Sunday 12 March 2017

Pengusaha bauksit patut salahkan diri ekoran pelanjutan demi pelanjutan tempoh moratorium


… semuanya kerana pelakuan operator bauksit yang masih tidak serik-serik juga lagi.

SEMOGA TIDAK BERULANGLAH LAGI... Dengan syarat-syarat SOP yang semakin diperketatkan maka keadaan sebegini - di simpang masuk ke Kawasan Perindustrian Gebeng; diharap tidak berulang lagi. 

 
Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Salahkan diri sendiri! Inilah yang harus diinsafi oleh pengusaha-pengusaha bauksit di daerah Kuantan ini, ekoran lanjutan demi lanjutan tempoh moratorium ke atas pengeluaran/pelombongan bahan mineral tersebut.
 
Sehingga kini, sudah lima (5) kali tempoh itu dilanjutkan yang dengan itu, sudah kira-kira setahun, dua (2) bulan dan dua (2) minggu bahan mineral berkenaan dilarang daripada dilombong.
 
Kali pertama ialah antara 15 Januari dan 14 April lepas; kedua, antara 15 April dan 14 Julai lepas; ketiga, antara 15 Julai dan 14 September lepas; keempat, antara 15 September dan 31 Disember lepas; dan kelima, antara 1 Januari dan 31 Mac ini.
 
Kini, selain daripada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membayangkan tempoh itu akan dilanjutkan lagi, begitulah juga yang disuarakan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
 
Dan Dato’ Sri Dr Wan Junaidi turut membayangkan betapa pelanjutan kali ini – yang keenam, mungkin mengambil masa lebih lama daripada sekadar antara dua (2) dan tiga (3) bulan sebelum ini.
 
SEGELINTIR OPERATOR SAH TURUT MELOMBONG HARAM?
 
Semuanya kerana perlakuan operator bauksit yang masih tidak serik-serik juga lagi. Mereka – termasuk segelintir dalam kalangan operator yang sah, masih melombong sedangkan tempoh moratorium tidak membenarkannya melainkan aktiviti mengangkut keluar stok simpanan yang ada sahaja, serta mengeksportnya.
 
Dalam tempoh moratorium kelima sekarang (1 Januari hingga 31 Mac), jumlah stok simpanan yang masih ada yang sepatutnya sebanyak 2.95 juta tan metrik sahaja lagi, perlu diangkut dan dieksport ke China menerusi Pelabuhan Kuantan.
 
Dengan 38 Permit Kelulusan (AP) Khas yang Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah keluarkan – setiap satu dibenarkan mengeskport 100,000 tan maka dengan 38 AP Khas sepatutnya boleh melupuskan sehingga 3.8 juta tan metrik atau lebih daripada 2.95 juta tan metrik stok simpanan itu.
 
Sudah semestinyalah, dengan pengeluaran AP Khas ini, Kerajaan turut mengenakan beberapa syarat ketat antaranya, pemilik AP Khas perlu membayar ‘upfront’ terlebih dahulu caj-caj yang ditetapkan sebelum pengeksportan.
 
Sebelum ini, caj-caj tersebut dibenarkan untuk dibayar selepas pengeksportan yang menyebabkan ada antara operator yang culas, tidak membuat apa-apa pembayaran langsung kepada Kerajaan.
 
OPERATOR BELUM DAPAT PENUHI SYARAT-SYARAT KETAT
 
Selain itu, mereka juga mesti patuh kepada Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang semakin diperketatkan syarat-syaratnya antaranya ialah, jenis lori yang digunakan sebagai pengangkutan hendaklah yang ber‘badan’ besi yang lebih kukuh daripada jenis kayu sebelumnya.
 
Syarat-syarat yang lebih ketat inilah yang dikatakan menjadi punca kepada kelengahan para operator bauksit untuk melaksanakan kerja-kerja pengangkutan dan pengeskportan bahan mineral tersebut.
 
(Sementelahan pula harga di pasaran bahan mineral itu tidak begitu memberangsangkan –
cuma kira-kira AS24 dolar setan metrik berbanding kira-kira AS40 dolar setan metrik semasa waktu puncak pada tahun 2014).

Sedangkan, syarat-syarat ketat ini perlu demi membendung gejala pelombongan dan pengangkutan yang ‘caca-marba’ hingga mencemarkan alam sekitar serta membahayakan nyawa orangramai khususnya di atas jalan yang menjadi laluan pengangkutan dari kawasan stok simpanan ke Pelabuhan Kuantan.

Malah, syarat-syarat ketat inilah juga yang terhasil daripada bengkel-bengkel yang telah Kerajaan Negeri anjurkan, yang turut disertai dan telah dipersetujui oleh operator-operator bauksit yang sama.

Jika syarat-syarat ketat ini belum dapat dipenuhi maka eloklah tempoh moratorium terus dilanjutkan selagi mana perlu. Dan para operator – sama ada yang sah atau haram, tidak perlulah mengeluh serta menyalahkan Kerajaan melainkan diri mereka sendiri. – Khabar