

Antara skop kerja yang dilakukan di bawah program pembangunan semula ialah dengan menambah-baikkan landasan terbang termasuk memanjang dan melebarkannya, demi meningkatkan lagi aspek keselamatan penerbangan

Panjang asalnya cuma 700 meter dan lebar, sembilan (9) meter, telah ditambah-baik menjadi panjangnya, 900 meter dan lebar 18 meter. Selain itu, kerja-kerja pembersihan landasan dan kawasan persekitaran turut dilakukan.

Kerja-kerja berikutnya ialah bagi pembinaan-pembinaan kemudahan pejabat untuk kakitangan syarikat; balai  ketibaan dan balai berlepas untuk penumpang; bilik rehat/chalet sebagai transit untuk juruterbang atau pelancong, serta, ‘hangar’ untuk merawat pesawat-pesawat ringan.

HADIRIN TERPUKAU DENGAN PERSEMBAHAN... (fotoBHarian)
 

DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA TAHUN 2019

Kesemua ini – selain landasan yang telah bermula kerja-kerja penambah-baikan sejak dua (2) tahun lepas; akan dilaksanakan dalam tempoh dua (2) tahun ini yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019.

Dengan adanya kemudahan landasan ini serta perkhidmatan pengangkutan udara antara landasan terbang ini dengan Pulau Tioman, para pelancong akan mempunyai pilihan yang sangat praktikal, seterusnya dapat meningkatkan lagi secara agresif, kedatangan pelancong ke pulau tersebut.  

Jumlah pelancong ke pulau itu pada tahun lepas (2016) sahaja ialah 249,300 orang iaitu - 187,584 domestik, dan,  61,716 asing. 

Manakala jumlah pelancong empat (4) tahun sebelumnya ialah; 2015 – 231,238 orang iaitu – 164,027 domestik, 67,211 asing; 2014 – 268,784 orang iaitu – 191,795 domestik, 76,989 asing; 2013 – 233,569 orang iaitu – 163,103 domestik, 70,466 asing; 2012 – 214,482 orang iaitu – 146,587 domestik, 67,895 asing.

Pada peringkat awal ini, SAS yang berIbu Pejabat di Subang, Selangor, akan menempatkan dua (2) buah pesawat ringan seperti Cessna 206 di sini yang akan sentiasa bersedia untuk membawa pelancong ke Pulau Tioman dan kembali, dengan kadar bayaran berpatutan.

DATO’ SRI HASAN WAKILI MB PADA MAJLIS PECAH TANAH

Selain itu, pesawat-pesawat ringan ini juga mempunyai keupayaan untuk menerbangkan penumpang ke lokasi-lokasi lain sekiranya diperlukan, seperti ke Kuantan, Pulau Redang, Melaka, Senai dan ke Subang.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan semula Landasan Terbang Lanjut ini telah dilakukan pada pagi Selasa, 28 Mac yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rompin Dato’ Sri Hasan Ariffin yang mewakili Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau yang ditemui wartawan kemudiannya dilaporkan sebagai berkata; Tapak landasan ini sudah sedia ada, namun tidak berfungsi atau terbiar untuk tempoh yang agak lama juga.

“Usaha membangunkan semula landasan ini oleh pihak SAS sangat dihargai kerana ia dapat meningkatkan lagi imej serta sektor pelancongan di Rompin yang terkenal dengan produk (pelancongan) seperti Pulau Tioman dan Taman Negara Endau-Rompin.”

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Johari Hussain yang juga wakil rakyat negeri (BN – Tioman);

TETAMU-TETAMU VVIP

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain; wakil rakyat-wakil rakyat negeri – Dato’ Sri Maznah Mazlan (BN – Muadzam Shah) dan Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Ibam); Pegawai Daerah Rompin, Encik Zulkifli Hashim; dan, Ketua Pegawai Eksekutif SAS, Encik Ismail Ashaari.

Pada majlis sama, hadirin turut dihidangkan dengan pertunjukan udara oleh pesawat aerobatik Extra EA 300, pesawat Agcat Dromader dan helikopter Robinson R66. – Khabar